Archive for February, 2012

Bolehkah begitu?

Wednesday, February 29th, 2012

 Berdosa atau tidak? Boleh atau tidak?

Itulah soalan yang saya tanya dan bincang bersama Roza. Isunya mudah. Universiti memberi peruntukan tambang business class kepada kami sekeluarga untuk pulang bercuti.

Ramai yang mengajar kami supaya berpakat dengan pihak travel agent supaya mereka mengeluarkan kelas ekonomi. Lebihan wang boleh digunakan untuk anak-anak yang lain, misalnya untuk membawa Azrai dan Sara ke Madinah.

Hadis sahih Muslim ini memberi jawapan yang sangat tepat.

An-Nawwas bin Sam’an Al Anshari berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang makna kebajikan dan dosa.

Baginda bersabda: “Kebajikan itu ialah akhlak yang baik. Sedangkan dosa ialah  sesuatu [perbuatan dan seumpamanya] yang menyebabkan kegelisahan dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain”.

Rakaman

Posing di Haram

Sofea bergaya di hadapan kamera.

Jalilah, jurukamera majalah ANIQAH (nota: saya harap ia nama yang tepat) sangat bertuah kerana dapat menunaikan umrah sambil menjalankan tugasnya.

Inilah pertama kali kami sekeluarga posing untuk majalah di sekitar Haram. Malu juga….

Sheikh Amirul

Amirul mahu memakai serban bersekali dengan igalnya.

Bila mendapat tahu yang beliau dikehendaki bergambar untuk majalah, beliau memilih sendiri pakaian. Serbannya digosok sampai betul-betul mempunyai side yang tepat.

Kemudian dikenakan dengan igal yang dibeli sendiri beberapa minggu yang lepas. Beliau mahu bergaya. Dan yang lebih penting, beliau tidak malu menggayakanya.

Usai solat Isya – sementara menanti masa ceramah di kawasan salah sebuah hotel  - kami menikmati kebab daging di salah sebuah kiosk di salah sebuah hotel (Movenpick) di sekitar Haram.

Inilah kebab Madinah yang terbaik pernah kami rasa. Roza, Sofea dan Amirul turut bersetuju. Saiznya besar. Satu kebab boleh dimakan berdua, selera orang Malaysia.

Namun harganya sedikit mahal. SR20 sebiji!

Saya fikir ia sangat berbaloi.

Huda dan Hana

Saya peminat Untie Roza

Ibu dan dua anak remaja ini berkejar mendapatkan kami. Rupa-rupanya mereka pembaca buku Travelog Cinta Abadi dan Travelog Impian Abadi

Cerianya wajah manis mereka.

69

Tuesday, February 28th, 2012

“1/2 tahun di Madinah, apa yang prof dapat?,” tanya seorang kenalan di Masjid Nabawi.

Saya ketawa. Lalu saya memberi jawapan yang sangat signifikan, “berat badan saya 69 kg”.

Ketinggian saya di sekitar 5 kaki 5 inci. Bertahun-tahun berat badan saya di sekitar 80 hingga 85 kg. Saya tidak mampu untuk menurunkan berat badan hampir kepada apa yang dicadangkan oleh pakar-pakar kesihatan.

Akhirnya di Madinah ia hampir menjadi kenyataan.

Ia menjadi sangat signifikan kerana saya mempunyai risiko kesihatan tinggi kerana mengidap diabetes. Ia bukan soal ajal-maut kerana penyakit hanyalah penyebab. Masa dan ketika kita dipanggil Allah tidak akan cepat dan lewat sesaat.

Namun saya gembira kerana tidak lagi “pening-pening” apabila bertukar antara sujud dan qiam. Malah saya rasa bersyukur kerana terasa-terasa yang tubuh semakin ringan.

Susut 11 kg bukan soal main-main. Ramai yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk mencapai angka tersebut. 

Jika ada yang bertanya, “apakah rahsia yang telah Dr lakukan?,” maka jawapan saya, “entah, saya tidak pernah terfikir untuk mengurangkan berat badan. Agaknya kerana saya berpuasa selang-sehari dan ia hasil fizikal yang diberikan Allah tanpa saya sedari”.

Saya bersyukur dengan nikmat ini.

Tetamu Allah

Ramainya wanita

Inilah kumpulan yang melawat kami di Rumah Kecil di Jabal Ohud. 9 wanita dan 3 lelaki. Ia dua kumpulan yang berbeza.

