Archive for December, 2011

Pengalaman

Tuesday, December 27th, 2011

Tugas malam, jika diberi pilihan sesuatu yang akan saya tolak. Semoga Allah memberkati mereka yang mencari ilmu.

Pengalaman bertambah setiap hari.

Hari ini saya mendapat pengalaman baru bertugas di tempat baru, universiti Taibah. Baru berbanding dengan kerjaya saya di UiTM yang hampir 23-24 tahun.

Ketika meninggalkan UiTM Johor, setiap pensyarah perlu mengawas peperiksaan akhir. Sebagai profesor, tugas saya sebanyak 0. Profesor Madya sekali, pensyarah kanan dua kali dan pensyarah biasa sebanyak tiga kali.

Selebihnya ia dibantu oleh pembantu pengawas yang dibayar elaun khas. Tidak banyak tetapi memadai untuk remaja yang baru lepasan SPM.

Beberapa hari yang lepas saya dimaklumkan jadual pengawasan yang perlu saya lakukan. Berapa? 10x! Lain padang lain belalang. Jadualnya pula sangat menarik, 4-6 petang dan 7-9 malam.

Saya fikir 5x akan terlepas solat maghrib dan Isya di Haram. 3x saya akan terlepas bersama Tok Sheikh Quran dan Guru bahasa Arab. Namun ia tugas hakiki. Ia perlu dilaksanakan.

Solat berjemaah bukanlah satu kesukaran. Jemaah silih berganti daripada masuk waktu sehinggalah semuanya reda. Kemudahan tempat solat yang kekal disediakan berhampiran dengan bilik-bilik kuliah dan tempat peperiksaan. Tempat berwudhu juga memang direka bersekali dengan keperluan bilik air. 

Saya memerhati keadaan. Kelihatan semua pengawas riang-ria. Ia seolah-olah bukan satu beban besar yang perlu digalas. Oppps… barulah saya tahu yang ia tugas yang dibayar elaun.

Dan 10x bertugas bersamaan gaji sebulan pensyarah berserta elaunnya.

Tetamu

Jam di belakang gambar sangat benar!

Malam tadi kami menerima tetamu yang sedang menghadiri konferens di Universiti Taibah. Alhamdulillah, ia nikmat Allah kerana dapat pula tinggal di belakang Haram ketika suasana di sini belum dibanjiri oleh tetamu dari seluruh pelusuk dunia.

Teh dan rakan-rakan hanya tiba di rumah ketika jam menunjukkan 10 malam. Itulah waktu yang boleh saya dan Roza luangkan. Saya bertemu mereka di Haram sekitar jam 9.30 malam selesai usai bertugas di kampus.

Meraikan tetamu Allah sangat-sangat menghiburkan. Ia ibarat terapi. Hilang letih seharian. Jadi saya selalu maklumkan kepada mereka yang membuat panggilan, janganlah selalu menyebut, “jika tidak menyusahkan Prof… sebut sahaja… kami ingin menziarahi prof dan keluarga”. Alhamdulillah, saya sangat gembira dan akan berterus-terang sama ada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Dalam banyak keadaan kami cuba mencari ruang supaya kita dapat bertemu dan berkenalan. 

Saya lebih susah jika ada yang berjanji hendak bertamu tetapi pada saat-saat akhir menyatakan “minta maaf prof kami tidak dapat hadir kerana letih sangat….”

Saya ketawa bila Teh menyebut, “Prof saya kena bergambar dengan prof dan keluarga supaya kawan-kawan saya tahu yang saya datang ke rumah prof”. OK… OK… kami bergambar 15 minit sebelum 12 malam waktu Saudi.

Semoga ia menjadi kenangan yang kekal abadi!

Inovasi Nasi Dagang

Nasi dagang di masak menggunakan kaedah Nasi Arab

Masa, lokasi dan keadaan mengajar manusia supaya lebih kreatif. Inilah hasilnya Nasi Dagang yang tidak dikukus sebagaimana cara tradisional. Roza menggunakan metod memasak Nasi Arab. Ia lebih mudah dan cepat.

Rasa? Bagi mereka yang buta rasa pasti tidak dapat membezakan kelainannya.

