Archive for the ‘Banjir di Segamat’ Category

Kuliah 2/2011

Wednesday, February 9th, 2011

Khalayak Masjid Bukit Siput mungkin sudah dapat meneka kenapa saya memilih tajuk, “Bagaimana mahu bersabar?” sebagai topik kuliah bulan ini. Ia sangat relevan dengan situasi yang sedang mereka tanggung. Dikhabarkan hampir 1000 penduduk Bukit Siput yang terlibat dengan banjir besar yang melanda Segamat.

Bagaimana mahu bersabar? Pertama, marilah kita menyelesaikan isu pokok terlebih dahulu iaitu, kenapa kita diciptakan oleh Allah SWT? Jawapannya sangat jelas melalui ayat 56 surah Adh-Dhariyat, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

Jika kita bersetuju dan patuh dengan ayat ini maka selebihnya menjadi lebih mudah. Keseluruhan elemen kehidupan di dunia ini merupakan ujian Allah dalam proses untuk melaksanakan menyembah dan beribadat yang dituntut olehNya. Saya tunjukkan diagram ini kepada khalayak,

Kehidupan sebagai satu ujian

Saya kemukakan 6 elemen kehidupan sebagai contoh dengan mengemukakan dalil-dalil betapa ia merupakan ujian Allah kepada manusia tidak kiralah elemen tersebut berunsur kedukaan atau pun keriangan. Misalnya, saya memetik surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud:

“Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar”

Dalam satu hadis dilaporkan oleh Anas r.a yang Rasulullah pernah berkata,

“Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”.

Malah dalam konteks mereka yang berilmu, ujian paling besar ialah kerana tidak mengamalkan ilmu tersebut. Begitu jugalah dengan mereka yang berkuasa, ujiannya cukup besar di atas pangkat dan kuasa yang telah diberikan, misalnya keperluan berlaku adil dan saksama kepada mereka yang dipimpin.

Jika kesemua elemen kehidupan ini merupakan ujian, maka mereka yang lulus ujian akan terarah ke arah tujuan manusia diciptakan. Jika gagal, jadilah manusia yang menzalimi diri mereka sendiri.

Kesemua kenyataan-kenyataan ini disertakan dengan dalil-dalil  yang telah dinyatakan secara jelas oleh Allah SWT.

Namun manusia juga merupakan insan yang lemah. Mereka biasanya bersifat lalai, tamak, sombong, takbur, riyak dan angkuh kepada diri sendiri, manusia yang lain hatta kepada Dia yang Menciptakan manusia.

Pada sudut yang berbeza, manusia juga diberi kaedah untuk menangani ujian-ujian supaya tetap teguh kepada tujuan asal manusia dicipta seperti sifat ikhlas, syukur dan sabar.

Dan manusia juga diberi ruang atau elemen paling istimewa oleh Allah SWT untuk bertaubat bagi membetulkan keadaan supaya kembali ke landasan yang betul. Akhirnya, saya menunjukkan diagram ini kepada khalayak bagi membuat rumusan terhadap apa yang telah saya ucapkan. 

Deraf elemen sabar dalam Konsep Kehidupan. Nota: Syukur bukan Shukur

Dalam waktu yang terbatas saya cuba menerangkan konsep-konsep ini secara ringkas tetapi – mudah-mudahan – dapat diterima oleh khalayak pendengar yang mempunyai latarbelakang yang berbeza. Lalu saya bertanya kembali; kenapa kita diciptakan?, bagaimana pandangan kita terhadap elemen-elemen kehidupan? dan adakah anda bersetuju dengan saya?

Jika bersetuju, marilah kita melihat kepada fokus kuliah pada hari ini iaitu, “bagaimanana mahu bersabar?” apabila berhadapan ujian Allah, tidak kira ia bersifat keriangan atau pun kedukaan. Marilah kita membaca surah Al-Ankaboot ayat 2-3 bermaksud,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

 Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta

Ya Allah, rupanya ujian-ujian ini Allah mahu memilih di antara orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan orang yang berdusta!  Lalu amati pula pesanan Allah SWT melalui ayat 45 surah al-Baqarah,

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk

Akhirnya, jika kita ditimpa bencana dan memahami itu adalah ujian Allah, maka cara melaksanakan “kesabaran” kita adalah dengan menghampirinya dengan lebih hampir lagi. Jika kita yang sering solat berjemaah, jangan pula ditinggalkan masjid kerana sakit belakang mencuci rumah yang diselaputi lumpur.

Jika kita di tempatkan di pusat pemindahan banjir yang bersebelahan dengan masjid, jangan pula ditutup telinga apabila azan dibunyikan. Jika benar-benar sabar, bangunlah di malam hari dengan bertahajud, bermunajat dan menyatakan kesyukuran kepadaNya yang kita masih lagi berpeluang untuk bertaubat di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Jika kita terlantar di hospital, masih boleh bercakap, bergerak dan mampu berfikir maka bukti dan laksanakan kesabaran dengan sentiasa mengingatiNya. Bukankah Allah memberi keringanan dan kemudahan untuk mereka yang ditimpa bencana? Namun ia tidak sekali-kali membenarkan kita “melupai”Nya.

Berpesanlah dengan orang yang ditimpa ujian, “Prof, bersabarlah… ingat Allah. Mohonlah keampunannya, perbanyakkan solat malam. InsyaAllah, Dia sentiasa hampir dengan orang yang sentiasa mengingatiNya” atau nyatakan secara jelas, “Abah…. bersabarlah… jangan lupa solat, berzikir, ingat Allah sentiasa. Itulah yang membezakan orang yang bersabar di sisi Allah”.

