Archive for September, 2011

Mekah

Friday, September 30th, 2011

Di kawasan rehat Madinah-Mekah.

Ada satu soalan yang sering diminta jawapan, “antara Mekah dan Madinah, yang mana lebih istimewa?”

Ia sangat sukar. Malah ia tidak perlu dibandingkan kerana kedua-duanya mempunyai aroma tersendiri. Mekah dan Madinah mempunyai tarikan yang berbeza.

Namun saya seronok berada di Mekah. Di sini, banyak air mata tumpah ketika menunaikan fardhu haji pada 2006-2007. Di dataran kaabahlah tempat saya ditunjukkan dengan pelbagai kebesaran Allah.

Di sini jualah saya menitiskan air mata memohon agar diberi izin untuk menulis Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Di Mekah jugalah saya berjaya khatam al-Quran buat pertama kali ketika berusia hampir 43 tahun.

Semalam, kami tiba di Mekah sekitar jam 11.00 malam. Saya bertawaf dan saei sepenuh hati. Saya membaca kembali doa-doa yang saya ucapkan ketika pertama kali memijakkan kaki di sini 5 tahun yang lampau.

Namun saya merayu kepadaNya, “Ya Allah, tingkatkan keimanan kami, ya Allah jangan Kau palingkan hati-hati kami daripada mencintai Mu sepenuh hati kami, Ya Allah bantulah kami, lindungilah kami dan ilhamkanlah kami agar sentiasa menyembah dan beramal ibadat kepada Mu, semata-mata kerana Mu ya Allah”.

Semalam, seminit pun saya tidak dapat melelapkan mata. Kami berehat seketika  selepas usai menunaikan ibadat umrah di sekitar jam 12.30 pagi. Lalu kami sambung lagi rasa dan getar luarbiasa sehingga waktu syuruk melintasi garisnya.

SubhanaAllah, Dia membenarkan saya solat paling hampir dengan kaabah, menguncup Hajaru-Aswad, bersolat di dalam Kaabah sebagaimana permohonan Aisyah kepada suaminya (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat), dan dapat bertimpuh bersama isteri mengadap Kaabah dengan rasa yang satu, “kecintaan kepada Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”.

Pagi tadi, sungguh pagi tadi, kami berpimpinan tangan meninggalkan Haram dengan rasa yang sangat berbeza. Kami mahu kembali di sini. InsyaAllah, Madinah dan Mekah hanya sempadan yang nipis, ibarat senipis kulit bawang yang tidak terasa.

Perubahan ketara di Haram, tiada larangan mengambil gambar. Amirul di dalam Hijir Ismail. Gambar di ambil dengan polis memerhatikannya tanpa menyebut, La... la... la

24000

Thursday, September 29th, 2011

12.30 pagi selesai mengerjakan umrah

Inilah gaji pertama dan paling bernilai setelah hampir 3 minggu berkhidmat dengan Universiti Taibah, Madinah. Ia bukan tunai. Ia juga tidak perlu dibank-in melalui akaun. Malah kami tidak menerima apa-apa bayaran nyata.

Itulah harga yang perlu kami bayar untuk menunaikan umrah buat kami sekeluarga – 4 orang – jika bertolak dari Malaysia. Malah kami tidak langsung mengira nilai bagaimana sambutan Masjidil Haram terhadap kami sekeluarga.

Tawaf dapat diselesaikan dengan pantas. Saei juga sangat-sangat menghiburkan. Malah Hijir Ismail memanggil-manggil kami untuk solat dan berdoa di dalamnya.

Ia hanya berlaku ketika musim haji belum bermula. Itulah keistimewaan yang dianugerahkan kepada mereka yang tinggal di Arab Saudi. Kami bersyukur di atas kegembiraan ini.

Umrah kali ini dilaksanakan dalam suasana yang sangat berbeza. Pertama, kami menyewa kereta daripada Madinah ke Mekah. Tukang pandu dan yang membantu adalah bakal ulamak Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Madinah, saudara Abdul Aziz.

Kedua, kami berani-beranikan diri untuk ke Mekah walaupun tanpa ikamah – permit tinggal di Arab Saudi – yang masih belum diperolehi. Kami hanya berbekalkan surat pengesahan universiti tanpa bahan pengenalan yang lain.

Niat umrah kami juga berbeza sebagaimana yang terdahulu. Hari ini kami berniat, “kami mengerjakan umrah dan berihram dengannya. Jika kami terhalang untuk melaksankan umrah ini maka bertahlullah kami di tempat yang terhalang tersebut kerana Allah taala”.

