Archive for June, 2010

Guru Quran

Sunday, June 27th, 2010
Bersama Hafizi, En. Khairul ketua SSM dan staf SSM

Bersama Hafizi, En. Khairul ketua SSM dan staf SSM

Ketika tengah bersemangat bercakap muncul seseorang yang sangat signifikan dalam hidup saya. Hafizi, guru Quran yang mengajar saya bermula dari Alif, ba, ta….. Walaupun masih berhubung, inilah kali pertama saya bersua muka dengan Hafizi dalam tempoh 3 tahun yang ke belakang.

Empat-lima tahun berlalu daripada tarikh pertama saya mula belajar Al-Quran di Kondo Kemuncak. Beliau membiarkan saya membaca tanpa memberi penekanan kepada soal tadjwid. Baca-baca-baca supaya saya mengenal huruf.

Kemudian, sedikit demi sedikit beliau membetulkan bacaan. Kitab moden yang dipenuhi dengan warna-warna tadjwid sangat membantu. Ia naskah besar berharga RM280.00.

Saya yang berusia 40 tahun belajar dengan anak muda yang baru melepasi angka 20 tahun. Ia satu pengalaman manis yang pasti terpahat selagi badan dikandung badan.

Saya sangat gembira kerana dapat bersalam dan berbual-bual dengan beliau. Mudah-mudahan Allah memberi rahmat dan kasih-sayangNya kepada penghafal quran yang masih muda ini.

Roza melayani staf Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Roza melayani staf Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Pembantu rumah

Friday, June 25th, 2010

1993, kami mempunyai pembantu rumah yang pertama. Pah berasal dari Kalimantan. Pada ketika itu kami bertugas di Sarawak. Beliau menitiskan air mata apabila berpisah dengan kami sekeluarga. Kami juga begitu.

Beliau tidak pandai memasak, beliau tidak pandai mengemas rumah tetapi beliau mempunyai hati yang tulus. Bila Roza mengajar ikan masak masam-manis, maka seminggulah kami merasai masakan tersebut. Bila diajar daging masak kicap, maka itulah masakan pada hari-hari berikutnya. Akhirnya, beliau pandai memasak beberapa jenis masakan dan kuih-muih.

Kami ketawa + geram bila melihat beliau menyimpan sayur di tempat pembeku. Melompat apabila membuka pili air dan bermain-main dengan suis lampu ketika pertama kali beliau tahu itulah punca cahaya. Kami tidak kisah apabila beliau masih mahu membasuh kereta ketika hari hujan, “air percuma pak!”

Akhirnya beliau pandai memasak kerana hatinya yang tulus. akhirnya beliau bekerja bak lipas kudung. Malamnya mengajar Sara dan Azrai mengenal huruf Al-Quran.

Pada ketika itu pembantu rumah di Sarawak menerima bayaran di sekitar RM80.00. Saya tidak sampai hati. Kami bayar seumpama di Semenanjung, RM200. “Lumayan Pak,” beliau memberitahu saya. Saya gembira melihat beliau gembira. Ia bukan soal pekerja dengan majikan tetapi atas rasa kasih-sayang antara dua manusia.

Saya terkenangkan beliau ketika melihat “pembantu rumah” kami bekerja. Beliau bekerja dua kali seminggu, setiap hari selasa dan jumaat. Upahnya RM40 setiap hari selama tiga jam sehari. Bermakna, sebulan jika kami tidak ke mana-mana, beliau akan memperolehi RM320.

Bila tiba di rumah, beliau mula bekerja. Tidak berhenti-henti sehinggalah sampai waktunya beliau mahu pulang. Hampir setiap sudut rumah dibersihkan. Saya dan Roza tidak pernah komplen dengan apa yang dilakukannya. Kami berpuas hati!

Ramai orang bertanya, kenapa tidak ambil pembantu tetap? Saya serik. Selain Pah dan Omih, kesemua pembantu kami bermasalah. Mereka bukan datang untuk bekerja. Apatah lagi anak-anak sudah besar-besar belaka. Mereka pandai membasuh dan menggosok baju sendiri. Amirul pun sudah boleh menggoreng Chips jika terpaksa. Mungkin jika saya mahu menulis, kisah pembantu rumah boleh menjadi satu buku yang laris.

