Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
Siti Abdullah
Kekadang kita lupa yang rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan Allah jua lah yang berkuasa memberi rezeki tersebut. Alhamdulillah saya telah diberi peringatan tersebut oleh Allah melalui ibu mertua yang sangat saya hormati.
Apabila pulang ke kampung sebelah suami, ibu dan ayah mertua selalu meminta saya menyediakan juadah untuk keluarga. Malahan, ada saja permintaan dari adik-adik ipar untuk saya menyediakan lauk pauk yang mereka ingin makan. Saya berbesar hati menunaikan permintaan mereka sebab saya berasa itulah peluang saya untuk berbakti kepada keluarga mertua lantaran saya jarang-jarang dapat pulang ke kampung suami yang jauh terletak di pantai timur.
Namun, apabila kerap menerima pujian dan permintaan, saya mula berasa diri hebat di arena dapur. Hebat menyediakan juadah yang pelbagai yang menjadi pujian mereka yang menikmatinya.
Astaghfirullahalazim…
Begitu licik syaitan meniupkan rasa bangga dan riak di hati manusia dan menghilangkan rasa ikhlas ingin berbakti kepada keluarga tersayang. Tatkala kita menerima pujian dari mereka yang mungkin ikhlas mahu menunjukkan penghargaan kepada kita, syaitan mula membisikkan kata-kata yang membuatkan kita percaya yang kita lah manusia hebat. Kitalah yang mempunyai kepakaran tersebut sehingga kita lupa yang Allahlah yang telah meminjamkan ilham, ilmu dan kebolehan itu kepada kita.
Tetapi saya sangat bersyukur Allah telah mengingatkan saya bahawa Dialah yang maha berkuasa di atas segala sesuatu. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Pada suatu hari sedang saya memasak di dapur di kampung suami, saya telah disapa oleh ibu mertua yang datang bertanyakan lauk apa yang sedang saya sediakan sambil menanyakan bahan-bahan yang saya gunakan untuk lauk tersebut. Sambil merendah diri, beliau mengatakan yang beliau seorang yang tidak pandai menyediakan lauk-pauk yang sedap-sedap untuk ahli keluarganya.
Dan beliau mengingatkan saya supaya selalu bersyukur sebab Allah telah kurniakan kepada saya kebolehan untuk merasa dan mengagak ramuan-ramuan untuk menjadikan masakan berasa sedap. Dan dia pun terus mengingatkan saya dengan kata-kata yang saya pegang sebagai panduan buat saya dalam banyak perkara, bukan setakat memasak.
Dengan senyuman beliau berkata kepada saya, “Yang menggerakkan kita untuk mengambil berapa banyak garam, gula, asam dan sebagainya adalah Allah. Yang memberikan ilham kepada kita bagaimana untuk mengolah masakan supaya sedap juga adalah Allah. Kalau kita nak masakan kita sedap, minta la pada Allah supaya Allah pandu kita untuk membuat perkara yang betul.”
Dia kemudian menambah, “Makanan yang sedap tu rezeki daripada Allah. Tukang masak cuma perantara yang menyampaikan rezeki tersebut. Kalau memang dah tersurat rezeki kita makan sedap hari tu, maka sedap lah masakan tukang masak. Kalau ditakdirkan kita dapat rezeki makan yang kurang sedap hari tu, maka tak sedap lah masakan tukang masak walaupun dia adalah tukang masak yang sama.
Bila kita terima rezeki kita dengan rasa syukur, kita takkan berasa marah pada tukang masak. Dan tukang masak tak rasa riak dengan masakannya sebab semua adalah ketentuan Allah, bukan ketentuan tukang masak.”
Saya benar-benar rasa seperti ditampat-tampar dengan kata-kata ibu mertua saya. Bukan sebab kasarnya kata-kata beliau tapi sebab benarnya kata-kata tersebut.
Sambil bercakap dengan nada yang sedikit memujuk, barangkali kerana beliau sedar saya agak terkesan dengan kata-katanya, ibu mertua saya berkata, “Alhamdulillah Allah berikan peluang pada ayah, che dan lain-lain untuk dapat rezeki makan sedap melalui air tangan Siti. Siti patut rasa bersyukur dan rasa istimewa sebab diberikan kelebihan itu. Itu pula merupakan rezeki buat Siti. Rezeki untuk memberi orang lain makan sedap.”
