Archive for May, 2010

Panas

Wednesday, May 26th, 2010

Panas adalah rasa yang bercorak relatif. Panas yang amat sangat bagi seseorang, tidak pula bagi yang lain. Mereka yang hidup di kawasan sejuk, apabila tiba di kawasan panas akan menderita dengan perubahan cuaca yang mendadak. Begitulah sebaliknya.

Tiada rasa panas yang mutlak. Suhu 45* celsius boleh membakar rasa. Di Doha, itulah suhunya. Rumah Tuan Haji Zaim hampir 24 jam penyaman udaranya berfungsi. Masuk rumah sejuk, keluar rumah terasa bahangnya. Malah ketika kami keluar solat subuh – 3.20 pagi – laman rumahnya masih terasa sisa bahang panas siang hari.

Ah…. ia bukan satu kepelikan dengan suhunya yang begitu.

Kami bergerak ke padang pasir ketika matahari hanya sedikit condong. Suhunya menghampiri 50* celsius. “Pakai kasut, stokin… panas nanti,” pesan teman-teman Tuan Haji Zaim.

Saya juga fikir begitu. Ia logik yang patut diketahui. Tentu sekali pasir di padang pasir panas.

Bila tiba, saya terkejut melihat Ibrahim turun kenderaan berkaki ayam. Saya syak beliau keturunan badwi, suku-sakat padang pasir! Saya mengata di dalam hati.

“Ok… pasir OK, tidak panas. Di padang pasir lebih baik daripada Doha,” beliau cuba meyakinkan saya yang “percaya tidak percaya” dengan keadaan kakinya yang tidak berlapik. “Mungkin tapak kakinya tebal,” hati saya berbisik lagi!

Saya buka kasut. Perlahan-lahan saya sentuh tapak kaki dengan permukaan pasir. Nyaman! Tiada kepanasan membakar yang tergambar di hati. Sah, satu persepsi yang salah tentang kepanasan.

Diam-diam saya berasa sesuatu di hati. Ya Allah, itulah kehebatan dan kekuasaan Mu. Tiada yang mustahil di sisi sang Pencipta. Apa lagi yang hendak kami dustakan? Bukankah – jelas – alam semesta ini terdapat tanda-tanda kebesaranNya?

Tentu sekali kita tidak lupa dengan kisah Nabi Allah Ibrahim yang dibakar hidup-hidup oleh golongan penyembah berhala, dan Allah katakan “sejuklah”, maka api yang sepatutnya membakar Nabi Allah Ibrahim menjadi sebaliknya.

(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!

Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.

Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya), Al-Anbiyaa, 68-70.

Saya belajar sesuatu yang besar di padang pasir, sesuatu yang menghampirkan saya dengan kekuasaanNya.

Subhanallah!

RM3000

Tuesday, May 25th, 2010

Karya Awal 1996: Pelajar Cemerlang

Karya Awal 1996: Pelajar Cemerlang

Saya akan menyampaikan syarahan di Sekolah Menengah Melor pada 30hb ini. Hadirinnya dijangka terdiri daripada para pelajar dan guru-guru sekolah.

Individu yang menguruskan kedatangan saya, mendepositkan RM3000 ke dalam akaun. Beliau tahu yang saya tidak mengenakan sebarang yuran untuk saya berceramah. Tidak, wang sebanyak itu adalah sumbangan beliau kepada mereka yang bakal hadir nanti.

Beliau memohon pertolongan saya menguruskan pembelian 300 naskah buku “Pelajar Cemerlang”, salah satu hasil karya awal saya yang diterbitkan oleh Darul Nu’man. Beliau mahu hadiahkan buku tersebut kepada pelajar-pelajar yang hadir. Harga buku tersebut di sekitar RM4 senaskah [harga pasaran: RM6/senaskah] untuk penulis.

Beliau juga mahu saya membawa 30 naskah Travelog Haji, 30 naskah Travelog Cinta dan saya tambah lagi 30 naskah Travelog Dakwah bagi dihadiahkan kepada guru-guru sekolah.

Wang RM3000 itu masih ada yang berbaki.

Begitulah bagi mereka yang berwang. Sekali pandang, amal-jariah, sedekah, zakat dan amal ibadat lain lebih mudah dilakukan. Namun hakikat sebenar, berwang atau tidak, kerja-kerja menghampiri Allah masih boleh dilakukan dalam pelbagai kapasiti.

Saya fikir, tugas saya menguruskan pembelian buku tersebut, membawa ke Melor, bercakap dengan sedikit ilmu yang ada, dan tersenyum kepada hadirin boleh dilakukan tanpa modal besar.