Allah… Allah… Allah hu akhbar… Allah permudahkan. Kami tidak terhalang walaupun ada bayang-bayang polis di setiap tempat pemeriksaan. Ia jemputan Allah!

Inilah tukang pandu dan pembantu Al-Hafiz!

Terpenjara

Wednesday, September 28th, 2011

Malam tadi kami meraikan Dr Hussin yang baru dilantik sebagai profesor madya. Beliau adalah rakan sejawat di Kolej Bisnes, Universiti Taibah. Majlis berlangsung di hotel Movenpick di bahagian utara Haram.

Di sini, majlis di sebelah malam – kebiasaannya – akan bermula sejurus selepas solat Isya berjemaah di Haram. Prof Tosef (saudara saya dari Pakistan) berkata, “prof kita berkumpul di Hamam No 10,” merujuk kepada tandas yang tersusun di sekitar Haram.

Ia teknik yang sama digunakan oleh jemaah haji yang terpisah suami-isteri ketika solat. Ketika mahu berjumpa maka tandas inilah yang dijadikan penanda utama.

Setiap tandas bernombor. Mudah untuk pengecaman.

Kos makan malam di hotel lebih mahal sedikit berbanding dengan hotel-hotel utama di Malaysia. Semalam, buffet makan malam berharga SR120. Jika dikira kadar tukaran semasa, ia disekitar RM100/seorang. Bezanya, pilihan makanannya terarah kepada masakan di sebelah sini.

Orang Arab makan sangat bersungguh. Agak saya berbaloi dengan harga sebanyak itu. Saya sendiri sudah melepasi zaman makan berjam-jam di hotel. Saya mahu makan cepat-cepat, pulang dan tidur. Jadi inilah yang diambil dan dihabiskan, sepotong kambing yang dimakan dengan kus-kus, sedikit sayur dan pasta keju.

Rugi belanja saya di hotel besar. Sudah tidak mampu makan banyak!

Namun budaya Arab tidak begitu. Selepas makan, kami beredar ke sebuah bilik lain. Sambil minum-minum tea dicampur daun pudina, mereka bersembang, berjenaka, sesekali berbincang soal pejabat dan bergelak ketawa.

Saya terpenjara!

Tembok penjaranya adalah bahasa. Hampir 100 peratus bertutur dalam bahasa Arab. Sesekali Dr Mahmood dari Jordan menjadi penterjemah. Banyaknya, “tidak mustahak prof!”.

Sambil ketawa saya berkata kepada mereka, “selalunya saya yang bercakap, kini saya terpaksa berdiam diri. Ia seolah-olah berada keseorangan di dalam penjara”.

Namun jauh di sudut hati saya mensyukuri suasana begini. Ada rahmat besar yang mengajar saya supaya bertafakur dan merenung diri.  Jika pandai berbahasa Arab sekali pun, “banyak mendengar dan kurangkan bercakap”.

Tayib, Tayib, Tayib, hati mengiakan!

Di luar sana adalah Haram. Saya sampai di rumah jam 12 malam.

Orang Malaysia

Wah… orang Malaysia sudah sampai. Petugas-petugas Tabung Haji Katering nampaknya sudah memasuki hotel ini. Ia hotel utama Tabung Haji. InsyaAllah, mulai 29 September, setiap hari Madinah akan menerima 20000 tetamu.

Wajah-wajah Malaysia pastinya akan bertemu mata. InsyaAllah.

Tunggu seminit

Tuesday, September 27th, 2011

Suasana sejurus selepas solat Isya di kawasan pintu Baqi'. Hanya beberapa hari lagi suasana begini akan hilang. Selamat datang wahai tetamu Allah. Selamat Datang wahai tetamu Allah.

“Intazhiru Daqiqah”

“Intazhiru Daqiqah”

Kami sudah mengangkat takbir. Tiba-tiba imam menyebut perkataan tersebut. Bukan sekali tetapi dua kali. Saya buta bahasa Arab tetapi dapat mengagak yang ia berkait dengan pembatalan solat. Itulah agakan saya.

Ia pertama kali berlaku dalam tempoh 47 tahun usia saya.

Saya bertanya Abdul Aziz, bakal ulamak dari Madinah yang setiap hari membawa saya ke Haram akan makna perkataan tersebut.

“Tunggu seminit,” jawab beliau.

“Jika itu berlaku, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan. Pertama, kita masih berada di dalam solat, tunggu sahaja imam datang semula atau tunggulah imam baru masuk. Kedua, ramai yang tidak tahu akan membatalkan solat mereka dan akan mengikut semula imam,” beliau memberi penerangan.

Saya yang tidak berilmu secara semulajadi melakukan pilihan kedua, alahai…. duduk bersila lagi menunggu Imam muncul kembali.

