Archive for the ‘Hijrah’ Category

Hijrah

Saturday, November 12th, 2011

Hampir semua jemaah menyelesaikan ibadat haji masing-masing. Saya juga sudah menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan jemaah yang bakal tiba di Madinah.

Maka berakhirlah cuti haji buat kami yang tinggal di KSA. Ia hampir dua minggu termasuk cuti hujung minggu. Hari ini bermulalah kembali kerja-kerja pejabat, persekolahan dan pelbagai urusan lain.

Opsss… urusan kereta yang belum selesai!

Saya merenung kembali masa-masa yang telah kami lalui. Saya seronok masa dilapangkan di Haram. Di antaranya menulis Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Keberkatan bumi Madinah terasa. Dalam tempoh cuti saya berjaya menyudahkannya daripada B – Y.

B – nya kerana saya telah menyiapkan framework buku setahun yang lalu. Perjalanan buku telah tersusun sebelum sampai ke Madinah. Z – nya kerana manuskrip di tangan pembaca manuskrip untuk “apa kata mereka” dan “kata pengantar”.

Kali ini, buku ini akan diterbitkan – InsyaAllah – oleh Galeri Ilmu setelah 3 buku terdahulu saya bersama PTS. Ramai menyangka yang saya diapproach oleh mereka. Sebenarnya tidak, saya yang menawarkan diri kepada mana-mana penerbit yang mahu menerbitkan buku ini. Sengaja saya mahu mencari pengalaman baru. Dan mereka bersetuju. 

Setakat ini, PTS yang terbaik. Jika ada penulis yang bertanya di mana mahu menerbitkan buku Melayu, “pergilah kepada PTS”. Cuma, saya sudah nyatakan kepada PTS Islamika ketika menghulurkan manuskrip 50 Tip Motivasi Haji, ini adalah karya terakhir dengan PTS buat sementara waktu. 

Faris

Pastinya saya merindui zaman terbitnya buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman bila bekerja bersama Tuan Faris Hasbullah dan editornya, puan Firdaus.

4 tahun yang lalu sangat-sangat berbeza dengan 4 tahun kemudian. PTS berkembang. Penulisnya semakin ramai. Ramai penulis bercita-cita untuk bernaung di bawah payung PTS.

Saya pernah menulis dengan Darul Numan, Gaya Media, Utusan Publications, UPENA, PTS, Emerald London dan Elseiver, Masing-masing mempunyai gaya tersendiri. Sebagai penulis, saya mencari sesuatu yang menyentuh hati. Ia bukan semata-mata soal royalti.

Kini saya mencuba di Galeri Ilmu yang saya tidak kenal sesiapa di sana. Jika sampai masanya, pasti akan saya tinggalkan untuk berhijrah ke tempat lain. Pastinya ia bersebab. Dan sebab itu biarlah saya simpan di hati.

RM8000

Semalam, saya telah membuka Tabung 1 pakaian sekolah, 1 Anak Yatim buat 40 anak-anak yatim di Sekolah Agama Kg Jawa. 4 – 5 jam kemudian, jumlah tersebut terkumpul hasil sumbangan khalayak pembaca KRTS dan rakan FB.

Wang tersebut berkumpul di udara.

Hari ini, saya sudah transfer RM8000 tersebut kepada Dr Mohd Halim Kadri, rakan sejawat dan bekas supervisee saya yang baru dianugerahkan ijazah kedoktorannya.

Dr Halim akan menguruskannya daripada Segamat. Saya berharap beliau tidak menganggap ini sebagai satu beban baru yang perlu digalas. Pastinya tidak, insyaAllah.

Terima kasih semua.

Amal ibadat

Thursday, September 15th, 2011

Hijrah – baik atau buruk – samada di Mekah, Madinah atau mana-mana tempat di bumi Allah bergantung kepada niat. Bila hijrah dikaitkan pula dengan amal ibadat, Mekah dan Madinah tidak menjanjikan apa-apa. Malah pada ketika-ketika tertentu ia menjadi ujian hijrah itu menjadi lebih besar.

Saya memerhatikan keadaan.

Hotel Raudat, tempat berkumpulnya staf Universiti Taibah yang seangkatan dengan saya bukanlah sedikit. Kebanyakannya berasal daripada Mesir, Tunisia, Jordan dan beberapa negara lain.

Hakikatnya, jarak hotel ke Haram yang hanya 5-6 minit tidak menjanjikan kesemua rakan-rakan sejawat saya hadir untuk solat subuh berjemaah. Berada di Madinah merupakan pilihan Allah tetapi berada di Haram juga merupakan anugerah Allah.

