Archive for the ‘Teruja’ Category

Mudah dan Ringkas

Saturday, May 12th, 2012

(Sebahagian daripada artikel ini pernah disiarkan di sini dan keseluruhannya telah disiarkan melalui Majalah i keluaran Februari, 2012) 

Barakallahu Fikum.

Rumah kecil kami di Jabal Ohud, Madinah sering dikunjungi jemaah haji dan umrah dari Malaysia. Ketika musim haji hampir setiap malam. Hampir keseluruhannya bukanlah insan yang kami kenali.

Ia hubungan hati dan perasaan setelah mereka membaca hasil karya penulisan yang dipinjam Allah terutamanya khalayak pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Namun ada sesuatu yang pasti. Kehadiran mereka sangat-sangat menyegarkan perasaan dalaman kami sekeluarga. Kenapa? Ia sangat mudah. Mereka adalah tetamu Allah. Kami meraikan tetamu Allah. Mudah-mudahan, kami sekeluarga juga akan diraikan oleh Allah SWT

Kebiasaannya mereka akan dihidangkan dengan Sajian dari Madinah. Pertama, sajian qalbu yang akan disampaikan oleh saya sebelum dihidangkan sajian makanan yang disediakan oleh Roza, Chef Bukan Sekadar Resepi. Ia hidangan yang akan dibukukan kemudian.

Menerima tetamu samada jemaah haji atau tidak, kemudian melakukan sedikit majlis ilmu juga bersebab. Falsafahnya juga sangat mudah dan ringkas.

Saya mahu amalkan sesuatu yang saya pelajari sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang direkodkan oleh Tirmidzi yang bermaksud,

“Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)”

Allahu Akbar, dikatakan juga ribuan para malaikat akan turut serta bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu tersebut. Akal bodoh saya memikirkan dengan cara yang mudah dan ringkas, “rupanya ia tidak susah untuk menjemput para malaikat bertandang ke rumah”.

Saya mohon keampunan Allah.

Salah satu topik yang menjadi kegemaran ialah Mudah dan Ringkas. Ia pesanan untuk jemaah haji atau umrah yang akan pulang ke Malaysia. Barangkali ia bersifat pandangan sisi berdasarkan pengalaman kehidupan yang telah saya lalui.

Bahasa akademiknya disebut tacit knowledge. Saya simpulkan begini.

Tentu sekali kita mahu menjadi insan yang terpilih. Ia golongan yang sedikit di kalangan umat akhir zaman.

Namun – hampir kebanyakan mereka yang hadir – hanyalah manusia biasa-biasa (nota: saya merujuk kepada diri sendiri yang berkelulusan perakaunan bukan lulusan agama) tetapi sangat-sangat inginkan keredhaan Allah.

Haji yang mabrur bukan hanya ada ketika musim haji atau ketika berada di Mekah dan Madinah. Ia perlu dipertahankan sehingga kita tidak bernafas lagi!

Lalu premis yang saya cadangkan ialah melakukan amal ibadah yang mudah dan ringkas. Ia perlu dilakukan semata-samata kerana Allah sebagaimana yang disarankan melalui surah Ad-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. Namun ia perlu berpandukan rukun Islam yang lima.

Pertama, mengucap dua kalimah syahadah. Ia sangat jelas, “Dialah yang satu-satunya yang kita sembah”. Lalu janganlah kita menduakan Allah dalam setiap tindakan kita. Jangan bergantung dengan manusia. Hendaklah kita sentiasa yakin kepada Allah.

Malah melakukan sesuatu kerana kita ingin menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Ia sentiasa perlu diamati dan diingati. Begitulah yang saya maksudkan apabila sering menyebut dan menulis “semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah”.

Kedua, melaksanakan solat lima waktu. Saya fikir, hampir 100 peratus jemaah yang datang ke Madinah atau ke Mekah menunaikan solat lima waktu. Namun perbezaannya juga sangat jelas. Ada yang hobinya suka bersolat di hotel.

Ada segelintir yang memilih untuk solat di kawasan lapang di luar masjid. Namun ada yang suka datang awal ke masjid untuk memenuhi saf-saf di hadapan dan melakukan amal ibadat lain terlebih dahulu.

Tidak terkecuali, ada yang suka bangun berqiamullail dan ada pula yang memilih untuk berlari-lari menuju ke masjid kerana kesuntukan masa.

Namun untuk menjadi insan yang terpilih yang sedikit ia tidak hanya sekadar menunaikan solat yang wajib. Saya fikir dan mencadangkan kita perlu memperbanyakkan perkara-perkara sunat. Ia tidak ssesukar mana.