Kisah ini tersebar di internet melalui U-Tube, ditunjukkan bagaimana Imam menyebut perkataan tersebut, melihat ke belakang dan menyebutnya sekali lagi.

Ia berlaku di sini dan saya mengalaminya!

Membuang Ego

Malam tadi saya menyampaikan sedikit tazkirah di tiang Malaysia. Ada 7-8 orang pelajar Malaysia yang terpaksa mendengarnya. Kata saya,

“tentu sekali saudara-saudara berasa bangga dapat belajar di universiti Madinah. Di sini, insannya terpilih. Jika pulang ke Malaysia, orang bertanya, “belajar dimana?,” saya yakin pasti ada perasaan bangga yang mendalam.

Cuma saya ingin ingatkan satu perkara, jika tiada perasaan yang belajar di Madinah merupakan satu ujian Allah, maka kemungkinan kita akan menjadi seperti mereka yang terdahulu yang pulang ke Malaysia, jadi manusia biasa-biasa yang tidak dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.

Ia berkait rapat dengan amalan. Setinggi mana pun ilmu jika tidak diamalkan, ia tidak membawa keuntungan yang besar. Kita bercakap tetapi langsung tidak membawa ke hati pendengar. Ia tidak berkesan.

Di sini, – di Madinah ini – jagalah solat berjemaah, jagalah solat malam, perbanyakkanlah amalan-amalan sunat yang lain. InsyaAllah ia akan membentuk kita menjadi manusia yang terpilih”.

Hakikat sebenar, buanglah ego yang tertanam di hati. Ia tidak membawa sebarang erti!

Pelajar ku

Monday, September 26th, 2011

Mereka sangat ceria

Inilah salah satu kumpulan pelajar saya. Jumlahnya 9 orang. Umur mereka di antara 22 – 23 tahun.

Khaifa Halukun? Alhamdulillah!

Saya pegang salah seorang daripada mereka, “masmuka?”

“Yasser…”

“Ismi Muhd Kamil Ibrahim,” saya sambung sedikit.

“Ana, min Malasie”. Opss… itu sahaja yang sempat saya amalkan dengan mereka.

Alhamdulillah, saya fikir saya berjaya hooked mereka dengan pertemuan ini.

Yousef bertanya, “Dr, mahu saya bawa Dr solat Zuhur di Haram?”

Subhanallah… ada juga pelajar Arab yang berminat untuk solat di sana. Kenapa? Rata-rata mereka hanya sebulan sekali berkunjung ke Haram.

Yousef terkecuali!

Padang Pasir

Pandangan dari dalam pejabat

Kami bekerja di tengah padang pasir.

Universiti Taibah sangat luas kawasannya. Namun ia tengah membangun. Bangunan kelihatan rancak meninggi. Pergilah ke mana-mana kawasan, ia sangat berhabuk, panas dan berdebu.

Tim kami di jabatan perakaunan masih kecil. Ada seorang profesor (saya) dan 5 penolong profesor. Dekan kami pun masih belum profesor madya. Namun saya fikir gaji mereka pasti melangit berbanding profesor dari Malaysia.

Struktur gajinya berbeza.

Di sini, hanya dua rakyat Arab Saudi yang bertugas di Kolej Perniagaan. Seorang Dekan dan yang satu lagi Timbalan Dekan. Lain-lain pensyarah terdiri dari warga Mesir (terbesar), Jordan, Algeria, Pakistan, dan beberapa negara Arab yang lain.

Saya – satu-satunya – wakil dari Malaysia!

Raudah

Hampir setiap hari saya bersolat di Raudah. Biasanya saya solat sunat dua rakaat, berdoa menyempurnakan ramai permintaan dan memohon supaya dipermudahkan segala urusan.

Kemudian, saya keluar mencari tempat berhampiran dengan imam. Usai solat Maghrib, saya akan berada berhampiran dengan tiang Malaysia memerhatikan Amirul yang bersama abang-abang di sana.

Jika ada yang mahu mendengar, saya menyampaikan sedikit tazkirah kepada mereka yang hadir.

Itulah rutin saya dan keluarga buat masa sekarang. Hanya 3 jam/sehari di Haram. Ia masih jauh tersasar sebagaimana KPI yang saya harapkan. Namun rutin harian semasa di Malaysia masih mampu diteruskan.

Mudah-mudahan Iqamah kami akan diserahkan dalam sehari dua lagi. Ia akan mengubah banyak keadaan.

Kehidupan di Madinah masih panjang lagi. Berensut-ensut saya cuba menyesuaikan diri, InsyaAllah!