“Jaga aurat. Ia bukan soal menutup rambut sahaja. Tanda aras yang kita sempurna berpakaian apabila ia boleh di bawa solat. Cabaran kita bukan soal menutup aurat di pejabat tetapi apabila di rumah.

Ia ketika saudara-mara bertandang ke rumah. Ketika bersama abang ipar, apabila berkemas di halaman atau ketika menjemur kain. Ia sukar kerana kita berada dalam masyarakat yang tidak apa”

Ini dugaan atau ujian paling hebat buat seorang wanita yang mahu mendapatkan umrah atau haji yang mabrur. Ia tidak mengapa bagi mereka yang datangnya “suka-suka” sebagaimana hadis akhir zaman, “mereka datangnya semata-mata melancong…..”

Ia kelihatan kenyataan yang sangat pahit tetapi mudah-mudahan ia menjadi penawar hati yang berbekas.

Saya mohon keampunan Allah.

Terkini

Monday, February 27th, 2012

Ada perkembangan menarik yang mahu kami kongsi bersama.

Tabung Masjid KRTS

Selain daripada tanah yang ditawarkan, kami juga sedang mengenalpasti beberapa pilihan lain yang bakal memudahkan urusan pembinaan masjid di Galkayo, Somalia.

Jumlah kutipan setakat ini sudah menghampiri RM500,000, melebihi separuh daripada kos keseluruhan masjid. Sasaran awal RM300,000 sudah dipenuhi dan kami akan memaklumkan kepada khalayak apabila ia sudah mencecah USD200,000 (kos keseluruhan masjid).

Projek ini dijangka akan dimulakan pada bulan Jun atau Julai tahun ini juga, awal dua tahun daripada perancangan asal.

Buku Bukan Sekadar Resepi

Alhamdulillah, kami menerima maklum balas berikut, “Sekadar makluman semasa, BUKAN SEKADAR RESIPI kini sedang menunggu giliran untuk di lay out. BSR memang seronok dibaca dan banyak pengajaran dapat dikutip daripada tulisan puan. Doakan kami dapat menjayakannya dengan baik”.

Buku Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan

Buku ini juga sedang diperingkat semakan akhir. Roza baru sahaja selesai membuat pembetulan kecil sebelum pihak penerbit membuat keputusan untuk dicetak.

Buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian

Alhamdulillah, saya fikir ia juga berada di peringkat akhir kerja-kerja pra-cetak. Mudah-mudahan ia berjalan lancar.

VCD Motivasi Haji dan Umrah

Ia juga nampak bergerak setelah heboh dengan grafik depan yang telah dibuat pilihan oleh para pembaca. Ia telah dirakamkan beberapa hari sebelum kami berlepas ke Madinah. Kini, hampir 1/2 tahun berlalu.

Satu projek yang saya jangka dapat disiapkan sebulan dua menjadi sangat sulit dan rumit.

Ketiga-tiga buku dan VCD ini akan dilancarkan serentak – InsyaAllah – ketika kami pulang bercuti ke Malaysia di sekitar pertengahan bulan Jun nanti.

Kami mengintai masa dan ketika untuk mengadakan sesi bertemu rakan-rakan KRTS dan FB. Saya berfikir-fikir bagaimana mahu mengendalikannya daripada kejauhan ini.

InsyaAllah, Dia akan memberi jalan!

Tetamu Umrah

Pembeli 1000 pertama buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Semalam mereka muncul di Madinah.

Dato’ Zaini dan Datin Norasyikin pastinya mempunyai ingatan hubungan yang sangat kuat buat saya dan keluarga.

Merekalah yang telah membeli 1000 naskah buku Travelog Haji dan mengedarkan secara percuma kepada mereka yang telah menghadirkan diri ke majlis pelancaran buku tersebut pada 2007.

Ketika dalam perjalanan pulang – usai majlis pelancaran – beliau telah membuat panggilan, “Prof, jika ada seorang sahaja yang terbuka hati dan pergi menunaikan fardhu haji selepas membaca buku you, l rasa lega dan berpuas hati”.

Kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Taufik dan hidayah anugerahNya. Namun penyebabnya boleh datang melalui pelbagai cara.

Pada ketika itu ramai yang berterima kasih kepada saya kerana mendapat buku percuma dan terkesan dengan bacaan mereka. Saya nyatakan, “berterima kasihlah kepada Dato’ Zaini dan jika boleh e-mellah kepada beliau”.