“Ya Allah aku mohon keampunanMu kerana menyampaikan sesuatu yang aku sendiri terlalu fakir dan lemah. Aku mohon keampunanMu ya Allah jika apa yang aku sampaikan ini tidak pula aku amalkan. Aku mohon maaf di atas kelalaianku”.

Saya akhiri kuliah malam tadi dengan rasa yang pelbagai. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Merealisasikan sifat sabar

Tuesday, February 8th, 2011

Kedai Dobi di Segamat sudah tidak menerima kain untuk dicuci. Washing Machine pula rosak. Kata saya, "Bersabarlah Yang......"

Malam ini saya akan menyampaikan kuliah maghrib bulanan di Masjid Bukit Siput, Segamat. Topik yang akan saya sampaikan bertajuk, Merealisasikan Sifat Sabar.

Saya menerima SMS, catatan di blog dan panggilan telefon yang menyebut “Prof, bersabarlah…. ini adalah ujian Allah. Ini adalah musibah”. Pada sudut yang lain akan ada pula yang menyatakan, “itu tandanya Allah sayang kepada kita”. Dan akhirnya ada juga yang menyebut, “Allah mahu memberi yang lebih baik”.

Apakah yang terlintas di hati pengucap perkataan sabar? Apakah mereka membayangkan harta benda yang hilang? Mungkinkah mereka memikirkan tentang kesukaran dan kepayahan untuk membersih dan mengemas kembali rumah yang berlumpur? Ia banyak kemungkinan lain yang tidak dapat saya telah.

“Apa aku nak kata, kau sabor ajelah,” sambil ketawa  sahabat saya – Dr Nizam – mengakhiri perbualan. Maksudnya, cerita punya cerita maka perkataan “sabar” akan menjadi penyelamat kepada keadaan. Bahasa lain, “engkau redha sahajalah, itu adalah ujian Allah”.

Isu yang lebih besar ialah bagaimana orang yang menanggung ujian Allah mahu merealisasikan sifat sabar yang diuar-uarkan. Ia tidak semudah 1,2 dan 3.

Bagaimana mahu memudahkan diri untuk “bersabar”? Dan bagaimana pula kita mahu bertindak balas dalam keadaan kita menerima ujian supaya sifat sabar itu muncul secara semula jadi?

InsyaAllah akan saya tulis semula selepas saya menjelaskan kepada khalayak masjid. Mudah-mudahan Allah permudahkan saya untuk berbicara dalam bahasa yang mudah dan dapat difahami oleh khalayak pendengar.

Duit syiling

Monday, February 7th, 2011

Sisa banjir 2011 Segamat

Duit syiling mempunyai dua permukaan. Ketika zaman kanak-kanak kami memanggilnya ekor dan kepala. Ia boleh digunakan untuk mengundi tempat, permulaan atau apa sahaja yang mempunyai kebarangkalian 50%. Malah ada yang berjudi menggunakan duit syiling.

Dalam konteks falsafah kehidupan tradisional, setiap kejadian mempunyai dua kesan. Baik untuk kita buruk untuk yang lain. Pasaran saham misalnya, keuntungan yang diraih oleh seseorang, di mana-mana akan ada manusia lain yang mengalami kerugian.

Seorang peniaga yang membuka restoran baru dan mendapat keuntungan, maka ada di mana-mana peniaga lama yang mengalami kerugian.

Maka manusia sentiasa bersaing untuk merebut permukaan yang lebih baik. Lebih jauh lagi, persaingan ini akan membawa beberapa kesan negatif yang lain. Fitnah, hasad dengki, tidak ikhlas, tidak sabar dan berburuk sangka meresap sedikit demi sedikit. Jika tidak dikawal, ia boleh menjadi barah yang sukar diubati.

17 tahun yang lampau saya menulis artikel berdasarkan konsep ini bertajuk “Dimensi Sosial Perakaunan” yang telah disiarkan oleh Berita Harian melalui ruangan utama, di bawah ruangan Lidah Pengarang. Abah saya bertanya dan berkata, “Abah baca tetapi apa yang Kamil tulis?. Abah tidak faham”.

Kawasan perumahan kami dilitupi dengan sisa-sisa banjir. Setiap hadapan rumah bertimbun dengan pelbagai jenis pakaian, perabut, alat elektrik dan buku-buku yang sudah menjadi sejarah. Ia satu kerugian kepada pemiliknya.

Namun hampir setiap jam muncul manusia lain yang membelek-belek timbunan sisa-sisa tersebut. Ada yang datang hanya mencari bag-bag yang masih berzip “kot-kot” terjumpa harta karun. Jika bernasib baik mungkin ada bungkusan wang tunai yang sudah dilupakan.

Ada yang hanya mencari besi. Ada pula yang memilih kayu-kayu perabut. Malah ada juga yang mengintai permaidani berlumpur. Tidak terkecuali yang hanya mencari barang elektrik dan komputer.

Maksud saya, kerugian di satu pihak, keuntungan di satu pihak yang lain. Itulah prinsip artikel yang saya tulis berdasarkan falsafah duit syiling yang mempunyai dua permukaan yang berbeza.

Keuntungan dan kerugian ini pula bukanlah pula memberi kesan langsung di antara mereka yang rugi dan mereka yang meraih keuntungan.

Begitulah perbezaan ketara di antara falsafah kehidupan Islam dan tradisional. Dalam Islam tidak wujud istilah “persaingan” yang merugikan orang lain. Ia satu dimensi lain yang boleh dibincangkan.