Saya masih menerima pertanyaan untuk mengadakan ceramah, kuliah atau syarahan. Terima kasih. Saya sangat teruja dan memang menjadi hasrat hati untuk memenuhi setiap undangan.
Namun ruang masa saya sangat terbatas. Jadual Sabtu dan Ahad sehingga awal puasa telah dipenuhi. Manakala hari-hari biasa akan saya perguna sepenuhnya untuk berada di dalam kampus bagi menyiapkan kerja-kerja sebelum bersara.
Di celah-celah masa tersebut, terdapat permohonan kementerian atau jabatan kerajaan untuk sesi bersama mereka yang merupakan undangan yang disalurkan melalui ketua jabatan.
Dalam tempoh dua bulan ini juga merupakan tempoh kritikal bagi urusan perpindahan. Urusan visa yang mengandungi beberapa urusan lain yang kelihatan mudah tetapi mengambil masa seperti medical check-up, terjemahan sijil-sijil ke dalam bahasa Arab, mengesahkan sijil-sijil di Kementerian Pengajian Tinggi, sijil Kelakuan Baik yang perlu diperolehi dari Wisma Putra dan beberapa perkara yang lain.
Kemudian, urusan anak-anak yang perlu diberhentikan pengajian di sekolah masing-masing. Kami mahu rekod penamatan pengajian mereka dalam keadaan sempurna agar memudahkan kami berurusan semula di kemudian hari.
Saya perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PERKIM Segamat. Di antara kami, jumlah hutang terkumpul melebihi RM1 juta. Mengurus soal ini sahaja memerlukan tumpuan yang jelas.
Apakah yang perlu dilakukan ke atas harta-harta seperti rumah dan kereta?
Sebuah rumah di Puncak Alam telah kami jual kepada seorang sahabat. Ia harga murah, “apa yang saya bayar, itulah yang saya jual”. Kereta Proton Exxora telah dibeli oleh adik sendiri dengan kaedah “sambung bayar”. Agaknya beliau akan mendapat sedikit keuntungan kerana bayaran muka yang tinggi.
Dua buah kereta lain, “Wira dan Kancil” masih di dalam pertimbangan.
Ar-Raudhah – InsyaAllah – akan dijadikan homestay. Seorang pengurus akan dilantik dengan pembahagian pendapatan 50-50. Jika ada yang mahu menyewa terus pun tidak mengapa.
Rumah di Kondo Kemuncak di bawah pengawasan Sara. Beliau perlu menjadi anak dewasa. Perlu cepat berdikari. Saya sudah mengajar beliau untuk service kereta, menguruskan bila bateri kereta rosak di tengah jalan dan membayar kesemua urusan selenggaraan kedua-dua rumah tersebut.
Begitulah, penghijrahan bukanlah seumpama membaca 1-2 dan 3. Namun ia menjadi mudah apabila seluruh jiwa dan perasaan mahu melakukannya semata-mata kerana Allah, InsyaAllah.
Itu yang tertulis. Banyak lagi yang perlu kami urusankan. Jadi, saya mohon maaf jika tidak dapat lagi memenuhi undangan dalam tempoh sebelum berangkat ke Madinah.