Kurma jenis Anbar

Buat pertama kali kami mempelawa tetamu kami – Teh dan Rakan-Rakan – menikmati kurma jenis Mejdools dan Anbar selesai mereka menikmati nasi Bokhara.

Anbar ini dari kelas yang besar, lembut dan bersirat kasar. Ia juga salah satu kurma yang saya gemari.

Ubah

Monday, December 26th, 2011

1 Safar 1433 atau boleh ditulis 1/2/1433.

Otak saya sudah mula berfikir menggunakan tahun hijrah, takwim orang-orang Islam. Sedikit demi sedikit minda saya mula melupakan tahun Masihi yang sudah tertanam sejak dilahirkan.

Di sini, semua urusan dilakukan berdasarkan kalendar Islam. Urusan surat menyurat, jadual peperiksaan dan tarikh gaji dinyatakan menggunakan kalendar ini. Ia kelihatan kecil tetapi sangat signifikan buat jiwa seorang Islam seperti saya yang membesar dengan berkiblatkan acuan Barat.

Jadi kesan psikologi pertama ialah tiada kepentingan untuk saya meninggalkan tahun 2011 kerana tahun 1432lah yang menjadi ingatan dan keperluan kami di sini.

Selepas hampir 4 bulan di Madinah barulah saya mengenal bulan-bulan Islam. Saya boleh menyebut dengan jelas susunan bulan dalam kalendar Islam. Ia satu perubahan yang sangat menarik.

Dan menggunakan kalendar Islam tidak pula menyusahkan kehidupan kami di sini.

Kebetulan?

Ia tidak mungkin kebetulan.

Di dalam Islam tiada satu pun yang boleh dikatakan nasib baik, mujur atau secara kebetulan. Jika ada yang berkata, “nasib baik aku berjumpa dengan engkau….” maka ia merupakan satu tabiat yang perlu diubah.

Jika ada orang berkata, “mujur aku baca bab ini…. semua keluar di dalam exam,” maka ia juga kata-kata yang perlu dibuang jauh.

Kesemua kejadian berada di dalam ketentuan Allah SWT. Malah kita sentiasa berdoa, terlintas di hati atau mengharap sesuatu yang sentiasa didengari oleh Allah SWT. Malah doa ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia.

Maka sangat ironi jika kita berkata nasib baik atau mujur apabila beroleh sesuatu yang kita hajati atau mendapat sesuatu yang di luar dugaan.

Maka gantikanlah perkataan nasib baik atau mujur dengan Alhamdulillahirobbil a’alamin. Ia akan menyebabkan kita bersyukur dan mengaitkan sesuatu kejadian dengan kebesaran Allah SWT.

Malam tadi Sheikh Ahmad dan abang beliau membawa saya ke pejabat untuk mendapatkan tempat letak kereta di Haram. Pegawai yang bertugas tersengeh-sengeh dan kemudian berkata,

“Ini profesor saya, saya belajar di Universiti Taibah…..”

Pelajar tahun tiga ini bukanlah pelajar di kelas saya namun beliau mengecam saya. Tentu sekali ia bukan satu kebetulan untuk saya berurusan dengan beliau.

Begitulah bagaimana Allah memudahkan kehidupan saya di bumi Madinah Munawwarah.

Setiap hari bertambah kenalan yang berada di sekitar Haram

Amirul dan Rakan-Rakan

Kawasan kanak-kanak belajar al-Quran bersama-sama Tok Sheikh masing-masing

Amirul sudah dua tiga kali khatam al-Quran.

Namun di Haram saya masukkan beliau ke dalam kelas al-Quran yang paling asas. Saya mahu beliau bermula dengan sebutan Arab asas bersama rakan-rakan Arab di sini.

Kedua – sedikit-sedikit – beliau cepat fasih berbahasa Arab. Akhirnya apabila beliau melepasi tahap bosan ini beliau akan bergerak lebih pantas.

Wah… perancangan seorang ayah begitu. Namun Allah yang akan menentukan apa yang terbaik buat Amirul dan Sofea.

Amirul belajar selepas Asar sehingga Maghrib. Pada ketika ini saya sedang belajar bahasa Arab selama sejam. Sekali-sekala saya akan memerhatikan Amirul dan rakan-rakan belajar dari jauh.

