Archive for December, 2010

Rakan sejawat

Sunday, December 26th, 2010

Secara teknikal, rakan sejawat adalah ahli keluarga.

Dalam kebanyakan kes, sebahagian daripada tempoh kehidupan akan bersama rakan sejawat. Suka atau tidak, rakan sejawat akan bersama sekurang-kurangnya beberapa jam sehari, 5-6 hari seminggu dan kadang-kala ia menjadi satu rutin yang perlu dihadapi.

Mungkin juga bagi organisasi besar, rakan sejawat sukar bertentang mata tetapi kesan kewujudannya akan tetap terasa sekurang-kurangnya pada ketika-ketika tertentu sehingga memberi kesan emosi yang besar.

Ada rakan sejawat menjadi sahabat keluarga yang baik. Ada rakan sejawat yang menikam belakang tanpa belas kesihan. Terdapat rakan sejawat yang pandai menutup aib rakan sejawat yang lain. Ada pula yang sentiasa membukanya tanpa rasa bersalah.

Terdapat rakan sejawat yang mengucapkan “tahniah” kerana dinaikkan pangkat. Ada pula yang mencebik dan mengata sehingga tergamak menabur fitnah.

Ada rakan sejawat yang “manis mulutnya, masam xxxxxnya”. Ada rakan sejawat yang baik kerana “ada udang di sebalik batu”, namun ada yang tulus turun ke hati.

Di sebelah mana kita, itulah sebahagian daripada ukuran keimanan seorang manusia. Salah satu kaedah untuk mengukur sama ada kita hampir dengan Allah SWT ialah dengan menilai bagaimana caranya kita berperasaan atau melayani rakan sejawat. Saya terbaca satu hadis yang sangat menarik dilaporkan oleh Al-Baihaqi, 

“Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkan ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu”

Ia adalah luahan hati Rasululullah kepada sahabatnya Abu Bakar yang boleh dijadikan kesimpulan persahabatan yang diredhai oleh Allah SWT.

Masjid Jamek Port Dickson

Saturday, December 25th, 2010
Maal Hijrah di Masjid Jamek Port Dickson

Maal Hijrah di Masjid Jamek Port Dickson

 

Sebahagian lagi khalayak pendengar di Masjid Jamek Port Dickson

Sebahagian lagi khalayak pendengar di Masjid Jamek Port Dickson

 

Saya meninggalkan masjid 10 minit sebelum 12.00 malam. Alhamdulillah, JK masjid sudah menempah bilik di hotel Seri Malaysia untuk kami bermalam. Jika tidak, saya bercadang untuk terus pulang ke Segamat. Perjalanan 1 jam 40 minit tidaklah terlalu sukar. Saya akan memandu 30  minit yang pertama, kemudian Roza selama 40 minit dan akan diambil alih semula bagi perjalanan Tangkak – Segamat selama 30 minit.

Penutup ceramah untuk tahun 2010 – insyaAllah – akan berlangsung di Masjid Aminah Abdullah di SS 2/6, Petaling Jaya. Ia malam tahun baru masihi. Mudah-mudahan ia menjadi pemula yang baik untuk melangkah ke tahun 2011.

Semalam adalah malam yang menjadi kenangan manis buat saya dan Roza. Masjid dipenuhi oleh khalayak. Mengikut Nazir masjid, mereka sudah berniat untuk mempelawa saya berceramah sejak setahun yang lepas. Namun tidak pernah kesampaian. Begitulah, saya telah melihat bagaimana aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ada yang mencuba-cuba membuat panggilan, mencadangkan tarikh dan ia terus terlaksana. Ada yang berkali-kali bertanya tetapi hampir dua tahun ia tidak menjadi kenyataan. Mungkin batasan utama adalah sempadan negeri. Negeri yang paling mudah membuat jemputan adalah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang kerana ia masih berada di dalam jangkauan pulang pada hari yang sama.

Setahun berlalu, saya masih bersemangat untuk terus bersyarah. Doakan saya agar terus diberi kekuatan, kemudahan, kesihatan dan tidak pula takbur, riyak, sombong dan angkuh.

Selamat Pengantin Baru

Saturday, December 25th, 2010
Bersama pengantin dan kedua ibu bapa Mazlida

Bersama pengantin dan kedua ibu bapa Mazlida

Tahniah buat Mazlida dan Zul, dua rakan sejawat yang telah diijab kabul petang semalam di Taman Pinggiran Golf Seremban. Jurucakap keluarga mengumumkan, “selamat datang kepada tetamu kehormat kita, Prof Dr Muhd Kamil dan isteri”.

Sebenarnya saya malu. Kami hanya ingin meraikan Mazlida dan Zul yang selalu kena usik di pejabat. Tidak lebih daripada itu. Apatah lagi di sebelah malam saya berceramah di masjid Jamek Seremban. Lalu saya menyertai hubungan pengantin lelaki yang sedang berkumpul di Masjid Paroi Jaya.

“Ramai orang menunggu Prof,” Mazlida memberitahu saya.

Pembaca setia Kehidupan Ringkas tapi Signifikan

Pembaca setia Kehidupan Ringkas tapi Signifikan

Mereka adalah pembaca buku Travelog Haji

Mereka adalah pembaca buku Travelog Haji

Namun saya sangat tertarik dengan hadiah-hadiah yang diterima oleh Zul sebagai hantaran balas penganting perempuan. Wah… kasut sport ADIDAS design PORCHE. Laptop comel. Cermin mata hitam. Ia hantaran zaman ini.

