Archive for August, 2011

Kawan

Friday, August 26th, 2011

Berkawan biar 1000 berkasih biar 1.

Saya menggunakan angka 1000 dan 1, bukannya menulis seribu dan satu bagi menyampaikan perbezaan di antara keduanya.

Dulu, saya hanya mempunyai beberapa kerat rakan rapat di pejabat. Kami bermain golf bersama. Berbincang soal kerjaya juga bersama. Makan-minum bersama, malah kesemuanya menjadi rakan keluarga.

Kami bertolak ansur. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Kekurangan diketepikan. Kelebihan diutamakan. Maka persahabatan kekal begitu bertahun-tahun.

Namun akhirnya, bila sampai masa dan ketikanya, persahabatan yang kelihatan tersangat rapat tidak kekal begitu. Ia hubungan yang tidak mutlak!

Rakan rapat ini datangnya dari pelbagai jalur masa. Rakan rapat sekolah rendah hilang begitu sahaja. 0. Rakan MRSM, hanya seorang dua yang masih berhubung. Itu pun sesekali sahaja.

Teman belajar di UiTM juga menghilang. Masing-masing dengan gaya hidup sendiri.

Kenalan rapat di Universiti Dundee tidaklah serapat teman di MRSM. Logiknya, ia juga tidak akan kekal lama. Rakan yang belajar di Wales, United Kingdom yang masih kekal berhubung hanyalah seorang dua.

Maksud saya, berkawan biar beribu memang wujud. Namun nilainya berbeza-beza mengikut masa. Perubahan semulajadi dalam kehidupan individu menjadi hubungan itu sangat berbeza.

Misalnya, mereka yang sering berkumpul di sebelah malam “pekena teh tarik” akan kehilangan kawan yang mahu menjadikan urusan malam sebagai “masa bersama Allah”. Lama kelamaan, hubungan itu menjadi semakin jauh.

Saya mempunyai “rakan golf” yang ramai. Kini, akibat saya sudah tidak mempunyai set golf, maka rakan-rakan ini pun turut hilang. Ia berlaku secara semulajadi.

Saya melihat kiri dan kanan. Akhirnya saya tahu sebenar-benar rakan yang tinggal hanyalah seorang. Beliau adalah “siputih kuning” yang menyokong saya ketika senang dan susah, ketika duka dan ria dan ketika jatuh dan bangun.

Telah saya – InsyaAllah – beliau juga akan bersama di syurga Firdaus. 

Kalau boleh, usahlah bergaduh dengan rakan yang satu ini. Sama-samalah kita bangun malam berdoa supaya “Allah temukan dia dan aku di syurga Mu ya Allah. Masukkan kami dengan rahmat Mu ya Allah”.

ILIM Wilayah Timur

Khalayak yang Ramai

Alhamdulillah, semalam kami selesai menyampaikan kuliah kepada 270 peserta kursus anjuran ILIM Wilayah Timur.

Dua bilik kuliah digunakan bagi menampung jumlah peserta yang melebihi daripada sepatutnya. Pihak penganjur terpaksa menggunakan layar khas bagi membenarkan mereka yang berada di bilik sebelah mengikuti majlis yang berlangsung.

“Yang, awak jangan masuk semasa saya memberi ceramah,” itulah permintaan Roza. Inilah pertama kali beliau bersetuju untuk bercakap di khalayak ramai yang menghimpunkan lelaki dan wanita di luar UiTM.

Lalu saya ditempatkan di rumah tamu.

Namun saya tahu Roza mempunyai bakat semulajadi menyampaikan sesuatu yang signifikan kepada khalayak. Perjalanan hidupnya yang dipenuhi dengan pelbagai alunan ombak menjadikan topik “Mencari Cinta Hakiki” sangat berbeza.

Ia perasaan seorang isteri, ibu dan anak yang disampaikan kepada khalayak yang berbeza.

“Prof, puan Roza berjaya menarik perhatian khalayak. Cara beliau berceramah sangat berbeza dengan ceramah-ceramah sebelum ini,” itulah yang dinyatakan oleh petugas ILIM yang menjemput saya dari rumah tamu ke dewan kuliah.

Ia membenarkan agakan saya!

