Archive for August, 2010

Tukang tilik dan nujum

Friday, August 27th, 2010

Ceramah sempena Nuzul al-Quran di masjid As-Syakirin di sampaikan oleh Prof Madya Dr Nik Rosdi, pensyarah Pusat Pemikiran Islam, UiTM.

Kata beliau, “apabila al-quran diturunkan, kesemua tukang tilik dan tukang nujum adalah pembohong. Iblis dan syaitan sudah tidak boleh berulang-alik mencari rahsia di alam ghaib. Ada yang menilik tepat tetapi jika ada yang membenarkannya maka ia bukan daripada golongan nabi Muhammad [selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat]”

Fikir-fikirkan bila menuduh orang lakukan itu dan ini kerana bomoh itu berkata begitu…

Semoga di pandang Allah: RM6750

Thursday, August 26th, 2010

Kutipan derma untuk anak yatim anjuran PERKIM Segamat di sekitar Kg. Jawa Segamat ditutup. Tiga hari notis menyatakan tujuan kutipan ini telah berjaya menghasilkan RM6750, satu jumlah yang besar.

Kesemuanya akan disalurkan kepada 33 [nota: tambahan dua orang] anak yatim yang sedang menuntut di Sekolah Agama Kg Jawa. Tidak ada satu sen pun digunakan untuk mengadakan majlis, yuran kutipan derma atau-atau apa seumpamanya.

Besok – di sebelah petang – 11 pelajar Roza akan menemani mereka membeli kasut raya. Bajet tidak melebihi RM50.00. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih kasut yang berkenan di hati.

Terdapat 5-6 sukarelawan yang akan membawa mereka ke kedai menggunakan kereta masing-masing. Sudah tentu JMH5815 di antara MPV yang terpilih. Mengikut pengalaman yang lepas, ia satu saat yang sangat menyeronokkan melihat keletah anak-anak ini memilih kasut masing-masing.

Kami juga telah membuat tempahan buku PTS bernilai RM10.00/seorang selepas diskaun untuk dihadiahkan kepada mereka sebagai bacaan pada hari raya.

“Puan Khalilah, saya mahu diskaun penulis untuk anak-anak Yatim Segamat. Atas nama saya. Saya bayar cash!”

Jumlahnya tidaklah besar hanya RM289.80.

Pada 1hb September, para pelajar ini akan dikumpulkan di sekolah bagi mendengar ceramah motivasi + tazkirah Ramadhan yang akan disampaikan oleh saya.

Selepas tazkirah, Tuan Haji Omar, YDP PERKIM akan menyampaikan wang saku sebanyak RM100++/seorang.

Subhanallah, para pengunjung KRTS telah memudahkan urusan kami. Kami berdoa agar amal yang sedikit ini dipandang Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya.

Sengaja berkongsi kegembiraan, mereka yang menyumbang bukan sahaja berada di Malaysia tetapi terdapat para pelajar kita yang sedang menuntut di Australia dan UK.

Sekali lagi, budi baik semua kami kenang sepanjang masa.

Beban

Thursday, August 26th, 2010

Semalam, UiTM Johor dikunjungi ramai tetamu daripada luar. Mereka dilantik sebagai panel pertandingan inovasi peringkat UiTM Johor. Lebih 50 penyertaan diterima.

Rata-rata mereka yang menyertai pertandingan adalah pensyarah, pentadbir dan pelajar yang bertanding buat julung kali.

Di antara panel, pengurus Bank Islam Segamat. Sementara menunggu untuk ke booth pertandingan, saya mempelawa beliau ke bilik. Turut serta dua panel lain terdiri daripada universiti yang berdekatan.

Customer service Bank Islam di tempat saya teruk…,” tanpa berselindung pensyarah tersebut memberi komen.

“Kenapa?”

“Langsung tidak mesra pelanggan. Muka masam. Pakai tudung labuh tetapi langsung tidak mahu melayan pelanggan. Mereka menunjukkan seolah-olah kita kena merayu untuk mendapatkan khidmat mereka”

“Ia soal sikap individu, bukan bank Islam secara keseluruhan,” saya memberi pendapat.

Malah, saya fikir bekerja dengan jenama Islam merupakan satu beban tambahan jika tidak diurus dengan betul. Dari sudut yang berbeza, ia boleh memberi manfaat yang besar kepada staf yang inginkan peningkatan dalam kehidupan seharian. Mungkin suasana di tempat kerja lebih islamik [nota: agak saya...] berbanding syarikat-syarikat yang tidak diterajui oleh orang Islam.

Begitulah, seorang ustaz juga akan diberi layanan pandangan berbeza berbanding dengan kumpulan yang lain. Mereka yang berjubah dan berserban, bertudung labuh atau syarikat yang syariah-compliance akan diteropong dengan cara yang berbeza.

Malah seorang guru atau pensyarah akan dinilai dengan cara yang berbeza berbanding golongan lain. Dan seterusnya….

Dan begitulah, akhirnya di mana kita berada atau apa yang kita lakukan, niat untuk melakukan perubahan diri bergantung kepada individu.

Kita manusia biasa terdedah kepada pembetulan sepanjang masa tidak kira imej apa yang kita bawa.

Bahagian keselamatan

Wednesday, August 25th, 2010

Semalam saya dijemput untuk berbuka puasa bersama bahagian Keselamatan UiTM. Ini tahun ketiga mereka membuat jemputan tetapi inilah pertama kali saya berpeluang untuk turut serta.

Dua bulan Ramadhan saya tidak dapat bersama mereka kerana menghadiri tugas rasmi di Shah Alam. Tahun ini Allah memberikan kelapangan masa yang tidak diperolehi pada tahun-tahun sebelumnya.

Semasa memberi tazkirah sebelum berbuka, saya nyatakan,

“Masjid kampus kita tidak boleh dibiarkan tanpa soal berjemaah walau sewaktu sekali pun. Musim raya adalah musim penuh cabaran. Imam, bilal dan ramai yang lain pulang bercuti.

Tuan-tuanlah yang masih tinggal di dalam kampus. Sudah dua tahun kita berjaya melaksanakan solat berjemaah dengan tuan-tuan menjadi peneraju.

Tuan-tuan kena teruskan. Bukan kerana pengarah tetapi kerana tanggungjawab kita yang telah diamanahkan oleh Allah”

Barangkali saya hanya mengingatkan. Merekalah yang akan melaksanakannya ketika hampir 6000 yang lain meninggalkan kampus UiTM Johor.

Hadiah

Tuesday, August 24th, 2010
Al-Quran 15 dalam 1

Al-Quran 15 dalam 1

Semalam, saya menerima hadiah yang sangat bermakna.

Naskah ini sangat-sangat memudahkan saya membuat rujukan, memahami dan membacanya.

Ia sangat istimewa.