Kutipan derma untuk anak yatim anjuran PERKIM Segamat di sekitar Kg. Jawa Segamat ditutup. Tiga hari notis menyatakan tujuan kutipan ini telah berjaya menghasilkan RM6750, satu jumlah yang besar.
Kesemuanya akan disalurkan kepada 33 [nota: tambahan dua orang] anak yatim yang sedang menuntut di Sekolah Agama Kg Jawa. Tidak ada satu sen pun digunakan untuk mengadakan majlis, yuran kutipan derma atau-atau apa seumpamanya.
Besok – di sebelah petang – 11 pelajar Roza akan menemani mereka membeli kasut raya. Bajet tidak melebihi RM50.00. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih kasut yang berkenan di hati.
Terdapat 5-6 sukarelawan yang akan membawa mereka ke kedai menggunakan kereta masing-masing. Sudah tentu JMH5815 di antara MPV yang terpilih. Mengikut pengalaman yang lepas, ia satu saat yang sangat menyeronokkan melihat keletah anak-anak ini memilih kasut masing-masing.
Kami juga telah membuat tempahan buku PTS bernilai RM10.00/seorang selepas diskaun untuk dihadiahkan kepada mereka sebagai bacaan pada hari raya.
“Puan Khalilah, saya mahu diskaun penulis untuk anak-anak Yatim Segamat. Atas nama saya. Saya bayar cash!”
Jumlahnya tidaklah besar hanya RM289.80.
Pada 1hb September, para pelajar ini akan dikumpulkan di sekolah bagi mendengar ceramah motivasi + tazkirah Ramadhan yang akan disampaikan oleh saya.
Selepas tazkirah, Tuan Haji Omar, YDP PERKIM akan menyampaikan wang saku sebanyak RM100++/seorang.
Subhanallah, para pengunjung KRTS telah memudahkan urusan kami. Kami berdoa agar amal yang sedikit ini dipandang Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya.
Sengaja berkongsi kegembiraan, mereka yang menyumbang bukan sahaja berada di Malaysia tetapi terdapat para pelajar kita yang sedang menuntut di Australia dan UK.
Sekali lagi, budi baik semua kami kenang sepanjang masa.