Angin @ gastrik diakibatkan oleh kuman, pemakanan atau tekanan. Itulah yang dimaklumkan oleh doktor yang saya kunjungi semalam. Beliau membuat ujian kuman di dalam perut. Aras ketepatan ujian tersebut – dikatakan – 90 peratus. Negatif.
Maka tinggal lagi dua kemungkinan. Saya ceritakan kepada beliau yang ia sering berlaku bila saya berpuasa. Namun ia hanya pada masa-masa tertentu sahaja. Kebiasaannya di antara jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja. Kemudian ia kembali normal.
Cuma semalam ia agak berbeza. Selepas subuh, angin di dalam perut meronta-ronta, menolak naik ke atas sehingga menyusahkan pernafasan. Ia berterusan.
“OK, ubat ini pantas menghilangkan angin tersebut. Ambil sebelum makan dan saya bagi MC. Rehat secukupnya”.
Saya masih mahu berpuasa tetapi saya rehat secukupnya. Saya tidur seharian dan hanya bangkit ketika waktu solat untuk ke masjid. Terlintas di hati, “Perlukah saya menggunakan MC ini untuk tidak ke masjid?”
Alahai… ia lintasan hati “main-main”.
Namun MC pernah digunakan untuk tidak mahu melakukan ibadat melontar ketika menunaikan fardhu haji. Melontar boleh diwakilkan kepada orang lain dengan syarat uzur yang dibenarkan. Ia peraturan uzur yang amat ketat. Terdapat kes di mana seorang yang segar-bugar mengadu demam, kesejukan dan berselimut tebal di dalam khemah beberapa jam sebelum melakukan ibadat ini.
“Sesiapa yang tidak sihat, mintalah pandangan doktor terlebih dahulu. Jika boleh lakukan sendiri,” itulah nasihat petugas Tabung Haji.
Akhirnya beliau berjaya memperolehi MC. Dengan wajah ceria beliau berkata, “kita tidak main lontar-lontar ni…. kita ada anak lelaki”
Ketika menghantar seorang tua yang sangat uzur berjumpa doktor, beliau menyatakan,
“Saya serba salah. Ramai mendesak untuk saya mengeluarkan MC. Sebenarnya MC atau tidak hanya kita yang tahu keadaan sebenar. Kenapa kita perlukan MC? Ia untuk menyedapkan hati…”
Di khemah petugas kesihatan ternyata sibuk melayani mereka yang silih berganti datang meminta pandangan tentang tahap kesihatan mereka.
Pada masa lampau, ibadat melontar ini dilihat sebagai salah satu cabaran utama jemaah haji. Orang bersesak-sesak dan tidak mempedulikan orang lain. Ramai yang bersikap aggresif. Kini, saya fikir ia lebih dipermudahkan dengan ruang melontar bertingkat dan kawasan yang lebih besar.
Namun ruang dan laluan merupakan milik Allah. Berdoalah kepadanya agar kita dipermudahkan.
Tiada Ilmu, Tiada Cinta

Program Tiada Ilmu, Tiada Cinta, hampir 100% wanita

11 jejaka tampan minus seorang yang sudah mempunyai anak
Di sebelah malam, saya, Ustaz Zainuddin dan Cik Rabiatul Adawiah [moderator] berbicara tentang cinta. 98% dewan kuliah dipenuhi dengan siswi. Barangkali ia bukan topik untuk lelaki macho! Emmm…. Lelaki sebenarnya sudah lama berkurang di UiTM. Kelas saya, 100% siswi.
Salah satu ungkapan yang saya sebut, “Biar kita mengawal cinta, jangan cinta menguasai kita”. Akhirnya, cinta hakiki hanyalah cinta pada Allah. Soalnya, bagaimana mahu bercinta denganNya?
Saya petik doa yang diucapkan oleh Zulaikha, “Ya Allah Kini Aku Tidak Lagi berharta, Miskin Dan Hina, Tua Dan Tidak Lagi cantik.. Sekarang Kau Uji Pula Aku Dengan Rasa Cinta Pada Yusuf A.S. Maka Kau Temukanlah Aku Dengannya Ya Allah. Jika Tidak Kau Ambillah Perasaan Cinta Ini Dari Qalbuku”
Dua jam kami berbicara. Ia masa yang singkat.