Archive for September, 2010

Peperiksaan

Monday, September 27th, 2010

UPSR selesai. PMR, SPM dan STPM pula akan muncul. Di universiti, peperiksaan akhir semester akan bermula dalam sebulan dua lagi.

Terbilang ayah, terbilang anak selalunya dirujuk bagi persediaan anak-anak supaya mendapat keputusan maksimum 5A, 9A, 10A atau 4 prinsipal A. Saya sendiri mahu anak-anak saya mencapai kejayaan A yang maksimum. Bagaimanapun, apa pun hasil akhirnya, saya sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi oleh anak-anak.

Banyak atau sedikit A ia langsung tidak memalukan saya.

Dua tahun yang lepas, saya dengan rasa bersyukur bercerita tentang kejayaan Sara mendapat 3A dalam SPM. Seorang pembaca menulis, “anak profesor hanya dapat 3A?”

Kelulusan tersebut mencukupi untuk Sara layak mengikuti kursus yang sangat-sangat beliau minati, Grafik – Art and Design. Saya menyatakan dengan jelas, “Ayah tidak suka kursus ini tetapi kerana ia pilihan Sara, ayah benarkan dengan satu syarat. Solat jangan tinggal!”

Beliau mengikuti program diploma di UiTM Melaka. 1 1/2 tahun kemudian beliau berjaya diserap terus mengikuti Sarjana Muda di UiTM Shah Alam.

“Sara, ada kawan-kawan yang mendapat 6A, 7A semasa SPM yang masih kekal dalam program diploma?”

“Ada… ramai…”

“Sara tengok, inilah kebesaran Allah. Bagaimana Allah mengatur kehidupan kita. Ingat, dulu ada orang sinikal dengan ayah yang Sara anak profesor hanya dapat 3A. Paling penting dalam hidup kita ialah berusaha, bersyukur dengan apa yang kita perolehi dan jangan lupa Allah.

Solat jangan tinggal.

Mungkin kita tidak selalu dapat yang terbaik tetapi kita sentiasa berada dalam kelompak yang OK tanpa orang sedari. Ada orang dapat melompat masuk ke program sarjana muda, Sara dapat. Bila tamat pengajian, orang susah mencari pekerjaan, Sara boleh dapat pekerjaan.

Bagaimana boleh terjadi begitu? Itulah kebesaran Allah”

Apa pun keputusan UPSR Amirul, beliau sudah berjaya mendapat 5A di mata saya. Kenapa?

Sepanjang tempoh tiga hari peperiksaan, beliau dan kawan-kawannya dikumpulkan di surau sekolah. Mereka bermalam di sana. Hari ketiga, beliau meminta saya menjemputnya di sekolah.

“Amirul boleh jawab?”

“Mudah”

Saya memandang Roza dan Roza memandang saya sambil tersenyum. Begitulah anak-anak kami yang sentiasa berkeyakinan apabila ditanya dengan prestasi peperiksaan. Namun hasil akhirnya belum tentu lagi. Saya selalu katakan mereka terlebih motivasi.

“Senang? Kawan-kawan ayah semua kata susah. Bagaimana Amirul boleh senang?”

“Sebab Amirul bangun solat hajat. Amirul bangun pukul dua. Lepas tu Amirul tidur balik”

Saya dan Roza terkedu. Saya tidak menyangka inilah jawapan beliau.

“Cik gu kejutkan Amirul?”

“Tidak. Amirul bangun sendiri”

“OK…. Amirul hendak makan di mana? Ayah suka sangat… ayah belanja Amirul”

“Amirul puasa…”

Saya lebih sebak.

Bagaimana rasanya?

Sunday, September 26th, 2010

Kami selamat sampai di Segamat.

Subuh semalam, saya merancang untuk solat di Masjid Jamek, Kluang. GPS saya mengarah ke Masjid India yang paling hampir dengan Hotel Prime, agaknya bangunan yang paling tinggi di Kluang. InsyaAllah, satu hari nanti saya akan sampai ke masjid Jamek tersebut.

