Hari ini saya mengingati Ayah Wa. Beliau adalah bapa saudara yang paling tua di sebelah ayah. Ayah Wa seorang guru dan sebelum bersara beliau merupakan guru besar di salah sebuah sekolah di Besut. Selain itu, beliau merupakan salah seorang seorang Imam di Masjid Alor Lintang, tempat kediaman saya dan keluarga.
Rumah beliau sering dikunjungi terutamanya apabila ditimpa penyakit yang sukar dirawat dengan kaedah perubatan moden misalnya, anak menangis malam dan terlekat tulang ikan. Malah banyak lagi “penyakit-penyakit” yang boleh dirawatnya.
Namun ada sesuatu yang luar biasa buat Ayah Wa. Beliau menolak segala bentuk pemberian apabila dikaitkan dengan perubatan yang beliau lakukan. Tiada pengeras, tiada yuran dan tiada apa-apa walaupun ditukar apa label niat pemberi setelah selesai urusan perubatan yang kelihatan cepat dan mudah.
Beliau pernah berkata kepada saya, “Ayah Wa mohon daripada Allah untuk membantu sesama manusia”. Pernah, pada satu ketika yang lain saya bertanya, “apa yang ayah wa lakukan apabila orang datang berubat?”
Jawapan beliau mudah, “ayat-ayat al-Quran adalah penawar kepada banyak perkara tetapi kita sentiasa perlu memohon kepadaNya. Biasanya, Ayah Wa solat mohon Allah sembuhkan penyakit mereka dan jika tidak mampu, ayah Wa mohon kepada Allah supaya mereka ditemukan dengan orang yang pandai berubat”
Namun ada kenyataan yang terkesan di hati. Kini, ia mengingatkan saya kepada beliau, “Mil, masing-masing mempunyai peranan dalam dakwah. Jangan kita anggap dakwah kita yang terbaik. Biarlah masing-masing dengan cara mereka, mudah-mudahan Allah membantu kita”.
Ia kenyataan berpuluh tahun lampau ketika saya di peringkat persekolahan menengah ketika saya tidaklah berminat dengan urusan agama. Namun ia kekal begitu tersusun di celah-celah ribuan maklumat yang pernah melintasi kotak minda saya walaupun beliau sudah lama meninggalkan kami.
Mudah-mudahan Allah perluaskan kubur beliau, bercahaya dengan nur kasih-sayang Allah dan dapat pula bertemu di syurga Firdaus.
Surat JPA
Allah Maha Berkuasa.
Semalam, saya dan Roza menerima surat penerimaan permohonan bersara pilihan yang telah disampaikan kepada JPA melalui UiTM. Menurut surat tersebut, mulai 1hb September maka kami berstatus “pesara” dan ia adalah keputusan muktamad.
Saya bersara dengan kerajaan ketika usia 47 tahun. Roza pula 44 tahun. Secara spesifik, saya telah berkhidmat selama 23 tahun dengan UiTM berbanding dengan Roza yang baru berkhidmat 11 tahun.
Namun saya fikir – kedua-dua kami – mempunyai ingatan mendalam sepanjang perkhidmatan tersebut untuk menjadi kenangan yang tidak dapat kami lupakan.
SK Belimbing Dalam

Mudah-mudahan jadi Dr Fatin Najwa
“Apakah impian anda?”
Lalu saya bertanya, “siapa yang mahu tampil ke hadapan dan menjawab soalan di skrin?”
Seorang pelajar perempuan – darjah enam – bangun dan tampil ke hadapan. “Saya mahu dapat 5A dan saya mahu jadi doktor. Saya mahu berjaya dunia dan akhirat”.
Lalu saya hadiahkan buku “Travelog Cinta Abadi” sambil bertanya, “siapa penulis buku ini?” dan beliau menjawab, “Roza Roslan”.
“Ini hadiah kedua, saya bawa penulis buku ini kepada Fatin Najwa, nanti minta tandatangan puan Roza Roslan”.
Dan saya katakan kepada khalayak, “lihat dengan sedikit keberanian, Fatin Najwa tampil ke hadapan. Beliau insan terpilih untuk mendapat hadiah daripada saya, dapat pula berjumpa dengan penulis buku yang saya hadiahkan ini…..”
Ia satu contoh yang mudah mereka fahami.