Archive for the ‘Syarahan’ Category

Ayah Wa

Sunday, June 26th, 2011

Hari ini saya mengingati Ayah Wa. Beliau adalah bapa saudara yang paling tua di sebelah ayah. Ayah Wa seorang guru dan sebelum bersara beliau merupakan guru besar di salah sebuah sekolah di Besut. Selain itu, beliau merupakan salah seorang seorang Imam di Masjid Alor Lintang, tempat kediaman saya dan keluarga.

Rumah beliau sering dikunjungi terutamanya apabila ditimpa penyakit yang sukar dirawat dengan kaedah perubatan moden misalnya, anak menangis malam dan terlekat tulang ikan. Malah banyak lagi “penyakit-penyakit” yang boleh dirawatnya.

Namun ada sesuatu yang luar biasa buat Ayah Wa. Beliau menolak segala bentuk pemberian apabila dikaitkan dengan perubatan yang beliau lakukan. Tiada pengeras, tiada yuran dan tiada apa-apa walaupun ditukar apa label niat pemberi setelah selesai urusan perubatan yang kelihatan cepat dan mudah.

Beliau pernah berkata kepada saya, “Ayah Wa mohon daripada Allah untuk membantu sesama manusia”. Pernah, pada satu ketika yang lain saya bertanya, “apa yang ayah wa lakukan apabila orang datang berubat?”

Jawapan beliau mudah, “ayat-ayat al-Quran adalah penawar kepada banyak perkara tetapi kita sentiasa perlu memohon kepadaNya. Biasanya, Ayah Wa solat mohon Allah sembuhkan penyakit mereka dan jika tidak mampu, ayah Wa mohon kepada Allah supaya mereka ditemukan dengan orang yang pandai berubat”

Namun ada kenyataan yang terkesan di hati. Kini, ia mengingatkan saya kepada beliau, “Mil, masing-masing mempunyai peranan dalam dakwah. Jangan kita anggap dakwah kita yang terbaik. Biarlah masing-masing dengan cara mereka, mudah-mudahan Allah membantu kita”.

Ia kenyataan berpuluh tahun lampau ketika saya di peringkat persekolahan menengah ketika saya tidaklah berminat dengan urusan agama. Namun ia kekal begitu tersusun di celah-celah ribuan maklumat yang pernah melintasi kotak minda saya walaupun beliau sudah lama meninggalkan kami.

Mudah-mudahan Allah perluaskan kubur beliau, bercahaya dengan nur kasih-sayang Allah dan dapat pula bertemu di syurga Firdaus.

Surat JPA

Allah Maha Berkuasa.

Semalam, saya dan Roza menerima surat penerimaan permohonan bersara pilihan yang telah disampaikan kepada JPA melalui UiTM. Menurut surat tersebut, mulai 1hb September maka kami berstatus “pesara” dan ia adalah keputusan muktamad.

Saya bersara dengan kerajaan ketika usia 47 tahun. Roza pula 44 tahun. Secara spesifik, saya telah berkhidmat selama 23 tahun dengan UiTM berbanding dengan Roza yang baru berkhidmat 11 tahun.

Namun saya fikir – kedua-dua kami – mempunyai ingatan mendalam sepanjang perkhidmatan tersebut untuk menjadi kenangan yang tidak dapat kami lupakan.

SK Belimbing Dalam

Mudah-mudahan jadi Dr Fatin Najwa

“Apakah impian anda?”

Lalu saya bertanya, “siapa yang mahu tampil ke hadapan dan menjawab soalan di skrin?”

Seorang pelajar perempuan – darjah enam – bangun dan tampil ke hadapan. “Saya mahu dapat 5A dan saya mahu jadi doktor. Saya mahu berjaya dunia dan akhirat”.

Lalu saya hadiahkan buku “Travelog Cinta Abadi” sambil bertanya, “siapa penulis buku ini?” dan beliau menjawab, “Roza Roslan”.

“Ini hadiah kedua, saya bawa penulis buku ini kepada Fatin Najwa, nanti minta tandatangan puan Roza Roslan”.

