Archive for September, 2011

Ustaz Mat

Sunday, September 25th, 2011

Ayah meninggal di pangkuan beliau.

Ustaz Mat bercerita, “Mil, Ayah pergi comel sekali, jangan bersedih, sedekahkan Fatihah kepadanya”.

Beliau bercerita lagi, “Ayah mahu berurut tetapi tidak sempat. Beliau memberitahu saya, agaknya masa saya sudah sampai. Kalau begitu mari duduk diriba saya. Mengucap. Dah… jangan bercakap lagi. Itulah akhirnya”.

Itu kisah 16 tahun yang lampau.

Saya bukan mengenangi kisah Ayah tetapi terlintas di hati kisah Ustaz Mat. Bila orang kehilangan barang, rumah beliaulah yang dituju. Jika sakit-sakit yang dijangka tidak memerlukan rawatan perubatan moden maka beliau boleh dipertimbangkan.

Malah istilah “air tawar” sinonim dengan kaedah rawatan beliau.

Kerap, sangat kerap bila pulang ke Besut, Ustaz Mat inilah yang saya jemput untuk berurut seluruh badan. Urutannya sangat sakit. Sungguh, sakitnya teramat sangat sehinggakan ternampak sahaja wajahnya, saya sudah terbayang akibat yang bakal saya terima.

Namun saya tidak serik-serik.

Sambil berurut beliau sering bercerita tentang tauhid. Beliau lama menuntut di Azhar, Mesir. Saya pula mengambil kesempatan bertanya, “Ustaz, bila orang mahu berubat, mengadu hilang barang, minta air tawar, apa yang Ustaz lakukan?”

Beliau tersenyum dan bercerita, “Solat dan minta dengan Allah. Bangun malam. Itulah yang patut dilakukan oleh semua orang”.

Ia terpaku di hati.

Apa yang saya pelajari, “tidak perlulah saya menyuruh Ustaz Maz solat malam, InsyaAllah saya akan istiqamah melakukannya”.

Saya menulis kisah ini kerana gelisah mendengar coretan seorang rakan FB, “Prof tolong doakan saya. Saya sudah bangun malam, saya sudah solat dhuha, saya sudah solat di masjid….. sejak tahun 2010 lagi tetapi Tuhan masih mahu menduga saya”.

“MasyaAllah, tolonglah jangan diungkit-ungkit amalan kepada Allah. Ia bukan soal rezeki bila kita melakukan amal ibadat. Ia kerana kita bersyukur kepadanya. Allah tidak menduga kita… tidak sekali-kali (nota: Allah mengetahui kemampuan dengan cara sabar dan solat).

InsyaAllah mari kita teruskan amalan-amalan ini tanpa mempedulikan soal rezeki dan sebagainya. Hingga kini kita masih bernafas lagi… Bila sampai masanya…”

Saya tidak sempat menghabiskan tulisan kerana azan sudah berkumandang. Dan saya berdoa kepada Allah agar beliau “bersabar denganMu ya Allah” dan bukannya diberi rezeki sebagaimana yang dipohonnya.

Saya percaya, doa merupakan satu ibadat yang menggambarkan kebergantungan hamba kepada PenciptaNya. Keyakinan 100% dan tiada buruk sangka buat Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Tetamu dari Yanbo

Yanbo mempunyai pantai. Ia kawasan minyak KSA

Tuan Haji Fadzil dan Puan Nani – barangkali – sudah lama mengenali kami. Ketika mahu berhijrah ke Madinah, Puan Nani kerap kali muncul melalui FB dan blog saya.

Saya terperasan begitu. Beliau pernah menyebut, “kami di Yanbo menanti-nanti kedatangan Prof dan keluarga”.

Pagi semalam mereka muncul di rumah kami. Ia memang dirancang begitu. Dan Roza menyediakan Nasi Lemak Madinah untuk sarapan pagi. Apa bezanya? He… he… ia dimakan di dalam dulang!

Rumah kecil di Jabal Ohud

Saturday, September 24th, 2011

Di Malaysia, tagline yang biasa saya nyatakan kepada khalayak pendengar ceramah, “jika tuan-tuan berada di Madinah, rumah kami mungkin kecil tetapi hati kami besar untuk menerima tuan-tuan. Jemputlah ziarah kami di sana”.

