Archive for July, 2011

Sehingga sampai masanya

Wednesday, July 27th, 2011

“Abah, bolehkah saya bercerita tentang kisah haji yang telah lalui? Bolehkah saya menceritakan apa yang saya lakukan di Mekah dan Madinah? Bukankah ramai yang menyatakan ia adalah rahsia kita dengan Allah?”

Itulah antara pertanyaan dan perbualan di sekitar tahun 2007 antara saya dengan arwah abah. Pertanyaan yang membayangkan rasa hati yang bercelaru di antara ingin berkongsi kebesaran dan kekuasaan Allah dengan pantang-pantang yang terbina dan memagari minda masyarakat.

“Ampunkanlah daku ya Allah jika apa yang aku sampaikan ini bersalahan dengan perintah Mu ya Allah. Ampunkanlah daku ya Allah,” itulah yang saya mohon daripada Allah SWT setiap kali melangkah keluar apabila dijemput untuk berceramah. Saya sangat takut tetapi bersemangat dengan dunia baru yang sedang saya hadapi.

Jawapan Abah sangat jelas, “Mil, kita orang biasa-biasa. Orang awam yang mahu menceritakan sesuatu yang tidak dicerita orang. Abah tengok ramai yang mendapat manfaat. Teruskan Mil. Sehingga sampai masanya, pada ketika dan masa yang sesuai, Allah akan membawa Kamil pada satu keadaan yang lain pula”.

Kini, hampir lima tahun saya berjumpa dengan masyarakat. Saya selalu menulis perkara yang indah-indah dalam perjalanan tersebut. Namun di celah-celah perjalanan tersebut terdapat seribu rahsia yang telah saya temui. Benarlah kata satu hadis yang bermaksud,

“Daripada Anas ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”.

Saya pernah menerima SMS yang mengejutkan saya daripada tidur,

“setiap kali saya membaca kisah tuan, menyebabkan saya susah hati. Tuan berdosa mencerita aib sendiri kepada masyarakat. Tunggulah pembalasan Tuhan”

Pembalasan Tuhan? Ia mengundang untuk saya menulis,

“Aib apakah yang telah saya ceritakan?”

“Kisah-kisah tuan tidak solat, tidak tahu membaca Quran….”

“Barangkali tuan tidak membaca kisah Saiyidna Omar. Beliau menangis di masjid menceritakan kisah lampau beliau yang membunuh anak perempuan”

“Beliau lakukan sebelum memeluk Islam… Tuan orang Islam”.

“Bila saya menceritakan saya tidak pandai membaca al-Quran? Bila saya sudah khatam al-Quran dan terjemahan. Bila saya ceritakan saya lalai solat? Bila saya sudah mula merasai nikmat bersolat. Tuan tidak nampak mesej sebenar yang ingin saya sampaikan”.

“Tuan memberi isyarat yang salah kepada anak-anak murid saya. Tidak mengapa untuk melakukan dosa…..”

“Tuan memikirkan hanya satu golongan sahaja di dunia ini. Golongan yang baik-baik. Apa yang tuan lakukan terhadap mereka yang tidak tahu membaca quran, lalai dengan solat, orang yang cukup solat lima waktu tetapi tidak mahu berjemaah..”

“Ikut tuanlah… tetapi tunggulah pembalasanNya, baru tuan tahu”.

Melalui nombor hpnya, saya tahu beliau seorang yang terlibat dengan Maahad Taafiz. Orang yang hampir dengan Allah SWT.

Saya terkenang pesan abah, “sehingga sampai masanya”, moga Allah membantu saya meneruskan kehidupan ini di atas landasan yang lurus! Mohon Ampun ya Allah!

Nota MKI: Hujah betapa Saidina Omar Al-Kattab pernah membunuh anak perempuannya merupakan pandangan yang diragui kebenarannya. Dikatakan ia adalah satu pembohongan dan manupulasi sejarah hidup beliau bagi memperkecil dan mempelekehkan Saidina Omar. Kini, saya tidak lagi berhujah menggunakan kisah ini.

Saya mohon keampunan Allah.

Gunalah…..

Tuesday, July 26th, 2011

Roza menurunkan tandatangannya.....

Saya menjadi saksi

Malam tadi AJK PERKIM mengunjungi Ar-Raudhah. Pertama, mereka berniat untuk melaksanakan doa selamat di atas hijrah kami sekeluarga ke Madinah.

Kedua, Ustaz Nawawi (Timbalan Yang DiPertua) mahu penyerahan Ar-Raudhah dilakukan dalam suasana yang sedikit bermajlis. Maka ada perjanjian, ada tandatangan dan sebagainya. Ia bukanlah perjanjian yang complicated.

