Sesungguhnya masa berlalu sangat pantas.
Masa dikaitkan dengan kerugian. Masa menjanjikan keuntungan hanya untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Malah kita perlu berpesan-pesan dengan kebenaran dan ia perlu dilakukan dengan sabar.
Beramal jika tidak dilakukan dengan sabar akan menghilangkan istiqamah. Perasaan jemu dan letih pasti akan muncul. Apatah lagi jika amalan itu tidak didasari atas sebab “semata-semata kerana Allah”.
“Prof tidak penat?,” ramai yang bertanya melihat jadual harian yang tersusun bila pulang ke Malaysia.
Ia pilihan yang diizin Allah. Bila saya menerima undangan, rutinnya sangat mudah. Saya melihat kalendar google, bertanya pada diri samada ia mampu diselit dikala saya mempunyai program yang lain.
Satu misalan yang benar ialah apabila berada di Dungun. Ada yang bertanya, “kami ingin menjemput prof memberi tazkirah kepasa staf wanita… kami ingin sangat…”
Lalu saya melihat jadual. Kami akan bertolak ke Kuala Terengganu pada jam 10 pagi. Maka saya nyatakan, “boleh… tetapi saya hanya dapat luangkan 45 minit sahaja, 9.00 hingga 9.45 pagi”.
Saya tahu pada ketika ini Roza dan anak-anak serta Sheikh Khalid dan keluarga akan bersiap-siap sambil minum pagi. Eloklah saya lari sekejap ke dalam kampus memenuhi permintaan bekas rakan sejawat.
Allahu Akbar, saya menerima balasan e-mel, “prof, bolehkah prof bercakap 2 jam..”
Saya ceritakan kepada Roza, “tengok Yang…. belum selesai lagi….”
Bila menjawab e-mel tersebut begini jadinya, “OK… kita mulakan jam 8.00 pagi. Jangan lewat!”
Begitu banyak undangan yang tidak dapat saya penuhi. Saya cuba mencari-cari masa dan saat untuk bersetuju. Kadang-kala sehingga terlupa untuk membalas e-mel tersebut.
Malah ada masanya saya belum pasti di mana saya akan berada.
Saya mohon maaf banyak-banyak jika ada yang merasai yang saya tidak melayani permintaan mereka. Jika ada yang tidak menerima balasan e-mel, mohon fowardkan semula walaupun mungkin jawapannya tidak dapat hadir.
Malas
Pernahkah ada rasa malas yang amat sangat dalam beramal ibadat?
Ia juga soalan yang menarik. Jawapan saya, “selalu!”. Saya fikir, saya tidak malas untuk solat berjemaah di masjid tetapi ada ketikanya saya terasa amat malas untuk bergerak ke Masjid Nabawi.
Misalnya ketika jatuh sakit, saya hanya solat berjemaah di masjid yang berhampiran. Bila sihat….. rasa tidak mengapa solat di masjid yang berhampiran muncul sedangkan saya berkesempatan dan berpeluang hadir di masjid Nabawi.
Ia perlu dilawan.
Terputusnya amalan biasa boleh menimbulkan rasa malas, sukar dan perasaan tidak apa. Ia perlu dilayani sebaik mungkin.
Misal yang lain, kebiasaan menulis menyebabkan ia menjdi tugas mudah dan selesa. Cubalah berhenti dalam sebulan dua, menulis sebaris ayat menjadi terlalu sukar.
Akhirnya malas muncul!
Ia perlu bermula semula. InsyaAllah kesungguhan akan menghilangkan rasa malas tersebut.
Ikhtibar dari Tanah Suci

RM1 Sejuta Harapan?
“Prof ingat pertemuan pertama kita dahulu?,” tanya Puan Zarina, bekas pembaca berita TV3 di awal-awal penubuhan stesyen tersebut. Saya agak begitu.
Masakan saya lupa. Suami beliau – Abdullah – adalah tuan punya Karyawan Bistari, penerbit rancangan untuk Oisis, ASTRO. Mereka mencari saya untuk siri Ikhtibar dari Tanah Suci, segmen ke 2.
Namun hubungan kami tidak pernah putus. Ia kekal begitu.
Kini mereka di Madinah membawa 2 tetamu Allah melalui program RM1 Sejuta Harapan. Ia konsep mudah. Mereka yang dibawa ke Tanah Suci adalah daripada golongan yang sangat miskin.
Pada zahirnya mereka tidak akan berpeluang untuk ke Tanah Suci. Namun dengan hanya menderma RM1/seorang, akan ada yang dapat memenuhi harapan di hati.
Kisah mereka ini – rasanya – akan disiarkan melalui TV al-Hijrah.

Chef mempunyai kuliah. Maka nasi Arab kedai menjadi pilihan.
20 tahun

Madinah mempertemukan kami dengan ramai orang
“Kamil,” saya mendengar sayup-sayup nama disebut orang usai solat Asar. Saya tidak mempedulikannya. Agak saya sudah lama orang tidak memanggil nama tersebut.
“Kamil,” sekali lagi. Saya berpaling. Beliau berjalan ke arah saya sambil menyebut, “Kamal…”
“Kamal Sarawak,” terus saya menyebut tanda masih ada ingatan terhadap insan ini di dalam kotak minda.
Inilah pertemuan semula selepas lebih 20 tahun.
“Semalam saya bedoa untuk bertemu Kamil. Allah Dia Maha Mendengar”
Alhamdulillah, hijrah ke Madinah mempertemukan saya dengan lebih ramai kenalan lama. Alahai…. masa berubah. Akhirnya topik yang sering dibincangkan…. tidak lama lagi saat kita akan bertemu dengan kematian.
Sepatah kata, saya terbayang beliau 20 tahun yang lampau. Beliau juga begitu. Namun masa yang lalu tidak lagi kembali. Ia sangat berbeza.
Moga bertemu lagi!