Malam tadi, kami menerima tetamu rasmi yang pertama, Noh dan keluarga. Noh merupakan pengurus di salah sebuah hypermarket di sini. Isteri beliau – Atie – dan tiga puteri comel mereka sudi bersama kami hampir dua jam.

Saya fikir mereka mengenali saya dan Roza jauh lebih lama lagi melalui blog ini dan Hidup itu Indah.

Dalam pelbagai kekangan perkakas dan peralatan, Roza menghidangkan tetamu istimewa kami dengan Ayam panggang (nota: dipanggang melalui periuk), coleslaw, salad pasta kentang dan berserta dengan jemput-jemput tamar.

Menarik, ia dihidang di atas tiga dulang dan dimakan sambil bersila. Malah ia perlu dinikmati dengan tangan kerana rumah kami tiada sudu dan garfu.

Inilah makan malam kami.

Ia hidangan dari Madinah

Puteri Dina nyatakan, "Dina suka ayam"

Sebelum makan saya sudah bersedia untuk menyampaikan sepotong hadis Qudsi – riwayat Ahmad – yang dikaitkan dengan kelapangan masa dalam beramal ibadat. Namun ia terbatal melihat tiga pasang mata merenung tajam ke arah ayam panggang yang tersedia di dalam dulang.

“Dina suka ayam,” bertambah mudah saya membuat keputusan.

Akhirnya – usai makan – barulah saya bercerita secara semulajadi beberapa pandangan kehidupan yang boleh difikirkan bersama. Mudah-mudahan beribu-ribu malaikat turut  hadir bersama-sama kami mendengar tazkirah yang disampaikan buat pertama kali di Rumah kecil di Jabal Ohud.

Saya berdoa begitu!

Ketawa

Friday, September 23rd, 2011

Bila saya menulis soal ini saya perlu sangat-sangat terbuka. Ia bukan soal baik atau buruk tetapi ia soal perbezaan yang sangat nyata. Ingat, ia sekali-kali bukan di Malaysia lebih baik atau di Saudi lebih buruk.

Atau sebaliknya.

Ramai yang bertanya, “apakah ujian sebenarnya di sana?”

Saya memohon sambungan internet. “Prof, 30 minit lagi saya sampai”

Hampir 7 hari berlalu. Ia tidak muncul-muncul. Namun tanpa internet di ofis, saya masih boleh terselamat dengan jayanya. Jadi, ia tidak apa-apa kerana tujuan utama saya mahu berada di Madinah.

“Sanggupkah anda bersabar?”

Saya, hari-hari lain bila berjumpa, masih tersenyum dan pandai pula menyebut, “haiya ka’llah”.

Bila sampai masanya, bukan sahaja line internet yang saya dapat tetapi dengan laptop baru sekali gus. Agaknya begitu…..

Saya diberi cek RM10,000. Kaya saya. Baru seminggu bekerja sudah diberi wang sebanyak itu. Namun sehingga ke hari ini cek tersebut masih tidak boleh dikeluarkan.

Opsss…. masih miskin!

Iqamah atau permit kerja belum dikeluarkan. Dalam keadaan tertentu, saya boleh menggunakan nama orang lain – tentulah penduduk tempatan yang sudah mempunyai akaun – untuk mengeluarkan cek tersebut. Pada hari tersebut – entah apa halnya – permintaan kami ditolak.

Teman – juga dari Malaysia – permit kerjanya tersalah nama dalam bahasa Arab juga gagal menunaikan cek tersebut. Saya tersengih, beliau juga tersengih.

Nanti…. beliau lebih berakal. Beliau ke universiti mohon dibetulkan nama atas cek biar sama dengan nama di permit kerja. Emmm… boleh pula!

Kini hampir dua minggu saya bertugas. Hampir setiap hari, sayalah orang pertama yang muncul di pejabat. Alamak, bagaimana mahu masuk ke pejabat, saya tidak mempunyai kunci.

Emmmm… saya menumpang di bilik jabatan lain yang masih kosong pejabatnya. Tiada masalah!

Itu isu di pejabat. Saya bekas dekan, pengarah kampus malah pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Naib Canselor. Semuanya teratur dan tersusun. Segalanya diurus orang.

Hebat!

Jadi profesor ketika usia 39 tahun. Bayangkan sudah hampir 8 tahun dimuliakan orang dengan jawatan utama sektor awam (JUSA). Kini, Tuhan mengajar saya bagaimana mahu bertenang bila tidak dipandang orang.