Allahuakbar! SubhanAllah! Alhamdulillah!
Kemudian ibu mertua saya berlalu pergi meninggalkan saya untuk menyiapkan masakan saya, seolah-olah dia datang hanya untuk menyampaikan peringatan tersebut. Peringatan yang saya kira adalah peringatan secara langsung dari Allah yang mahu saya betulkan niat dan kembali bergantung kepada Nya dalam segala sesuatu. Alhamdulillah. Tidak terucap betapa bersyukurnya saya mendapat kasih sayang Allah sebegitu rupa.
Sehingga sekarang saya selalu mengingatkan diri saya, ahli keluarga dan pelajar-pelajar saya untuk sentiasa memohon kepada Allah jika kita mahukan sesuatu dan untuk tidak berasa hebat jika kita mempunyai sesuatu kebolehan.
Sebagai seorang isteri, anak dan ibu, saya selalu berdoa apabila mula memasak.
“Ya Allah, Kau bantulah aku dalam menyediakan masakan yang berkhasiat dan sedap untuk suamiku, ibuku dan anak-anakku. Berilah mereka rezeki yang berkhasiat dan sedap dan jadikanlah kami di kalangan hamba Mu yang bersyukur.”
Sebagai seorang guru pula, pada permulaan semester, saya selalu mengingatkan pelajar-pelajar saya supaya selalu mohon kepada Allah agar Allah ilhamkan saya untuk menyampaikan pelajaran sebaik mungkin dan supaya mereka beroleh rezeki kefahaman. Sekarang, sebelum memulakan kelas, kami akan membaca doa.
Saya akan berdoa supaya saya diberikan rezeki untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar saya dan mereka berdoa supaya mereka diberikan rezeki mendapat ilmu yang bermanfaat daripada saya. Bila doa kami menjurus kepada perkara yang sama, mudah-mudahan Allah memakbulkan doa kami.
Sesungguhnya kita adalah hamba. Hamba yang bergantung kepada Allah semata-mata. Hamba yang tidak mampu untuk berbuat apa-apa sekalipun hatta mengelipkan matanya tanpa bantuan dan izin Allah.
Jika kita selalu mengingatkan diri kita tentang perkara ini, insyaAllah kita akan kurang berasa sakit hati, kecewa, riak, hebat, sombong dan sebagainya sebab kita sedar yang semuanya adalah rezeki yang Allah berikan kepada kita.
Murni
Beberapa minggu yang lalu, aku membawa saudara mara suamiku yang datang dari jauh berjalan-jalan ke Nilai 3. Jika disebut Nilai 3, tiada apa yang terbayang melainkan membeli belah sahaja. Saudara suamiku ini boleh dipanggil musafir kerana perjalanan mereka melebihi 100 kilometer jauhnya. Sampai sahaja di rumahku, tidak sempat duduk lama berbual-bual, mereka terus memutuskan untuk ke Nilai 3 terus.
Aku sempat melihat jam, beberapa minit lagi akan tepat jam 12.00 tengah hari. Hari itu ialah hari Jumaat. Aku dan suami sebenarnya tidak biasa keluar rumah waktu-waktu sebegitu. Biasanya kami akan menunggu sampai masuk waktu untuk solat dahulu, barulah senang hati keluar. Aku tanyakan pada suami, “Bagaimana jika kita keluar selepas abang solat Jumaat,” tetapi suamiku tidak berani menegah. Aku hanya mengikut dengan perasaan yang serba salah.
Sampai di Nilai 3, jam 12.45 tengah hari. Mengikut kebiasaan, waktu sebegitu suamiku sedang bersiap-siap untuk ke masjid. Tetapi hari itu kami sekeluarga masih di dalam kereta, mengekori kereta saudara maranya melilau-lilau mencuci mata melihat perabot jati dan permaidani yang tersadai di luar kedai. Kata suamiku, \"Mereka tidak solat Jumaat, sebab musafir,\"
Dalam kumpulan kami, ada 2 orang lelaki dewasa dan yang lainnya wanita. Jadi kami tinggalkan mereka dengan kegembiraan mahu membeli belah, dan berlalu pergi mencari masjid berdekatan.
