Bila pencen

Mungkin ada di antara kita yang menyebut, “bila pencen, saya akan melakukan…..”. Kita menjangkakan usia kita akan sepanjang itu. Maka kita tangguhkan beberapa perkara yang ingin kita lakukan sehingga saat itu tiba.

“Bila pencen, aku akan tumpukan untuk beramal ibadat,” begitulah hati berkata-kata. Akal membuat perancangan. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana pada ketika ini kita dibebani dengan pelbagai perkara yang lebih penting di sisi kehidupan. Kita mahu naik pangkat, rumah pun masih menyewa, anak-anak tengah membesar dan kebun pun belum bertanam.

Sempadan “bila pencen” seolah-olah sempadan keramat. Semalam, arwah Ikram meninggalkan kita ketika sempadan tersebut masih terasa jauh. 10 tahun lagi. Adik saya – arwah Haniza – meninggalkan kami ketika usianya 35 tahun. Arwah Zaki – sahabat karib – meninggal ketika usia 40 tahun dan….. ramai lagi yang hampir di sisi masing-masing pergi dalam diam.

Tentu sekali kita mengharapkan akan sampai sempadan pencen tetapi yang akan menentukan ajal maut hanya Allah SWT. Ia jelas lagi nyata sebagaimana dikhabarkan oleh surah Al-Munafiqun melalui ayat 11 dan 12,

Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

 “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Sampaikah kita dengan “masa pencen” tersebut? Dan jika sampai, berapa lama lagi masa yang tinggal? Berpadankah dengan tugas dan tanggungjawab hakiki yang telah diamanah Allah kepada manusia dan jin.

InsyaAllah, topik inilah yang akan disampaikan pada tazkirah mingguan pada pagi ini.

9 Responses to “Bila pencen”

  1. Hafiez says:

    Subhanallah… Tazkirah yang baik di pagi Jumaat. Terima kasih Prof

  2. mumumimi says:

    Salam Sejahtera Prof,

    Bila saya baca perkataan ‘jin’ terus terlintas pertanyaan “Dalam kehidupan jin ada pencenkah?” Ceteknya pengetahuan saya mengenai kehidupan di alam jin.
    Saya rasa ‘pencen’ dan juga ‘cuti’ tidak ujud dalam kamus mereka yang sentiasa menjalankan aktiviti amar maaruf nahi mungkar….semoga kita dapat beri sumbangan dalam perkara ini ikut kemampuan masing-masing.

  3. mumtazah says:

    Subhnallah. Syukran di atas peringatan ini

  4. Salam Prof,

    saya setuju dengan entri Prof.

    begitulah ‘perancangan’ hampir semua [terutamanya saya].

    alhamdulillah, syukur kerana saya diberikan peluang dan ruang ini.

    terima kasih Allah.

    Wassalam.

  5. Rashidah says:

    Salam Prof

    Hanya Allah yang maha mengetahui bila Dia akan menghulurkan jemputan untuk tinggal di tempat yang kekal abadi, samada sampai umur ‘pencen’ atau tidak. Pagi ini saya menerima 4 berita di mana keluarga terdekat kepada rakan/sanak saudara telah kembali menemuiNya. Al-Fatihah.

  6. Al Fateh says:

    Begitulah sangkaan manusia menganggap bahawa masa pencen adalah masa yang sesuai dan lapang untuk memulakan amal ibadat atau dgn kata lain serius beramal ibadat. Itupun kalau sempat ataupun diberikan kesihatan yang baik.

  7. ika says:

    prof..saya ada copy sket..nak kongsi ngan kawan2…boleh ya prof? tq

  8. kawan lama says:

    Salam , prof betul tu….. jadi kita kena ingat 5 perkara sebelum 5 perkara tu, …… belum tentu kita ni sempat pencen @ tidak…. bila dah pencen pula kesihatan tidak mengizinkan….. so, sementara masa masih bersisa, sempurnakan dengan sebaiknya…..

  9. SifuPTS says:

    Konsep “pencen” ini ciptaan manusia modern….

Leave a Reply