Peluang hanya datang sekali.
Ramai yang berkata begitu. Dulu, 10 tahun yang lampau, saya dipanggil oleh pengurusan UiTM dan ditawarkan untuk menjawat jawatan pengarah UiTM di kawasan Utara. Saya menolak. Tidak, ia mungkin bukan hak saya pada ketika itu.
Tujuh tahun kemudian, saya dilantik sebagai pengarah UiTM Johor. Saya diberi peluang ke 2 untuk menjawat jawatan pengarah. Namun ia tetap peluang pertama dalam konteks lokasi jawatan.
Hampir seluruh pelajar MRSM [kumpulan 76-80] berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya gagal atas beberapa sebab yang kini menjadi sejarah.
Enam tahun kemudian [1986] saya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke UK bagi menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di bawah skim tenaga pengajar muda. Saya menolak kerana ingin kekal belajar di UiTM.
Peluang ke 2 ke luar negara yang saya tolak.
Tujuh tahun kemudian [1993], saya melanjutkan pelajaran di Scotland bersama keluarga. Peluang ketiga yang saya rebut namun ia tetap peluang pertama dalam konteks belajar bersama keluarga.
Selama hampir 40 tahun saya tidak mengenal huruf al-Quran. Kekurangan tersebut menyebabkan saya tidak cinta al-quran, tidak membaca terjemahan dan langsung tidak pernah membuka tafsir. Allah memberi peluang ke 2 untuk saya belajar dalam ketika saya fikir akan menemuiNya tanpa pernah khatam al-Quran.
Kini saya boleh membaca al-Quran, kenal huruf dan boleh pula membaca jawi.
Benarkah peluang hanya datang sekali? Pintu taubat sentiasa terbuka. Bagaimanapun, jika semalam kita tidak bertaubat, sekejap tadi kita dipanggil pulang, maka hari ini kita langsung tidak berpeluang untuk bertaubat!
Kita masih mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu meskipun ia tidak 100% sama dengan peluang yang kita perolehi semalam.
Misalnya, kita masih berpeluang untuk solat berjemaah, berpuasa sunat isnin & khamis, bangun malam dan membaca al-quran. Peluang ini datangnya berkali-kali. Kita juga menolaknya berkali-kali.
Tentu sekali ramai yang memperolehi peluang ke dua. Kadangkala ia bersifat terlalu peribadi. Namun segalanya adalah anugerah Allah yang tidak terperi nikmatnya. Ia memberi peluang untuk kita melakukan sesuatu dalam perspektif yang diredhai Allah.
Jika tidak, ia peluang yang sia-sia.
Akhirnya, peluang itu berakhir!