Ia tidak penting pun!

Namun saya lebih tenang di sini. Kenapa? Di sini, saya lebih kerap mengadu kepadaNya. Tiada line internet pun saya bercerita kepada yang Tertinggi. Saya tahu Dia Maha Mendengar. Dia lapangkan dada saya. Dia bagi kesukaan yang lain.

Banyak. Sangat banyak sehingga tidak terhitung banyaknya.

Itulah, ia bukan soal perbandingan baik atau buruk, bagus atau tidak tetapi bagaimana kita melihat sesuatu kejadian dalam keadaan yang berbeza. 

Apa lagi ujian-ujian yang ada?

Hidung saya sentiasa berdarah. Bila kering berkeping-keping. Kadang-kala kepingan ini keluar ikut mulut. Alahai… 14 hari di sini, separuh daripadanya seram-sejuk, demam-demam yang tidak pernah kebah.

Di ajar orang, “prof kena basuh hidung sentiasa. Sedut… hembus… sedut”. Wah… 47 tahun hidup, hidunglah yang paling jarang bercuci. Di sini berlainan sekali.

Bukankah itu kehebatan dan kebesaran Allah?

Tazkirah di Haram

Usai solat maghrib saya berlegar-legar di kawasan sisi Masjid sebelah perkuburan Baqi’. Datang seorang pelajar – Khairul – bersalam dengan saya.

Duduk.

Ia bermula dengan berbual-bual santai. Akhirnya ia menjadi tazkirah Maghrib. Jumlah pendengar semakin bertambah. Emmm… tercapai cita-cita saya menyampaikan sedikit ilmu di dalam Masjid Nabawi.

Bila azan Isya berbunyi saya nyatakan kepada mereka, “kita berhenti di sini. Kita sambung semula. Ia topik yang sangat menarik”.

“Bila Prof?”

“Awak carilah masa yang sesuai,” jawab saya sambil bergegas keluar masjid untuk mengambil wudhuk.

Sahkah ceramah tanpa wudhuk’?

Kenapa tidak?

Thursday, September 22nd, 2011

Ketika menjadi ketua jabatan, kami sekeluarga sering mengadakan jamuan makan di rumah bagi meraikan kakitangan mengikut jabatan. Ada orang bertanya, “kenapa tidak memberi makan kepada anak-anak yatim?”

Seorang teman  membeli kereta terpakai. Ada teman yang lain bertanya, “berapa harga?”. Bila disebut harga yang dibayar maka beliau bertanya lagi, “kenapa tidak beli kereta XYZ?. Ia lebih baik dengan harga sebegini.”

Begitu juga bila berdakwah sesama Islam, ada orang bertanya saya, “kenapa tidak berdakwah kepada mereka yang tidak beragama Islam?”

Beberapa bulan yang lampau ketika menyatakan keinginan untuk berhijrah ke Madinah, seorang teman berkata, “kenapa tidak mahu kekal di Malaysia, di mana sahaja bumi Allah”.

Memberi makan kakitangan dan memberi makan anak yatim boleh dilakukan serentak dan mempunyai tujuan yang berbeza. Ia tidak perlu ditanya kenapa tidak?

Kenapa tidak membeli kereta XYZ tidak akan membawa sebarang perubahan kepada teman yang telah membeli kereta yang lain. Ia hanya menyakitkan hati beliau. Apakah tujuan kita bertanya soalan tersebut?

Berdakwah harus bermula dengan diri sendiri. Kemudian keluarga dan saudara mara yang hampir. Jika ada kekuatan, pergilah kepada masyarakat dan seterusnya kepada yang lain.

Seorang teman pensyarah bertanya, “prof, saya mahu berdakwah. Bagaimana mahu saya lakukan?”.

Jawab saya mudah. Pertama, “jaga solat berjemaah. Bagaimana kita mahu mengajak orang solat berjemaah jika kita sendiri sukar melakukannya. Orang berilmu boleh bercakap-cakap tentang kepentingan solat berjemaah tetapi ia tidak akan berkesan selagi kita sendiri tidak melakukannya”.

Kedua, “bangun solat malam. Itulah kekuatan untuk berdakwah. Ia bermula pada diri sendiri, ahli keluarga, anak-anak murid dan masyarakat”.

Jika Madinah dan Malaysia sama sahaja, maka tidak perlu berkata “kenapa tidak?” mahu kekal di Malaysia. 