Dan saya katakan kepada khalayak, “lihat dengan sedikit keberanian, Fatin Najwa tampil ke hadapan. Beliau insan terpilih untuk mendapat hadiah daripada saya, dapat pula berjumpa dengan penulis buku yang saya hadiahkan ini…..”

Ia satu contoh yang mudah mereka fahami.

Cuti

Tuesday, June 21st, 2011

Istiqamah adalah proses penting beribadat. Lalu persoalan “bagaimana mahu istiqamah?” sering ditanya.

Tentu sekali saya senyum-senyum bila mereka yang berkelulusan universiti bertanya soalan tersebut. Menarik, bila lepasan PhD juga bertanya soalan yang sama.

Kenapa?

Saya fikir mereka sudah mempunyai jawapan terhadap soalan tersebut tetapi berpura-pura tidak tahu untuk memberi justifikasi kenapa mereka tidak boleh istiqamah terhadap sesuatu perkara.

Bagaimana kita boleh gosok gigi setiap pagi?

Bagaimana kita boleh makan tengahari setiap hari?

Bagaimana kita boleh “punch-card” atau e-jari sebelum jam 8.00 pagi setiap hari?

Kita istiqamah melakukan contoh-contoh di atas. Kenapa ia boleh dilakukan? Dan jawapan yang sama akan ada pada persoalan istiqamah yang dikemukakan.

Saya tidak fikir akan ada orang yang akan bertanya, “bagaimana aku mahu istiqamah solat lima waktu sehari semalam?” atau bertanya “bagaimana mahu istiqamah melaksanakan puasa di bulan ramadhan?”.

Dalam kebanyakan kes, kita bertanya “bagaimana mahu istiqamah” apabila dikaitkan dengan puasa-puasa sunat, bangun malam, solat berjemaah di masjid dan amal-amal sunat yang lain.

Hakikatnya kita hanya bertanya soal istiqamah apabila dikaitkan dengan amal ibadat sunat kepada Allah.

Kenapa begitu? Jawapannya ada dalam setiap individu. Bagaimanapun, asas kepada apa sahaja amal-ibadat, proses kepada amal ibadat dan hasil akhirnya merupakan soal akidah, kebergantungan kepada Allah SWT.

Hakikatnya, manusia tersangat lemah. Pertama, mohonlah kepadaNya dengan sungguh-sungguh. Ambil contoh yang paling mudah, “ya Allah bangunkan saya pada jam 3.00 pagi, ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa. Aku ingin solat malam ya Allah”.

Lalu kita kunci jam pada jam tersebut. Pengalaman saya, kita akan terjaga sedikit awal sebelum loceng jam berbunyi. Kenapa? Saya fikir – buat diri saya yang tersangat kerdil – Allah ingin tunjukkan yang bukannya loceng jam yang mengejutkan saya. Itu adalah kuasa, rahmat dan kasih-sayang Allah kepada hambaNya.

Soalnya, kita terkelip-kelip dan mengajak diri sendiri dengan kata-kata “10 minit lagi, 10 minit lagi, 10 minit lagi”. Ia berakhir di situ!

Logiknya, di mana perlunya soalan “bagaimana mahu istiqamah?” kalau kita sendiri bertindak untuk tidak istiqamah.

Saya sering mendengar orang berkata, “sekarang saya sibuk menyiapkan tesis, nanti bila semuanya OK, saya akan ke masjid”. Akhirnya, bila tesis siap sempurna, masjid masih jauh lagi.

Saya fikir, salah satu prinsip asas istiqamah yang perlu dipatuhi ialah “tiada cuti” dalam amal ibadat. Tentu sekali tidak molek untuk meletakkan Allah sebagai prioriti kedua dalam apa keadaan sekali pun. Hadis Qudsi (riwayat Ahmad) ini sangat menarik untuk dibaca, diamati dan diresapi terus ke hati sanubari,

Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu!

