Orang kampung, rakan kepada kakak di Besut akan menemani anak remajanya ke Doha, Qatar. Anaknya terpilih mewakili Malaysia bagi memperdengarkan bacaan Al-Quran di sana.
“Mil ada kenalan di Qatar? Kawan saya ni tidak pernah keluar jauh-jauh. Beliau risau bila berada di sana,” Kakak menjadi orang tengah bertanya. Barangkali memikirkan yang saya boleh membantu setelah dua kali ke Doha.
Lalu saya membuat panggilan ke Doha, “Aim, masih di Doha?”. “Tidak, saya di Austria.. kenapa prof?”
Alamak.
Akhirnya Zaim memberi nombor kenalan yang lain di Doha. Saya bercerita dengan Khairil tentang kegelisahan orang kampung yang akan mendarat di Doha pada malam besok.
Dan dalam ria Khairil menyatakan, “prof bagi nombor telefon beliau, nanti saya uruskan di sini”.
Tentu sekali orang kampung saya akan berasa selamat, lega dan selesa. Sekurang-kurangnya beliau akan kurang berdebar apabila mendarat di Doha. Beliau mempunyai seseorang yang boleh dihubungi ketika di sana.
Dan saya terhutang budi dengan rakan-rakan di Qatar yang sudi membantu. Begitulah, teknologi mendekatkan hubungan. Saya terasa sangat hampir.
Berbuat baik sesama manusia sangat menarik implikasinya. Tentu sekali ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Namun perasaan saya begitu.
Pertama, jika kita sering memberi makan atau bahasa mudah “belanja orang makan”, bukan orang itu yang akan belanja kita balik. Orang yang lain pula yang kerap melakukan perkara yang sama kepada kita.
Bila kita memudahkan urusan orang, pada satu ketika yang lain, orang lain pula akan memudahkan urusan kita. Ia berlaku berulang-ulang hatta orang yang paling dibenci ramai masih boleh menyukakan hati kita.
Jika kita membantu anak orang, bukan ibu bapa anak tersebut yang membantu anak kita kembali. Ia suku sakat yang berbeza.
Begitulah kehairanan saya terhadap Khairil yang sudi membantu menguruskan “orang kampung” tersebut. Suara dan kata-katanya tidak menggambarkan sebarang kesusahan memberi bantuan. Ia terasa walaupun kami jauh beribu batu.
Akhirnya, itulah kebijaksanaan Allah mengatur dan memberi kasih-sayangNya kepada seluruh hamba yang melakukan sesuatu perkara dengan penuh rasa ikhlas.
Ahmad Amirul Imran
Beliau dilahirkan di Bangor, Wales pada 22hb Jun 1998. Berat kelahirannya 4 kg. Barangkali ia ada kaitan dengan pemakanan Roza semasa mengandung. Hampir setiap pagi – disekitar 1 pagi – saya pulang bekerja dari sebuah restoren Pizza membawa cheese pizza. Itulah yang dimakan Roza.
13 tahun berlalu. Amirul masih montel sebagaimana ia dilahirkan. Dia sangat berbangga dengan kelainan tempat kelahirannya. Namun Amirul lebih berbangga kerana bersiap untuk ke Madinah bersama saya dan Roza.
“Amirul doa hari-hari supaya Amirul dapat belajar di Madinah,” terkeluar kata-kata tersebut.
Saya masih kelabu dengan persekolahan beliau di sana dan sebagaimana beliau nyatakan, saya juga berdoa supaya Allah memberi jalan terbaik untuk beliau dan Sofea.
Selamat Hari Lahir Amirul.