Kenapa?

Kita tidak perlu terlampau bijaksana untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid. Jadikan ia sebagai satu keutamaan. Jika kita sebagai seorang pentadbir, pastikan solat berjemaah sebagai agenda program yang didahulukan. Agenda lain menyusul selepas meletakkan keutamaan ini.

Tentu sekali kita tidak perlu bergelar seorang ustaz (Nota: Di Madinah, saya dipanggil ustaz kerana seorang profesor) untuk bangun malam atau tidak perlu menjadi lulusan agama untuk melaksanakan solat Dhuha.

Ketiga berpuasa. Ramai orang berpuasa secara “lapar dan dahaga” semata-mata. Mari kita tingkatkan amalan berpuasa kita dengan sebenar-benar berpuasa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Opps… kenapa tidak kita berpuasa seumpama para Nabi dan Anbiya (nota: saranan Imam Ghazali dalam kitabnya Penawar Hati), iaitu, berpuasa semata-mata kerana Allah.

Ringkas dan mudah kerana kita tidak perlu mengumpat dan bergosip. Kita tidak perlu nmenghabiskan masa untuk mengadap TV yang menayangkan aurat wanita dengan sewenang-wenangnya.

Malah jika diperhalusi, kita tidak perlu berfikir dengan juadah berbuka puasa yang melampau. Ia dilaksanakan dengan cara yang paling sederhana sekali.

Kita cuma bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh, hati sentiasa mengingati Allah dan melaksanakan amalan lain dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.

Hampir empat tahun saya mengajak “marilah kita melaksanakan puasa sunat Isnin dan Khamis. Ia sesuatu yang sangat nikmat. Ia tidak boleh diceritakan sehinggalah kita konsisten melaksanakan amalan ini”.

Kini saya cadangkan sedikit peningkatan, kita berpuasa bagaimana Nabi Daud berpuasa yang dikatakan amalan terbaik untuk berpuasa sunat. Ia puasa selang sehari.

Kenapa mudah dan ringkas?

Puasa… kita tidak perlu makan dan minum sehingga tiba waktu Maghrib. Cukuplah kita berbuka dengan cara yang mudah dan ringkas, kemudian terus menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid.

Allahu Akbar, kita tidak perlu menjadi lulusan agama atau menghafal al-Quran untuk melaksanakan amalan ini. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja.

Keempat, bayarlah zakat. Jaga bab ini kerana kita sering terlupa untuk membayar zakat yang pelbagai jenis terutamanya bagi mereka yang mempunyai barang kemas yang tidak dipakai, perniagaan dan hasil tanaman.

Akhir sekali, laksanakan ibadat haji dengan cara terbaik sehingga ia boleh mengubah sempadan Iman. InsyaAllah, ia tiak sesukar mana jika kita memikirkan saat-saat kematian yang bakal tiba.

Ia tidak terlalu lama. Ia pasti tiba.

Setiap kali tamu berkunjung, kami akan menjemput mereka di Masjid Nabawi dan menghantar mereka pulang ke hotel. Ia perjalanan yang berbaloi.

Mungkin inilah kali pertama dan terakhir mereka berjumpa dengan saya dan Roza. Mudah-mudahan kesemua tetamu ini dan kami sekeluarga akan dapat berkumpul semula di Jannah yang paling istimewa.

Biarlah perjalanan kami ke sana mudah dan ringkas sebagaimana kita melaksanakan amalan-amalan mudah dan ringkas semata-mata kerana Allah.

Kesungguhan

Friday, May 11th, 2012

Pemandangan Bukit Ohud dari Rumah

Hampir setiap kali memandang Bukit Ohud, saya pastinya terkenang perjalanan pasukan tentera Quraish yang mahu membinasakan Baginda SAW.

Mekah – Madinah bukanlah jarak yang singkat. Ia melebihi 400 km. Malah perjalanan menggunakan laluan lebuhraya bersama kereta 3600cc, mempunyai penyaman udara dan berkusyen empok masih tidak dapat menghilangkan rasa jarak jauh tersebut.

Mungkin saya tidak minat memandu. Maka jarak tersebut menjadi sangat jauh bagi saya. Ia barangkali jarak yang sangat singkat untuk sesetengah mereka yang lain.

Namun saya berkesungguhan untuk ke Masjidil Haram kerana memikirkan ia salah satu tempat yang disyariatkan bermusafir bagi melakukan amal ibadat selain daripada Masjid Nabawi dan Al-Aqsa.