Ketika menyampaikan sedikit kata-kata, saya berterus-terang, “Ar-Raudhah dibeli oleh Roza dengan satu niat, akhirnya ia akan diwakafkan untuk kegunaan anak-anak yatim. Jika tidak berhijrah sekalipun, rumah ini akan berakhir begitu.

Dan apabila kami menyerahkan rumah ini untuk kegunaan PERKIM, maka gunalah ia tanpa rasa takut. Jika ada barang yang hilang, kami tidak akan tuntut kembali. Jika tuan-tuan tidak mahu menjaga rumput dan pohon-pohon di sekitarnya, juga tidak mengapa. Cuma, bayarlah cukai pintu dan cukai harta. 

Kami serahkan dan kami tidak mahu memikirkan soal-soal tersebut.

Para pendakwah sering menyatakan, kami ingin melakukan ini, kami mahu melakukan itu tetapi sayangnya kami tidak bertempat. Tiada ruang dan tidak mampu kerana sumber kewangan yang terhad.

Dalam konteks PERKIM Segamat, kita sering menyatakan yang kita mahu mengadakan kelas-kelas mempelajari al-Quran kepada orang-orang dewasa, saudara baru dan sebagainya. Kita mahu mengadakan kuliah-kuliah agama kepada mereka. Itulah kalau ada tempat.

Agaknya selepas ini kita tidak boleh berlindung lagi dengan pelbagai alasan. Atau mahukah kita mencipta alasan baru?

Ia memerlukan pengorbanan. Dan ia tidak berbayar!

Ia persinggahan yang bermakna

Menarik!

Kami diraikan sebagai pesara UiTM Johor. Menarik kerana majlis ini dimulai dengan satu ceramah khas. Jadi, jadilah majlis persaraan ini sebagai majlis ilmu yang – InsyaAllah – turut dihadiri oleh para malaikat.

Menarik kerana pihak pengurusan UiTM meminta saya untuk menyampaikan ceramah tersebut. Tentu sekali saya suka dan teruja. Ia satu penghormatan yang merupakan “hadiah” persaraan yang sangat bermakna.

“Jika ada satu ilmu yang dimanfaatkan oleh khalayak, maka itulah hadiah yang paling bermakna”.

Terima kasih UiTM Johor, saya doakan Rektor, pengurusan dan seluruh staf dirahmati Allah sentiasa. Ingat Allah, Dia sentiasa hampir dengan kita!

Sebak

Saya membiarkan air mata mengalir apabila mendengar Roza menyebut, “saya pernah berdoa, ya Allah jika pandai itu menjadi keperluan ke Luar Negara, aku tidak pandai ya Allah. Jadi, temukanlah aku dengan suami yang pandai supaya dia dapat membawa saya ke Luar Negara.

Namun setiap kali suami saya ke Luar Negara, sudah pasti  saya terpaksa berhenti kerja. Itulah aturan. Namun biarlah hijrah kali ini hijrah yang terakhir. Hijrah yang paling bermakna.

Itulah, nikmat Allah yang mana satu yang hendak saya dustakan”.

Kg Jawa

Monday, July 25th, 2011

Bergambar kenangan bersama Imam-Imam, pengerusi dan jemaah Masjid Kampung Jawa.

Kami telah membeli sekeping tanah di Paya Jakas. Ia kawasan tinggi. Tepi jalan. Dan ia sangat sesuai untuk dijadikan tapak rumah kediaman. Dan itulah yang kami rancangkan untuk membina rumah sendiri di sini apabila menamatkan tempoh sebagai pengarah UiTM Johor.

Perancangan manusia dan ketetapan Allah berbeza. Dalam sekelip mata kami membuat keputusan untuk membeli rumah di hujung taman-taman Kampung Jawa. Ia kelihatan tenang, redup dan dipenuhi dengan kehijauan. Lebih penting, ia hampir dengan masjid yang kelihatan sangat aktif.

Malah saya bercita-cita untuk menyampaikan kuliah – jika diizinkan – pada setiap minggu. Saya fikir, itulah yang mampu saya sumbangkan kepada masyarakat setempat. Juga, harapan dan cita-cita manusia tidak selalunya menjadi realiti. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Saya diizin Allah untuk menyampaikan kuliah di merata-rata masjid, surau dan organisasi dalam tempoh 4-5 tahun yang lampau. Kesemua negeri telah saya kunjungi. Malah beberapa kali dijemput untuk menyampaikan ceramah di Singapura.

