Archive for November, 2011

Pagi dan malam

Friday, November 25th, 2011

Tetamu di sebelah pagi, keluarga petronas. Bersama di Jabal Ohud

Semalam saya menerima tetamu di sebelah pagi. Kemudian di sebelah malam saya menyampaikan tazkirah di Haram. Ramai yang turut serta. Saya fikir ia tidak bagus jika ia kelihatan seperti ceramah.

Hakikatnya, saya lebih suka menyampaikan tazkirah kepada 1 – 2 orang apabila di Haram. Jika mahu khalayak yang lebih besar, maka lebih baik dianjurkan di hotel.

Setiap kali memberi kuliah, saya berpegang kepada premis “menjadi manusia yang lebih baik, golongan terpilih atau golongan yang sedikit”. Realiti di dunia, mereka yang cemerlang hanya sedikit sahaja.

Pelajar yang mendapat CGPA 4.00 boleh dikira dengan jari. PhD yang dapat ditamatkan kurang 3 tahun juga begitu. Pelajar mendapat 5A UPSR di sekitar 10 peratus.

Begitu juga dalam dunia pekerjaan. Mereka yang boleh diharap hanyalah beberapa orang sahaja. Istilah, “alih-alih muka sama sahaja” bukanlah satu kepelikan. Pakar perubatan bilangannya sedikit berbanding doktor biasa. Guru cemerlang hanya segelintir.

Lalu ia berpanjangan apabila berbicara tentang “masuk syurga tanpa dihisab”. Hanya mereka yang cemerlang di sisi Allah akan berjaya. Manakan sama orang yang celik dengan sibuta.

Adakah sama mereka yang solat di berjemaah masjid berbanding di rumah?

Adakah sama mereka yang bangun malam berbanding dengan mereka yang tidur?

Adakah sama dengan mereka yang berpuasa sunat dengan yang tidak?

Ia soalan-soalan yang mahu difikirkan.

Cemerlang di sisi Allah tidaklah sesusah mendapat CGPA 4.00 atau menjadi pakar perubatan. Mudah sahaja…. carilah jawapan sebagaimana contoh-contoh di atas.

InsyaAllah, setiap orang berupaya menjadi cemerlang!

Tetamu selepas Isya, menaiki Dodge pergi dan balik.

Tose Madinah

Thursday, November 24th, 2011

Percubaan pertama yang berjaya

Ia kisah inovasi. Tose saiz kecil ini sama sahaja rasanya sebagaimana yang saya makan di Restoran Pelita. Jika saya katakan ia lebih lazat takut-takut ia semacam bidaah.

Malah Roza sangat berpuas hati dengan bagaimana tose beliau dirakamkan. Beliau memasak, merakam gambar dan menulis kisah.

Sejuk

Saya sudah terpaksa memakai termal. Maknanya, sejuknya sudah sampai ke tulang. Jika 20 tahun yang  lepas, cuaca seumpama ini saya masih boleh memakai t-shirt.

Misalnya semasa menuntut di Dundee, suhu sekitar 14 atau 16 celsius tidak menjadi masalah besar. Saya masih boleh bersiar-siar di City Center tanpa berbaju sejuk.

Masa beredar. Itulah tanda-tanda kekuatan manusia semakin menurun sejajar dengan umur yang meningkat. Nanti, bila sampai masa dan ketikanya kita tidak dapat melaksanakan apa yang difikirkan.

Maka, ketika muda dan sihat, fikirlah untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat. Nanti biar ia bersesuaian dengan maksud hadis ini,

Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya

Juga tanda tua.

Habis seluruh badan bisa-bisa setelah mengharungi perlawanan “biasa-biasa” jika di kala usia muda. Ia hanya perlawanan ping pong. Labu betis saya sakit. Belakang juga tidak selesa.

Kalau mahu disalahkan – sesuatu – ada penyebabnya. Tiada latihan renggang sebelum bermain. Di rumah pula langsung tiada latihan.

