Bolehkah?

May 8th, 2012

Ia di luar kawalan.

Mereka yang berkenalan atau mengenali saya seawal tahun 2007 sangat-sangat berbeza dengan mereka yang baru menghampiri saya, misalnya tahun 2012.

Maksud saya, mereka yang hanya mula membaca tulisan-tulisan saya pada ketika ini berbeza penerimaannya berbanding dengan mereka yang terdahulu.

Itulah juga yang sering disebut oleh Roza kepada tetamu wanita ke rumah kami, “puan mengenali prof pada ketika ini. Saya mengenali beliau lebih lama….”

Tentulah begitu.

Ada yang menulis, “Prof, tidakkah riyak menulis dan bercerita tentang amalan sendiri?”. Lalu dengan panjang lebar dihujahkan yang akhirnya membawa kesimpulan yang ditulisnya sendiri (Nota: mereka seumpama ini sangat tidak jelas identitinya).

Ialah…. mereka baru membaca tulisan-tulisan terkini.

Namun saya “senyum-senyum” kerana mereka bertanya dan mereka juga yang memberi jawapan.

Kesimpulannya begini, “Ia boleh tetapi “katanya” para ulamak tidak akan melakukannya kerana takut riyak dan ujub dalam diri”. Maka diberi hujah-hujah boleh dan tidak boleh.

Menarik. 

Kenapa? Ada dua pilihan yang dibenarkan tetapi kerana TAKUT berlaku sesuatu yang tidak elok maka lebih baik terus sahaja membuat pilihan yang satu lagi.

Dan doktrin ini cuba dipasakkan kepada yang lain.

Pada pandangan saya – ia pandangan saya – pendapat ini hanyalah “copycat” apabila mendengar ceramah tanpa berfikir, menyelidik dan membuat rujukan silang secara bersungguh-sungguh.

Misalnya, ada isu yang lebih besar yang akan menghapuskan segala kerisauan tentang riyak dan ujub dalam diri, InsyaALLAH. Ia kenyataan yang sering didengar tetapi tidak cuba disepadukan dalam tindakan yang lain.

“Setiap perbuatan bermula dengan niat”.

Kita sepatutnya mengajar atau mengajak manusia membetulkan niat apabila ada dua kemungkinan yang akan berlaku dalam sesuatu tindakan.

“Lakukan sesuatu kerana Allah, semata-mata kerana Allah, InsyaAllah DIA akan bantu kita” Janganlah meninggalkan pilihan kebaikan kerana takutkan berlakunya kejahatan. Ia bukan kaedah terbaik. 

Persoalannya, siapakah yang boleh menentukan niat ini? Emmm… tidak usahlah kita cuba menilai niat orang. Tidak sepadan dengan akal dan fikiran manusia yang sangat terbatas. 

Namun ramai orang lupa yang ujub dalam diri terlangsung juga ketika bersendirian. Allahu Akbar, pergilah bertapa di luar kawasan manusia sekalipun akan ada bisikan-bisikan yang akan mengatakan, “oooo… aku hebat…. ooo…. aku hebat….”.

Jika begitu, apa pula tindakan kita?

Ia satu permainan yang sangat dasyat. Akhirnya mereka yang banyak beristifar, memohon belas kasihan Allah, menangis mengenangi kematian yang bakal tiba – insyaAllah – akan dibantu olehNya.

Terima kasih kerana mengingatkan saya. Bila sampai masa dan ketikanya, saya akan bersendirian tanpa hiruk-pikuk alam maya atau kehidupan yang penuh dengan fitnah dan buruk sangka.

Biarlah saya mengira hari tersebut!

Makan Pagi

6.00 pagi, makan di restoran

Ustaz Sidek dan anak lelakinya – Naim – berada di Madinah.

Ia usaha gigih seorang ayah yang mahu anaknya menjadi ulamak. Mereka sanggup terbang sejauh hampir 7000 km untuk menghadiri temuduga Universiti Islam Madinah.

Ia pengambilan untuk tahun 2013.

“Naim, untuk jadi ulamak, sifat-sifat seorang ulamak perlu dibentuk ketika belajar lagi. Ia tidak senang tetapi ia tidak mustahil”

Barangkali Ustaz Sidek lebih mengetahui bagaimana seorang ulamak melalui fasa-fasa kehidupan mereka. Namun saya lebih mudah melihat “kenapa ramai yang gagal menjadi ulamak”.

Ramai yang tewas kerana tidak tertahan dengan ujian kesenangan dan kemewahan dunia. Rasululullah SAW menyatakan perasaan bimbangnya melalui satu hadis yang dilaporkan oleh Bukhari yang bermaksud,

 Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemikian.

Madinah bumi mewah.

“Naim, ingatlah pesan saya, ramai yang tertewas dengan kemewahan ini. Berdoalah agar impian ayah menjadi kenyataan”.