Saya melihat banyak perubahan dalam tempoh sebulan. Kini, Amirul dan beberapa rakannya sudah mula diasingkan dengan kanak-kanak yang lebih kecil.

“Ya Allah mudahkanlah pengajian anak-anak ku di sini. Mudahkan Amirul dan Sofea menghafal ayat-ayat Mu ya Allah”

Tetamu

Sunday, December 25th, 2011

Saya dipakaikan serban. Ia satu gesture menarik!

Saya meraikan 4 tetamu. 2 penduduk tempatan dan selebihnya dari Somalia. Ia suatu perkenalan yang membawa kepada perhubungan yang lebih mesra.

Abdul Walid (Somalia) sedang menuntut di Universiti Islam Madinah di peringkat sarjana. Beliau sedang menyiapkan tesis. Di sebelah petang beliau mengajar saya bahasa Arab, 4X seminggu.

Muhammad Hearsi juga berasal dari Somalia tetapi mempunyai tiga pasport, Amerika, Canada dan Somalia. Kini menetap di Canada bersama isteri dan anak-anak.

Beliau meninggalkan Canada berseorangan kerana mahu belajar al-Quran dan mempedalami bahasa Arab. Beliau rakan sekelas saya dikedua-dua kelas. Malah beliaulah yang sering menterjemahkan apa yang dikhabarkan oleh Syeikh kepada saya.

Kemudian Jaseem dan Ahmad merupakan pegawai Masjidil Haram. Allah temukan kami dalam keadaan mereka mahu berkenalan dan berkawan dengan saya. Malah bersedia pula membantu saya dan keluarga dalam urusan di masjid.

Saya fikir begitulah caranya Allah membantu hambaNya. Ia sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan.

Allahu Akbar.

Kami hidangkan Nasi Arab berlaukan briyani Johor. Ini merupakan cubaan ketiga kami menilai penerimaan orang luar terhadap masakan Malaysia. Alhamdulillah mereka menghirup kuah briyani Johor sehingga habis.

Saya membuat kesimpulan, “Yang, sudah dua kali saya menyaksikan orang Arab menerima lauk briyani Johor awak. Ia boleh diketengahkan”. Orang luar yang telah mencuba lauk ini di rumah kami datangnya dari Arab Saudi, Jordan, Palastine, Pakistan dan Somalia.

Makanan merapatkan hubungan. Ia alat komunikasi yang sangat berkesan. Bila pulang, Ahmad memeluk saya mengucapkan terima kasih yang disebutnya berulang-ulang. Cuma saya terkedu memikirkan bagaimana mahu membalas ucapan dan doa yang tidak henti-henti.

“Afwan… afwan… afwan….,” itu sahaja yang ada di kepala sedangkan saya sudah mempelajari bagaimana mahu menjawab mengikut tahap-tahap tertentu yang berbeza-beza.

Di luar dugaan, beliau membuka serban dan memakainya ke kepala saya. Kemudian, beliau memasuki kereta dan keluar kembali dengan sebotol kecil minyak wangi.

Agaknya beliau sangat gembira dengan apa yang telah beliau lalui. Allahu Akbar, saya tersentuh dan bersyukur kepadaNya. Ia hari yang sangat mengujakan!

Budak tetap budak

Relatif

Sunday, December 25th, 2011

Ia sentiasa bersifat relatif. Dataran kosong berbanding musim haji. Jika dikumpul kesemua yang ada (lelaki yang sihat-sihat) ia memadai untuk memenuhi kawasan ini. Namun waktu solat juga ia masih kosong!

Masa adalah relatif. Kehidupan juga adalah relatif. Misalnya, satu minit di akhirat berbeza dengan satu minit masa di dunia.

Begitu juga dengan kepanasan. Ia berbeza-beza.

Api yang sama boleh membakar seseorang dan ia boleh menyejukkan mereka yang lain. Kisah Nabi Allah Ibrahim yang dibakar oleh orang-orang kafir adalah contoh yang paling hampir. Mereka fikir api itu panas tetapi ia langsung tidak menjejaskan Nabi Allah Ibrahim.