Tazkirah

Alhamdulillah, semoga ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Kami berjanji untuk berbuka puasa Khamis di sini.

Ia nyata berbeza. Pasca-Mekah, saya memberi tazkirah kepada kumpulan demi kumpulan. Hari ini 10 jemaah berkumpul di Haram untuk bersama saya. Ia lebih kepada motivasi sebelum berangkat pulang.

Namun suatu yang pasti, mereka yang berpuasa Isnin dan Khamis bertambah. Sekurang-kurangnya semasa mereka di Madinah.

Tetamu Arab

Ia keluarga Arab pertama yang bertamu ke rumah kami

Hari ini saya meraikan Encik Khalid dan keluarga di rumah kami. Kami serasi. Isteri – Iman – dan anak-anak juga cepat mesra. Alhamdulillah, ini juga salah satu doa yang diminta-minta daripada Allah SWT.

Ya Allah mudahkan hubungan kami dengan masyarakat setempat. Berikanlah perasaan kasih-sayang di antara kami ya Allah.

InsyaAllah, seminggu lagi Iman pula akan memasak buat kami sekeluarga. Roza perlu bersedia dengan kamera untuk mempelajari resepi baru.

Ia berbeza

Wednesday, November 23rd, 2011

Tazkirah di Haram, ia jumlah yang ramai. Kami doakan mereka semua mendapat haji yang mabrur.

Di rumah, kami menerima Tuan Haji Aziz Ibrahim dan isteri serta Ustaz Idris, Imam Masjid UiTM Shah Alam. Malam kedua menerima tetamu jemaah haji.

Jemaah haji mulai tiba di Madinah. Malam tadi dan saya fikir untuk beberapa minggu yang akan datang jemaah yang membanjiri Masjid Nabawi (Haram) sangat berbeza berbanding dua hari yang lepas.

Jemaah Malaysia juga sudah sampai.

Mood mereka sangat berbeza dengan tetamu-tetamu saya sebelum menunaikan ibadah fardhu haji.

Pertama, beg sandang oren trademark jemaah kita berkurang. Mereka tidak lagi khuatir, hanya datang berlenggang ke Masjid. Tidak perlu membawa apa-apa keperluan. Gelang tangan sudah mencukupi.

Kedua, wajah kelegaan memang nampak jelas. Allahu Akbar, lega kerana berjaya menunaikan rukun Islam kelima tidak dapat disorok-sorok. Ia amat mudah difahami.

Ketiga, pendekatan tazkirah saya juga hampir 100% bertukar melayani mood jemaah yang juga sangat berbeza. Jika pra Haji, saya menitik beratkan amalan-amalan harian, cabaran di Mekah (sangat-sangat mencabar) dan impian serta harapan selepas menunaikan fardhu haji.

Perbualan biasanya bermula dengan bertanya, “haji puasa sunat?,” yang hampir keseluruhannya tidak melakukannya. Kemudian, saya memberi rasional puasa sunat dalam konteks ibadat haji walaupun ia bukan sebahagian daripada rukun dan wajib haji.

Akhirnya – bergantung kepada masa – ia meliputi kepada aspek empat rukun Islam yang lain dan kaitan langsungnya dengan ibadat haji.

Alhamdulillah konsep-konsep “menjadi manusia yang lebih baik” dalam kehidupan selepas haji disampaikan menggunakan pelbagai pendekatan yang tidak disedari oleh khalayak.

Kini ia nyata berbeza.

Ia berlaku secara semulajadi. Jika di rumah, saya berpaling kepada jemaah wanita dan terus berkata, “sebelum kita menjamu selera, mari kita mendengar sedikit tazkirah. Puan mempunyai cabaran yang sangat besar apabila pulang ke Malaysia”.