Kenapa? Ramai rakyat Malaysia yang akan ketawa dengan kisah sedih mereka apabila menyebut pembantu rumah!

Saya doakan Pah – walaupun di mana beliau berada – sentisasa dilindungi Allah.

100 THMSI edisi kemas kini

Thursday, June 24th, 2010

Alhamdullillah, kesemua 100 naskah yang saya tempah telah diambil oleh pembaca KRTS. Mereka yang telah membuat tempahan kesemuanya telah di pos laju kecuali mereka yang e-mel pada hari ini. InsyaAllah pagi besok [25hb] akan saya uruskan. Tidak banyak yang tinggal, hanya tiga-empat tempahan sahaja.

Hujung minggu ini – jumaat malam dan siang sabtu – saya dan Roza akan berada di Kota Bharu. Hotel semua penuh. Saya mohon jasa baik penganjur untuk booking hotel yang berhampiran dengan masjid. Akhirnya, saya akan menginap berhampiran dengan sebuah masjid bernama Masjid Paya Rambai.

Di mana ya?

Pagi sabtu, saya akan menyampaikan pengalaman menunaikan fardhu haji di bawah tajuk, Mengubah Sempadan Iman. Kemudian, topik “Travelog Motivasi: Kehidupan selepas Kematian”. Kedua-dua syarahan ini akan berlangsung di pejabat SSM [Suruhanjaya Sekuriti Malaysia] Kelantan.

Tidak mahukah penganjur membuka dewan mereka kepada orang ramai?

Minggu depan – saya fikir – sangat menarik. Kami akan menghantar Sara ke Shah Alam. Beliau akan menghuni Kondo Kemuncak. Dalam perjalanan, saya akan berhenti bercakap di sebuah sekolah di seksyen 27 Shah Alam. Kemudian, kami akan meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang menghantar Azrai. Kami akan tidur di rumah tamu Sekolah Menengah Sains [SMS], Kepala Batas.

Pagi sabtu, 9-10.30, saya akan menyampaikan pandangan kepada guru-guru SMS dalam konteks mengharungi kehidupan sebagai seorang pendidik. Barangkali, mudah-mudahan dapatlah saya berehat sejam-dua sebelum menyampaikan syarahan “Travelog Motivasi: Kehidupan selepas Kematian” di An-Naudhoh. Program ini dibuka kepada orang ramai. ia bermula pada jam 2.30 petang.

Di sebelah malam saya akan berjumpa dengan para pelajar SMS di masjid mereka. InsyaAllah, Allah akan mengekalkan sisa-sisa tenaga hujung minggu tersebut kepada mereka bagi menyampai sedikit ilmu yang bermanfaat. Saya berdoa begitu.

Dan doa pembaca KRTS juga saya pohon, permudahkanlah perjalanan kami yang jauh dan panjang!

PhD ooh PhD

Thursday, June 24th, 2010
Tempahan melalui pos, ambil sendiri di Menara UiTM

Tempahan melalui pos, ambil sendiri di Menara UiTM

Dua hari saya di UiTM Shah Alam.

Pertama sebagai Chief-Editor kepada JoFRA, jurnal perakaunan yang diterbitkan oleh Emerald London. Kedua, menyaksi dan memberi semangat kepada supervisee PhD yang membentangkan kemajuan penyelidikan mereka.

Ada dua tradisi keilmuan yang sangat menarik telah saya lalui sepanjang lebih 20 tahun berada di universiti. Pertama, sepanjang tiga-empat tahun saya berada di luar negara – secara keseluruhannya – saya tidak pernah melihat para pelajar rasa tersinggung dengan komen-komen yang disampaikan bagi membetul, membantu dan memberi pandangan terhadap penyelidikan yang sedang mereka lalui.

Pandangan-pandangan disampaikan dengan menggunakan bahasa tinggi yang tertib, bersopan dan menggambarkan suasana yang sangat mesra. Pandangan menggambarkan yang mereka sedang dibantu.

Perasaan ini tentunya tidak dapat dibuat-buat. Ia datang secara semulajadi. Betapa kuat sekalipun mencuba, berharap dan memikirkan ia sebagai niat membina, nun jauh di sudut hati, akan terasa sesuatu yang tidak kena. Ia soal hati dan perasaan.