Dalam konteks istiqamah, berapa lama agaknya semangat “umrah atau haji” boleh bertahan?

Sebak

Friday, May 27th, 2011

Bersiap untuk mendengar kuliah

Ashraf menulis satu perkataan “sebak” di ruangan komen.

Saya juga begitu.

4.15 pagi, saya sudah meninggalkan Ar-Raudhah menuju ke masjid As-Syakirin, salah dua masjid kesayangan di Malaysia. Sepanjang perjalanan, saya merenung kembali tempoh perkhidmatan di UiTM Johor. Dua tahun sebagai pengarah dan 1 3/4 tahun sebagai profesor perakaunan.

Sebak mengingati saat-saat mahu menjadikan As-Syakirin sebagai pusat solat berjemaah, lima waktu sehari semalam. Saya terkenang betapa “solat berjemaah” merupakan tema utama tutur kata sepanjang tempoh tersebut. Kemudian, mengajak warga kampus untuk bangun solat malam yang saya fikir menjadi kunci kekuatan dalaman.

Hujah saya mudah, kita perlu mengajak tetapi taufik dan hidayah adalah milik Allah. Mereka yang bangun malam mengadap Allah ibarat pohon yang merimbuni kawasan sekitarnya. Jika ada 10 pohon, maka rimbunannya semakin melebar. Jika ada 100 pohon, memadailah untuk merimbuni UiTM Johor.

Pagi ini, saya mengulangi tema yang sama kepada 1300 pelajar baru UiTM Segamat. Ia disampaikan melalui “cerita-cerita” yang telah saya lalui. Doa saya ketika turun rumah, “ya Allah, kau jadikanlah khalayak ku tekun mendengar, dapat merasai kebesaran dan kasih-sayang Mu, jadikan mereka manusia yang hampir dengan Mu”.

Itulah kuliah subuh terakhir sebelum mereka berdikari. Tiada lagi kejutan dan paksaan untuk mereka. Tiada abang-abang atau kakak-kakak yang merengus marah kerana lambat bersiap.

Hakikatnya, mereka perlu sentiasa diingatkan. Saya “sebak” kerana mungkin tidak lagi menjadi sebahagian daripada yang dapat ”mengingati” mereka secara berdepan.

Saya doakan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Mudahkan mereka ya Allah

Sunday, May 15th, 2011

Tiga pelajar PhD saya yang telah menaiki pentas dan bergelar Dr kelihatan sangat cemerlang. Dr Zaleha di UKM, Dr Ridzwan di TM dan terbaru, Dr Rosmaini di UNITEN.

Dr Rosmaini dan suami, insyaAllah akan mula berkhidmat di salah sebuah universiti UAE bersekali – insyaAllah – ketika saya melaporkan diri di Universiti Taibah, Madinah. Khabarnya pada bulan September.

Dr Ridzwan juga dipinjamkan ke Universiti MultiMedia bagi menguruskan pengajian di peringkat pasca-siswazah. Beliau juga sangat aktif menulis dan sehingga kini sudah menerbitkan tiga tajuk, Haji Muda, Bila Pintu Hati Terbuka dan terakhir yang dilancarkan serentak dengan buku 50 Tips Motivasi Haji, Rinduku pada Baitullah.

Dr Zaleha pula sedang mendaki kerjaya sebagai seorang ahli akademik perakaunan di UKM.

Saya tidak kisahkan sangat dengan mereka bertiga. Mereka sudah boleh berdikari malah boleh menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada saya.

Hakikatnya, saya masih mempunyai beberapa pelajar PhD - Halim, Radziah, Shatari, Arun, Junaidah, Azwan dan Shima – yang tentu sekali berdebar-debar memikirkan betapa saya akan meninggalkan mereka.

Saya fikir, saya sudah memaklumkan kepada mereka kemungkinan saya akan meninggalkan UiTM tiga bulan yang lepas. Alhamdulillah, reaksi mereka sungguh-sungguh melegakan saya. Halim, Radziah dan Shatari bersedia untuk di VIVAkan.