Ramai yang dianugerah Allah untuk hadir di Madinah tetapi ramai pula yang tidak dianugerah untuk solat berjemaah di Haram.

Maksud saya, lakukanlah amal ibadat di mana sahaja kita berada. Allah ada di mana-mana.

Isu ini menjadi lebih relevan buat bakal jemaah haji Malaysia yang bakal tiba bermula 29 September ini. Buat rakan-rakan KRTS dan FB serta kenalan yang lain, jangan sekali-kali tertewas dengan ujian yang dicipta oleh kita sendiri.

Pertama, jangan terpedaya dengan kata-kata, “berehatlah dahulu, kita datang hendak menunaikan fardhu haji. Nanti bila sampai masanya, kita keletihan”. Mereka yang tiba awal akan disarankan begitu.

Hakikatnya, amal ibadat perlu dilakukan secara berterusan. Di Madinah dan Mekah pergilah bersolat lima waktu di masjid. Berqiamullail dan bermunajatlah memohon Allah permudahkan segalanya.

Kedua, jangan terpedaya dengan “demam-demam”, “batuk-batuk”, “seram-sejuk” dan beberapa masalah kesihatan yang lain. Teruskan melakukan amal ibadat di kedua-dua masjid. Realitinya, di hotel atau masjid rasa tersebut akan tetap terasa. InsyaAllah, bila sampai masanya, ia bukan menjadi isu besar.

Ingat, kita datang semata-mata kerana Allah, kepada Dia jua tempat kita berserah. Biar jemputan Allah ini berkekalan sehingga pulang ke Malaysia.

Masuk Rumah

Aizzat dan Azimah membantu kami membeli keperluan rumah

Seminggu kami di Madinah.

Lima hari saya sudah berada di Universiti Taibah. Roza pula sibuk dengan persiapan untuk memasuki rumah baru. Agenda utama ialah membeli keperluan asas.

Dua hari kami dibantu oleh Dr Norhan. Tiga hari yang lain, pasangan anak muda – Aizzat dan Azimah – yang membawa Roza membeli belah. Pagi semalam, rumah kecil kami di Bukit Ohud nampak bersedia untuk didiami.

Agaknya, ia kehidupan yang berbeza berbanding dengan tempoh masa menunaikan haji dan umrah. InsyaAllah, Dia akan permudahkan.

Sehingga sampai masanya

Wednesday, July 27th, 2011

“Abah, bolehkah saya bercerita tentang kisah haji yang telah lalui? Bolehkah saya menceritakan apa yang saya lakukan di Mekah dan Madinah? Bukankah ramai yang menyatakan ia adalah rahsia kita dengan Allah?”

Itulah antara pertanyaan dan perbualan di sekitar tahun 2007 antara saya dengan arwah abah. Pertanyaan yang membayangkan rasa hati yang bercelaru di antara ingin berkongsi kebesaran dan kekuasaan Allah dengan pantang-pantang yang terbina dan memagari minda masyarakat.

“Ampunkanlah daku ya Allah jika apa yang aku sampaikan ini bersalahan dengan perintah Mu ya Allah. Ampunkanlah daku ya Allah,” itulah yang saya mohon daripada Allah SWT setiap kali melangkah keluar apabila dijemput untuk berceramah. Saya sangat takut tetapi bersemangat dengan dunia baru yang sedang saya hadapi.

Jawapan Abah sangat jelas, “Mil, kita orang biasa-biasa. Orang awam yang mahu menceritakan sesuatu yang tidak dicerita orang. Abah tengok ramai yang mendapat manfaat. Teruskan Mil. Sehingga sampai masanya, pada ketika dan masa yang sesuai, Allah akan membawa Kamil pada satu keadaan yang lain pula”.

Kini, hampir lima tahun saya berjumpa dengan masyarakat. Saya selalu menulis perkara yang indah-indah dalam perjalanan tersebut. Namun di celah-celah perjalanan tersebut terdapat seribu rahsia yang telah saya temui. Benarlah kata satu hadis yang bermaksud,

“Daripada Anas ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”.

Saya pernah menerima SMS yang mengejutkan saya daripada tidur,

“setiap kali saya membaca kisah tuan, menyebabkan saya susah hati. Tuan berdosa mencerita aib sendiri kepada masyarakat. Tunggulah pembalasan Tuhan”

Pembalasan Tuhan? Ia mengundang untuk saya menulis,

“Aib apakah yang telah saya ceritakan?”

“Kisah-kisah tuan tidak solat, tidak tahu membaca Quran….”