Ketika saya melangkah masuk beliau hampir menamatkan cermah beliau. Kenyataan-kenyataannya yang akhir itu pun menyebabkan air mata membasahi pipi.

Ketika sesi soal jawab, beliau berkata. “Minta maaf, bila suami saya ada di hadapan, lidah saya menjadi kelu. Tolong Yang, tolong jawab soalan ini…”

Khalayak ketawa.

Pantai

Pantai yang Indah

Rumah kami berhampiran kawasan pantai. Pantai tercantik di Bukit Kluang.

Pagi ini, saya, Roza dan Sofea bermain-main di gigian air. Indahnya ciptaan Allah.

“Amirul bangun, kita main pantai,” ajakan yang ditolak kerana lebih nyaman tidur di daerah yang sangat sejuk udara paginya. Namun pantai sentiasa mempunyai tarikan buat-buat anak yang pulang bercuti.

Dan Bukit Kluang adalah destinasi wajib.

Kesungguhan

Thursday, August 25th, 2011

Safiyyah yang beruntung

Inilah Safiyyah, anak saudara kami yang paling muda.

Ibunya Nur Solihah. Adik bongsu daripada 12 adik beradik. Seorang guru lulusan UIA. Suaminya berkerja dengan Petronas di Labuan. Di kalangan kami, beliau dipanggil “adik Nur” atau “Nur”.

Di kalangan adik beradik, Adik Nur seorang yang pandai mengaji. Guru Quran selalu memujinya. Padanlah, beliau lulusan ilmu wahyu.

Saya kagum mendengar kemahuan adik Nur mahu menyusu anak keduanya ini dengan 100% susu ibu. Keinginan ini diterjemahkan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Peti sejuknya dipenuhi dengan susu yang dipam. Ia bekal buat Safiyyah di kala beliau bertugas di sekolah.

Suaminya pula secara bersungguh menyokong usaha-usaha ini. Khabarnya, beliau mengira keuntungan yang diperolehi daripada menyusu badan. Kos penjimatan. Khabarnya juga sudah hampir atau melebihi RM4000.

Jumlah itu ditukar kepada emas dan dihadiahkan kepada Adik Nur.

NotaMKI: Sekadar rekod, Sara menyusu selama 8 bulan, Azrai 12 bulan, Amirul 4 tahun dan Sofea 2tahun. Agaknya, berapa utas rantai yang perlu dihadiahkan kepada Roza?

Terakhir

Wednesday, August 24th, 2011

Kami sekeluarga selamat sampai ke Besut, Terengganu.

Alhamdulillah, saya sempat menyampaikan kuliah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Khalayak tidaklah sampai memenuhi auditorium besar di fakulti Ekonomi dan Perniagaan tetapi ia sudah memadai untuk saya menyampaikan pandangan bagi membolehkan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Inilah yang akan menjadi bekal sebelum ditempatkan ke syurga Firdaus, InsyaAllah.

Hari ini juga saya menerima gaji terakhir sebagai staf UiTM.

Saya bermula dengan pendapatan di sekitar RM1500/sebulan pada 1988. Ia jumlah besar buat anak muda yang baru berusia 25 tahun. Selepas 23 tahun, saya meninggalkan UiTM dengan jumlah pendapatan akhir bernilai 10x ganda. Hampir RM15000/sebulan.

Jika pendapatan lain seperti bonus, mengajar sarjana, menjadi pemeriksa dalam dan luar yang dibayar, elaun perjalanan, makan, loging semasa bertugas di luar kawasan, maka jumlah gaji tersebut meningkat tanpa disedari. Ia jumlah pendapatan yang selesa buat orang biasa-biasa seperti kami sekeluarga.

Malah ia jauh lebih selesa berbanding dengan ramai yang lain.

Dalam tempoh 5 tahun yang lampau sahaja, jumlah terkumpul yang telah dibayar oleh UiTM di atas jawatan saya melebihi 1/2 juta. Secara relatif, ia jumlah yang sangat besar.

Besar atau kecil jumlah pendapatan yang diterima, isu yang lebih utama ialah soal “halal-haram” bagaimana rezeki itu diperolehi. Di sisi Allah, itulah yang lebih penting dan mustahak.