Di sebelah pagi nanti saya akan bercakap di hadapan ibu bapa SMK Buluh Kasap dengan tajuk Ibu bapa Terbilang, Anak Terbilang. Tidak, saya tidak akan mengajar mereka menjadi ibu bapa terbilang. Mungkin saya akan bercerita bagaimana rasanya perasaan seorang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD dan tiba-tiba tersedar yang ia bukan segalanya.

Terasa sesuatu yang terputus di antara sambungan kecemerlangan akademik tersebut. Barangkali saya sangat berautoriti untuk menceritakan bagaimana rasanya perasaan tersebut. Ia tiada dalam buku teks motivasi!

Namun saya masih berkira-kira dengan apa yang ingin saya sampaikan. Menukar suis daripada khalayak pelajar kepada khalayak ibu bapa nyata berbeza. Namun suis ini akan bertukar kembali kerana besoknya – di sebelah malam – saya akan membicarakan topik “Tiada ilmu, tiada cinta” di hadapan siswa-siswi UiTM Johor.

Ia topik yang sangat saya minati.

SMKA Kluang

Saturday, September 25th, 2010
Mereka di sebelah kiri saya

Mereka di sebelah kiri saya

Mereka yang duduk di sebelah kanan

Mereka yang duduk di sebelah kanan

Malam tadi malam yang ceria buat saya dan Roza.

Khalayak adalah pelajar Sekolah Menengah Agama. Bijak pandai agama. Lalu sebagai pembuka kata, saya bertanya,

“Solat apakah yang memerlukan kita membaca tahiyat sebanyak 4 kali?”

Seorang pelajar perempuan tampil ke pentas dan memberi jawapan. Tepat! Lalu saya hadiahkan buku Travelog Cinta Abadi. Hadiah kerana jawapan yang tepat dan atas keberanian serta-merta.

Kedua saya bertanya kepada pelajar lelaki,

“Siapa yang pandai membaca surah Alam Nasyrah @ Ash Sharh @ Al-Insyirah?”

Tiada siapa yang berani naik ke pentas. Seorang pelajar perempuan tampil dan saya hadiahkan buku Travelog Cinta Abadi.

“Ooooooooo…..”

Kemudian saya cerita intipati surah yang dibaca terutamanya dalam konteks kesusahan dan kemudahan yang telah dijanjikan oleh Allah. Kedua, saya menceritakan bagaimana Allah menyeru manusia supaya meminta apa sahaja kepadanya dan bukan kepada yang lain.

Malam tadi saya hanya bercerita dan mengaitkan dengan kisah-kisah kebesaran Allah. Sebenarnya, saya menganjurkan mereka bersolat malam, solat dhuha, berpuasa isnin dan khamis dan mengaitkan secara tidak langsung dengan kecemerlangan seorang pelajar.

Alahai…. mereka lebih mudah menghadamkan apa yang ingin saya sampaikan berbanding dengan saya ketika seusia mereka.

Majlis tamat tepat jam 11.05 malam.

Saya berdoa mereka akan berjaya dengan cemerlang dan akhirnya menjadi pelajar yang soleh dan solehah.

Dijamu dengan sup Kluang yang lazat

Dijamu dengan sup Kluang yang lazat

Gambar ehsan cikgu Zamzila

Gambar ehsan cikgu Zamzila

Komen ke lll

Saturday, September 25th, 2010

Roshanilawatey Jusoh
(Seorang Pendidik)

Saya membaca Travelog Cinta Abadi: Suatu Perjalanan [TCASP] setelah menghayati fasa awal kehidupan Roza melalui Travelog Cinta Abadi: Masa yang Berlalu. Kini – melalui TCASP – beliau berhadapan dengan cabaran dan konflik yang lebih besar dalam dunia sebenar kehidupan.

