Archive for March, 2011

Kenangan dan bantuan

Saturday, March 26th, 2011

Kenangan

Seminggu yang berlalu

Inilah pengalaman pertama saya bercakap kepada khalayak ramai sebelum jenazah bergerak menuju ke masjid untuk disolatkan. Ia patah-patah perkataan ringkas tetapi memberi kesan yang mendalam kepada sipengucap.

 ”Maafkan abah jika ada salah-silapnya, halalkanlah hutang piutangnya atau khabarkan kepada kami untuk dijelaskan. Buat anak-anak, hanya tiga perkara yang ditinggalkan oleh abah, amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh dan solehah. Marilah kita bantu abah dengan menjadi anak yang soleh”

Gambar ini saya petik melalui blog Ustaz Nawawi. Rakaman yang menjadi kenangan.

Bantuan

Saya masih dalam rawatan.

Ada beberapa isu yang memberi kesan kepada pergerakan atau perjalanan seharian. Pertama, kelopak mata kanan yang masih belum dapat “tutup dan buka” dengan sempurna. Kesannya, mata kering dan cepat lesu. Lalu memandu jauh dan berseorangan bukanlah satu pilihan yang bijak.

Hari ini saya perlu ke JB kerana menyampaikan kuliah kepada pelajar pasca-siswazah, kumpulan ke 8 EMBA UiTM Johor. Pengajian dalam bentuk modular. Subjek yang saya ajar adalah Managerial Accounting. Ia akan berlangsung selama sebulan, setiap sabtu dan ahad. Ia perlu dilaksanakan mengikut jadual.

Jika tidak, ia boleh menyusahkan ramai orang!

Lalu saya tidak mahu berdiam diri di sebelah malam. Maka itulah dirancang “kuliah Isyak” sesuai dengan kehadiran saya di JB. Perancangan ini telah dilakukan semenjak 3 bulan yang lampau.

Saya fikir, ia boleh membantu mereka di kawasan JB yang mahu dan belum menunaikan fardhu haji. Apa yang ingin saya sampaikan berpandu kepada buku 50 Tips Motivasi Haji yang sudah masuk ke peringkat akhir penerbitan.

Kini, saya menghadapi sedikit ujian. Roza tidak boleh ikut serta. Saya mencari-cari mereka yang boleh menjadi “pemandu” untuk bergerak pada hujung minggu. Ia kelihatan sukar.

Akhirnya bantuan muncul jua. Terima kasih “Pak Nizam”, seorang pesara dan AJK PERKIM Segamat yang terus bersetuju untuk ikut saya ke JB apabila diminta pertolongan.

Alhamdulillah!

Orang masjid

Friday, March 25th, 2011

Orang masjid UiTM

Kita menyebut “orang masjid” kepada sekumpulan ahli masyarakat yang sentiasa mengunjungi rumah Allah. Klasifikasi ini memberikan gambaran yang tidak sesuai kepada kedudukan ahli masyarakat tentang peranan masjid.

Ia menggambarkan hanya sekelompok kecil sahaja yang melaksanakan solat berjemaah secara konsisten sehingga ia menjadi satu sub-kelompok kumpulan dalam masyarakat.

Tidak mengapa.

Malam tadi saya dikunjungi oleh orang masjid UiTM. Mereka terdiri daripada Imam, bilal, ustaz dan beberapa pegawai lain yang sentiasa berada di masjid UiTM hampir setiap waktu.

Saya pula sangat gembira menerima kunjungan tetamu. Selepas kami membaca ayat-ayat suci al-quran, berzikir dan berdoa, saya menerangkan kepada mereka tentang penyakit Bell’s Palsy yang sedang saya hadapi.

“Dalam keadaan biasa, orang tidak sedar yang wajah saya bermasalah. Tengok bila saya sebut OOOOOOOO….. ia tidak bulat sepenuhnya. Tidak mengapa, sebutan saya masih OK dan masih boleh bercakap dan solat di masjid. Ada orang lain yang tidak boleh bercakap dan terlantar di rumah”.

Inilah wajah dalam keadaan biasa.

Wajah biasa

Bila saya menyebut OOOOOOOOOOOOO………

OKU

Kini, saya sedang membuat terapi dengan menyebut A, E, I, O,O,O, U,U,U…. Dan selalu menyebut Rrrrraaaaaa….. rrrrraaaaaa…..

Malam tadi – selesai saya memberi tazkirah – mereka dijamu oleh “Junita dan Azlina” – adik saya – yang sudah dua malam bersama kami. Resepi keluarga, “jemput-jemput ikan” dan “Ketupat Sotong” yang sangat istimewa.

