
Inilah buku PTS yang paling laris. Dalam tempoh 4 bulan sudah 20000 naskah terjual. Malah buku-buku resepi Chef Hanieliza telah terjual lebih 300 ribu naskah.
Tahniah.

Inilah buku PTS yang paling laris. Dalam tempoh 4 bulan sudah 20000 naskah terjual. Malah buku-buku resepi Chef Hanieliza telah terjual lebih 300 ribu naskah.
Tahniah.
Rumah kami akan menerima saudara-mara daripada Terengganu yang akan meraikan majlis “menyambut menantu” Abah dan Mak. Mak Saudara di sebelah mak saya juga akan tiba bersama anaknya. Itulah gambaran bagaimana perhubungan di antara keluarga saya dengan keluarga Roza hasil daripada perkahwinan kami.
Ia benar-benar menghubungkan dua keluarga, satu di Terengganu dan satu lagi di Johor.
Malah hubungan adik-beradik saya dengan mak dan abah Roza serta adik-beradik yang lain sangat erat. Saya fikir jalinan hubungan seumpama inilah yang menyebabkan mereka sanggup mengharungi perjalanan lebih 500 KM untuk hadik ke majlis seumpama ini.
Salah satu faktor besar kenapa ikatan ini agak berbeza adalah kerana sikap abah yang sangat peramah dan mahu mengenali keluarga di sebelah saya. Jika berkunjung ke Besut, beliau mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan menziarahi bapa dan mak saudara di sebelah saya.
Abah memberi contoh yang menyentuh hati kami adik-beradik. Teladan inilah yang mahu kami ikuti.
Rumah kami akan penuh sesak. Saya bertanya kepada adik,
“Mahu abang sewakan rumah tamu UiTM. Bila sampai waktu tidur, mana-mana yang mahu selesa bolehlah beredar ke sana…”
Ia pertanyaan yang dijawab dengan nada tegas, “mak-mak saudara mahu tidur rumah abang, cukup tu… tidur sekejap sahaja”
Besut ke Segamat. Ia perjalanan jauh. Saya menanti ketibaan mereka.
KATA PENGANTAR
Mohd. Zaim Awang Pon
Bidang Pengajian: Kejuruteraan
Senior Petroleum Engineer
Maersk Oil Qatar
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membaca manuskrip Travelog Haji, 50 Tips Motivasi (TH50TM) dan seterusnya menulis sedikit kata-kata pengantar. Ia satu penghargaan dan penghormatan yang sangat-sangat saya hargai.
Hasilnya, mata dan hati menekuni membaca dan cuba menghadami 50 tips yang diutarakan oleh penulis secepat mungkin. Alasannya mudah, bacaan yang dilakukan tidak membosankan. Saya fikir ia boleh menarik minat mereka yang akan menunaikan fardhu haji dalam masa yang terdekat. Malah – saya menjangkakan – mereka yang pertama kali ke Tanah Suci akan membawa bersama buku ini sebagai pembakar semangat.
Alhamdulillah – gambaran pertama – buku ini nyata mudah untuk difahami dan mampu pula memberi gambaran tentang isu yang – saya fikir – tidak diberi penekanan semasa membincangkan soal melaksanakan ibadat haji. Jika ada sekalipun, ia dirungkai dengan menggunakan penekatan berbeza.
InsyaAllah, khalayak pembaca akan terpaku sehingga penghujung nokhtah jika mereka berlapang dada, mahu mencari sesuatu yang bermanfaat dan seterusnya mahu menimba ilmu sama ada yang tersurat ataupun tersirat.
Rasulullah ada menyatakan, “setiap amal bergantung kepada niat,” sebagaimana yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim. Begitulah juga dengan ibadah haji. Saya berpendapat, perkara utama yang membezakan haji mabrur berbanding haji yang hanya cukup syarat ialah soal niat.
Namun niat yang tidak disusuli amal bukanlah niat yang bersungguh-sungguh. Mereka yang benar-benar mahukan haji mabrur akan mencuba sedaya mungkin dengan mengharapkan keredaan Allah SWT dan syurganya.
Dalam konteks manusia yang lemah, niat yang asalnya kelihatan tersangat tulus dan murni berubah-ubah apabila tercabar dengan godaan dan bisikan yang mendorong manusia ke arah kejahatan. Niat bukanlah sekadar kata-kata yang terucap. Ia tidak langsung membawa sebarang makna jika ia tidak bermula dari hati yang satu kepada Dia yang maha berkuasa.
Melalui pembacaan manuskrip ini, saya dapat merasai betapa penulis-penulis ini bersungguh-sungguh di dalam menyampaikan tips-tips yang mahu dikongsi bersama masyarakat. Tips-tips ini pula meliputi pelbagai aspek seperti persediaan ilmu, akidah, akhlak, pengurusan masa dan sebagainya.
Bukankah ibadat haji – sepatutnya – membentuk manusia menjadi insan yang lebih menyeluruh sifatnya. Lalu melalui tips-tips yang dilakarkan melalui coretan pengalaman ini dengan gaya penulisan santai seolah-olah membawa pembaca ke pelbagai senario sewaktu mengerjakan haji. Ia mencakupi banyak perkara.
Hampir dalam setiap topik pembaca disajikan dengan tips yang mungkin boleh diikuti dan dijadikan amalan. Pada sisi yang berbeza, tips-tips ini juga boleh dijadikan iktibar, sebagai sempadan yang mahu ditinggalkan.
Saya yakin – insyaAllah – bakal jemaah haji akan mendapati tips-tips yang dikongsi bersama oleh Prof Muhd Kamil dan Puan Roza sangat-sangat membantu secara langsung atau tidak langsung dalam usaha besar bagi mendapatkan haji mabrur.
Saya berharap dan berdoa dengan menghayati tips-tips ini juga pembaca dapat melihat bahwa ibadah haji ini bukan semata-mata ibadah individu, sebaliknya Allah juga menilai kualiti ibadah haji manusia terhadapnya melalui hubungan sesama manusia.
Walaupun buku ini ditulis khusus buat bakal jemaah, membaca buku ini sebagai seorang yang pernah mengerjakan haji mengingatkan saya tentang matlamat usaha melakukan yang terbaik.
Ia menjadikan saya berfikir dengan apa yang telah saya lalui semasa menunaikan fardhu haji di samping mendalami apakah yang mahu saya laksanakan bagi menghadapi sisa-sisa kehidupan.
Ya benar – secara umumnya – ibadah haji tamat dengan tawaf wida’. Persoalannya, apakah motivasi dan inspirasi tersebut mesti terhenti setelah kembali ke tanahair?
Pelbagai tips yang dikongsi dalam pelbagai aspek bukan sekadar untuk menyelesakan diri. Paling utama, kesemuanya dilakukan dalam konteks semata-mata kerana Allah. Inilah kekuatan dan keunikan buku ini.
Akhir sekali, “latihan haji” yang berjaya dalam konteks yang disebutkan mudah-mudahan membawa pembaca kepada reformasi diri sewaktu dan selepas mengerjakan ibadah haji itu sendiri.
Ia satu harapan yang dapat dilaksanakan bagi diri saya sendiri. Semoga Allah memberi kekuatan kepada Prof dan isteri untuk terus memberi sumbangan yang bernilai dan memberi mereka ganjaran yang tidak putus-putus.
Amin.