Ia pilihan yang tepat dan menarik

Ia pilihan yang tepat dan menarik

Apa pun, “selamat pengantin baru, kami doakan agar kekal bahagia sampai ke FIRDAUS. Buat Zul, jagalah Mazlyda baik-baik. Beliau seorang yang sentiasa tersenyum, jangan pula hilang senyum ria apabila bergelar seorang isteri”.

Tazkirah penutup

Friday, December 24th, 2010

Alhamdulillah, tazkirah mingguan di UiTM Segamat menutup tirai untuk 2010. Minggu hadapan, minggu terakhir 2010 kami akan menguruskan pendaftaran dan menghantar anak-anak kembali ke kampus.

Pagi ini saya membuka kembali buku panduan solat untuk lelaki yang digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah rendah.

Pertama, saya membaca makna doa iftitah. Di antara maknanya,

Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam

Kami saling ingat-mengingati betapa inilah janji kita setiap kali kita bersolat. Kita memohon bimbingan Allah agar kita tidak sekali-kali melakukan syirik.

Sesekali, kita perlu kembali mengetahui apa sebenarnya makna yang telah kita ucapkan sebanyak lima kali sehari. Tazkirah seumpama ini kelihatan kecil tetapi boleh memberi makna yang signifikan.

Kedua, saya membaca terjemahan Al-Fatihah. Merenung kembali doa yang kita mohon kepadaNya setiap kali solat. Kemudian mengingati kembali dengan realiti kehidupan sendiri.

Dan ketiga, saya menyebut,

“Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki”

Solat itu tempat kita berdoa. Seharusnya kita memahami apa yang kita minta daripadaNya. Jika tidak, jika Allah kurniakan apa yang kita pohon, kitarannya akan terhenti setakat itu.

Tiada ucapan bersyukur di atas anugerahnya!

Jumpa lagi 2011 dan saya mohon maaf buat khalayak yang setia bersama saya hampir setiap minggu dalam tempoh beberapa bulan yang lepas.

Hani dan CT

Thursday, December 23rd, 2010
Supervisee baru

Supervisee baru. Kenapa mereka ketawa? Barangkali lega selepas memahami apa yang ditunjukkan kepada mereka. Mudah-mudahan begitu.

Inilah Hani (kiri) dan Siti Hajar (kanan).

Mereka merupakan supervisee baru saya yang akan menjalankan penyelidikan untuk menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Perakaunan. Mereka tambahan kepada Fatimah yang dijangka akan menamat pengajian pada pertengahan tahun ini. Maksud saya, ketika ini saya mempunyai Jun, Radziah, Arun, Azwan, Shatari, Shima dan Halim di peringkat PhD dan tiga di peringkat sarjana.

Hani akan mengkaji Fair Value Accounting, manakala Hajar akan melihat Intelectual Capital.

Hari ini, sepagi mereka bersama saya di UiTM Segamat. Saya mengajar asas menggunakan sofware Microfit bagi membuat analisis data-data yang sudah siap dikutip. Tentu sekali saya sangat beruntung kerana mempunyai pelajar yang rajin, pandai dan cepat belajar.

Di antaranya saya selitkan sedikit nasihat., “belajar sepenuh masa di peringkat pasca-siswazah memberi lebih peluang untuk kita mengenal Allah. Saya syorkan supaya kita solat malam. Kalau terjaga, ambil wudhu dan solat dua rakaat. Berdoalah padaNya agar dipermudahkan penyelidikan dan penulisan kita”.

Hani bertanya saya, “Prof, ada tesis biasa-biasa tetapi dapat A tetapi yang nampak hebat tidak dapat A, kenapa?”

Saya tersenyum dan memberi jawapan yang terlintas di hati. “Ia atas pemeriksa, cara kita semasa VIVA dan itulah tanda kekuasaan Allah. Kita berusaha dan berdoa agar Allah melembutkan hati pemeriksa. Berdoa supaya dipermudahkan. Siapa yang memilih pemeriksa? Ada pemeriksa yang ”berkira”, ada yang tidak”.

Saya tidak sempat bercerita yang ada bekas supervisee menangis kerana dapat B+ di atas tesis yang sangat baik. Saya pujuk beliau dan meyakinkan beliau yang itu hanyalah pandangan seorang pemeriksa. “Nanti kita buktikan yang tesis you akan diterima di peringkat antarabangsa”.

Akhirnya, tulisan tersebut diterima oleh salah satu jurnal di peringkat antarabangsa dan dipetik oleh tulisan-tulisan lain.

Namun ada juga pelajar saya yang mendapat A tetapi merajuk dan pernah bertanya, “kenapa prof tidak pernah menyuruh saya menulis artikel ini untuk dihantar kepada jurnal….”

Saya hanya mendiamkan diri tetapi beberapa tahun kemudian beliau berkata, “saya sudah tahu kenapa….”

Hakikat sebenar, di dalam apa jua yang kita lakukan mesti dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Dia boleh menganugerahkan “kemudahan”, “kesenangan” dan “ketenangan” dan Dia juga boleh menguji kita dengan “cabaran”, “dugaan” dan sedikit “kesukaran”. Di sebalik cabaran dan kesukaran tersebut pasti ada kemudahan. Itulah janjiNya.

Saya doakan mereka berjaya dengan cemerlang.