Saya? Saya sentuh juga setengah ekor sotong dan beberapa biji jemput-jemput yang menjadi kegemaran saya. Biasalah, bila sakit baru teringat untuk berjaga-jaga dengan makanan.

Jin, iblis dan syaitan

Tuan Guru Haji Omar berkunjung ke rumah saya pada malam sebelumnya. Beliau mengambil lada hitam ditumbuk halus dan dicampur dengan minyak masak.

Lalu beliau letakkan campuran lada hitam itu di antara jari kaki sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran. Di tekannya kaki tersebut. Saya tidak memberi reaksi luar biasa.

“Ini bukan gangguan jin, iblis atau syaitan. Dalam keadaan biasa, prof akan menjerit kesakitan,” beliau membuat kesimpulan.

Saya melawak, “haji tidak tekan kuat-kuat!”

Sukarnya…

Thursday, March 24th, 2011

Saya berbisik dengan jiran di sebelah kanan saya, “Pak cik sudah solat subuh? Sakit pun kena solat pak cik”.

Ia patah-patah perkataan yang sukar untuk saya nyatakan. Namun saya benar-benar berbisik. Bila isterinya pulang dari surau, beliau terus meminta untuk bertukar kain pelikat.

“Kain ini kotor…. saya mahu solat,” beliau memberitahu isteri.

“Pak cik solat di masjid tetapi bila di sini dia lupa,” mak cik memberitahu saya.

“Kita ingatkan dia mak cik,” saya memberi pandangan.

Saya membantu beliau menukar kain pelikat dan baju. Beliau solat di atas katil sambil duduk. Bacaannya kuat dan saya tahu beliau mampu menghabiskan solat tersebut dengan lengkap.

Akhirnya pak cik berdoa. Saya mengangkat tangan dan mengaminkan setiap patah doanya.

Mudah-mudahan mereka yang lain terfikir untuk turut sama bersolat. Namun ia tidak menjadi kenyataan. Agaknya mereka yang menunggu keletihan untuk memberi peringatan kepada yang dijaga.

Inilah ujian kepada yang sihat apabila menjaga mereka yang sakit. Mudah-mudahan ayat ini menjadi panduan kita semua, surah Al-Ankaboot ayat 2-3 bermaksud,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”

Dan Allah mengajar kita bagaimana mahu bersabar,

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Ia dari surah Al-Baqarah, ayat 45-46.

Mudah-mudahan kita dapat menjaga mereka yang sakit terutamanya ibu bapa kita dengan cara yang terbaik. Ia sukar tetapi perlu dilakukan!

Doa, blog dan Facebook

Wednesday, March 23rd, 2011

Disedarkan: Awak hanya boleh makan dua keping roti kosong dengan secawan teh tanpa gula. Beberapa jam di hospital dapat menyiapkan Deraf akhir 50 tips Motivasi Haji. PTS tidak bagi cuti!

“Yang, sudah 4.30 pagi,” suara Roza mengejutkan saya dari tidur yang sangat lena.

Saya ke bilik air, mengadap cermin dan terus melihat senyuman sendiri. Sudah senyum, saya gerak-gerakan bibir. Kemudian, saya angkat kening ke atas, ngangakan mulut seluasnya-luasnya. Rasa saya, 80 peratus muka saya kembali normal.

Kini saya menjalani rawatan di rumah, cuti seminggu dan perlu menghabiskan “Prednisolone 5mg” sekali sehari sebanyak 12 biji selepas makan. Warning: Ia perlu terus dimakan walaupun kemalangan, pembedahan, cirit-birit atau muntah.

Semalam, dalam perjalanan ke hospital, saya tidak henti-henti berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosa saya, mengucap dua kalimah syahadah dan berselawat berselang-seli dengan bacaan ayat-ayat al-Quran berdasarkan himpunan surah Al-Mathurat.

Di antaranya saya berpesan kepada Roza, “Yang, awak tahu username dan password blog saya kan? Maklumkan kepada pembaca saya dan rakan facebook keadaan saya. Sekurang-kurangnya mereka boleh berdoa kepada Allah SWT”.

Saya sangat yakin dengan doa. Kemudian, berusaha dan bertawakal. Malah dalam sudut yang lain, usaha dan bertawakal bermula dengan doa. Saya sangat yakin Allahlah yang menggerakkan segala-usaha yang telah dan akan kita lakukan. Maka untuk berusaha sekalipun ia bermula dengan doa agar Allah memberi kita jalan yang terbaik di sisinya.

Saya tiba di wad di sekitar jam 1.30 pagi. Memerhatikan keadaan, bertanya arah kiblat dan membetulkan diri di katil sambil berbincang-bincang dengan Roza tentang keperluan saya.

