Bimbang

Kebimbangan – barangkali – tidak dapat menyelesaikan masalah hari esok. Namun ia mungkin meragut kegembiraan hari ini.

Hati bimbang atas banyak perkara. Isu-isu kewangan, kerjaya, jodoh, anak-anak dan pelbagai lagi. Kebimbangan tidak akan ada penghujung.

Kebimbangan membawa manusia berusaha agar mereka dapat mengatasi apa yang mereka bimbangkan. Kadangkala, penyelesaian ada di tangan. Selebihnya perlu bergantung kepada banyak faktor di luar jangkauan sendiri.

Bagaimana dengan kebimbangan untuk menghadapi hari yang kekal abadi. Persoalan syurga atau neraka. Perlukah kita dihisab? Dan banyak lagi. Tentu sekali ia melintas di hati.

Namun ia boleh (berpura-pura) diketepikan kerana ia hanya perlu dihadapi pada satu ketika yang tidak diketahui masanya.

Bimbang, ia diperlukan. Namun bimbang kekal begitu jika ia tidak ditangani dengan cara yang hakiki.

Allah, Allah, Allah, saya berkata kepada diri sendiri, “hendaklah daku sabar dan solat, dan solatlah dengan kusyuk”. Ia kata-kata yang mencipta kebimbangan yang lain.

Misalnya, “bagaimana mahu kusyuk?”.

Kita bimbang sebelum melakukannya!

Tetamu Umrah

Dr Arun bersama kakak dan Bukhari bersama isteri

Malam tadi kami menerima Dr Arun dan kakak di rumah kecil kami di Jabal Uhud. Arun menyerahkan tesis PhD beliau yang telah siap dibinding.

Saya bertanya, “Run, bagaimana rasanya apabila berjaya menamatkan pengajian PhD?”

Saya tidak memerlukan jawapan. Saya sendiri boleh bercerita kerana telah melalui saat-saat tersebut.

Ia rasa lega yang amat sangat. Namun kepuasannya tidak berpanjangan. Melihat ke belakang, kita akan terbayang bagaimana rasa ketika di kemuncak tempoh pengajian, menanti saat-saat divivakan (mempertahankan tesis).

Bayangkan kembali bagaimana seluruh jiwa dan perasaan bergantung harap kepada Allah SWT.

Saya tidak tahu mereka yang lain, tetapi kesemua pelajar-pelajar PhD di bawah pengawasan saya akan diminta bangun malam, berdoa dan bermunajat. Setiap kejayaan adalah anugerah Allah kepada hambanya.

Ada satu kepastian, kita akan merindui saat-saat kita begitu hampir dengan Allah kerana benar-benar mengharapkan kasih-sayangNya.

Tahniah Arun, saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaan di Malaysia.

Sebelum berpisah saya sempat bertanya, “Run, mahu saya carikan pasangan?”.

Beliau tersenyum. Saya memilih untuk mentafsir, “senyum tanda setuju!”.

Kami juga sangat teruja menyambut kedatangan “Yuk dan Bukhari”, sepupu Roza di sebelah keluarga Abah. Bertemu sanak-saudara yang hampir memberikan rasa yang luar biasa.

Barangkali, itulah unsur-unsur rindu kepada keluarga yang tidak dapat disembunyikan. Dan kami menanti lebih ramai lagi adik-beradik, sepupu-sepupu, mak saudara dan bapa saudara untuk mengunjugi kami di sini.

InsyaAllah, ia pasti mengubat rindu.

10 Responses to “Bimbang”

  1. Muna Fairuz says:

    Assalamualaikum Prof,

    Alhamdulillah dan tahniah kepada Dr Arun!

    Saya menanti entri Prof seawal pagi dan syukur dapat baca.KRTS ini ibarat surat khabar yang sentiasa dinanti-nantikan.

    Terima kasih Prof.

  2. teh says:

    Semoga kita terpelihara dari neraka Allah

  3. najwa-JB says:

    Assalam..

    Kurusnya uncle.. (sebak tengok)
    masih demam lagi? semoga cepat sembuh ya.