Kami menerima berpuluh-puluh e-mel. Ada di antaranya berkata, “saya telah keluarkan kesemua simpanan saya di bank dan telah membuka akaun Tabung Haji. InsyaAllah saya mahu menunaikan fardhu haji secepat mungkin”.

Mudah-mudahan insan ini sudah berjaya mencapai cita-citanya. Mudah-mudahan juga Dato Zaini dan Datin sudah boleh berasa lega dan berpuas hati dengan sumbangan yang telah mereka berikan pada tahun 2007 tersebut.

Malah mereka yang diberi percuma buku tersebut – dikhabarkan – telah membeli semula dengan kuantiti yang banyak untuk dihadiahkan kepada raka-rakan mereka.

MasyaAllah, Allahu Akbar!

Namun kami sekeluarga memperolehi sesuatu yang lebih bermakna.  Kami berjumpa sekali-sekala namun persahabatan ini terus kekal di hati dan perasaan. Ia bukan soal “Dato atau Datin”, “kaya atau miskin”, namun saya sering tersentuh dengan tindakan kecil mereka yang sangat signifikan.

Misalnya saya jadi sebak bila Datin bercerita, “Prof, l contact Sara dan bertanya, Untie mahu ke Madinah, apa yang  Sara hendak pesan. Allah, sayu hati bila Sara memberitahu, tidak ada apa untie, kirim salam pada ayah dan mama”.

Ia berbekas di hati.

Kembara rohani yang mencabar

Mereka menunaikan umrah dengan cara sempoi, rugged dan beradventure.

Menarik. Tuan Haji Mazlan dan isteri menetap di Kuantan. Kos Visa, RM200, beli tiket kapalterbang dan terbang ke Jeddah. Kemudian, naik bas ke Madinah.

Di Madinah, cari bajet hotel dan kosnya RM70 semalam. Sangat hampir dengan Haram.

Allahu Akbar, kami suka mendengar kisah beliau dan isteri.

Artikel ANIS

Sunday, February 26th, 2012

Artikel ini telah disiarkan oleh Majalah ANIS di bawah tajuk Ia tidak Berbeza (agak saya). Setiap bulan, saya dan Roza menulis di sini.

Madinah tidak asing buat saya dan Roza. Sudah dua kali kami berada di sini. Pertama kali pada 2007, menginap di sebuah hotel berhampiran dengan kawasan perkuburan Baqi’.

Kami tinggal selama 8 hari termasuk hari perjalanan. Kali kedua pada 2009, menginap di kawasan yang sangat bertentangan dengan kedatangan kali pertama. Tempoh tinggal pula hanya 3 hari sahaja. Kedua-dua hotel sangat hampir dengan masjid.

Kedatangan kami kerana ibadat khusus, ziarah selepas (sebelum) menunaikan fardhu haji dan umrah. Sepanjang masa – dunia kami – berada di Masjid Nabawi.

Solat lima waktu, mencari-cari ruang di Raudhah, berikhtiar mencari saf hadapan, membaca al-Quran dan terjemahan, berpuasa sunat dan beriktiqaf di masjid.

Dunia kami di sekitar Haram (nota: panggilan penduduk tempatan kepada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi). Kedai-kedai yang dipandang hanya berada selang beberapa meter daripada hotel.

Kalau adapun tempat yang sedikit jauh – pada pandangan kami – adalah pasar kurma. Di antaranya, program-program ziarah dan lawatan yang diatur sebagai pengisi antara ibadat di Haram adalah aturcara rutin buat mereka yang menunaikan ibadat haji dan umrah. Namun ia sangat minimum.

Kesimpulannya, seluruh kehidupan berpaksi dengan amal ibadat di sekitar Haram, masjid Nabawi yang telah dijanjikan 1000x lebih baik daripada mana-mana masjid kecuali Masjidil Haram.

“Prof, hidup di Madinah tidak sama dengan sesekali datang menunaikan haji dan umrah,” sebut seorang kenalan yang lebih lama tinggal di sini. Agaknya benar!

Barangkali beliau merujuk kepada amal-ibadat di masjid. Mungkin juga beliau melihat mereka yang datang menunaikan haji dan umrah tidak perlu memikirkan apa-apa selain daripada beramal ibadat secara khusus kepada Allah SWT.