Roza bersedia untuk di make-up

Travelog Cinta Abadi di TV1

Sara dan Azrai bersama Ramlee Awg Murshid
Saya menemani Roza ke Angkasapuri. Namun saya berkenalan dengan Ramlee Awg Murshid, penulis terkenal Alaf 21. Buku-buku beliau laku keras di pasaran terbuka.
“Darjah tiga, saya masih tidak boleh membaca. Ayah saya menangis apabila saya berjaya memperolehi ijazah”
Beliaulah yang menerbitkan Lambaian Kaabah yang akan disiarkan melalui TV 1 pada malam besok, 26hb jam 9 malam.
“Prof, mari saya tunjukkan sedutan siri Lambaian Kaabah” Barangkali saya sudah melepasi tahap ingin menonton wajah sendiri di kaca TV Namun saya sebak dengan hasil akhir beliau. Beliau kreatif.
“Prof, 10 tahun buku-buku saya tidak laku. Saya melalui zaman merayu dan meminta simpati untuk hasil karya saya diterbitkan. Alaf 21 yang memberi peluang kepada saya. Saya merayu kepada Allah, kemudian saya membayar zakat dan saya percaya janji Allah itu sentiasa benar. Rumah saya di beli hasil royalti. Kereta juga begitu”
Kami meninggalkan Angkasapuri di sekitar 9.30 pagi. Di atas segalanya, debaran Roza berakhir. Kami sekeluarga bersyukur kerana Allah telah mempermudahkan.
Hampir kesemua yang mahu dilakukan buat pertama kali pastinya sangat-sangat mendebarkan.
Itulah yang sedang dihadapi oleh Roza sejak dua minggu yang lalu. Semakin hampir dengan tarikh 25hb November, 2010 maka debaran itu semakin kencang. Temujanji SPM TV1 pada jam 8.15 pagi nyata memberi kesan emosi luar biasa.
.
“Awakkan pensyarah,” saya cuba memberi semangat.
“Ia tidak sama muncul di TV. Live lagi”
Benar, pengalaman lampau menyebabkan saya bersetuju dengan perasaan Roza. Beberapa kali menjadi tamu SPM, MHI atau berbicara dengan ASTRO membuktikan yang kita perlu pantas berfikir, sentiasa berjaga-jaga dan perlu mempunyai strategi yang betul apabila mengadap kamera. Ia semakin benar jika ia siaran langsung.
“5, 4, 3, 2, 1…..”
Ia tidak boleh “mula, cut dan mula” kembali. Temubual secara live membawa karektor seseorang ke skrin TV. Ia dipertontonkan di seluruh negara. Lalu dalam diam-diam persediaan harus dilakukan secara bersungguh-sungguh. Jangan terlampau yakin dengan bakat sendiri kerana sedikit kesilapan tidak dapat diperbetulkan.
Maka akhirnya, solatlah di malam hari mohon padanya agar dipermudahkan. Apa pun, pengalaman pertama kali akan tetap menjadi ingatan yang kekal abadi.
Lambaian Kaabah
Besoknya 26-11-10, RTM 1 akan menyiarkan rakaman yang telah dilakukan di Ar-Raudhah, Kg Jawa dua minggu yang lalu. Siarannya jam 9.00 malam selepas Berita Perdana dan ia merupakan siri terakhir untuk musim haji kali ini. Siri kali ini bertajuk, “Ya Allah Ampunilah daku….” terbitan Ramlee Awang Murshid, penulis thriller fantasi terlaris di Malaysia.
Bulan depan saya dijangka akan memasuki studio bagi membuat rakaman album baru. Waahh… istilah seumpama penyanyi. Rakaman VCD dan CD ini akan dibuat sehabis baik agar ia dapat membawa imej baru di dalam usaha-usaha menyampaikan mesej yang mahu disampaikan kepada khalayak.
Niat saya satu, jika saya tiada sekali pun suara-suara dakwah ini akan terus kekal selamanya.