1.41, saya menulis di FB, memaklumkan kepada rakan FB yang saya telah di”wad”kan dan berharap ada yang akan berdoa memohon kepada Allah agar saya sembuh dan boleh terus beramal ibadat kepadaNya.

1.47, Lina Kadir menulis, “semoga prof cepat sembuh,” dan bermulalah doa-doa daripada mereka yang saya kenali dan tidak kenali. Setiap kali membaca doa-doa ini saya sentiasa menyatakan kepada Allah, “Ya Allah jika aku tidak cukup baik di sisi mu untuk engkau memakbulkan doa-doaku, kau makbulkanlah doa-doa mereka yang tulus ikhlas ini. Kau rahmatilah mereka ya Allah”.

Bayangkanlah, FB dan blog menjadi medan yang membawa kebaikan. Doa ditulis, hati melintas dan ia tanpa sempadan. Dalam tempoh 24 jam yang lepas, sekurang-kurangnya setiap 30 minit ada insan yang mendoakan agar saya cepat sembuh. Namun isi doa berbeza-beza misalnya,

Ya Allah, hamba-Mu memohon supaya kesihatan sahabat hamba ini segera pulih. Beliau adalah muslim yang baik. Sihatkanlah beliau segera, semoga beliau dapat meneruskan pengabdiannya kepada-Mu. Amin, ya Allah yang maha berkuasa menyembuhkan.

Dan ada juga yang berdoa seperti berikut,

 Semoga Prof cepat sembuh.. dipermudahkan segala urusan.. dilayan dan dirawat dengan baik oleh para jururawat serta doktor, Insya’Allah. Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada Pn Roza dan anak-anak serta seluruh keluarga, Prof Kamil, Amin

Dan ada yang berdoa dan memberi peringatan yang sangat benar,

semoga cepat sembuh prof..kadang2 masa ‘itu’ adalah masa yg lebih padat dengan amal ibadah…

Malah FB membawa mereka yang berdoa sejauh Austria, Perancis, Rusia, UK, Arab Saudi dan banyak tempat lagi. Dan doa-doa inilah yang saya fikir dimakbul Allah. Ada sahaja yang berdoa dalam tempoh tersebut.

Lalu saya sangat-sangat berterima kasih dan bersyukur kerana mempunyai sahabat alam maya yang ramai. Dan ketika melihat wajah di cermin, pemulihan segera yang sedang saya lalui ini adalah atas kemurahan dan kasih-sayang Allah semata-mata.

Terima kasih kepada semua!

Kuliah Maghrib

Semalam giliran saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Bukit Siput. Inilah terapi yang paling berkesan buat saya. Selepas “discharge” saya rehat secukupnya. Hampir dua jam saya tidur. Tidur “orang sakit”.

“Saya minta maaf, hari ini saya kurang sihat sedikit tetapi saya masih bersemangat untuk menyampaikan sedikit ilmu yang boleh kita manfaatkan. Saya mahu melepasi sedikit ujian yang telah Allah berikan kepada saya”.

Lalu saya bercakap dengan nada yang perlahan-lahan mengawal gerakan bibir dan air lior di sebelah kanan. Saya memberi kuliah berpandukan “apakah yang telah saya pelajari semasa bersedia menerima kematian Abah dan ketika saya sendiri menghadapi ujian kesihatan”.

Usai kuliah dan solat Isya, seorang jemaah mempelawa saya untuk dibawa berjumpa dengan Pak Mat yang biasa melakukan terapi muka bagi mereka yang menghadapi masalah seperti yang sedang saya alami.

Alhamdullillah ia sesi yang menarik. Di antaranya, itu juga penyebab Allah menggerakkan hati untuk terus memberi kuliah maghrib bagi ditemukan pula dengan jemaah yang mahu membantu.

Bell’s Palsy

Tuesday, March 22nd, 2011

Inilah penyakit yang diagak oleh doktor. Maklumat ini pula diperolehi dari laman web NIH, 

If you have Bell’s palsy, the muscles in your face become temporarily paralyzed. It usually affects just one side of the face. Symptoms appear suddenly – you can’t shut your eye and your mouth droops.

Symptoms are usually worst about 48 hours after they start. Scientists think that a viral infection makes the facial nerve swell or become inflamed. You are most likely to get Bell’s palsy if you are pregnant, diabetic or sick with a cold or flu.

Three in four patients improve without treatment. With or without treatment, most people begin to get better within 2 weeks and most recover completely within 3 to 6 months.

 NIH: National Institute of Neurological Disorders and Stroke