Pemikiran seumpama inilah yang menyebabkan banyak perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan tertangguh ketika jemaah menunaikan fardhu haji.

Misalnya, seorang pelajar PhD tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya apabila penyelia menunaikan fardhu haji. “Jangan kacau saya semasa saya di Mekah dan Madinah,” arahan ringkas yang boleh memberi kesan besar sedangkan dengan hanya 3-5 minit berkomunikasi boleh menyelesai kebuntuan pelajar.

Jika kita menganggap kerja-kerja penyeliaan bukanlah satu amal ibadat, maka tentu sekali arahan seumpama itu akan keluar daripada bibir seorang penyelia. Saya teringat ayat 198 surah al-Baqarah yang bermaksud,

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Tinggal lagi ia tidak boleh dilakukan sehingga mengganggu amal ibdat wajib yang lain.

Kini, saya menghuni di Madinah. Jika orang berkata, ia tidak sama dengan umrah dan ziarah, maka saya berharap Allah memberikan kekuatan untuk saya melaksanakan amal-ibadat seolah-olah saya berumrah dan ziarah sepanjang tahun. Mungkin konteksnya berbeza tetapi pengisiannya tetap sama.

Pertama, ia berkisar kepada satu pertanyaan ringkas, “kenapa kita berada di dunia?”. Saya fikir, jawapannya juga ringkas sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui Surah Adh-Dhariyat ayat 56.

Ia ayat yang diulang-ulang dibaca dan disebut melalui ceramah dan kuliah agama dipelbagai pentas. Maksud saya, ia ayat popular di pasaran ceramah. Terjemahan ayat tersebut bermaksud,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu

Inilah satu-satunya objektif kehidupan dunia yang perlu dicapai. Tidak dua dan tiga. Ia hanya satu dan kelihatan sangat mudah untuk dipatuhi, hanya menyembah dan beribadat kepada Allah SWT.

Maknanya, seluruh kehidupan manusia di dunia perlu menuju kepada tujuan ini. Akhirnya, apa sahaja yang kita lakukan di dunia merupakan satu bentuk ujian sama ada ia ujian duka atau ujian suka yang sepatutnya membawa kita kepada objektif yang satu iaitu menyembah dan beribadat kepadaNya.

Ia tidak kira sama ada di Madinah ataupun di Shah Alam. Malah sama ada ketika menunaikan fardhu haji atau umrah, ia bukan lagi waktu-waktu yang kita pilih untuk melebih atau mengurangkan amal ibadat. Ia patut konsisten sepanjang masa.

Namun ada sesuatu yang menarik apabila berada di bumi Madinah. Solat berjemaah – seolah-olah – wajib. Mereka solat di mana-mana sahaja. Di lapangan terbang, ruang kosong pejabat, jalanraya dan masjid kelihatan berada dalam lingkungan 100 – 150 meter di kiri dan kanan. Soal pokoknya mereka berjemaah.

Di kawasan rumah kami, sekurang-kurangnya ada 4 masjid yang boleh didengari azan sahut-menyahut. Ia bukan masjid besar tetapi memadai untuk penduduk setempat segera bersolat tanpa membebankan mereka. Subhanallah, Allahu Akbar, bagi saya ia agak ganjil jika masih tidak mahu berjemaah di sini.

Secara peribadi, di sini amalan puasa sunat Isnin dan Khamis juga sangat-sangat menggembirakan. Sekurang-kurangnya di Masjid Nabawi. Majlis-majlis berbuka puasa ada di setiap penjuru masjid. Benar, ia hanya dengan beberapa ulas buah tamar, air zam-zam, sedikit roti, kopi Arab dan jika ada rezeki dihidangkan dengan sedikit kuih.

Ya Allah, nikmatnya berbuka puasa di sini hanya Allah sahaja yang tahu. Saya sering bercerita kepada jemaah haji Malaysia, “cubalah…. cubalah berpuasa sunat semasa menunaikan fardhu haji atau umrah, ada satu rasa yang luar biasa yang tidak mampu saya ceritakan. Rasalah sendiri”.

Hakikatnya, di sini kita berpuasa bukan puasa lapar dan dahaga. Segalanya ala kadar. Tiada bazar Ramadhan yang memanggil-manggil. Tiada masa untuk bergossip dan mengumpat. Malah tidak perlu khuatir terpandang aurat yang terlarang. Ia kelihatan terkawal.