Namun saya tidak menerima kesungguhan orang-orang kafir untuk berjalan sejauh itu bagi melaksanakan misi kebencian mereka. Agaknya, ia motivasi dalaman yang membuak-buak.

Kesungguhan untuk melakukan sesuatu – sama ada baik atau buruk - kerap kali di luar kemampuan otak manusia untuk memberikan sedikit penjelasan yang munasabah.

Misalnya, saya tidak dapat memahami kenapa mereka yang gila memancing sanggup menunggu berjam-jam hasil pancing mereka.

Namun bagi mereka yang lain akan berkata, “apalah seronoknya bermain golf, pukul dan berjalan mengejar bola yang begitu kecil selama hampir 4 jam”. 

Tanyalah mereka. Maka jawapannya, “cubalah sendiri nanti awak akan mengerti”.

Mungkin juga ada yang terlintas di hati berkata, “kenapalah mahu bersungguh sangat menguncup Hajarul Aswad atau apalah yang mahu dikejar dengan bersolat sunat di Hijir Ismail atau Raudhah”.

Begitu juga dalam keadaan yang berlawanan, ramai yang berasa hairan dengan kesungguhan sesetengah daripada wanita yang tahu bagaimana menutup aurat di kala menunaikan ibadat haji dan umrah tetapi enggan mengamalkannya sejurus sahaja meninggalkan Mekah dan Madinah.

Kesungguhan untuk melakukan amal ibadat dan kesungguhan untuk tidak melakukannya nyata berada dalam dimensi yang sama. Ia kecelaruan minda. 

Agaknya, mereka sendiri tidak mengerti!

Lengang

Masjid Nabawi tersangat lengang dengan jemaah umrah Malaysia. Alahai… keseluruhannya begitu. Lalu jadual kami melayani tetamu juga menjadi lengang.

Subhanallah, kalendar kami hampir penuh mulai minggu depan, pertengahan Mei sehinggalah kami berangkat pulang. Barulah saya mengerti tentang tren umrah jemaah dari Malaysia.

Masa sibuk dan masa lengang.

Namun malam tadi kami menerima Profesor Dato’ Sidek Baba dan keluarga berserta Ustaz Ismail dan Tuan Syed dari Mekah.

Saya memanggil Dato dan Datin dengan gelaran mereka. Namun Dato Sidek membahasakan dirinya Cikgu sesuatu yang sememangnya dalam pengetahuan saya.

Lalu mudahlah saya menukar panggilan.

“Panggil saya Kak Ani,” kata Datin. Beliau pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Agak saya, beliau memaksa Cikgu untuk berkunjung ke rumah kami.

“Prof tulis dalam Majalah i supaya datang ke rumahnya. Kita sudah ada di Madinah, kita kena pergi ke rumahnya,” cerita Kak Ani kepada Roza.

Saya dan Cikgu mempunyai sedikit hubungan langsung. Beliau pengerusi unit Dakwah di dalam Majlis Ugama Islam Selangor (MUIS). Saya ahlinya.

Malam tadi saya mendengar tazkirah beliau. Saya bertanya, “Bagaimana rasanya di tahan ISA?”.

Hampir 12.30 pagi (malam) barulah kami menghantar mereka pulang ke hotel.

Panjang ceritanya!

Saya sudah lama tidak menambah, kata Prof Sidek. Chef BSR tersenyum. Wah... isteriku termakan juga pujian!

Berkongsi kegembiraan

Thursday, May 10th, 2012

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”

Begitulah maknanya surah Ad-Dhuha ayat 11 yang telah disampaikan oleh Azma ketika mengulas buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman pada 2007.

Saya sudah tidak ingat kali terakhir kami bertutur-kata namun sesekali saya mengintai perkembangan beliau melalui blog Al-Bazrah untuk mengetahui kesudahan PhD beliau di bumi Sudan (Nota: jika berkesempatan hubungilah Ayub +249926222342).

Hari ini saya terlintas Azma apabila menulis tajuk berkongsi kegembiraan sebagaimana pandangan beliau terhadap buku penulisan saya.

Begitulah, ilmu yang saya perolehi melalui kenalan yang munculnya entah bagaimana, melekat dan sangat bermanfaat. Hakikatnya, ramai insan-insan yang benar-benar ikhlas membantu dan memimpin perjalanan saya sehingga ke hari ini.

Ia salah satu penyebab untuk saya gagahkan diri terus-terusan melakukan apa yang sedang saya usahakan sebagai tanda bersyukur yang amat sangat terhadap segala nikmat yang telah diberiNya.

Saya mahu berkongsi kegembiraan tersebut. Terima kasih Azma, moga Allah memudahkan hidup mu, suami, anak dan kaum keluarga.

