Archive for April, 2010

Pembedahan segera

Friday, April 30th, 2010

Jantung dan paru-paru Ayu dipenuhi air. Barangkali sistem dalaman beliau sudah terjejas. Malam khamis, doktor membuat keputusan untuk mengeluarkan air yang mengganggu pernafasan beliau. Mudah-mudahan ia memberi kelegaan yang berkekalan.

Kesemua adik-beradik sudah berkumpul. Kami hanya boleh berdoa dan memberi semangat kepada Ayu. Namun beliau kelihatan tenang menghadapi dugaan yang telah ditentukan Allah.

Janji Allah sentiasa benar. “Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa adik ku, sembuhkanlah penyakit yang sedang dihadapinya sehingga tidak berbekas lagi, tenangkanlah hatinya, kuatkanlah semangatnya, suaminya, anak-anaknya, kami sendiri dan kaum muslimin dan muslimat dalam menghadapi ujianMu ya Allah”.

Mesin rumput

Thursday, April 29th, 2010
Permainan sebelah petang

Permainan sebelah petang

Salah satu kegiatan yang masih melekat di minda – ketika berusia 4-5 tahun – ialah mengikuti tukang kebun sekolah memesin rumput. Saya boleh berjalan naik dan turun mengikut arah mesin itu bergerak. Bunyinya kuat, rumput yang dipotong akan bersepah-sepah ditinggalkan oleh mesin tersebut dan bau minyaknya menusuk deria bau.

Ketika itu kami sekeluarga tinggal di kawasan Sekolah Rendah Bintang, Besut, Terengganu.

Semalam, saya beli mesin rumput Briggs & Stratton, Quattro 475 Series setelah menerima nasihat beberapa pakar yang “gila” dengan laman rumah masing-masing. Ia memenuhi kehendak saya. Pertama, ia boleh menyebabkan saya berpeluh, rumput yang sudah siap dipotong tidak perlu dibersihkan kembali dan mampu untuk memotong jenis rumput yang ditanam.

Roza tersenyum dengan kegilaan baru saya. “Di mana hendak disimpan?” dan “betul awak hendak mesin sendiri?” adalah antara soalan yang mengaitkan usaha-usaha terdahulu yang pernah saya lakukan bila dikaitkan dengan istilah “Do-it Yourself”.

Kelengkapan apa yang saya tiada?

Roza menyimpan kemas di dalam stor!

Semalam, saya cuba mesin tersebut. Berpeluh-peluh dibuatnya. Rumput dipotong pendek, sisa terkumpul dalam satu bekas secara automatik dan ia tidaklah terlalu sukar untuk dikendalikan.

Mudah-mudahan ia tidak menjadi aset yang perlu diaudit!

Ayu

Wednesday, April 28th, 2010

Sudah lebih setahun semenjak kali pertama saya mencatatkan yang Ayu – adik Roza – menanggung dugaan Allah, mengidap kanser payu dara. Beliau kelihatan bertahan, berjaya mencapai impiannya untuk menunaikan umrah bersama mak, abah, Roza dan saya.

Kami fikir penyakitnya berjaya dikawal daripada merebak. Sesekali berkunjung ke rumahnya, raut wajah Ayu sentiasa ceria lambang ketabahan seorang wanita yang sedang menghadapi dugaan paling besar dalam hidupnya.

Namun sudah hampir dua bulan Ayu tidak mengemaskini blog. Kami tahu tahap kesihatan beliau semakin menurun. Kali akhir beliau berkunjung ke rumah saya, beliau mengadu sakit pinggang. Apa yang disebut tentunya jauh lebih ringan daripada apa yang ditanggung. Sedikit demi sedikit, sakit pinggang itu menyebab beliau sukar untuk naik-turun di rumah dua tingkat beliau.

Semalam, beliau dimasukkan ke wad hospital Sungai Buluh. Demam, semput dan beliau disahkan mengidap pneumonia. Selebihnya, seisi keluarga disahkan mengidap H1N1.