Jika di Haram, saya akan memulakan dengan konsep “Haji Mabrur” yang dijanjikan Allah, “Tiada balasan melainkan syurga”. Maksudnya, jika kita menunaikan fardhu haji pada usia 60 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun, maka tanda-tanda haji mabrur itu terletak dalam tempoh 10 tahun tersebut.

Ia tidak boleh berubah untuk 5 tahun pertama dan kembali kepada asal selepas itu. Paling kronik, solat subuh yang pertama sudah fail berjemaah di masjid.

“Ha… ha…, ” saya ketawa kecil kerana mereka dalam mood ketawa. Dalam ketawa inilah saya menyelit sesuatu yang berlaku kepada ramai orang. Mudah-mudahan kita jadi golongan terpilih.

Ia tidak berakhir di Madinah. Ia baru sahaja bermula. Allahu Akbar, inilah ketakutan atau kerisauan yang perlu kita fikirkan. Ia jauh lebih menyesakkan dada berbanding ketika sebelum menunaikan fardhu haji buat mereka yang berfikir.

Lihatlah diri kita, ketawa atau masih lagi menitiskan airmata pengharapan?

Allah – Allah – Allah, saya mengingati diri sendiri, memandang Roza dan anak-anak dengan memohon agar kami semua dirahmati dan diberkatiNya. Saya mohon keampunan Allah.

Saya Juara

Hari Terbuka College of Business Administration, Universiti Taibah.

Saya menyertai pertandingan ping-pong atau tenis meja. Saya tahu saya OK dalam permainan ini. Orang lain – pelajar dan pensyarah – tidak pula saya tahu.

Perlawanan pertama saya dengan seorang pelajar. Permainan hanya  satu set. Siapa yang sampai dulu 21 mata dikira menang. Easy…. mudah. Saya menang mudah.

Perlawanan kedua menentang Dekan, bos saya sendiri. Mati. Perlukah saya main main-main atau bermain biasa. Saya mulakan dengan permainan yang mudah-mudah. Kami berkejar mata. Bila sampai saat kritikal, saya mulai dengan serve yang sukar diambil oleh orang biasa-biasa. Saya menang!

Profesor Tosef berkata, “Prof, Dr Adnan akan hantar you balik ke Malaysia….”.

Saya senyum sahaja.

Perlawanan ketiga menentang juara tahun lepas, Dr Shahar – pensyarah – dari Mesir. Ia perlawanan hebat. Ramai yang menyaksikan perlawanan yang dikira sama berat. Akhirnya orang tua menang mengatasi orang muda.

Sayalah yang menang.

Perlawanan ke-empat, juga menentang seorang pensyarah. Beliau OK tetapi saya lebih baik permainannya. Menang lagi. Saya juga menyaksikan perlawanan yang lain dan saya sudah terbayang akan menjadi juara.

Separuh akhir menentang seorang pelajar. 20 – 15, saya pasti menang. Itulah bisikan hati.

Alih-alih beliau mengutip mata demi mata sehingga 20 -20. Tambahan 5 mata. Akhirnya perjuangan saya berakhir di situ.

“Engkau pandai tetapi AKU lagi hebat. Jika AKU tidak izinkan, minta maaf ia tidak akan berlaku”.

Saya belajar sesuatu. Jangan riyak dengan Allah walaupun memerlukan hanya 1 mata dengan 5 kali percubaan. Cuba lagi tahun hadapan dengan hati yang lebih tenang kepadaNya.

Ia juga untuk senyum-senyum.

Unta

Tuesday, November 22nd, 2011

Ada dua binatang yang sering dikaitkan dengan orang-orang Arab. Pertama kambing kerana inilah kerja pertama Rasulullah SAW. Kedua, unta betina yang pernah dianugerahkan mukjizat kepada Nabi Saleh,

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti. (Surah al-Israa ayat 59).

Semalam – selepas Asar – saya menerima panggilan, “teacher, teacher, we come to your house, we go drink milk. Bring Amirul your walad”.