“Barangkali tuan tidak membaca kisah Saiyidna Omar. Beliau menangis di masjid menceritakan kisah lampau beliau yang membunuh anak perempuan”

“Beliau lakukan sebelum memeluk Islam… Tuan orang Islam”.

“Bila saya menceritakan saya tidak pandai membaca al-Quran? Bila saya sudah khatam al-Quran dan terjemahan. Bila saya ceritakan saya lalai solat? Bila saya sudah mula merasai nikmat bersolat. Tuan tidak nampak mesej sebenar yang ingin saya sampaikan”.

“Tuan memberi isyarat yang salah kepada anak-anak murid saya. Tidak mengapa untuk melakukan dosa…..”

“Tuan memikirkan hanya satu golongan sahaja di dunia ini. Golongan yang baik-baik. Apa yang tuan lakukan terhadap mereka yang tidak tahu membaca quran, lalai dengan solat, orang yang cukup solat lima waktu tetapi tidak mahu berjemaah..”

“Ikut tuanlah… tetapi tunggulah pembalasanNya, baru tuan tahu”.

Melalui nombor hpnya, saya tahu beliau seorang yang terlibat dengan Maahad Taafiz. Orang yang hampir dengan Allah SWT.

Saya terkenang pesan abah, “sehingga sampai masanya”, moga Allah membantu saya meneruskan kehidupan ini di atas landasan yang lurus! Mohon Ampun ya Allah!

Nota MKI: Hujah betapa Saidina Omar Al-Kattab pernah membunuh anak perempuannya merupakan pandangan yang diragui kebenarannya. Dikatakan ia adalah satu pembohongan dan manupulasi sejarah hidup beliau bagi memperkecil dan mempelekehkan Saidina Omar. Kini, saya tidak lagi berhujah menggunakan kisah ini.

Saya mohon keampunan Allah.

Kg Jawa

Monday, July 25th, 2011

Bergambar kenangan bersama Imam-Imam, pengerusi dan jemaah Masjid Kampung Jawa.

Kami telah membeli sekeping tanah di Paya Jakas. Ia kawasan tinggi. Tepi jalan. Dan ia sangat sesuai untuk dijadikan tapak rumah kediaman. Dan itulah yang kami rancangkan untuk membina rumah sendiri di sini apabila menamatkan tempoh sebagai pengarah UiTM Johor.

Perancangan manusia dan ketetapan Allah berbeza. Dalam sekelip mata kami membuat keputusan untuk membeli rumah di hujung taman-taman Kampung Jawa. Ia kelihatan tenang, redup dan dipenuhi dengan kehijauan. Lebih penting, ia hampir dengan masjid yang kelihatan sangat aktif.

Malah saya bercita-cita untuk menyampaikan kuliah – jika diizinkan – pada setiap minggu. Saya fikir, itulah yang mampu saya sumbangkan kepada masyarakat setempat. Juga, harapan dan cita-cita manusia tidak selalunya menjadi realiti. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Saya diizin Allah untuk menyampaikan kuliah di merata-rata masjid, surau dan organisasi dalam tempoh 4-5 tahun yang lampau. Kesemua negeri telah saya kunjungi. Malah beberapa kali dijemput untuk menyampaikan ceramah di Singapura.

Saya pernah sampai ke Qatar dan United Kingdom. Namun sekali pun saya tidak berpeluang bercakap di Masjid kariah sendiri. 

Benarlah, Allah menyusun kehidupan manusia dengan penuh kasih-sayang. Akhirnya, ketika saat-saat saya mahu meninggalkan daerah ini, saya dipelawa untuk menyampaikan syarahan Israk-Mikraj. Kemudian, pengerusi masjid meminta saya untuk memberi kuliah setiap minggu.

Ya Allah, sukanya hati saya. Saya katakan pada Roza, “doa saya dimakbul Allah. Inilah tujuan sebenar kenapa saya memilih untuk tinggal di sini”.

Malam tadi merupakan kuliah saya yang ke lima dan terakhir di masjid ini. Dua saf penuh yang berjemaah. Kaum wanita juga ramai yang hadir, Selepas solat Isya, mereka mengikut imam mendoakan agar kami sekeluarga selamat dalam kehidupan pasca Kampung Jawa.

Tentu sekali saya terkesan apabila pengerusi masjid berkata, “perkenalan kita singkat, namun ia sangat-sangat berkesan. Bagi seluruh kariah masyarakat Kampung Jawa, kami berterima kasih kerana Profesor bersungguh-sungguh mengajak kita untuk dekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara yang tersendiri”.

