Archive for the ‘Tips pasca haji’ Category

Dekat masjid

Thursday, October 14th, 2010

Ada dua bentuk SMS yang saya terima. Pertama, memberitahu yang mereka akan berlepas. Kedua, menceritakan keseronokan sampai dan beramal ibadat di bumi Madinah.

Ia membuat saya cemburu. Apalah yang boleh saya katakan kecuali berdoa agar kesemua rakan-rakan, kenalan dan pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman memperolehi haji mabrur sebagaimana yang dijanjikan Allah, iaitu tiada balasan lain selain daripada syurga.

Maksud haji mabrur – mengikut fahaman saya – bukanlah setakat melakukan 100 peratus amalan ibadat semata-mata kerana Allah di Tanah Suci tetapi apabila pulang ke Malaysia terus peratusannya menjunam turun. Ia ibarat pasaran saham di musim ekonomi merundum.

Salah satu amalan sinonim di Tanah Suci ialah solat berjemaah. Masjidil Haram atau Masjid Nabi menjadi tumpuan untuk bersolat lima waktu. Ia mempunyai tarikan luar biasa. Ia sukar diceritakan. Namun ada juga yang tidak konsisten ke masjid, pergi mengikut “suka-suka” hati sebagaimana amalan mereka di Malaysia.

Kita tinggalkan “buat sementara waktu” mereka yang bersikap demikian.

Terdapat mereka yang sangat komited untuk berubah dan menjadi manusia yang lebih baik. Sepanjang di Mekah dan Madinah mereka berjaya hampir 100 peratus bersolat di Masjidil Haram dan di Masjid Nabi. Bila pulang, mereka terus bersemangat. Solat subuh di masjid berhampiran rumah, solat zuhur bergegas ke masjid berhampiran pejabat, asar pula bersolat di surau pejabat, Maghrib singgah di masjid dalam perjalanan pulang ke rumah dan Isya kembali bersolat di masjid kariah sendiri.

Ia terjaga kerana semangat haji yang membara.

Namun lama kelamaan, sedikit demi sedikit malah dalam kesibukan kerjaya, solat berjemaah mula ditinggalkan. Pertama, solat asar. Ia paling sukar apabila di waktu bekerja. Diikuti pula solat Zuhur. Terlajak dek kerana bos yang bermesyuarat sehingga melewati waktu solat berjemaah di masjid. Akhirnya yang tinggal hanyalah Maghrib dan Isya sahaja. Mungkin juga solat subuh masih boleh terlaksana.

Jika di luar kawasan, jamak dan Qasar benar-benar membantu bagi solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya. Bagaimana pula dengan solat subuh? Mampukah kita berjemaah?

Pertimbangkan pengalaman yang baru saya lalui. Pihak UUM menyediakan saya hotel terbaik di kawasan mereka. Lalu saya bertanya Omar, pelajar yang menjadi PR saya, “Omar, berapa jauh hotel saya dengan masjid yang terdekat? Boleh saya berjalan kaki ke masjid?”

“Jauh prof…. jauh ke dalam. Gelap”

“Silap saya… sepatutnya saya maklumkan pada you yang saya ingin hotel yang dekat dengan masjid. Hostel you dengan hotel saya berapa jauh?,” saya cuba mengarahkan perbincangan tentang keinginan saya mahu bersolat di masjid.

Maksud sebenar soalan saya, “Kalau begitu, boleh awak ambil saya ke masjid?”

Omar menjawab, “jauh prof, hostel saya ke hotel hampir 7 KM”.

“Emmm, memang salah saya,” saya masih bersungut.

“Prof, kami tidak terfikir tentang masjid. Kami berbincang tentang status prof sebagai profesor sebab itu kami ambil hotel yang terbaik”.

Niat murni!

Akhirnya – ringkaskan cerita – saya berjaya menginap di penginapan universiti yang hanya bersempadan dengan masjid universiti. Saya sangat bersyukur kerana masih diizin Allah untuk bersolat di masjid.

Tips pasca-haji yang boleh difikirkan: Bila memilih hotel di luar kawasan, tanyalah, “berapa jauh hotel ke masjid?”. Ia kelihatan kecil tetapi sangat signifikan dalam menjaga solat berjemaah supaya terus kekal walaupun telah kembali ke Malaysia.