Dalam perjalanan ke masjid, aku menyuarakan betapa kecewanya melihat sikap saudara-saudara seagama tadi. Bagiku yang tidaklah mempunyai ilmu agama yang tinggi, apa salahnya berhenti sebentar untuk bersolat , memandangkan mereka masih kuat dan berada di kawasan yang masih boleh mendengar azan. Ya, agama tidak menyusahkan tetapi ada sebab dan munasabnya.
Sanggupkah memegang gelaran musafir untuk meninggalkan solat Jumaat, dan kemudian tanpa rasa malu dan bersalah membeli belah di tempat terbuka. Aku hanya mampu meluahkan pada suamiku mengenai kekecewaan itu dan dalam masa yang sama, memanjatkan kesyukuran kerana situasi sama pernah berlaku pada kami sekeluarga dulu di mana kami bergelar musafir, dan apabila kami melalui masjid dan azan sedang berkumandang, suamiku memarkir kereta di tepi jalan dan terus menyertai solat Jumaat tanpa alasan.
Pada hari itu, sebaik sahaja suamiku selesai solat Jumaat, aku pula mengambil beg telekung dan menuju ke masjid sama ditemani suami dan anak-anak. Sebaik memijak kaki masuk ke masjid , aku mencuba menahan malu kerana masjid masih dipenuhi kaum lelaki yang selesai solat Jumaat tadi. Ketika ini berlaku satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.
Aku sedang berdiri di sejadah seorang diri di kawasan muslimah dan mahu memulakan solat. Kemudian aku nampak seorang remaja lelaki memandang ke arahku dan mencuit kawannya. Kain tirai yang memisahkan kawasan muslimah masih digulung dan belum diturunkan selepas solat Jumaat tadi, jadi aku dapat melihat keseluruhan ruang dalam masjid itu. Remaja yang memandangku tadi datang ke arahku bersama 2 orang kawannya bergegas menurunkan tirai yang tergantung hingga seluruh ruangan solat muslimah tidak lagi terbuka.
Aku hanya mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih dengan perlahan. Biar apa pun niat remaja-remaja tadi, mereka sebenarnya telah mendapat pahala kerana membantu aku memelihara auratku. Alhamdulillah, hari itu aku melihat dua kisah. Satu lelaki dewasa yang sudah baligh tidak bersalah meninggalkan solat Jumaat kerana mahu bershopping,dan satu lagi kisah remaja lelaki yang mungkin baru memasuki alam baligh, tetapi sudah memahami perasaan malu seorang wanita dan tahu bagaimana mahu menghormatinya.
Asrul
Manusia sering mengharapkan keajaiban.
Namun setiap kali yang dihajati jarang sekali mendapat seperti kemahuan hati. Mencari jalan pulang adalah satu tema yang acapkali disebut dan dihajati tetapi amat jarang sekali yang dapat direalisasikan mengikut tuntutan agama.
Kita lebih mudah mempercayai kepada keupayaan makhluk sedangkan setiap yang memberi dan membolehkan kita mendapat sesuatu adalah atas dasar pergantungandan tawakkal kita kepada Pencipta. Namun masih ramai dikalangan kita terbuai di dalam mimpi mencari sesuatu yang tidak pasti.
Kita terlupa bahawa kejadian kita dan makhluk yang lain hanyalah atas “single purpose”, satu matlamat, matlamat hakiki iaitu menjadi hamba kepadaNya, Tuhan sekelian alam. Ramai kita terbuai di dalam alunan asyik duniawi hingga kita tewas atas bisikan syaitan dan hawa nafsu sendiri, tidak mengapa, esok masih ada untuk bertaubat, tidak mengapa petang nanti boleh di qada solat zohor yang tertinggal.
Kita lebih rela untuk menninggalkan perkara yang disyariatkan dari melaksanakan amanah yang telah kita janjikan satu ketika dulu, janji yang amat berat dan ada juga yang merasakan mustahil dapat dikotakan. Betapa ramai atas sebab mesyuarat, atas sebab projek, atas sebab menonton TV, atas sebab berpacaran, atas sebab mekap, atas sebab gincu yang dipakaikan, kita rela mengetepikan dan meninggalkan solat fardhu.