Malah masa menunggu sebelum dibangkitkan juga bersifat relatif. Saya fikir kita akan dibangkitkan serentak. Namun perasaan cepat atau lambat itu berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain. 

Relatif sesuatu perkara itu sendiri merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang mahu berfikir.

Dulu, sahabat UiTM berpesan kepada saya, “Prof, jaga kesihatan. Jangan berjemur terutamanya ketika waktu zuhur. Suhu melebihi 45 darjah celcius”. Ia pesan tahun 2009 ketika mahu berangkat menunaikan umrah.

Ketika itu saya sangat aggresif. Spontan saya menjawab, “ustaz, kenapa kita tidak memohon kepada Allah supaya menjadikan matahari sebagai pelindung kepada kita. Bukankah Allah Maha Berkuasa, Ingat kisah Nabi Allah Ibrahim yang dibakar api tetapi api itu menjadi sejuk. Kenapa kita tidak berdoa  dan memberitahu Allah yang kita pergi ini semata-mata keranaMu ya Allah”.

Maka logiknya, tidak ramai yang akan solat di dataran, hampir dengan Imam (ketika beliau solat hampir dengan Kaabah) kerana percaya kepanasan matahari itu boleh menyebabkan kesihatan terganggu. Maka bersandarlah ramai orang di kawasan redup, mempunyai penyaman udara dan kemudahan yang lain.

Suasana dataran Kaabah ketika saya menunaikan umrah yang baru lalu kelihatan lengang. Namun ada juga yang memilih untuk tidak bertawaf sunat ketika memasuki Haram – misalnya sebelum solat jumaat – kerana cuacanya kelihatan panas.

Malah ada yang terfikir-fikir, mahu ke saf-saf hadapan tetapi melihat-lihat jam di menara dan berbisik, “alamak masih lambat lagi. Dicampur dengan khutbah jumaat…. panas…”

Akhirnya mereka akan mencari tempat yang paling selesa di sisi hati sendiri. Bila semakin hampir dengan waktu solat, keselesaan itu mengikat ramai jemaah untuk bergerak mengisi saf-saf ke hadapan. Punggung menjadi sangat berat.

Sikap dan perangai ini - akhirnya – membawa mereka melakukan perkara yang sama hatta di Masjid Nabawi. Mereka lebih gemar berada di belakang walaupun masjid sangat kosong di barisan yang lebih hadapan.

Allah… ia terbawa-bawa pada musim haji. Malah ia diajar kepada jemaah Malaysia, “haji… kita kena banyak berehat. Tujuan kita mahu menunaikan fardhu haji. Jaga kesihatan”.

Maka ramailah yang solat di hotel dengan alasan hotel jauh dan berbukit.  

Alhamdulillah, kepercayaan saya benar. Saya masih segar, sihat dan bertenaga walaupun setiap waktu saya mencari-cari saf ke hadapan. Ketika bertawaf, bahang panas hilang entah ke mana. Ada kalanya awan menutupi matahari. Ada ketikanya kita berada di sebelah Kaabah yang melindungi cahaya matahari.

Allah ya Allah, ada saat-saat tertentu angin halus menyentuh kulit. Ia sangat nyaman.

Kemudian, saya mendengar khutbah jumaat berhadapan dengan Imam. Ia bukan soal mendengar khutbah kerana mereka yang berada di hotel pun masih boleh menghayatinya (mereka yang memahami bahasa Arab) tetapi ia lebih kepada keinginan untuk berada di saf-saf hadapan.

Opps… rupa-rupanya kepanasan matahari tidak berupaya untuk menyebabkan saya demam, pening kepala atau pitam. Opps… rupanya ada yang Maha Berkuasa lagi Maha Hebat daripada kepanasan matahari.

Opps… agaknya saya masih lagi aggresif sebagaimana tahun 2009. Ia berpaksi kerana ingin melakukan sesuatu atas 1 kepercayaan, hanya Allah yang Maha Berkuasa.

Saya mohon keampunan Allah. “Ya Allah, Kaulah yang satu-satunya yang aku sembah dan mohon perlindungan. Kaulah ya Allah yang aku sembah dan mohon perlindungan. Tiada sekutu bagi Mu, tiada sekutu bagi Mu”.

Masjidil Haram mengajar saya tentang kehebatan dan kekuasaan Allah yang 1.