Sebenarnya jika kita bertanya “kenapa tidak?” maka ia sangat elok ditanya kepada diri sendiri. Kita bertanya, kita jawab dan kita amalkan. InsyaAllah kita menjadi manusia yang lebih baik.

Banyak ketikanya ketika kita bertanya “kenapa tidak” sangat-sangat tidak relevan. Banyak masanya ia tidak pun merupakan suatu pilihan. Berdiam diri lebi baik.

Kenapa saya di Madinah?

Kami – saya dan Roza – selalu menyebut keinginan untuk tinggal di Tanah Haram dan Allah makbulkan. Kami manusia yang sangat fakir, tidak berilmu dan serba kekurangan. Niat kami satu, mahu membersihkan diri terutamanya hati dan perasaan.

Biarlah pada penghujung sisa-sisa kehidupan ini dihabiskan dalam susana yang kami fikir boleh membantu. Saya tidak fikir yang saya bertahan lama di dunia ini. Namun di mana tempat Allah mahu memanggil pulang, terserahlah. Dia lebih mengetahui perkara yang ghaib. Cukuplah saya memikirkan “pertarungan dunia” secara berlebih-lebihan.

Itu juga bergantung kepada apa yang Allah anugerahkan terhadap kami.

Di sini saya masih memberi ilmu di Universiti Taibah. Sedikit pun tidak berbeza dengan apa yang saya lakukan di Malaysia.

Di sini saya belajar menahan diri daripada pelbagai sifat yang boleh merosakkan jiwa. Saya tidak mahu meninggi suara, tidak perlu bertengkar dan tidak perlu membanding-bandingkan dengan orang lain.

Saya hanya mencari keredhaanNya. Itu sahaja!

Cukai

Wednesday, September 21st, 2011

Di sini tiada cukai pendapatan.

Jika gajinya begitu, maka itulah jumlah gaji yang boleh dibelanjakan. Cukai juga boleh didatangani dengan pelbagai cara. Misalnya, kereta di Arab Saudi menjadi tersangat murah berbanding Malaysia kerana tiada cukai jualan dan duti kastam yang dikenakan. Malah, tiada cukai jalan yang perlu dibayar setiap tahun.

Minyak juga tersangat murah. Khabarnya disekitar 45 sen seliter berbanding Malaysia yang hampir RM2.00 seliter. Ia jauh lebih murah berbanding dengan air mineral yang berharga 80 sen sebotol.

Namun ada cukai lain yang perlu dibayar. Salah satunya kesabaran. Dan cukai ini tersangat mahal harganya. Tidak semua orang mampu tersenyum menghadapi pelbagai kerenah terutamanya yang melibatkan masa.

Seorang teman – rakan sejawat – daripada Jordan berkata, “paling lama saya di sini mungkin hanya setahun. Saya mahu berhijrah ke Australia”. Saya memahami perasaan beliau apatah lagi beliau mempunyai pilihan untuk bekerja di sana kerana memegang pasport Australia.

Setakat ini, tahap kesabaran saya sangat tinggi, InsyaAllah. Tentu sekali ia berkait rapat dengan tujuan utama kami datang ke Madinah adalah semata-mata kerana Allah. Maksudnya, isu-isu lain semuanya isu remeh yang tidak perlu difikirkan. Ada perkara besar yang ingin saya capai. Misalnya dalam satu hadis (riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah),

“Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah melakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di Madinah”

Faktor kesabaran inilah yang perlu menjadi asas kehidupan di Madinah. Kesabaran ini pula perlu diterjemah melalui pendekatan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara bersolat, bangun malam dan bermunajat. Mengadulah kepada Allah agar setiap ujian boleh dilepasi dengan bantuanNya.

InsyaAllah, mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang  diuji Allah dan melepasi ujian tersebut sebagaimana kenyataan Allah dalam surah Al-Ankaboot ayat 2-3 yang bermaksud,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”

Hari ini saya menerima cek pertama sebagai staf Universiti Taibah. Ia cek pendahuluan bagi memulakan hidup baru di sini. Tiada cukai yang dikenakan. Ia 100% jumlah yang boleh dibelanjakan.

Setiap saat yang berlalu mengajar kami untuk meneruskan kehidupan dengan mensyukuri segala nikmat yang diberi Allah. Subhanallah, Allahu Akhbar dan kami mohon keampunanMu ya Allah.