Kita terlupa bahawa hari-hari yang dipanjangkan kehidupan kita, adalah hari-hari untuk menuju jalan pulang, jalang pulang yang akan kekal selama-lamanya, jalan pulang menuju ke alam Akhirat kita. Jalan pulang ini mudah tetapi tidak wajar dipermudahkan sahaja. Kita sebagai hanbaNya dalam setiap keadaan perlu meneruskan perjalanan dengan memastikan solat kita 5 kali sehari dijaga dengan rapi. Solat sewajarnya dikerjakan di awal waktu, dan dilaksanakan berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid yang tersebar luas di serata ceruk tananhair kita.
Solat ini amat berat melainkan bagi mereka hamba-hanbaNya yang khusuk dan mendambakan kejayaan di perjalanan akhir kita, menuju jalan pulang. Kita acapkali akan berkata aku mahu ke suyrgaMu, tetapi kita jarang atau hamper tiada sekali memastikan ibadat kita kepada Pencipta dijaga dengan rapi.
Mengharap keredhaan Allah, maka kita wajib memastikan terutama kaum lelaki untuk mengimarahkan solat 5 waktu kita di surau-surau dan masjid-masjid. Kita umat akhir zaman, umat yang dipenuhi dengan dugaan dan ujian disekeliling kita, melawan dugaan ini sebenarnya tidak sukar, ia memerlukan istiqamah dan pengharapan kepadaNya, pasti ia menjadi nikmat yang tidak dapat dizahirkan bagi mereka yang konsisten dengan memberi 100% komitmen melaksanakan solat fardhu berjemaah.
Mencari Jalan Pulang juga berarti kita mempersiapkan diri dengan segala amal untuk melengkapi keperluan kita bila bertemu untuk penghakiman diMahsyar nanti, solat 5 waktu, puasa sunat dan wajib, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan lain-lain ibadat merupakan bekalan yang wajar kita pastikan tiada keciciran.
Ada orang Allah berikan hidayah pada usia 20an, ada pada usia 40an dan ada yang pada 60an, tidak kira bila hidayah ini dating mengetuk dada anda, pastikan ia dijaga dan dibaja dengan secukupnya, buat amalan-amalan sunat seperti solat tahajud di sepertiga malam, solat Witir, solat Dhuha, puasa sunat Isni, Khamis atau Hari-Hari Putih, sedekah jariah, semua ini pasti membantu kita.
Sekiranya dirasakan diri ini masih terkebelakang, kurang ilmu agama, carilah sahabat, ustaz dan mereka yang lebih Ariff untuk belajar darinya. Belajar agama tiada batas usia, ia perlu saat diri dan ketika kita merasakan hidayah Allah telah tiba. Usia kita yang dipanjangkan, wajar kita syukuri dengan nikmat iman dan Islam yang diberikan. Ia anugerah Allah yang tiada bandingannya dan ia sewajarnya membantu kita untuk menjadi seorang Mukmin yang benar dan tawadhuk kepadaNya.
Hidup ini hanya sekali, setiap kita yang dilahirkan di dunia ini pasti akan menemui maut di akhir perjalanan duniawi, jalan pulang kepadaNya moga dipenuhi dengan bekal amal buat diri kita sendiri. Sewajarnya juga kita, memastikan bahawa isteri dan anak-anak kita juga berada dijalanraya yang benar, Jalan Lurus yang bakal membawa Jannah buat kita.
Moga Jannatul Firdaus, Jannatul Naeem itu menjadi habuan atas segala amal ibadat yang dilakukan di dunia ini. Mari kita sama-sama bersedia untuk menempuhi jalan pulang ini, Hanya diri kita yang dapat memastikan bahawa kita mampu melakukannya atau tidak,
Allah Maha Pengampun dan pintu taubat senantiasa terbuka buat hamba-hambaNya yang bertaubat dan kembali ke jalan Allah.
26 Rabiul Akhir 1434
Alwani Hamid
Allah Maha Pengasih dan Penyayang apabila menetapkan perjalanan hidup saya berasaskan agama.
Saya mendapat pendidikan agama secara formal apabila melangkah ke Maahad Muhammadi pada tahun 1987. Sekolah yang sehingga kini harum namanya di bidang pendidikan agama. Di situlah saya dibentuk.
