Setiap saat yang berlalu menjadi masa lampau. Banyak perkara masa lampau dijadikan sempadan sebagai panduan untuk masa depan. Misalnya di universiti, seorang ketua akan memilih pentadbir akademik bergantung kepada sikap dan rekod perkhidmatan staf terdahulu. Tidak banyak sedikit.
Ada juga yang mengambil risiko dengan memilih mereka yang kelihatan buruk dan tidak layak dengan harapan mereka akan berubah.
Saya sendiri pernah melantik pentadbir akademik kerana beliaulah yang paling suka mengkritik, mencari salah dan paling banyak bercakap. Malah tingkah laku beliau yang negatif diketahui umum. Hinggakan ada yang berpesan dengan saya agar berhati-hati dengan beliau.
Pada satu hari saya mengajak beliau berkereta bersama saya ke satu kawasan “rekaan”. Bila keadaan tenang saya berkata,
“Ketika saya menerima jawatan ini, ramai yang berpesan kepada saya agar berhati-hati dengan awak. Mereka berkata awaklah yang menjadi perosak kepada fakulti. Duri dalam daging. Kaki fitnah. Banyak cakap dan tidak tahu buat kerja. Suka mengkritik. Semua kerja orang tidak betul.
Saya tidak percaya. Saya tahu itu adalah satu fitnah untuk merosakkan awak. Mahukah awak buktikan kepada rakan sefakulti yang awak tidak begitu? Mahukah awak jika saya lantik awak sebagai……”
Beliau memberi jawapan ringkas, “jika Dr percayakan saya, saya sanggup menerima jawatan tersebut”.
Saya memberi peluang untuk beliau bekerja hampir setahun. Benar, beliau tidak berupaya untuk melaksanakan apa yang diamanahkan. Beliau tidak kreatif. Saya perlu memberi arahan. Mengajar bagaimana mahu melakukan kerja daripada perkara yang kecil sehinggalah sebesar-besar perkara.
Akhirnya, saya membuat keputusan yang lebih sukar dengan menamatkan jawatan beliau. Namun beliau menjadi sahabat saya, penyokong kuat dan tidak mengganggu tugas-tugas pentadbiran.
Dalam konteks yang berbeza, ramai di antara kita yang suka melihat kepada kisah lampau mereka yang lain. Kisah lampau itulah yang selalunya diungkit-ungkit sehingga sanggup melakukan penghinaan. Di dalam Islam kita mempunyai satu istilah untuk memadamkan kisah lampau negatif. Ia disebut “TAUBAT”.
Mereka yang bertaubat dengan taubat nasuha dan diterima Allah akan menjadi “sesuci bayi”. Tidak usahlah kita mengungkit-ungkit kisah lampau orang lain. Ia boleh dijadikan peringatan tetapi “diam-diam” sahaja. Berdoalah supaya kita berubah, mereka berubah dan cara terbaik ialah dengan memohon keampunan Allah “pagi dan petang”.
Ampunilah kami ya Allah!