Allahu Akbar, mereka akan sampai jam 5 petang. Maghrib masuk jam 5.35 petang dicampur waktu menunggu 10 minit maka solat akan bermula jam 5.45. Kemudian, saya perlu mengambil kereta selepas Maghrib.

Masa sangat suntuk namun dalam masa yang sama saya tidak mahu menghampakan permintaan mereka. lalu saya ceritakan jadual saya yang padat.

“Enough time teacher!”.

Allahu Akbar, benar sekali masa di Madinah sangat lambat bergerak. Kami dapat melakukannya. Paling penting saya dapat mengajak anak-anak murid saya solat berjemaah di masjid.

Saya tunjukkan yang solat berjemaah di masjid perlu ada dalam setiap perancangan hatta mahu minum susu unta.

Amirul bergambar kenangan dengan unta betina

Inilah satu-satunya jamal jantan dan ia pula berwarna putih.

Beginilah cara susu diperah

pandangan belakang

Kami bersedia untuk minum susu unta yang fresh, lemak dan berkrim

Bukan kita yang bersalah

Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah saya temui jemaah haji di Haram. Saya temui pelbagai karektor. Namun kebanyakan mereka yang membaca buku Travelog Haji atau 50 tips – kebiasaannya – memberi peluang untuk saya menyampaikan pandangan tanpa bersoal-jawab.

Mereka tahu masa yang sangat terbatas.

Namun ada juga yang saya perlu menjadi pendengar terutamanya mereka yang bijak-pandai, biasa menjadi bos, mengendalikan mesyuarat dan bercakap soal dasar dalam pentadbiran negara, kementerian atau jabatan yang mereka ketuai.

Menarik bila seorang haji berkata, “saya terkejut melihat anak saya tidak memahami maksud al-Fatihah walaupun sudah tingkatan lima. Apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz kita. Inilah kesilapan sistem pendidikan kita tidak memberi penekanan yang betul”.

Lebih menarik lagi apabila beliau berkata tentang kegagalan sistem pendidikan negara yang menyebabkan banyak perkara tidak dikaitkan dengan kebesaran Allah.

Malah beliau tidak yakin atau berfikir-fikir bagaimana untuk meneruskan amalan-amalan yang dilaksanakan di Mekah dan Madinah dengan sistem di universiti yang tidak meletakkan solat berjemaah di atas segalanya. Terdapat kelas beliau bermula jam 12.00 hingga 2.00 petang.

Apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Namun saya mempunyai pandangan sisi yang sedikit berbeza. Saya hujahkan kepada beliau apa yang terkandung di dalam hati.

Pertama - saya nyatakan – tidak malukah kita sebagai ibu bapa melihat anak kita tidak memahami al-fatihah sehingga usianya mencecah 16 – 17 tahun? Ustazkah yang salah atau kita yang salah?

Bukan kita yang salah? 

Berapa ramai di antara kita – ibu bapa – yang tidak mahu mengganggu anak-anak lelaki tidur untuk dikejutkan ke masjid? Ustazkah yang salah? Kita takut mereka mengantuk di sekolah. Atau kerana kita sendiri tidak berjemaah?

Kedua, kita mengharap bijak pandai menggubalkan sistem pendidikan yang membesarkan Allah. Bagaimana mereka mahu membesarkan Allah jika aurat isteri di rumah pun tiada upaya untuk dijaga. 

Saya bertanya, mampukah tuan menjaga isteri dan anak-anak supaya berpakaian yang betul-betul menutup auratnya, ketika berhubung dengan ipar-duai atau ketika membersihkan halaman rumah.

Bolehkah pakaiannya di bawa solat?

