Hujung minggu di Madinah.
Saya terkenangkan Radziah dan Halim yang akan/sedang mempertahankan tesis masing-masing. Pada saat ini, saya fikir Radziah sudah selesai bersoal-jawab dengan pemeriksa luar.
Halim pula akan mempertahankan tesisnya pada jam 2.30 petang, InsyaAllah.
Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan berdoa, berdoa dan berdoa.
Semalam, ketika mengangkat takbir menunaikan solat Maghrib di Haram, saya terasa getaran HP. Ia mati sendiri. Usai solat saya terlupa tentang getaran tersebut.
Rupanya Radziah yang membuat panggilan. Jam 12 malam waktu Malaysia barulah saya dapat bercakap dengannnya,
“Prof, saya mahu dengar suara prof,” saya tahu beliau sangat-sangat berdebar.
Alhamdulillah…. Allahhu Akbar, Subhanallah… sesaat tadi saya mendapat khabar yang beliau sudah bergelar Dr Radziah. “Ya Allah jadikan beliau seorang insan yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Ampunilah dosa-dosanya”
+++++++++++++++++++++
Pagi-pagi lagi kami meninggalkan Baladiyah Uhud menuju Haram untuk menunaikan solat subuh. Allahu Akbar, saya terpandang tompokan dakwat pen pada poket jubah yang baru dibeli.
“Habis, aduhai… baru sahaja beli,” saya bersungut kepada Roza.
Roza tersenyum tanpa memberi sebarang komen. Ia pakaian kerja. Jika ia bertompok hitam akan mencacatkan pandangan. Biasanya, tompokan yang sedikit itulah yang dipandang-pandang.
“Tidak mengapa, saya pakai jubah ini untuk solat,” saya membuat keputusan.
Allahu Akbar, bila terlepas cakap barulah saya sedar yang kita sering melebihkan soal pejabat berbanding dengan Allah SWT. Baju ke pejabat biar sempurna. Pakaian berjumpa Allah tidak mengapa cacat sedikit.
Malah dulu-dulu saya sering melihat dan ikut sama solat tanpa memakai baju. Ia ikut-ikutan tanpa tahu hujung pangkal.
Allah mengajar saya serta merta. Bagaimana?
Usai sahaja solat sunat, saya menyambung bacaan terjemahan al-Quran. Semalam saya berhenti pada pemulaan surah Al-Araf. Hari ini, apabila sampai pada ayat 31, saya terkedu. Allah menyatakan,
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Itulah, dalam sekecil-kecil isu ada pengajaran yang boleh dipelajari. Saya mohon keampunan Allah.
TOMPOK HITAM HILANG
Saya memilih untuk menggunakan Bygon – racun lipas – bagi menghilangkan kesan dakwat. Ia hilang. Spray dan basuh balik dengan air. Terima kasih kepada petua dan ilmu yang diberikan.




