Saya pelajar aliran sains di MRSM KB. Selepas SRP bersamaan dengan PMR, kami diberi pilihan samada ingin mengambil pelajaran sejarah atau geografi untuk SPM dan kekal belajar dalam aliran sains. Saya memilih sejarah bersama beberapa orang pelajar yang lain. Ia jumlah yang sedikit berbanding 148 pelajar keseluruhan. Desas-desus menyatakan kami akan dipindahkan ke MRSM Seremban kerana kekurangan calun.
Akhirnya jumlah kami mencukupi. Cukup-cukup untuk kelas yang tersangat kecil. Seingat saya tidak sampai pun 20 orang dan terselit di antaranya 3 pelajar perempuan. Maksud saya, tidak ramai yang meminati pelajaran sejarah.
Kenapa saya memilih sejarah?
Pandangan saya pada ketika itu ia merupakan prasyarat untuk memenuhi cita-cita kerjaya. Saya mahu menjadi seorang ahli politik, menteri dan akhir sekali dilantik sebagai Perdana Menteri. Dalam perjalanan tersebut, saya terlibat sebagai pemimpin pelajar misalnya sebagai Kapten Asrama, Jawatan Kuasa Perwakilan Pelajar dan menyertai pertandingan debat.
Saya minat berpidato. Kemuncaknya, saya berjaya menjadi pemidato terbaik seluruh MRSM dan kerap berjaya dalam pertandingan-pertandingan yang disertai.
Dulu – 1978 – saya ikut serta berarak secara suka-suka semasa demostrasi di Kota Bharu. Saya tidaklah memahami sangat isu-isu yang dikemukakan tetapi hanya bergembira dalam hiruk-pikuk tersebut.
Buku-buku politik telah saya baca semenjak di tingkatan dua. Berpuluh-puluh. Ia minat secara semulajadi.
Bagaimanapun, minat ini terhenti secara mendadak semasa menuntut di UiTM. Saya menolak untuk bertanding dalam pilihanraya kampus walaupun dipujuk berkali-kali. Saya lebih cenderung untuk memimpin persatuan-persatuan yang tidak menjadikan masyarakat kampus berkumpulan.
Saya gembira apabila dilantik sebagai Presiden Persatuan Perakaunan. Malah apabila berada di Luar Negara, saya bersedia untuk dilantik sebagai Presiden Persatuan Pelajar North Wales. Pada ketika para pelajar di sana “mengena” saya dengan berpakat-pakat membuat perlantikan sebagai presiden, saya sudah bersedia dengan ucapan penangguhan sambil menggariskan beberapa perkara yang akan saya laksanakan.
Kita merencana tetapi yang terbaik hanyalah di sisi Allah. Semalam saya membaca dua naskah buku yang telah dihadiahkan oleh Aqrab Tilawah Besatri bertajuk Syarh Al-Idhah Fi Manasik Al-Hajji Wa Al-Umrah dan Rahsia Haji yang dihadiahkan oleh saudara Dzul, pengerusi surau Ar-Raihan, Sek 3, Kajang.
Saya terbaca, setiap daripada kita adalah pemimpin hatta mereka yang menunaikan fardhu haji – bila pulang – perlu menjadi pemimpin kepada masyarakat, organisasi atau sekurang-kurangnya kepada kaum keluarga. Mengenangkan soal ini, saya tahu arah perjalanan kehidupan saya berada dalam parameter yang telah ditentukanNya.
Sejarah lampau melalui pengajian sejarah banyak membantu saya dalam membuat keputusan kehidupan.