Ayah saya selalu berpesan, “Mil, kita selalu mengatakan penguatkuasalah yang sering menerima rasuah. Kita – guru – juga tidak terlepas dalam soal rasuah. Lebih teruk lagi, kita menerima rasuah tetapi tidak sedar yang kita melakukan perbuatan keji itu. Bagaimana? Kita rasuah masa. Patut mengajar jam 8.00 pagi, sengaja masuk kelas jam 8.10″.

Saya tidak terkecuali.

Dalam tempoh 23 tahun berkhidmat barangkali saya juga melakukan rasuah masa terhadap amanah yang telah diberikan. Ada masanya saya tidak sedar dengan perilaku sendiri.

Ia seolah-olah bukan satu kesalahan besar.

Ayah juga berpesan, “Mil, kita pasti melakukan kesalahan. Sedar atau di luar sedar. Sebab itulah jangan terlalu berkira bila bekerja. Bila bos suruh kita melakukan kerja-kerja membantu pejabat tanpa bayaran, anggaplah ia sebagai satu peluang untuk membersihkan diri dari kekurangan yang telah kita lakukan”.

Ayah seorang guru besar. Beliau telah melalui fasa kehidupan yang sangat panjang. Banyak kata-kata hikmatnya yang melekat di hati sanubari.

Lalu saya merenung UiTM yang bakal saya tinggalkan. Di sinilah saya dianugerahkan dengan sumber pendapatan yang telah menghidup dan membesarkan isteri dan anak-anak.

“Ya Allah, jika ada rezekiku yang haram, Kau sucikanlah. Ya Allah, aku manusia lemah, fakir lagi tidak terdaya. Kami bergantung kepada Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah”.

Gaji dan bonus terakhir ini hanya secalit daripada jumlah pendapatan yang diberi oleh Allah SWT melalui UiTM. “Kami bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberi oleh Mu ya Allah”.

Puasa

Tuesday, August 23rd, 2011

NotaMKI: Artikel ini telah disiar melalui ANIS bulan Ogos 2011

Ramadhan tiba lagi.

Jika Ramadhan dikaitkan dengan amalan berpuasa, maka pastinya ia bulan yang sentiasa memenuhi kotak kenangan saya sebagai seorang remaja. Saya tidak suka berpuasa tetapi saya tetap melaksanakan amalan ini. Menunggu bulan Ramadhan berakhir merupakan satu penyiksaan. Namun ia penantian yang sangat berharga.

Tamat Ramadhan akan muncul Syawal. Syawal dengan segala keseronokannya menyambut hari raya, berkumpul dengan sepupu-sepupu sebaya, bersedia untuk makan-minum yang sedap-sedap, dan dapat pula mengumpul wang raya menghilangkan segala rasa lapar dan dahaga sebulan berpuasa.

Begitulah, berpuasa di bulan Ramadhan menjadi sebahagian budaya masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang diajar kepada anak-anak zaman berzaman. Ia satu peristiwa penting dalam diari kehidupan kita sebagai seorang manusia yang beragama Islam.

Puasa merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ia wajib pada setiap bulan dalam bulan Ramadhan. Amalan berpuasa bukan sahaja difardhukan kepada umat Nabi Muhammad tetapi telah menjadi amalan daripada zaman sebelumnya.

Allah SWT melalui surah al-Baqarah ayat 183 (nota: tq Siti Fatimah) ada menyatakan, Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu.

Di Malaysia, kanak-kanak telah diajar berpuasa semenjak kecil. Mereka dilatih untuk puasa separuh hari, ¾ hari dan akhirnya cukup sehari penuh. Kanak-kanak yang tidak berpuasa diugut walaupun dengan nada bergurau yang mereka tidak boleh berhari raya.

Malah ada sesetengah ibu bapa [nota: termasuk saya] memberi upah kepada anak-anak kecil yang berjaya berpuasa penuh. Ada kanak-kanak yang menangis apabila dimaklumkan yang mereka tidak boleh menyambut hari raya kerana meninggalkan puasa. Apatah lagi jika dikaitkan dengan duit raya.

Itulah kegembiraan ibadat puasa dan hari raya yang diajar semenjak kecil. Puasa wajib ini kelihatan mempunyai kelebihan di dalam amalan masyarakat Malaysia. Misalnya, amalan berpuasa diajar dan diberatkan tetapi meninggalkan solat tidak pula dimarahi. Berpuasa dan merayakan tamatnya hari berpuasa sangat meriah.