Saya senyum mendengar komen Roza selepas membentangkan penyelidikan beliau di Glasgow, Scotland. “Ya Allah yang, profesor di sini baik-baik belaka. Mereka memberi pandangan yang menyebabkan saya rasa apa yang sedang saya lakukan mereka hargai”

Dua perkara yang sama, disampaikan dengan nada berbeza akan memberi mesej yang sama tetapi akan berakhir dengan rasa hati yang berbeza.

Itulah seni komunikasi!

Kedua, saya dapat memerhatikan, mereka yang tidak menjalankan penyelidikan secara mendalam dalam sesuatu bidang akan cuba menunjukkan yang mereka lebih mengetahui dalam bidang tersebut. Pandangan secara luaran akan memberi kesan yang tidak benar terhadap nilai sebenar penyelidikan tersebut. Sering, pelajarlah yang menjadi mangsa dengan putaran nasihat yang akhirnya kembali sebagaimana cadangan asal.

Saya sendiri berasa malu untuk memberi pandangan secara aggresif terhadap bidang yang bukan menjadi tumpuan. Akhirnya, pandangan-pandangan haruslah disampaikan dengan penuh sopan-santun, berhati-hati dan dengan niat tidak mahu sesiapa pun terluka.

Ilmu tetap mengalir, malah ia lebih terkesan di hati!

Dalam konteks yang berbeza, saya sering mendengar pelajar PhD berkata, “inilah yang saya hujahkan 3 bulan yang lampau… Bukankah ini cadangan beliau?”. Saya memberi nasihat, “laluilah… ia sebagai satu pusingan PhD. Cuma, jangan ulang perkara yang sama kepada pelajar sendiri apabila menjadi supervisor”

Falsafah politik ekonomi ada menyatakan, “jangan lakukan sesuatu yang anda tidak suka orang lakukan kepada kita”. Saya berpegang kepada pandangan yang simple dan mudah ini. Malah saya pergi lebih jauh sedikit dengan berpesan kepada anak-anak buah, “kejayaan milik Allah. Tunduklah, tunduklah, tunduklah kepadaNya. InsyaAllah, jadilah kita manusia yang sentiasa bersyukur dan tahu menghormati mereka yang lain”.

Saya mohon keampunan Allah.

Tahniah untuk PTS

Wednesday, June 23rd, 2010
Prof Abdullah merenung cek royalti

Prof Abdullah merenung cek royalti

Penerima tandatangan penulis yang pertama untuk edisi baru Travelog haji: Mengubah Sempadan Iman

Penerima tandatangan penulis yang pertama untuk edisi baru Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Sudah lama PTS berpindah pejabat, gudang dan showroom. Hanya semalam saya berkesempatan memasuki ruang pejabat mereka.

Ia sangat cantik, kondusif dan tidak lagi bersesak-sesak sebagaimana pejabat lama. Saya tumpang berbangga dengan kejayaan yang telah mereka capai.

Kenapa?

Syarikat yang bermula dengan jualan RM25000, akhirnya mempunyai bangunan sendiri yang kaki perseginya cukup luas dan jualan mencecah hampir 30 juta setahun. Ia kejayaan luar biasa bagi sebuah syarikat Bumiputera yang tidak bergantung secara langsung dengan kontrak kerajaan.

Peluang kerja bertambah. Penulis pula terbela.

Itu yang saya rasa. Saya harap ia berkekalan buat selama mungkin.

Semalam, saya singgah untuk mengambil buku Travelog Haji, edisi terkini yang baru masuk stor. Terlanjur sampai, saya menjemput cek royalti 2009 yang menunggu masa untuk dipos.

Prof Abdullah [penasihat PTS] merenung jumlah yang dibayar oleh PTS kepada dua tajuk buku tulisan saya. “Wah… jauh lebih banyak daripada royalti saya”.

Saya tersenyum. Ia jumlah yang tidak pernah saya fikirkan.

Terima kasih buat semua warga PTS yang bekerja keras daripada menerbit, memasar dan membayar buku-buku yang boleh memandaikan bangsa.