Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Wan boleh melahirkan 12 anak dalam tempoh 25 tahun perkahwinan dengan ayah. Kelahiran setiap berselang dua tahun. Kiraan ini hanya bersandar kepada congak matematik. Hakikat sebenar, saya dan adik yang hampir berselang empat tahun berbeza umur. Maknanya, ada di antara adik beradik yang dilahirkan selang setahun.
Subhanallah!
Bayangkan pula bagaimana Wan dapat membesarkan anak-anak ini dalam kesusahan kewangan, melahirkan anak-anak di peringkat usia yang sangat muda dan tanpa sebarang pengalaman khusus. Namun ketika saat-saat beliau mahu meninggalkan kami, hati beliau mungkin tersenyum puas melihat hampir kesemua anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada kami ketika berusia 59 tahun!
Saya melihat 12 adik beradik sebagai harta pusaka peninggalan ayah dan Wan yang sangat bernilai. Di tambah dengan kehadiran isteri dan anak-anak, maka jumlah mereka yang sangat hampir dalam kehidupan kita – sebenarnya – tidaklah terlalu ramai. Semakin menginsut usia menuju senja, mereka yang hampir akan hilang tanpa kita sedari. Alih-alih mereka yang tinggal boleh dihitung dengan jari sepuluh.
Saya bertuah kerana dibesarkan dalam suasana kasih-sayang, saling ingat-mengingati dan saling bantu membantu di antara adik beradik. Faktor bilangan keluarga yang ramai dengan jumlah pendapatan seisi keluarga yang jelas tersangat sedikit menjadikan kami terasuh dalam suasana tersebut.
Jika ayah membeli sate’, maka Wan atau kakak-kakak yang lain sedia mengagihnya “sama-rata” di antara kami. Pinggan di atas meja makan tersusun 14 biji. Terhidang 4-5 cucuk sate’ bersekali dengan nasi himpit dan kuah. Ia tidak pernah cukup tetapi nyata kami merasai nikmat yang maksimum.
Salah satu makanan yang sentiasa menjadi kenangan untuk saya adalah murtabak dan colek paru [nota: ia seakan-akan rojak Singapura atau pasembor di Pulau Pinang]. Ayah hanya membeli 2 atau 3 keping murtabak yang akan dikongsi di antara kami. Bayangkanlah bagaimana rasanya yang “menjilat jari”. Saya sentiasa mengenangi saat-saat tersebut yang dipenuhi dengan perasaan yang tidak pernah mencukupi.
Colek Paru pula lebih istimewa. Ia menarik tetapi lebih mahal. Ramuannya menjadi kesukaan bagi masyarakat Terengganu dan Kelantan. Paru goreng, kentang, salad, perut muda, jemput-jemput dan beberapa jenis yang lain yang sudah mulai luput daripada ingatan menjadikan ia sebagai satu campuran makanan yang menarik. Ditambah pula dengan sos yang dimasak khusus, colek paru menjadi kesukaan kami seisi keluarga.
Masalahnya, ayah selalunya membawa pulang dua bungkus sahaja. Ia tugas sukar untuk membahagi-bahagi di antara kami 12 adik beradik. Dalam konteks inilah kami diajar supaya sentiasa mengalah kepada adik yang lebih muda. Merekalah yang akan membuat pilihan awal pinggan mana yang menjadi minat mereka.
Subhanallah!
Wan sendiri akan memasak lima kali sehari dalam jumlah yang banyak. Bagaimanapun, jika ada di antara kami yang mengulang berulang kali, maka akan ada suara yang mengingatkan, “makan jangan lupa orang kemudian!”
Maka yang ditegur biasanya akur tanpa soal jawab.
Ia kelihatan seperti satu teguran yang mudah. Namun kesannya sangat mendalam. Ingatan kepada adik beradik – sehingga dewasa – nyata berkekalan. Perasaan kasih-sayang, ingat-mengingati dan seterusnya saling bantu membantu di antara adik beradik terus subur walaupun kini kami semuanya sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab sendiri.
Kami diajar untuk tidak cuba mengambil hak yang lain. Apatah lagi untuk memanipulasikan keadaan atas dasar kepentingan peribadi. Benar – di sana-sini – mungkin ada perasaan tidak puas hati, berkecil rasa atau perasaan dan mungkin juga berdukacita tetapi tidak ia pula membawa retak yang berpanjangan. “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum kembali” mungkin menjadi peribahasa yang sangat sesuai.
Prinsip menghormati kakak/abang yang tua, menjaga perasaan yang muda, berkomunikasi dengan jelas tanpa tersembunyi dan sentiasa menghormati ipar-duai adalah kunci untuk merapatkan kembali “carik-carik bulu ayam”.
Tentu sekali saya sangat terkejut apabila melihat ada keluarga yang bertengkar, bergaduh dan saling bermasam muka di pejabat tanah apabila ingin menguruskan pembahagian harta pusaka. Buat kami, ia bukanlah satu tugas yang sukar. Wan mewasiatkan enam bahagian tanah kepada saya dan dua adik beradik lelaki yang lain.
Saya katakan kepada mereka, “Abang tandakan bahagian-bahagian ini dengan nombor satu hingga enam. Adik yang bongsu buatlah pilihan pertama, diikuti oleh adik yang kedua dan ulangi semula dengan adik yang kedua membuat pilihan yang ketiga dan adik yang bongsu pilihan yang keempat. Mana yang tinggal adalah kepunyaan saya”.
Kami diajar untuk bertolak ansur. Kami diajar untuk berkasih-sayang dengan adik beradik yang lain malah kami sentiasa ditunjukkan agar saling bantu membantu. Mungkin benar kata mereka yang berpengalaman, “ketika dalam krisis, kita akan berpaling kepada yang hampir. Dan alangkah manisnya jika mereka yang hampir itu adalah darah daging kita sendiri”.
Dalam konteks inilah – saya fikir – hubungan dengan mereka yang hampir perlu terjalin semesra dan serapat mungkin. Saling ingat mengingati supaya akhir nanti kesemuanya akan berkumpul di syurga Firdaus. Berziarahlah samada secara fizikal ataupun melalui teknologi moden seperti SMS, e-mel, telefon dan yang seumpamanya supaya tali silaturrahim akan sentiasa berpanjangan.
Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa yang telah kita lakukan kepada ayah-bonda, isteri, adik beradik, sanak-saudara dan kaum keluarga serta muslimin dan muslimat.
Saya akhiri nota minggu ini dengan satu ingatan daripada Allah SWT,
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya pula malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” (At-Tahrim : 6)