Namun persoalan yang lebih penting tentang ibadat puasa ialah, “benarkah ibadat tersebut yang diamal kita sesuai dengan ajaran dan kemahuan Allah SWT”. Imam Ghazali berpendapat ibadat ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Inilah yang dikatakan tahap terendah dan dikatakan puasa orang ramai-ramai. Manakala puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa tertinggi ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya. Bolehkah kita mencapai tahap amalan tertinggi? Bagi orang biasa-biasa – seperti saya – yang terdidik dalam keadaan serba kekurangan maka ia kelihatan sebagai sesuatu yang hampir mustahil.

Namun pengalaman menunaikan fardhu haji telah mengubah persepsi saya tentang ibadat ini. Saya fikir ia merupakan satu ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT bagi mengajar manusia supaya sentiasa “berhijrah” untuk mencari yang terbaik di sisiNya.

Bulan Ramadhan yang diangkat sebagai bulan yang paling mulia – penghulu segala bulan – mengandungi pelbagai keistimewaan yang boleh mengajak manusia untuk menjadikan ia sebagai bulan untuk berubah.

Soalnya, bagaimana kaedahnya jika mahu atau bercita-cita mahu mencapai yang terbaik dalam melaksanakan amalan berpuasa dan seterusnya menjadikan ia sebagai bulan permulaan untuk melakukan perubahan-perubahan yang signifikan.

Pertama – saya fikir – kita perlu mengkaji terlebih dahulu bagaimana yang dikatakan sebagai puasa yang terbaik. Misalnya, dikatakan manusia yang berpuasa perlu mengawal pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci Allah. 100% wajib mengingat Allah.

Kedua, Mereka perlu memelihara lidah daripada menuturkan kata-kata buruk seperti mengumpat dan berdusta. Sebaliknya, amalan semasa berpuasa dengan sebaik-baik puasa hendaklah lebih banyak berdiam diri, bersolat sunat, berzikir dan membaca al-Quran.

Ketiga, di hujung hari mereka juga tidak berlebihan ketika berbuka dengan memakan makanan halal sekadar untuk berbuka dan meneruskan solat maghrib berjemaah.

Kemuncak di atas segalanya, puasa tertinggi akan menjadi milik mereka yang sentiasa takut dan mengharapkan belas kesihan Allah supaya menerima puasa yang telah dilaksanakan sepanjang hari.

Lalu marilah kita bertanya kepada diri sendiri, termasukkah aku dalam golongan ini? Jika tidak, bolehkah sifat-sifat ini dilaksanakan semasa berpuasa di Malaysia? Benarkah ia boleh dilakukan? Alhamdulillah, inilah yang saya pelajari dan amati semasa menunaikan fardhu haji.

Kenapa?

Amalan berpuasa bukanlah rukun dan wajib haji. Bagaimanapun, ciri-ciri untuk mendapat puasa tertinggi boleh di cuba semasa menunaikan ibadat haji. Bagaimana?

Ruang masa di Mekah dan Madinah bukan untuk kita bergosip tentang pelbagai kisah, curi tulang bekerja, menonton wayang atau TV atau melepak-lepak di gedung perniagaan.

Tiada orang yang mahu mengumpat di Mekah dan Madinah. Di sana, jemaah hanya mendiamkan diri, bersolat sunat dan membaca al-Quran. Tiada yang mahu membuat dosa mata, hati, telinga dan tubuh badan semasa menunaikan fardhu haji. Jika ada yang bersifat begitu, maka tentu sekali mereka tidak perlu berfikir untuk berpuasa atau melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

Menunaikan fardhu haji atau tidak, mereka sama sahaja. Di Malaysia atau Mekah, mereka tetap mahu mengekalkan sifat-sifat yang sudah sebati di jiwa masing-masing. Malah tiada siapa yang memikirkan juadah untuk berbuka puasa kecuali dengan tamar dan air zam-zam. Itu pun dilakukan di dalam masjid.