Ia sedikit berbeza.

Setiap kali Iman memasak sesuatu yang baru, beliau pasti – IsyaAllah – mahu berkongsi kegembiraan beliau bersama kami sekeluarga.

“Dr, boleh dinner bersama kami,” SMS Sheikh Khalid.

Lalu saya membuat panggilan. “Kenapa notis yang sangat singkat? Boleh tetapi saya mempunyai sedikit masalah. Kami mempunyai seorang tetamu. Boleh saya bawa beliau sekali?”

Saya teruja mendengar penjelasan Khalid, “Iman menyediakan masakan Stuffed Vine Leaves. Ia masakan tradisi Syam”.

Emm…. ia juga masakan tradisi orang-orang Greek.

Kami menyukainya. Ia menggunakan daun asli.

Kami sangat teruja. Malah dapat menyaksikan kegembiraan Iman menyediakan makan malam yang lazat kepada kami sekeluarga. Tambah seronok melihat Ustaz Sidek dan anaknya (tetamu kami) sangat berselera.

Tiba-tiba Ustaz Sidek bersuara,

“Sheikh Khalid, bila sampai ke Segamat, jemput ke rumah saya. Makan di rumah saya pula”.

“Ustaz, jadual kami sudah penuh.,” saya memotong cakap memperingatkan Sheikh Khalid.

“Mungkin kita boleh pergi waktu tea?,” Sheikh Khalid memberi cadangan balas.

“OK…,” saya mengalah. Namun – sesuatu yang saya pelajari – begitulah persahabatan terjalin melalui makanan. Benarlah kata Roza, Ia Bukan Sekadar Resepi.

Allah… Allah… saya ketawa melihat hidangan ini.

Dua ekor ayam togel. Namun ia tidak bersisa. Nasi dan Ayam yang sangat simple.

Salad ini juga sangat menarik.

Salad istimewa Iman

Dan makanan dicampak-campak oleh Sheikh Khalid dengan senyum lebarnya. Kegembiraan dan meraikannya bersama mereka yang hampir sentiasa membuat hati sebak dan melihat kebesaran Allah SWT.

Benarlah, setiap muslim itu bersaudara. Dan kami merasainya!

Ia hari yang dikenang oleh Ustaz Sidek dan anaknya

Jubail

Wednesday, May 9th, 2012

17hb Mei, saya dijemput untuk menyampaikan syarahan di Jubail, kawasan Timur, Arab Saudi.

Jaraknya hampir 1300 km.

Ia tempat yang tidak pernah saya tuju. Pastinya saya sangat teruja. Asalnya – saya fikir – hanya perlu menyampaikan satu syarahan. Kemudian dijadikan dua kali.

Tidak mengapa kerana itulah tujuan saya bermusafir. Jika tidak, saya tidak terfikir untuk pergi sejauh ini semata-mata untuk merasai angin pantai di kawasan tersebut.

24hb Mei, kami akan memulakan kuliah bulanan di Jeddah. Ia berdasarkan buku Bersyukur Saat Diuji, lebih formal jika menggunakan tajuk asal, Menghadapi Ujian.

Pada satu ketika yang lain, ada yang bertanya, “bila prof mahu ke Riyadh?”.

“Kenapa,” saya bertanya balik.

“Jika prof datang ke sini, kami mahu aturkan majlis”.

Lalu saya ketawa kecil dan menyatakan secara terus-terang, “sukar saya meninggalkan Madinah kecuali untuk menyampaikan kuliah. Jadi aturkan majlis, sambil itu saya berjalan”.

Sedikit perbezaan menggambarkan kesungguhan.

Jadual Cuti

Saya merenung jadual cuti musim panas. 25 tazkirah atau kuliah yang telah dipersetujui. Maksudnya – secara purata – ia berselang sehari.

Sekali imbas, ia kelihatan jadual yang sangat padat. Dua kali imbas, ia memang dirancang begitu. Saya suka. Malah ia tidak sepatutnya mengganggu percutian keluarga dan tetamu kami, Sheikh Khalid dan keluarganya.

Misalnya, ketika di Dungun, kami akan menikmati pantai Sura Hujung dan menikmati “Fish and Chips” tradisi Terengganu. Kami akan bermalam di sana. Besoknya, ketika mereka berehat-rehat di hotel, saya akan berhadapan dengan staf wanita UiTM.

Jika program bermula jam 8.00 pagi, kaum keluarga akan menikmati makan pagi. 9.45 pagi, kami akan beredar ke Kuala Terengganu.