Malah di atas segalanya, ada rasa damai yang tidak dapat diceritakan. Namun – bagi saya – ia boleh dicapai di mana-mana sahaja kaki dipijak atau bumi mana yang dijunjung.

Jika diri mahu memahami kenapa kita dilahirkan, kenapa kita hidup di muka bumi ini dan ke mana tempat akhir yang bakal di tuju, maka pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah SWT. Ia mampu melahirkan mereka yang kusyuk beramal ibadat kepada Allah SWT tidak kira sama ada di sini ataupun di Malaysia.

Bukankah Allah ada di mana-mana?

Salam sejahtera dari Madinah Al- Munawwarrah. Jika ada kesempatan untuk hadir ke sini, jemputlah ke rumah untuk menikmati teh pudina yang segar, Mungkin – jika ada rezeki – Roza (Chef Travelog Masakan: Bukan sekadar resepi) akan memasak nasi Arab yang lazat.

Ia tidak berbeza

Saturday, February 25th, 2012

Setakat ini, Movenpick Mekah hotel terbaik yang pernah kami diami. Qahwah dan kurma tidak boleh dipisahkan.

Kami selamat sampai di Madinah di sekitar jam 8 malam setelah mengharungi perjalanan hampir 5 jam termasuk dua kali berhenti rehat yang panjang.

Ia perjalanan yang sangat memenatkan. Namun kepuasan rohani tidak dapat diungkapkan. Masjidil Haram mempunyai segala-galanya. Misalnya - dalam kepenatan - duduk saja-saja mengadap Kaabah di pagi hari nyata mempunyai aroma yang tidak dapat diceritakan.

Pagi-pagi lagi saya melayari internet, mengadap www.booking.com dan membuat tempahan kembara Masjidil-Haram seterusnya. Setiap kali berkunjung ke Mekah, kami memilih hotel yang berbeza-beza sebagai hadiah kepada - anak-anak remaja – Sofea dan Amirul.

Setiap hotel di Mekah mempunyai surprise tersendiri. 

Umrah kali ini sangat-sangat berbeza dengan kunjungan kami sebelumnya. MasyaAllah, ia seumpama menunaikan fardhu haji pada 2006. Jemaah sangat ramai.

Kami tiba di Haram ketika azan subuh berkemundang. Allahu Akbar, laluan melalui pintu 1 sudah tidak boleh sampai ke dataran. Ia luar biasa berbanding hari-hari sebelumnya.

Saya terdorong ke tingkat atas.

MasyaAllah, pusingan tawaf menjadi sangat besar. Hampir-hampir ke tangga. Kami berempat hanya dapat menyempurnakan tawaf umrah selepas lebih sejam berjalan perlahan-lahan mengikut arus.

Usai saei, saya tertidur di bukit Marwah. Ia tidur yang nyenyak sehingga sayup-sayup saya terdengar, “itu prof Kamil…..”. Kini, di kiri-kanan, depan dan belakang, jauh dan dekat, wajah-wajah Melayu sudah mula kelihatan dengan jelas.

Musim haji dan umrah – agaknya – sudah tidak berbeza lagi. Manusia sudah mampu menunaikan umrah tanpa halangan yang sukar. Ia tergambar di dataran Kaabah.

Alhamdulillah. Itula rezeki Allah yang perlu disyukuri.

Si buta dengan Tongkatnya

Saya berada di saf paling hadapan bagi menunaikan solat subuh. Tiba-tiba datang Arab buta yang bertongkat duduk di hadapan saya. Hati saya berkata, “tempat ini agaknya bukan milik saya”.

Benar, apabila askar mahu “membersihkan” saf hadapan yang bertindih maka sayalah yang ditujunya supaya beredar. Dalam keadaan biasa, mereka yang tidak berada di dalam saf akan diminta pergi.

“OK… Maa Fii Musykil,” saya senyum dan bangun. Askar itu ketawa melihat saya begitu mudah mengalah. Namun hakikatnya saya sangat bersedih hati.

Saya mahu solat di situ. Saf paling hadapan (orang awam), benar-benar di belakang iman dan ia di pintu Kaabah. Saya sudah di situ, dilapangkan tempat dan sepatutnya ia menjadi milik saya.

Hakikatnya, jika Allah menyatakan “TIDAK”, maka ia pasti tidak berlaku.