Roza bercerita dengan gaya mudah dan bersahaja. Ia seolah-olah seperti air sungai mengalir tenang, sesekali bergelombang apabila dihalang oleh batu-batu sungai. Ia kembali tenang, bergelora semula dan ia berselang-seli sehingga tidak langsung menyedari yang ia sudah sampai ke kuala sungai.

Dalam santai bercerita, Roza sentiasa menyelitkan unsur-unsur ketuhanan dan kemanusiaan yang sangat menyentuh jiwa. Malah mesej yang ingin disampaikan sangat sarat tersirat. Di sana-sini ada teguran spontan tetapi sinis berupa kritik sosial yang boleh dijadikan pengajaran kepada pembaca di semua peringkat umur.

Itulah kekuatan sebenar TCASP.

Perkaitan hubungan antara manusia dengan Tuhan dipaparkan secara berterusan dalam setiap penceritaannya. Ia cukup lembut dan bersahaja. Setiap kejadian dikaitkan dengan keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah, serta rasa cinta dan kasih sayang Allah kepada hamba-NYA. Ia menyebabkan saya dan khalayak pembaca terpesan untuk sentiasa mensyukuri rahmat dan nikmat Allah SWT. Roza sebenarnya berdakwah secara halus!

Kali ini Roza mengakhiri catatannya penuh simbolik,

“Pulanglah.. belajarlah berenang. Awak tidak akan ke mana-mana jika tidak mengerakkan kaki, tangan dan menggunakan kepala…”

Semoga manifestasi daripada ‘pesanan’ di atas, dapat kita ‘temui’ dalam travelog seterusnya. Tahniah buat Roza.

Kluang

Friday, September 24th, 2010
Mudah-mudahan saya dapat bersolat di sini

Mudah-mudahan saya dapat bersolat di sini

InsyaAllah, malam ini merupakan kunjungan sebenar yang pertama ke daerah Kluang. Ia bagi memenuhi undangan Ustazah Atiqah bagi menyampaikan syarahan kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kluang. Saya dijangka bermalam di sana dan akan berlepas pulang ke Segamat selepas solat subuh.

Seingat saya, saya pernah singgah sekejap di daerah ini ketika dalam perjalanan menuju ke satu daerah lain. Kami singgah untuk minum kopi di stesyen keretapi Kluang di bawa oleh pemandu UiTM. Dikatakan di sinilah bermulanya kopitiam yang tersohor di Malaysia. Saya minum kopi tetapi bukanlah pencinta sebenar kopi. Jadi, sukar untuk saya membuat ulasan apakah benar ia kopi yang istimewa.

Setiap kali saya mengadakan program umum di UiTM Johor, Ustazah Atiqah akan membawa pelajar-pelajarnya bersama untuk turut serta. Ketika saya menyampaikan syarahan “Pelajar Cemerlang” di sini, beliau membawa dua bas penuh pelajar-pelajar. Malah ketika syarahan “Motivasi Haji” dan pelancaran “Travelog Cinta Abadi”, saya fikir Ustazah Atiqah turut serta memberi sokongan.

Ia hubungan yang terzahir secara semulajadi.

Hakikat sebenar, saya mempunyai hubungan seumpama ini yang sangat ramai. Mungkin, ia dalam konteks yang berbeza terutamanya apabila tiba musim haji. Ramai yang berhubung bersama dengan tanda kemesraan dan kasih sayang yang tidak dibuat-buat. Mereka melahirkan kegembiraan kerana menerima panggilan untuk melaksanakan panggilan haji. Kata mereka, “ada ruang untuk mengingati prof sekadar melahirkan kegembiraan”.

Hubungan seumpama ini sangat istimewa. “Doakan saya agar menjadi manusia yang lebih baik. Tidak riyak, tidak takbur dan diberi tenaga untuk meneruskan kerja-kerja ini…, saya doakan puan (tuan) dan keluarga mendapat haji mabrur”.

Saya berdoa agar saya dipermudahkan – pergi dan balik – semasa berkunjung ke kawasan Ustazah Atiqah. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat!