Beberapa minggu yang lepas, rakan sejawat menjemput kami ke majlis perkahwinan ayahanda beliau. Khabarnya, kedua mempelai diraikan dalam majlis yang meriah.
“Buat teman di hujung usia,” justifikasi perkahwinan mereka yang berusia lebih 60 tahun.
Pada segmen yang lain, terdapat mereka yang sudah beristeri, kahwin lagi pada 1/3 hujung masa yang tersisa. Jawapan mudah, jodoh pertemuan di tangan Tuhan, ia satu takdir.
Semalam, sepetang saya bersama Tuan Haji Omar menguruskan penubuhan PERKIM Segamat di Johor Bharu. Dalam perjalanan pulang, saya bertanya,
“Haji, bertahun berdakwah, apakah cabaran yang paling besar?”
“Wanita,” jawapan ringkas tetapi penuh makna.
“Bagaimana?”
“Ramai wanita yang menghubungi saya asalnya bertanya tentang hukum. Kemudian menceritakan masalah peribadi dan akhirnya hendak bertemu. Ada yang sengaja mahu tumpang kereta…”
“Haji bagi… tumpang kereta”
“Tidak, ia boleh menimbulkan fitnah”
“Haji tidak mahu kahwin lagi?,” saya bertanya soalan lain.
“Sehingga ke hari ini, saya masih belum terfikir. Prof?”
Saya tidak menjawab soalan tersebut tetapi memulakannya dengan satu kenyataan. “Kita tidak boleh sombong soal kahwin lagi. Ada kenalan saya yang anti poligami, akhirnya berkahwin lagi. Ada yang kita nampak tidak sepatutnya kahwin dua, berkahwin. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi”
“Beginilah haji, saya sangat-sangat menghargai apa yang isteri saya telah lakukan kepada saya. Banyak pengorbanan beliau untuk saya dan keluarga. Saya tidak mahu memulakan hidup baru. Apa yang lalui sekarang, terutamanya dalam aspek menghampirkan diri dengan Allah kami lalui bersama. Ia bukan soal sehari dua tetapi bertahun…”
Banyak lagi yang kami perbincangkan. Soal kahwin dua sentiasa menarik perhatian lelaki.
Malah mereka yang nyata tidak mampu juga sangat berminat!
Kahwin lagi.
Mereka mahu berkahwin lagi setelah bercerai kali pertama dengan talak tiga. Usia mereka sudah melebihi 60 tahun.
Apa yang boleh dilakukan? Wujudkah istilah cina buta? Atau adakah penyelesaian lain. Saya belajar sesuatu…