Saya doakan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Kebaikan

May 7th, 2012

“Saya agak, mereka ini merupakan golongan terpilih sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah seperti dilaporkan oleh hadis sahih Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri”

Ia ada ditulis melalui buku Bersyukur Bila Diuji.

Kisahnya mudah. Kami ditimpa bencana banjir.  

Tiba-tiba ada rakan sejawat membawa plastik Parkson sambil berkata, “Prof, ini hadiah daripada kami. Kami tahu prof tidak sempat bershopping“. Dua pasang baju kerja berwarna putih. Ia kegemaran saya.

Kemudian, saya menerima dua helai kemeja daripada sahabat UKM yang dihantar melalui pos laju. Terselit nota, “buat sahabatku, ini sahaja yang mampu aku berikan buat mangsa banjir”.

Malah seorang rakan daripada UiTM Shah Alam mengirim sepasang kasut berjenama BATA berharga RM69.90 yang masih tidak dibuang tanda harganya.

Telah saya, sahabat ini tergesa-gesa mahu menghulurkan bantuan walaupun beliau tahu yang saya tidak bermasalah untuk membeli sepasang kasut. Apatah lagi jika nilai kasut itu hanyalah RM69.90.

 Ingatan daripada sahabat, rakan sejawat dan mereka yang hampir sangat-sangat membantu hati dan perasaan ketika berada dalam suasana yang ditimpa ujian. 

Benar, ia sangat signifikan.

Cantik dan bermakna

May 6th, 2012

Dua hari terakhir, stok buku bertimbun

Beli ke tidak?

OK ke tidak?

Sah, beli.... sudah di tangan

Saya menerima banyak rakaman foto di sekitar booth Galeri Ilmu, hasil karya Khairul Anuar A Rahim yang memberi fokus kepada buku Bukan Sekadar Resepi dan Bersyukur Saat DiUji.

“Rul, you tidak ke PWTC?,” saya membuat panggilan.

“Tidak prof, isteri saya ada kelas…. hari ini dan besok”

“Oh… OK… saya ingat kalau you pergi minta tolong ambil gambar di sana. Tidak mengapa,” saya memaklumkan tujuan.

Beliau adalah rakan sejawat di UiTM Johor yang masih kekal hubungannya. Dulu saya bos, beliau orang yang paling kanan dalam pentadbiran, menjawat jawatan Timbalan Pendaftar.

Khairullah tempat saya mencurahkan idea bagaimana mahu menjadikan UiTM Johor sebagai model kampus yang mendahuluikan Allah dalam setiap tindakan.

Beliau melaksanakannya dengan tekun. Jika ada kursus untuk staf di luar kawasan, bas, pemandu akan disediakan untuk solat subuh berjemaah di masjid.

Kesemua mesyuarat dihentikan sebelum waktu bagi membenarkan staf beredar ke masjid.

Banyak lagi. Namun ada sesuatu yang melangkaui segalanya. Hubungan kami menjadi sangat akrab meskipun saya tidak lagi berkepentingan dalam hidupnya.

Barangkali beliau memikirkan betapa bermaknanya rakaman-rakaman yang saya sarankan kepada beliau. Dan beliau mencelah pergi ke PWTC bagi memenuhi sedikit permintaan yang bagi saya tidaklah terlalu mustahak.

Terima kasih, Khairul!

Saya doakan agar beliau sentiasa dirahmati dan diberkati Allah. Mudah-mudahan beliau dicukupkan rezeki untuk hadir ke Mekah dan Madinah.

Kami menunggu saat dan ketika itu.

Garis penamat

May 6th, 2012

Ia garis penamat untuk satu fasa kehidupan.

Pertama, Haris Azrai.

Anak lelaki ini akan menamatkan pengajian Diplomanya jika berjaya lulus dua matapelajaran terakhir. Kami mempunyai perancangan untuknya tetapi akhirnya saya akan membiarkan Azrai membuat pilihan sendiri dengan sedikit panduan.

Apa pun, tiket penerbangan KL-Madinah telah berbayar. Berehatlah sekejap sambil memikirkan haluan seterusnya.

Kedua, Sara Fateha.

Beliau juga akan menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda. Sara juga mempunyai perancangan tersendiri, mahu melanjutkan pelajaran ke Luar Negara.

Juga, dengan sedikit panduan, beliau boleh memilih jalan yang mahu dilalui.

Setiap kali berhubung saya hanya menyebut, “jangan tinggal solat dan solat sunat”. Pada Azrai saya sangat berpesan, “solat berjemaah di masjid dan jangan lupa bangun malam”.

Ia hanya pesanan dan doa. Moga ia jadi ilmu yang bermanfaat.

Anak-anak cepat benar membesar. Nanti bila mereka berkeluarga ia semakin berbeza. Sehingga sampai masanya, biarlah kita menghargai sisa-sisa kehidupan yang ada bersama mereka.

Sehinggalah dikumpul semula di Jannah!