InsyaAllah, tiga yang lain akan dapat menyiapkan tesis mereka dalam masa yang terdekat. Hampir setiap 1/3 hujung malam yang tersisa saya berdoa buat anak-anak murid saya supaya dipermudahkanNya.

“Ya Allah ya Tuhan Kami, jadikanlah anak-anak murid kami sebagai anak murid yang tunduk dan patuh kepadaMu. Jadikanlah mereka sebagai anak-anak murid yang tahu bersyukur dan mencintai Mu.

Ya Allah mudahkanlah urusan pengajian mereka, mudahkanlah penulisan mereka, mudahkanlah VIVA mereka dan mudahkanlah segala-galanya”.

DIAlah tempat kami berserah dan memohon perlindungan.

Magik

Thursday, March 31st, 2011

Jika saya mempunyai tongkat sakti, terdapat beberapa perkara yang ingin saya lakukan serta merta. Salah satunya, menghafal al-Quran. Seterusnya, menjadi imam di Masjidil Haram dengan suara bergema melewati kawasan sekitarnya.

Banyak lagi angan-angan saya yang mahu saya capai melalui tongkat sakti tersebut.

Realitinya, tiada magik dalam kehidupan sebenar. Ketika saya buta huruf, saya merayu dan merintih hampir setiap malam mengadu kepada Allah betapa saya “tidak pandai membaca al-Quran”. Malah saya memohon kepadaNya, “Ya Allah, bantulah daku, berikanlah ilham kepada ku, aku jahil ya Allah, aku bodoh ya Allah…”

Tidak pula saya terjaga keesokkan harinya dan terus boleh menyebut, “Alif, Laaaaaaaam, Miiiiiiiiiim” dan terus membaca surah sajadah sehingga tamat.

Tiada magik. Ia tidak begitu!

Namun Allah memberi pertolonganNya. Seorang Hafiz muncul di rumah, kemudian menjadi guru saya, dan seterus mengajar saya bermula daripada Alif, ba, ta dan seterusnya sehinggalah saya mengenal huruf.

Tiada jalan singkat meskipun di atas kekuasaan dan kehebatan Allah, ia boleh berlaku.

Semalam, saya didatangi oleh seorang guru yang risaukan anak-anak muridnya yang terlalu  menyimpang daripada jalan Allah. Mereka sudah pandai minum arak, menghisap rokok dan pelbagai gejala sosial yang lain.

Ringkaskan cerita, mereka memohon untuk saya mengadakan ceramah motivasi kepada anak-anak ini supaya pulang ke pangkal jalan. Barangkali, ini juga salah satu magik yang ingin saya miliki.

“Betul cikgu serius mahu menangani isu ini?,” saya mengemukakan satu pertanyaan.

“InsyaAllah saya sanggup mengusahakan tetapi saya tidak ingin berjumpa dengan pelajar. Biar saya berjumpa dengan ibu bapa mereka. Kita mulakan di situ. Ada cara yang boleh kita cuba. Kita guna pendekatan yang telah diajar oleh Allah SWT. Kaedah motivasi biasa hanya sedap didengar…..”

Apakah yang ingin saya sampaikan kepada ibu bapa?

Pertama, saya akan ceritakan isu-isu yang sedang anak-anak mereka hadapi. Lalu saya akan bertanya, “tuan-tuan sayang anak-anak tuan? Benar-benar sayang? Dan pastinya tuan-tuan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak-anak tuan. Tiada kos, tiada wang yang perlu dikeluarkan”.

Kemudian, saya akan memberi manual penyelesaian.

Pertama, mari kita mulakan dengan melakukan solat malam…. Allah sudah berjanji dengan kita begini…. Barangkali pada saat dan ketika ini, saya berharap mereka masih menyayangi anak-anak mereka!

Ia bukan magik. Namun ia logik dan sangat praktikal. Dan tugas saya – barangkali – mengajak mereka untuk kembali hampir dengan Allah SWT.

Kedua-dua guru tersebut pulang memikirkan saranan saya!