Hilton Mekah

Saturday, December 24th, 2011

Kami selamat sampai di Madinah.

Kini, saya lebih selesa memandu Madinah – Mekah – Madinah. Sedikit sebanyak saya sudah dapat membayangkan suasana hendak ke Masjidil Haram, Masjid Tanaim dan Kuday Muqif.

Tiga tempat ini sudah memadai untuk menunaikan umrah jika memandu sendiri!

Perjalanan kali ini lebih pantas. Dulu, saya berhenti tiga kali kerana mengantuk yang amat sangat. Jika di Malaysia saya mempunyai pembantu pemandu yang ketika-ketika tertentu menjadi peneraju utama.

Kini Roza sudah boleh berehat-rehat di sebelah. Itulah keistimewaan wanita yang tinggal di Saudi.

Tambah-tambah lagi kami bertolak selepas waktu zuhur. Ia waktu yang merupakan pilihan terakhir untuk memandu bagi mereka yang mengidap diabetes.

Kali ini kami meninggalkan Jabal Ohud tepat jam 3.00 pagi. Ia waktu segar saya. Jadi kami tidak berhenti di mana-mana tempat kecuali solat subuh di salah sebuah masjid di kawasan rehat lebuhraya.

7.40 pagi, kami tiba di Kuday Muqif, kawasan park and ride Mekah. Roza telah menyiapkan makan pagi yang simple, Croissent Sandwich. Ia cuma untuk alas perut. Kemudian kami mengambil teksi untuk terus ke Haram bagi menunaikan umrah.

Tambangnya SR15.

Alhamdulillah, tawaf dan saei sangat selesa. Kemudian saya bergegas semula ke Kuday kerana terfikir yang saya tidak mengunci kereta. Benar. Sangat benar!

Kemudian kami beriktiqaf di masjid sehinggalah solat zuhur. Usai zohor, kami menikmati makan tengahari di Restoran Felda De Saji. Saya – seperti biasa – makan dua keping roti canai. Tukang tebarnya orang Indon!

Kemudian, check-in di Hotel Hilton. Dulu, sebelum adanya menara jam, Hilton merupakan salah satu hotel yang paling ternama. Dulu juga, saya gerun memasuki kawasan ini.

“Mil, l sewa bilik RM5000/semalam. l hendak ajak you dan Roza bermalam di sini. Luasnya macam padang bola”. Ajak seorang kenalan yang kaya-raya. Ini kisah 2-3 tahun yang lepas. Namun ia tidak menjadi kenyataan kerana saya, Roza, Amirul, Azrai, mak dan Abah sudah menyewa hotel untuk rakyat biasa.

Semalam, kami menyewa hotel yang sama. Namun kadarnya hanyalah sebahagian kecil daripada nilai RM5000. Ia offer musim sejuk. Dan luas biliknya hanyalah cukup-cukup untuk kami berempat.

Namun ia masih selangkah dengan Haram.

Allahu Akbar, solat maghrib diimamkan oleh Abdul Rahman as-Sudais.

Ia benar-benar mengembalikan kisah 4-5 tahun yang lampau ketika saya dan Roza menunaikan fardhu haji. Ia sangat indah kerana hampir setiap hari beliau yang menjadi imam pada ketika itu terutamanya solat maghrib dan Isya.

Usai Isya, saya menyampaikan kuliah kepada 15 pasangan jemaah umrah Malaysia di salah sebuah hotel, juga berhampiran dengan Haram.

Alahai… hilang penat seharian memandu, tawaf, saei dan beriktiqaf di masjid.

Ia selesai setelah hampir 2 jam saya bercakap!

3,30 pagi, kami anak beranak sudah berada di Haram. Allah… heningnya bertawaf di kala ini. Banyak perkara yang saya mohon pada Allah SWT. Paling utama saya mahu dijauhi daripada azab kubur, api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga yang paling istimewa.

Ya Allah temukan daku dengan isteri, anak-anak, ayah dan wan, mak dan abah, adik-beradik, ipar-duai, sanak-saudara, rakan-rakan dan kaum muslimin dan muslimat di syurga Mu ya Allah.

………….. ia hujung minggu yang bermakna.