Ketiga, ibadat haji mengajar kita tentang kepercayaan kepada Allah. Bangunlah 1/3 malam yang tersisa, bergantunglah kepada Allah, mintalah pertolonganNya, mintalah semata-mata kerana Allah. Allahu Akbar setakat masalah kelas pukul 12 – 2 petang sangat kecil bagi Allah. Langit dan bumi Dia mengaturkannya.

Janjinya, kita harus merayu dan merayu supaya Dia membenarkan kita untuk solat berjemaah di masjid sebagaimana yang kita harapkan. InsyaAllah, Allah akan bagi jalan bagaimana menyelesaikan masalah yang kelihatan sangat kecil di sisiNya.

Akhirnya, marilah kita berfikir tentang diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat kita, negeri kita, negara kita dan umah seluruhnya. Marilah kita lakukan yang boleh kita lakukan.

Bila pulang ke rumah, saya menyesal bercakap sebegitu keras. Allah…. Allah… saya tidak berniat mahu melukakan hati sesiapa tetapi – saya juga manusia biasa – yang sentiasa tidak gemar jika ada yang berkata “ia kesalahan dia……”

Saya mohon keampunan Allah.

(Nota: Salam sejahtera, mungkin tulisan saya tidak memberi gambaran yang sebenar. Ramai orang tidak angkuh tetapi ia berlaku di luar sedar kerana kebiasaan pemikiran. Insan yang saya temui sangat lembut hatinya, lemah-lembut percakapannya dan sentiasa bergenang airmatanya. Saya yang sangat keras apabila berhujah. Allahu Akbar saya mohon keampunanNya)

Ia tidak perlu ke dapur

Monday, November 21st, 2011

Saya sudah membaca hampir 50 peratus daripada deraf buku Roza, Bukan Sekadar Resipi. Beliau pula sangat sibuk memasak terutamanya resepi-resepi yang belum bergambar.

“Mama, hari ini kita makan apa,” soal Amirul walaupun di tangannya ada makanan yang sedang dimakan.

“Inilah makanan kita,” jawab Roza. “Kenapa mama? Buku mama sudah siap?,” Allahu Akbar. Rupanya Amirul mengaitkan makanan yang sedap-sedap dengan buku Bukan Sekadar Resepi.

Apa komen saya sebagai seorang pembaca?

Saya terjemahkannya kepada Roza. “Yang, saya fikir tagline yang sesuai untuk buku ini – Ia tidak perlu ke dapur!!!! – kerana saya fikir ia buku resepi yang tidak perlu memasak. Maksud saya, orang lelaki boleh dan perlu membaca buku ini. Lepas baca, suruh sahaja isteri yang masak. Pengajaran daripadanya yang perlu dimakan”. 

Saya fikir ia satu inovasi buku penulisan resepi atau masakan. Jika penerbit pandai, ia boleh dipasarkan dengan menggunakan pendekatan yang berbeza. Ia tidak boleh bersifat konvensional kerana buku ini tidak begitu sifatnya.

Ada seseorang yang sangat pandai mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Namanya Syaizul Amal. Ia orang bijaksana dan usahawan jutawan senyap.

Mal, bagaimana ia boleh dibantu?

Alahai ini pandangan peribadi saya. Orang akan berkata, “itu suami dia yang membuat promosi!”.

Hari untuk ketawa dan senyum-senyum.

 

Senyum

Amirul di belakang bukan main tersengeh lagi. Penyerahan kereta pada 20.11.2011

Satu fasal penting berlalu.

Kini saya berkenderaan. Penumpang pertama Amirul dan Ustaz Aizat (tiada dalam gambar) yang berada di sisi ketika saya memandu pulang. Terima kasih kepada Dr Dahaman yang membawa kami ke kedai.

Besok – InsyaAllah – Encik Razak dan isteri bakal menjadi jemaah haji pertama yang akan dibawa ke rumah menggunakan Dodge VKB 5186. Allahu Akbar, mudah-mudahan ia memudahkan kami untuk beramal ibadat.

Saya tersenyum dan bersyukur kepadaNya.