Saprah Berbuka Puasa Wanita

Khamis lalu Roza menyerahkan SR5600 kepada Asma’ – rakyat Sudan – salah seorang yang mengendalikan saprah berbuka puasa wanita di masjid Nabawi. Ia untuk 50X majlis berjumlah SR5000.

SR600 pula dikelaskan sebagai hadiah untuk beliau.

Jika khalayak wanita berada di sini, jemputlah bersama beliau di kawasan pintu 30 (Ali bin Abi Talib), saf hadapan sebelah kiri untuk berbuka puasa pada Isnin dan Khamis serta hari-hari 13, 14 dan 15hb Hijrah setiap bulan.

Di sebelah lelaki, khalayak KRTS menyumbang di dua tempat yang berbeza. Pertama, saprah yang dikendalikan oleh pelajar Malaysia dan satu lagi dikelolakan oleh Sheikh Ridzuan, warga Sham yang sudah berada lebih 40 tahun di penjuru tersebut.

Alhamdulillah, walaupun jauh hampir 7000 KM, warga KRTS masih mampu menyumbang untuk aktiviti di masjid ini. Saya fikir ia sumbangan kecil (besar) yang signifikan.

Ia rasa “happy”.

Ia semakin tidak sukar

Saya down-load translator ke dalam IPad, free of charge.

Kemudian saya bermain-main dengannya buat seketika. Aha…. saya mencubanya ketika mahu memohon visa ziarah Azrai, Sara dan Mak.

Pagi semalam saya ke pejabat universiti tanpa iringan sesiapa. Maksud saya, tiada “mamat yang pandai bahasa Inggeris dan Arab” untuk membantu.

Saya buka IPad, terus ke translator dan menulis “Visa Ziarah. Ada sesiapa yang boleh bantu saya mengisi borang. Saya bayar segala perbelanjaannya”.

Terus terpancar ke skrin, “ زيارة تأشيرة. أي شخص يمكن أن تساعدني؟ ط سوف تدفع جميع نفقات.”

Mereka ketawa. “Fahim… fahim?,” saya bertanya menggunakan bahasa Arab yang sedikit ada di kepala.

Saya tekan gambar microphone. Ada suara yang bercakap.

Begitulah, urusan menjadi semakin mudah.

Maaf

May 5th, 2012

Saya mohon maaf.

Ia hanya tiga patah perkataan. Menyebutnya setulus hati tidak seringkas patah perkataan tersebut. Ia menjadi lebih sukar jika kita merasai yang kita lebih tinggi dan mulia.

Namun saya tidak tahu kenapa Tuan Wan Azmi – Pengarah Jabatan Penerbitan Galeri Ilmu - menghantar e-mel memohon maaf kepada saya. Beliau menulis,

Berkenaan buku Prof – Bersyukur Saat diuji (BSDU) -sambutannya amat baik. BSDU menjadi antara 5 buku terlaris setakat hari ini di booth GI. Ini menjadikan buku tersebut antara yang cepat terputus bekalan.

Adakalanya buku BSDU habis langsung di booth, menyebabkan ada antara pengunjung rasa begitu kecewa dan mungkin kesal dengan pihak kami.

Sehubungan itu, saya bagi pihak syarikat memohon berbanyak-banyak maaf kepada yang berbahagia Prof atas perkara tersebut. Hal ini berlaku benar-benar di luar jangkaan kami.

Saya tidak fikir GI melakukan sebarang kesalahan kepada saya secara peribadi. Mungkin Tuan Wan Azmi membaca komen-komen khalayak KRTS dan FB yang bercerita tentang terputusnya bekalan buku tersebut.

Malah ada yang berkata, “janjinya pukul 11, kemudian selepas Jumaat, lepas itu pukul 6 petang” memungkinkan pihak Galeri Ilmu berasa amat bersalah.

Agak saya, pihak GI mahu saya memanjang “mohon maaf mereka” kepada khalayak KRTS dan FB saya.

E-mel beliau lebih panjang daripada itu. Namun memadailah jika saya katakan, ia berbekas di hati. Maka saya nyatakan kepada rakan-rakan semua, “Maafkan GI, hari ini – Sabtu dan Ahad – mereka sudah bersedia dengan tambahan stok baru”.

Memohon maaf sukar, menerima maaf juga sukar. Namun kedua-duanya adalah sifat insan terpilih!

Tegas

“Sofea mahu puasa? Hari ini 14hb… Rasululullah berpuasa pada 13, 14 dan 15hb”.

“Tidak mahu. Sofea hanya mahu puasa Isnin dan Khamis,”tegas beliau memberi jawapan walaupun bangun bersahur bersama abang Chik.

“Amirul?”

Beliau menganggukkan kepala.

“Nanti bila bercuti di Malaysia, Sofea kena teruskan berpuasa. Di sana cabarannya sangat hebat. Jika kita berjalan jauh, tidak payah. Boleh?,” saya sudah memulakan perang psikologi supaya mindanya bersedia ketika berada di Malaysia.

Beliau hanya tersenyum.