Tentu sekali kami akan melawat Pasar Payang, berehat-rehat di Pantai Batu Buruk sambil menikmati Air Batu Campur. Besoknya, saya akan bercakap di hadapan staf UiTM Terengganu selama sejam.

Di Cameron Highland, saya akan menyampaikan kuliah subuh. Khabarnya di Masjid Tanah Rata. Ia waktu senggang yang boleh dimanfaatkan.

Begitulah hari-hari yang bakal dilalui. Cuti dan kuliah berjalan serentak.

Moga Allah memberi kesihatan yang baik.

PTS atau Galeri Ilmu?

Tuesday, May 8th, 2012

Itulah soalan nakal yang diajukan kepada saya setelah terbitnya buku Bersabar Saat Diuji.

Malah ketika saya menguar-uarkan buku tersebut akan diterbitkan oleh Galeri Ilmu sudah ada yang bertanya, “kenapa Prof tinggalkan PTS?”

Ada juga soalan yang bertanya, “syarikat mana membayar royalti yang lebih?”

Saya tidak pernah memberi jawapan.

Namun pertanyaan seumpama ini menjadi semakin kerap. Biar saya mencatatkan sesuatu.

Alhamdulillah, saya sudah menerbitkan buku bersama beberapa penerbit. Di antaranya – Darul Numan, Gaya Media, UPENA, Utusan Publications, PTS dan Galeri Ilmu – yang kesemuanya mempunyai pelbagai wajah sama dan dan juga berbeza.

Namun tulisan yang mendapat perhatian umum ialah “Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman” terbitan PTS walaupun buku “Pelajar Cemerlang” juga telah terjual melebihi 20000 naskah, 16 tahun yang lampau.

Jadi – logiknya – saya sinonim dengan PTS kerana turutan menulis, Travelog Dakwah dan 50 Tip Motivasi Haji. Kemudian ia turut menjadi lebih hampir dengan adanya Roza yang menulis Travelog Cinta Abadi dan Trevolog Impian Abadi.

Namun keputusan untuk menukar penerbit bukan kerana saya tidak berpuas hati dengan PTS. Bukan kerana bayaran royalti yang sedikit atau pun banyak. Juga, bukan kerana tidak sukakan sesiapa.

Ia seumpama saya memilih PTS ketika saya boleh meneruskan penulisan dengan UPENA atau Utusan Publications. Malah, UPENA menawarkan royalti sehingga 20 peratus untuk profesor menulis.

Pertimbangan utama memilih PTS ialah kerana saya mahu mencuba di tempat baru dengan memohon daripada Allah SWT.  Tidak lebih dan tidak kurang. 

Alhamdulillah, saya bertemu dan menjadi tamu dua tokoh terkenal, Puan Ainon dan Profesor Abdullah. Alhamdulillah juga saya berkenalan dengan Tuan Faris dan Tuan Imran yang menjadi pengantara yang hampir.

Biasalah, antara penulis dengan editor pasti ada “up and down”. Ia proses kerja. Namun akhirnya, biarlah ia menjadi rahsia di antara kami. Saya seronok bekerja dengan mereka.

Kedua, ketika berhijrah ke Madinah, saya juga mahu berhijrah penerbit sekadar mahu beralih rasa. Saya tulis di FB, “saya sedang menulis manuskrip…. ada sesiapa yang menerbitkannya?”

Saya tidak ingat siapa, namun ada petugas Galeri Ilmu yang menghubungi saya. OK saya setuju!. Kemudian ada penerbit yang lain juga berhubung dan saya nyatakan, “ia sudah ada penerbit yang sanggup dan saya sudah berjanji tetapi saya ada mempunyai satu lagi manuskrip, mahu diterbitkan?”.

Seminggu saya menunggu tanpa balasan. Maka saya batalkan tawaran tersebut.

Bersama Galeri Ilmu, kami tidak pernah berbincang tentang royalti. Saya tidak mengenali sesiapa di sini kecuali nama. Malah wajah Puan Suraiya yang sering berhubung masih misteri.

Namun saya fikir beliau seorang yang lemah lembut kerana mudah meminta maaf bila saya marah-marah (?) (nota: melahirkan rasa hati lebih sesuai).

Allah, Allah, Allah… tidak sabar rasanya untuk pulang ke Malaysia dan berjumpa dengan kesemua mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan buku tersebut.

Saya menulis melalui PTS dan kini melalui Galeri Ilmu. Namun saya masih menghantar cadangan manuskrip kepada PTS. Ia bukan soal meninggalkan PTS atau bersama Galeri Ilmu.

Saya sayangkan keduanya.