    Untie Roza.. hmm, makin berseri-seri.
    tak nak lepas mata memandang!

    Rindu to both of you!

  4. mumumimi says:

    Salam Sejahtera Prof,

    Terima kasih di atas N3 yang berkisar kepada di antara perkara-perkara yang menyelamatkan, ialah berharap sepenuhnya kepada Allah Ta’ala, serta gentar dan takut kepadaNya. Harap dan takut itu adalah sebagai suatu tingkatan yang mulia dari Allah Ta’ala kerana keduanya itu menjadi sifat para Nabi dan Rasul, serta pengikutnya dari orang-orang saleh dari kaum Mukmin.

    Mudah-mudahan bila Prof kembali ke tanah air sekitar Jun nanti, insyaAllah, saya diberi kesempatan untuk mendengar salah satu ceramah Prof untuk ubati rindu saya.

  5. samsuar says:

    Salam sejahtera tuan sekeluarga dan kerabat KRTS semuga semuanya si rahmati Allah.

    Apa pandangan dan nasihat tuan kepada beberapa kelompok profesional (tak kira Doktor ke guru jurutera atau apapun) semasa dalam pengajian atau masa temuduga kerja berjanji begitu begini tetapi bila sudah dapat kerja selalu merungut.

    Gaji kecil lah,penempatan tak sesuai lah,lambat promotionlah dan pelbagai lagi rungutan.

    Ini sering berlaku hingga kerajaan pun pening terpaksa impot guru,doktor dll.

    Mohon Allah ampunkan

  6. AlFaqir says:

    Assalam,

    Izinkan saya memetik kata2 dari Cik Hamidah Ng Mei Kee – radio IKIM

    “Kita tidak punya apa-apa. Semuanya milik Allah sebab semuanya datang dari Allah. Cuma satu milik kita yang bukan datang dari Allah….dosa kita”.

    Allahu Akbar…

  7. mohd suhaimi says:

    Assalammualaikum,
    masya Allah setelah membaca nota ini dan melihat gambar, saya masih tertanya-tanya adakah itu pensyarah costing saya semasa di ITM Dungun thn 89-92. Seorang yg lemah lembut tapi tegas, seorang pegawai ROTU, pensyarah yg amat mengambil berat ttg pelajarnya tidak kira hal akademik atau pun tidak. Kemudian berhijrah ke ITM Segamat. Jika beliau adalah En. Arun Mohamed yg sama maka tolong Prof sampaikan salam terimakasih saya kepada beliau. Itupun jika diizinkan Allah, jika tidak dapat maka tidak mengapa. Terima kasih.

  8. supiahabu says:

    Assalamualaikum Prof

    Semoga prof dan keluarga sihat walafiat. Prof menyentuh tentang
    ” KHUSYUK ” itulah perjuangan sebenar kita setiap kali solat. Subhanallah……memang sukar untuk mengekalkan hati hadir mulai takbiratul ikhram hinggalah ke salam.Mohon sampaikan salam saya kepada junjungan kita nabi muhammad saw.

  9. Tukimin Jalil says:

    Assalamualaikum Prof….semoga sejahtera selalu.

    Alhamdulillah….saya baru sahaja habis membaca buku Prof….Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Terimakasih yg tak terhingga atas perkongsian pengalaman mengerjakan haji…..sungguh meruntun jiwa utk ke sana. Saya ingin memohon keizinan Prof mengamalkan doa-doa yg terdapat dalam buku tersebut….mudah-mudahan saya juga jadi seperti Prof, mendapat haji mabrur….amin.

    Wassalam.

  10. ummu adhwa' says:

    Salam prof, Pn Roza & semua

    Saya diamanahkan ibu utk bertanya ttg universiti2 yg terdapat di Madinah utk adik perempuan bongsu saya. Benarkah pelajar perempuan perlukan mahram utk belajar di sana & sekitar berapa kos daftar & pengajian satu semester di sana.. serta kelayakan entri point utk universiti di sana (mungkin khususnya Taibah). Terima kasih. Salam

Leave a Reply