Asas itulah yang subur dalam diri hingga sekarang. Syukur saya tidak terhingga ditetapkan begitu perjalanan hidup walaupun saya cukup sedar, saya tidak berusaha bersungguh-sungguh mendalaminya dalam fasa kehidupan seterusnya, sekadar cukup apa yang ada.
Ampunkan saya ya Allah..
Kasih sayang Allah itu sentiasa mekar. Dianugerahkan saya dengan 4 orang anak lelaki. Tekad saya dan suami anak-anak ini mesti lebih baik daripada kami. Pendidikan mereka perlu diasaskan kepada kecintaan kepada Tuhan.
Kami bersedia untuk susah kerana itu. Saya mahu al-quran hidup dalam dada dan kehidupan mereka walau siapa pun dan apa pun kerjaya mereka nanti.
Semalam 3 orang anak lelaki saya pulang dan berkata: “ustaz kata orang yang menghafal al-quran boleh membawa 10 orang ahli keluarganya ke syurga.”
Mereka begitu teruja dan setiap seorang hendak membawa saya dan bapa mereka ke syurga..MasyaAllah, saya berkira-kira dengan mereka bahawa seorang sudah memadai membawa saya dan baba mereka..yang lain boleh membawa ahli keluarga yang lain untuk bersama...
Saya mohon dengan penuh sebak agar Allah mengizinkan mereka menjadi Hufaz dan membawa semua orang-orang yang disayangi ke syurgaNya. Saya fikir ustaz berkata demikian bersandarkan hadith ini:
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
(Nota: Syafaat mutlak datangnya dari Allah SWT)
Saya juga teringat pesan guru al-quran yang diberkati iaitu:
“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Ya Allah, sayalah ibu yang bercita-cita tinggi itu. Itulah pendidikan yang diinginkan buat anak-anak. Ramai yang sinis mengatakan untuk apa berhabis wang ringgit menghantar anak ke sekolah agama sejak kecil. Ramai antara mereka yang rosak akhlaknya dan kurang pendedahan kerana kurang guru terlatih dan tiada kemudahan mencukupi.
Cukuplah nanti anak boleh masuk sekolah agama hebat-hebat yang mana saya juga adalah antara seorang daripada hasilnya. Sayu hati mendengarnya, hakikatnya saya mahu nak-anak generasi ini lebih baik daripada saya. Saya fikir begitulah sepatutnya, tak mungkin mereka hanya setaraf ibu dan ayah.
Saya tidak mempersoalkan ada antara anak-anak ini tidak berjaya sebagaimana yang diharapkan tapi saya mohon Allah melihat usaha saya. Selebihnya saya serahkan kepada yang Maha Mengetahui. Siapalah saya untuk meramal masa hadapan.
Wahai ibu ayah di luar sana, ayuh kita persiapkan anak-anak pejuang agama Allah ini. Biar mereka tahu tujuan hidup dan kehidupan.Usahlah berkira dengan sedikit wang yang dilaburkan untuk itu, saya percaya wang yang dilaburkan untuk urusan kehidupan dunia lebih daripada itu.
Dalam masa yang sama, marilah kita juga berusaha agar kita jua mampu melangkah ke syurgaNya dan membawa orang-orang yang disayangi bersama...
Ya Allah..ampunkanlah kami dan berkatilah usaha kami....
22 Rabiul Akhir 1434
muaz bin mohd ghani basri
Setiap manusia pasti akan diuji.
Ia tidak mengenal usia. Ada yang diuji dengan kekayaan, kemiskinan, kesusahan, kesenangan, cinta dan pelbagai lagi. Namun isu utama ialah bukan soal jumlah ujian yang menimpa tetapi sejauh manakah manusia menghadapinya dengan k eimanan.
Bila ditimpa ujian, kepada siapapatut kita mengadu?
Tentu sekali ia berbeza-beza mengikut individu. Akhirnya ia perlu selari dengan tuntutan agama. Tepuk dada, tanyalah iman.