Kemudian, kami bersalaman. Ada seorang pemuda yang tidak saya kenali menangis teresak-esak dan memeluk saya. Butir patah perkataan yang dibisik ke telinga tidak dapat saya fahami. Mudah-mudahan beliau bertemu dengan apa yang dicarinya, insyaAllah.

Saya memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap kami sepanjang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kg Jawa, Segamat.

Kekasih Allah

Kekasih Allah

Saya berdoa agar telahan saya tepat.

Orang tua di atas sering menjadi bahan penceritaan saya ketika berceramah. Saya fikir umurnya menghampiri 100 tahun. Beliaulah salah seorang bilal di masjid Kg Jawa.

Solat lima waktu sehari semalam berjemaah. Sepanjang 2 tahun berjemaah di sini, saya tidak pernah hampa melihat wajahnya di masjid kecuali beberapa hari ketika beliau diuji Allah dengan keuzuran.

Allah memberi kekuatan kepadanya untuk mengayuh basikal ke masjid. Ya Allah, beliau mencabar saya untuk berfikir, “kenapa tidak aku yang masih mempunyai kekuatan untuk ke rumah Mu”.

Hampir setiap waktu beliau di belakang imam. Dan saya cuba sedaya upaya untuk berada di sebelahnya.

“Ya Allah, Kau berkatilah beliau dan masukkanlah beliau ke syurgaMu tanpa dihisab ya Allah”

Rezeki

Friday, April 8th, 2011

Tuan guru haji Omar menyatakan melalui kuliah maghribnya, “ada peniaga yang berkata, hari ini rezeki saya sedikit sahaja….. Ia satu kenyataan yang tidak menggambarkan kita bersyukur kepadaNya. Allah menjanjikan rezeki pada setiap hambanya. Dia tidak pernah berjanji jumlahnya…. namun Allah mengetahui jumlah kecukupan untuk setiap hambaNya”.

Hijrah yang ingin kami lakukan – InsyaAllah – menuntut beberapa keputusan penting dalam hidup kami sekeluarga. Ia berkait dengan rezeki Allah. Pertama, permohonan kami untuk bekerja di Universiti Taibah, Madinah adalah permohonan bersama. Saya dan Roza.

Sistem di sana sangat menarik. Jika saya dan Roza masing-masing berkelulusan PhD, maka jika saya dipilih, hampir secara automatik Roza juga akan diterima sebagai tenaga pengajar.

Roza berkelulusan sarjana. Maka jawapannya jelas, “kami hanya menerima mereka yang berkelulusan PhD. Isteri tuan perlu menghantar permohonan berasingan dan perlu dinilai secara berasingan. Sila hantar mock-teaching bersekali dengan borang permohonan”.

Saya sangat bersyukur kerana Roza tidak kisahkan sama ada beliau boleh bekerja atau tidak. Ia bukan soal utama. Sejarah hidup Roza sentiasa dipenuhi dengan “keredhaan”. Ketika saya meningkat naik di dalam kerjaya, beliau sentiasa menyosang turun. Beliau sentiasa menyokong keputusan yang telah saya lakukan. 

Kami sudah bersetuju tentang beberapa perkara. Pertama, Roza boleh jadi penulis sepenuh masa. Kedua, beliau mempunyai masa untuk menerima tetamu Malaysia yang bakal melawat kami di sana. Ketiga, beliau boleh menuntut ilmu.

Gaji?

InsyaAllah saya akan membayarnya RM5500 sebulan. Itulah janji saya. Bagaimana caranya? Rencana kami, Mekah akan kami kunjungi  setiap bulan. Maka itulah kos yang perlu dibayar jika kami menggunakan pakej umrah dan bertolak dari KLIA. Dan itulah pula yang akan kami perolehi apabila berada di Madinah.

Di atas segalanya, kami menyerahkan kepada Allah untuk mengatur kehidupan kami di sana. Dan semalam kami menerima satu lagi e-mel yang ditujukan kepada Roza,

“I can say, initially, we might find an opening during the coming months, but in any case, and since you will be accompanying Prof Ibrahim we will contract you as part timer to do certain tasks in our academic program, but we leave this to look at after arrival to Madinah”.

Maha Suci Allah, ia sudah memadai dan jauh lebih baik daripada apa yang kami fikirkan.

Saya tutup catatan hari ini dengan satu hadis yang saya baca melalui tulisan Imam Ghazali, “orang yang makan lalu bersyukur terhadap rezeki yang diterimanya, akan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang berpuasa yang bersabar menahan laparnya”.