Saya pernah sampai ke Qatar dan United Kingdom. Namun sekali pun saya tidak berpeluang bercakap di Masjid kariah sendiri. 

Benarlah, Allah menyusun kehidupan manusia dengan penuh kasih-sayang. Akhirnya, ketika saat-saat saya mahu meninggalkan daerah ini, saya dipelawa untuk menyampaikan syarahan Israk-Mikraj. Kemudian, pengerusi masjid meminta saya untuk memberi kuliah setiap minggu.

Ya Allah, sukanya hati saya. Saya katakan pada Roza, “doa saya dimakbul Allah. Inilah tujuan sebenar kenapa saya memilih untuk tinggal di sini”.

Malam tadi merupakan kuliah saya yang ke lima dan terakhir di masjid ini. Dua saf penuh yang berjemaah. Kaum wanita juga ramai yang hadir, Selepas solat Isya, mereka mengikut imam mendoakan agar kami sekeluarga selamat dalam kehidupan pasca Kampung Jawa.

Tentu sekali saya terkesan apabila pengerusi masjid berkata, “perkenalan kita singkat, namun ia sangat-sangat berkesan. Bagi seluruh kariah masyarakat Kampung Jawa, kami berterima kasih kerana Profesor bersungguh-sungguh mengajak kita untuk dekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara yang tersendiri”.

Kemudian, kami bersalaman. Ada seorang pemuda yang tidak saya kenali menangis teresak-esak dan memeluk saya. Butir patah perkataan yang dibisik ke telinga tidak dapat saya fahami. Mudah-mudahan beliau bertemu dengan apa yang dicarinya, insyaAllah.

Saya memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap kami sepanjang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kg Jawa, Segamat.

Kekasih Allah

Kekasih Allah

Saya berdoa agar telahan saya tepat.

Orang tua di atas sering menjadi bahan penceritaan saya ketika berceramah. Saya fikir umurnya menghampiri 100 tahun. Beliaulah salah seorang bilal di masjid Kg Jawa.

Solat lima waktu sehari semalam berjemaah. Sepanjang 2 tahun berjemaah di sini, saya tidak pernah hampa melihat wajahnya di masjid kecuali beberapa hari ketika beliau diuji Allah dengan keuzuran.

Allah memberi kekuatan kepadanya untuk mengayuh basikal ke masjid. Ya Allah, beliau mencabar saya untuk berfikir, “kenapa tidak aku yang masih mempunyai kekuatan untuk ke rumah Mu”.

Hampir setiap waktu beliau di belakang imam. Dan saya cuba sedaya upaya untuk berada di sebelahnya.

“Ya Allah, Kau berkatilah beliau dan masukkanlah beliau ke syurgaMu tanpa dihisab ya Allah”

Nikmat Allah

Sunday, July 24th, 2011

Daftar dan terus mendengar ceramah

Kehidupan adalah nikmat Allah. Nikmat untuk “menyembah dan beramal ibadat” semata-mata keranaNya. Malah nikmat yang Allah berikan hendaklah disebut-sebut sebagai tanda bersyukur kepadaNya sebagaimana yang dinyatakan melalui Ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud,

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”

Namun kehidupan juga adalah ujian Allah. Sama ada manusia mampu menjalani kehidupan terarah kepada “menyembah dan beramal ibadat” kepadaNya merupakan persoalan yang memain-main di fikiran manusia.

Dalam konteks nikmat –  pada hujung minggu ini – saya bersyukur kerana diberi kelapangan masa, nikmat kesihatan dan kekuatan fizikal dan emosi untuk menyampaikan sedikit ilmu kepada ramai khalayak.

Pertama, saya diminta mengulas dan menyampaikan pendapat di atas tajuk “Bagaimana solat yang khusyuk membentuk keperibadian manusia” di hadapan 500 peserta seminar anjuran Puteri Islam Malaysia.

Saya bertanya kepada khalayak, “jika para hadirin mahu mempelajari aspek teknikal, bio mekanik atau terapi solat yang dikatakan boleh membawa kepada nilai khusyuk, maka banyak buku-buku yang boleh dibaca.

Mahukah para hadirin melihat soal khusyuk dalam solat dalam perspektif yang berbeza?”

“Orang selalu mencadangkan, fahamilah ayat-ayat al-Quran yang dibaca untuk menambahkan khusyuk di dalam solat. Saya ingin bertanya, pernahkah kita menangis atau menitiskan airmata ketika kita membaca al-quran walaupun kita tidak memahami ayat-ayat yang kita baca?.