“Ya Allah, kau berkati dan rahmatilah mereka yang berbelanja ke jalanMu. Tambahkanlah rezeki mereka. Ampunilah dosa-dosa mereka dan Kau kayakan mereka dengan ilmuMu ya Allah”.

Kami mohon keampunanMu.

Aib

Monday, May 24th, 2010
Pertemuan antara padang pasir dan laut

Pertemuan antara padang pasir dan laut

Akhirnya, ada khalayak yang berdepan dan mengemukakan soalan yang ramai ingin bertanya tetapi tersimpan di lubuk hati mereka.

“Prof, bolehkah prof menceritakan aib sendiri terutamanya dalam konteks tidak melakukan perkara asas dalam Islam, tidak tahu mengaji dan sebagainya?,” satu soalan yang sangat jujur.

Saya menjawab soalan beliau dengan mengemukakan satu pertanyaan balik,

“Sejak bila saya membuka aib sendiri?” atau saya tukar soalan, “sejak bila you tahu yang saya tidak pandai baca Quran?”.

Saya tahu beliau tidak mampu untuk memberi jawapan segera kepada soalan pertama. Mungkin beliau langsung tidak dapat mengagak atau membuat telahan.

“Biar saya jawab soalan tersebut. Saya bercerita tentang kisah lampau saya setelah saya khatam Quran. Saya menceritakan apa yang telah berlaku setelah saya sedia mengubah diri sendiri. Adakah itu aib atau satu kejayaan?. Namun itu bukan isunya…”

Saya sambung lagi,

“Siapakah yang mampu bercerita bagaimana perasaan seorang manusia yang buta al-Quran jika beliau tidak mengalaminya sendiri? Siapakah yang boleh menceritakan bagaimana perasaan dan pengalaman belajar al-Quran ketika usia menghampiri 40 tahun?”

“Adakah saya kelihatan membangga-banggakan diri dengan kejahilan saya ketika bercerita? Tidak, sama sekali tidak. Saya bercerita dalam keadaan insaf, tersangat insaf dengan kasih-sayang Allah yang mengeluarkan saya dari suasana yang saya tidak fikir dapat melakukannya tanpa pertolonganNya”.

Saya kisahkan bagaimana Saiyidna Omar Al-Kattab sentiasa menitiskan airmata apabila bercerita dan mengenangi kisah beliau sebelum menerima cahaya kebenaran. Akhirnya saya berkata,

“Hanya Allah sahaja yang tahu niat saya menulis dan berceramah berdasarkan kisah-kisah lampau yang telah saya lalui. Bagi mereka yang berfikiran selapis, tidak mahu menggunakan mata hati, maka yang kelihatan sesuatu yang nampak di permukaan air yang luas tanpa mampu membuat selaman bagi menyaksikan begitu banyak yang tersirat di dasarnya!”

Dan saya bersyukur kerana beliau sanggup bertanya secara berhadapan. Mudah-mudahan Allah menerima apa yang kita lakukan sebagai satu amal yang bermanfaat.

Saya mohon keampunan Allah.

Pulang

Monday, May 24th, 2010
Unta Qatar

Unta Qatar

Alhamdulillah, kami selamat pulang ke Ar-Raudhah di sekitar 1.00 pagi. Tiada lagi unta dan padang pasir. Namun tiga malam dan empat hari di sana benar-benar menjadi kenangan berharga. Terima kasih buat semua.

Sujud

Sunday, May 23rd, 2010
Solat boleh di mana-mana

Solat boleh di mana-mana

Kami meninggalkan padang pasir sebelum waktu solat maghrib. Saya fikir mahu jamak Maghrib dan Isya.

Dalam perjalanan, azan berkumandang melalui radio kereta Ibrahim. “Kita berhenti solat di sini?,” tanya dan usul beliau. Saya fikir kami perlu mencari masjid. Ah… tipikal orang Malaysia!

“OK Ibrahim, kita solat di sini,” Zaim membuat keputusan.

Lalu kami berjemaah di tepi jalan, berhampiran padang pasir dengan diimami oleh Ibrahim. Di bonet kereta sentiasa tersedia sajadah untuk dijadikan lapik solat.

Aduhai…. saya rasa nikmat sujud dalam suasana yang berbeza. Maha Suci Allah yang menjadikai bumi tempat manusia bersujud kepadaNya, pagi dan petang, malam dan siang!

Ya Allah, Kau ampunilah kami ya Allah!