Pengalaman kami, kita terasa-terasa nikmat sebenar berpuasa selama berada di Mekah dan Madinah. Malah saya fikir, apa yang dilakukan selama ini hanyalah puasa yang dikelskan hanya untuk masyarakat umum semata-mata. Berpuasa semasa menunaikan fardhu haji jarang diberi penekanan kerana ia bukan sebahagian daripada rukun dan wajib haji.

Namun di sanalah suasana untuk menepati ciri-ciri puasa tertinggi terbentuk secara semulajadi. InsyaAllah, nikmat sebenar-sebenar puasa akan dikecapi dan dirasai. Belajarlah berpuasa sunat semasa menunaikan fardhu haji.

InsyaAllah bila pulang ke Malaysia, teruskanlah dengan berpuasa Isnin dan Khamis. Lebih baik lagi jika mampu berpuasa sebagaimana puasa Nabi Daud. Dan kemuncak di atas segala-galanya kita berpuasa di bulan Ramadhan dengan puasa yang sebenar-benar puasa. Itulah nikmat berpuasa di Tanah Suci.

Namun di atas segalanya, saya ingin mengajak diri sendiri, isteri, anak-anak, kaum keluarga dan khalayak pembaca untuk menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk berubah.

Jika kita belum menutup aurat, marilah kita berpuasa dan terus menutup aurat. Jika kita bangun bersahur, mulakan sahur kita dengan bersolat malam, bermunajat dan memohon keampunan Allah. Jika kita bepuasa, di antara waktu subuh dan zohor, marilah kita melaksanakan solat dhuha.

Biar tahun ini, Ramadhan kita membawa erti yang melangkaui tahun-tahun sebelumnya, InsyaAllah. Selamat berpuasa!

Tazkirah di Sura Hujung

Monday, August 22nd, 2011

Hari ini seisi keluarga solat subuh di Masjid UiTM Dungun.

14 – 15 jemaah yang hadir. Inilah ujian terbesar bagi hamba Allah, ujian tidur. Sebagai siswa, ada yang gagal terus bangun sehingga luput waktu subuh. Ada pula yang gagal solat berjemaah di masjid.

Ketika mahu beredar, ada yang bertanya, “prof, boleh luangkan masa 5-10 minit bagi menyampaikan tazkirah?”

Minda saya pantas berfikir bertanya-tanya topik apakah yang ingin saya sampaikan. Akhirnya saya menceritakan dapatan pertanyaan yang ditanya kepada pembaca blog dan mereka yang menghadiri syarahan intelektual UiTM Johor.

“Apakah ujian terbesar yang pernah khalayak pembaca hadapi?”

Hampir 100% memberi jawapan yang dikaitkan dengan kehilangan, kedukaan dan kegagalan. Malah ada yang merasai mereka tidak pernah menghadapi sebarang ujian. Ada juga yang menyatakan dengan yakin, “segala-galanya OK!”.

Hakikatnya, mereka yang OK sebenarnya mungkin tidak OK kerana kehidupan itu sendiri merupakan suatu ujian. Misalnya, sebelum turun ke masjid saya terbaca ayat 49, surah Az-Zumar yang bermaksud,

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”.

(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu), bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

Realitinya, jika kita OK, maksudnya kita telah diberi nikmat “kesukaan” untuk kita bersyukur kepada Allah. Bagaimana caranya? Perbanyakkan amal ibadat kepadaNya sebagaimana yang diajar melalui Surah Adh-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud,

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”

Saya nyatakan kepada khalayak, “benar, kehilangan kedua orang ibu bapa merupakan satu ujian. Bagaimanapun ujian yang lebih besar adalah untuk menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah yang ada buat kedua-dua ibu bapa yang telah pergi”.

Majlis Berbuka
Semalam, saya berbuka di sebuah surau atas jemputan ahli keluarga. Kami berbuka dan bila selesai majlis, ada jemaah yang terus pulang. Saya menunggu dan menunggu. Akhirnya saya difahamkan yang mereka akan solat “sendiri-sendiri”.

Lalu saya mengajak Amirul untuk solat jamak berjemaah. Tentu sekali saya terfikir, “kenapa begitu?”. Kenapa Tuan Guru bersolat di bilik bersama isteri? Ia bermain-main di fikiran sendiri.

Agaknya saya seorang yang belum cukup ilmu!