Pernahkah kita berasa khusyuk apabila solat - pada pandangan diri sendiri – sepanjang kita menjalani kehidupan di dunia ini?

Pernahkah kita “khusyuk” bila melakukan perkerjaan di pejabat?

Pernahkah kita “khusyuk” apabila bersukan?

Pernahkah kita “khusyuk” apabila menonton filem atau TV?

Apakah yang membezakan antara “khusyuk” atau “lagha”?

Saya tidak menunggu mereka untuk memberi jawapan kerana ia soalan yang saya sudah di dalam minda sendiri. Jawapan saya, ya saya pernah sebak dan menitiskan air mata ketika membaca surah ar-Rahman. Pada ketika itu saya tidak tahu pun makna ayat-ayat yang sedang saya baca.

Ya, saya pernah merasa khusyuk bersolat. Pertama kali ketika solat malam sebelum menunaikan fardhu haji. Ketika itu saya menyerahkan seluruh pergantungan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Ya, kebiasaannya saya masuk mengajar, tidak sedar pun masa berlalu, alih-alih dua jam sudah berakhir. Saya khusyuk dengan kuliah yang saya sampaikan.

Ya, saya khusyuk memukul bola golf untuk selama 4-5 jam dalam permainan 18 lubang.

Ya, dulu-dulu saya ralit menonton wayang di pawagam. Sangat khusyuk sehingga terlupa isu-isu dunia yang lain.

Maksud saya, setiap individu pasti merasai bagaimana rasa hkusyuk dalam konteks yang berbeza.

Dalam kesemua keadaan, ia mempunyai satu persamaan ia itu nilai “cinta” kepada apa yang ingin kita lakukan. Dalam konteks inilah saya cuba mengulas bagaimana boleh khusyuk dalam solat melalui “Travelog Kehidupan” yang telah saya lalui.

Saya fikir khalayak lebih mudah menghadam apa yang ingin saya sampai. Saya mohon keampunan Allah.

Wanita yang hadir

Kedua, saya bersama dengan hampir 150 bakal jemaah haji di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Saya menyampaikan Tip Motivasi Haji. Program terlangsung melebehi 3 jam.

Apa yang tertulis dan tersirat melalui buku 50 Tip Motivasi Haji dijelaskan secara lisan. “Ya Allah, jadikan ia ilmu yang bermanfaat”.

Mudah-mudahan sempat bersama mereka ketika VIVA

Ketiga, selesai di Puncak Alam, para pelajar PhD saya meraikan saya di Hotel Bluewave. Shatari dan isteri muncul dari Perak yang melibatkan perjalanan hampir tiga jam. Jun pula turun dari Pahang semata-mata untuk bersama saya dan keluarga. Arun dan Radziah yang sedia ada di Shah Alam juga turut serta.

Ia pertemuan yang menyebabkan saya tersentuh. Arun, ketika berucap menyatakan, “Prof mengajar kami untuk bergantung kepada Allah. Kami akan terus ingat dan – insyaAllah – kami akan teruskan selepas menamatkan pengajian”.

Saya tahu mereka sedihdan terasa tidak ketentuan dalam menghadapi hijrah yang bakal saya lalui jika dikaitkan dengan penamat PhD pengajian mereka. Namun sesuatu yang pasti, mereka berjaya melihat ia sebagai satu “rahmat” daripada Allah SWT. 

4 daripada mereka telah berjaya menghantar tesis untuk dipertahankan dan dua lagi hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai. 

Akhirnya, di sebelah malam saya berkejar ke Taman Sri Keramat, Ulu Kelang bersama beberapa teman persekolahan di MRSM yang mahu meraikan saya dan sekeluarga.

Alhamdulillah, saya sempat menyampaikan sedikit tazkirah kepada mereka yang hadir. Terima kasih kepada Nadiyah dan Nora yang turun dari Sintok, Hamidah dan Amir, Hashimahton dan Nushan yang menjadi tuan rumah.

Dua hari yang berlalu pada hujung minggu merupakan nikmat Allah yang tidak mahu saya dustakan.

Buku 50 Tip Motivasi Haji Percuma

Friday, July 22nd, 2011

Besok – 23hb Julai 2011 – saya mempunyai slot 4 jam ceramah khas haji di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Ia bermula jam 8.00 pagi.

Hadiah istimewa, sesiapa yang membeli buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (120 naskah pertama) akan diberi hadiah percuma buku 50 tip Motivasi Haji yang dihadiahkan oleh beberapa hamba Allah yang tidak mahu dikenali.

Ia majlis terbuka kepada sesiapa yang berminat. Gratis!