Buat mereka yang mengenali Ayu dan keluarga, kami mohon doa agar beliau dipermudahkan. InsyaAllah, beliau dan keluarga bertenaga menghadapi saat-saat ini. Sesungguhnya Allah tidak menguji hambaNya tanpa sebarang tujuan.

Mesra

Tuesday, April 27th, 2010

Kalau saya boleh menilai diri sendiri, maka saya katakan yang saya seorang yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja asalkan orang itu mahu melontarkan roh “mesra insan”. Kalau saya senyum, mereka tidak mahu senyum, apalah yang boleh saya lakukan.

Hari ini, mereka yang senyum kepada saya bertambah dengan kadar yang pesat. Pertama, kerana buku Travelog Haji dan Travelog Dakwah. Kedua, kerana siri ceramah yang telah saya jayakan. Pertemuan dengan khalayak – saya fikir – mencecah puluhan ribu dalam tempoh tiga tahun yang lepas.

Soalnya, saya mempunyai memori yang singkat. Semalam, saya berada di Fakulti Perakaunan Shah Alam. Seseorang menghampiri saya dan berbual-bual seolah-olah saya sangat rapat dengannya. Memang, saya sepatutnya rapat kerana perbualan tersebut terlangsung dalam persekitaran yang saya wajib mengetahui namanya.

Saya berbual sambil otak saya berpusing ligat mengingati namanya, lokasinya dan hubungan keakraban tersebut. Dan saya tahu saya sepatutnya akrab dengan beliau.

Nama… nama… nama…. nama…. saya memaksa ingatan supaya bekerja keras. Saya tahu jika saya bertanya, “Alahai… opps… sorry, saya lupa nama, minta maaf…,” beliau akan berdukacita. Pastinya saya akan melukakan hati beliau.

Wajahnya sangat hampir, tutur-katanya pernah didengari dan anehnya kenapa namanya tidak muncul!

Suria oh Suria, akhirnya selepas puas bersoal-jawab di dalam minda, saya tahu beliau adalah bekas pelajar saya, seorang yang sangat aktif dan sentiasa ceria.

Suria tidak tahu yang itulah yang bermain-main di fikiran ketika berbual rancak dengannya.

“Ya Allah, aku mohon keampunanMu!”

Membaca

Monday, April 26th, 2010

Dulu-dulu, saya gemar membaca novel, majalah dan komik. Seingat saya, ayah sangat menyokong dengan melanggan pelbagai majalah dan komik. Saya fikir ia sangat membantu dalam proses menarik minat membaca. Asuhan ini nyata melekat apabila dewasa.

Kini, hampir 90 peratus minat membaca tertumpu kepada buku-buku agama. Saya minat membaca hadis-hadis Qudsi dan topik-topik yang membawa kepada penyucian hati. Malah, buku-buku yang lebih menarik minat atau perhatian sering barkait rapat dengan topik yang sedang ditulis.

Saya menyedari sesuatu, membaca, menulis dan menyampaikan ilmu menjadi faktor kesalingan yang menambah ilmu. Namun pada satu-satu ketika, semakin banyak membaca, kelihatan semakin sedikit ilmu di dada. Namun sesuatu yang saya pelajari, apa pun yang dibaca, akhirnya ia kelihatan menjurus kepada kekuasaan Allah.

Dialah yang maha berkuasa, maha pengasih dan maha penyayang. Kita adalah manusia yang tersangat lemah memerlukan belas kasihan, kasih-sayang, rahmat dan taufik-hidayahnya.

Allah tidak boleh diduakan.

“Bacalah, bacalah dengan nama Tuhanmu”

Bacalah ketika berada di dalam komuter. Bacalah ketika dalam perjalanan yang jauh. Bacalah ketika menunggu mesyuarat bermula. Bacalah ketika di dalam kapalterbang. Bacalah ketika ……..

Mereka yang membaca mempunyai kelebihan. Ia jelas nampak sejurus sepatah tuturnya keluar melalui bibirnya yang nipis. Ia tidak boleh disembunyikan walaupun mereka bertutur bak “halalintar” bunyinya.

“Bacalah, bacalah dengan nama Tuhanmu”