Mengadu juga mengikut fitrah. Seorang bayi yang kelaparan pastinya mencari susu ibunya. Seorang pekerja yang kesempitan wang lebih sesuai mengadu kepada majikannya. Agak keterlaluan untuk beliau mengadap Along. Lalu seorang hamba wajarlah beliau berpaling kepada Pemiliknya.
Pilihan untuk bersabar, marah, protes, berdiam terletak di hati sanubari. Namun jangan pula kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Setiap perkara pasti ada baik dan buruknya. Sebaiknya, ambil yang jernih dan buang yang keruh. Lebih menarik jika berjaya memanipulasikan kekeruhan itu kepada sesuatu yang lebih bermakna.
Setiap orang - pastinya - pernah dimarahi dan dinasihati ibu bapa. Kenapa? Tentu sekali terlintas di hati, "alangkah lebih baik kalau mereka tidak ambil kisah. Aku bebas sebebasnya".
Mungkin suatu ketika dahulu hati kita pernah berkemahuan sedemikian. Namun setelah meningkat dewasa, kita semakin mengenal apakah status diri ini. HAMBA! Tak lebih dari itu . Ya Allah, ampunilah kelalaian kami. Kami mengerti jelingan manjaMu tetapi alangkah manisnya hidup ini jika kami mengharhainya.
Ramai yang tahu pahala dan dosa. Bahkan ramai juga yang menceburi bidang agama sebagai pengajian utama mereka. Adakah ia membawa jaminan untuk kita terus menghargai jelingan manja Allah? Berilmu tetapi tidak beramal, apa gunanya.
‘TAHU, MAHU, MAMPU’.
Ia merupakan kombinasi akal dan hati melawan kedegilan nafsu. Seseorang perokok itu tahu bahawa rokok itu haram dan sememangnya mahu berhenti daripada ketagihan rokok, namun ia bukan kejayaan untuk diraikan sebelum dia berjaya merempuh dan meruntuhkan tembok besar nafsu. Fikir-fikirkanlah.
Akhir kalam, sama-samalah bermuhasabah atas segala kenikmatan dan ujian sepanjang hidup kita. Cubalah untuk menghargai perhatian Allah terhadap kita. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.
15 Rabiul Awal
Setiap kali membaca entri - Insya Allah - saya akan berkongsi dengan rakan sepejabat. Beliau berbangsa India dan beragama Hindu.
AlhamdulilLah, beliau kelihatan amat berminat membaca entri yang dimuatkan. Sehinggakan ada harinya beliau sendiri yang membuka blo MKI terlebih awal daripada saya.
Sekarang saya lihat minatnya terhadap agama Islam semakin mendalam. Saya sering berdoa kepada Allah SWT agar membuka pintu hati beliau sehingga diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT.
Zabidi
7 Rabiul Akhir 1434
Ringkas tapi signifikan.
Tagline ini rupanya sangat mudah diikuti. Kita hanya perlu sedar-ilmu-buat!
Sekali pandang, terasa sangat negatif apabila berhadapan dengan pelajar kolej yang belum pandai mengaji al-Quran. Rupanya ia saham akhirat yang terbentang di depan mata.
Ringkas sahaja, saya hanya perlu tiru apa yang 'Prof' lakukan. Kini empat pelajar diploma konsisten belajar mengaji Iqra' (nota: mereka sedang menelaah Iqra 4) di taman syurga (rumah kecil saya). Sebelum mereka pulang,sedikit jamuan ringkas menanti.
Mereka gembira dan istiqamah!
Erni Riana Othman
4 Rabiul Akhir 1434
Saya amat tertarik dengan kuliah Prof pada 20 Rabiul Awal 1434, Pohon untuk Berfikir terutamanya apabila dikaitkan dengan surah Ar-Ra'd, ayat 4 yang bermaksud,
"Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya".
SubhanAllah.
Saya berkerja dengan XYZ dan bidang kajian sentiasa berkaitan dengan alam sekitar yang melibatkan perincian kimia dalam suatu sample seperti air, tanah, makanan dan udara.
Kajian penyelidikan terbaru saya (nota: Ia telah sedekad dikaji oleh penyelidik antarabangsa) berkaitan food traceability. Konsepnya mencari atau menentukan origin suatu bahan makanan (contoh yang pernah dikaji: madu, wine, cheese, minyak zaitun) dengan kawasan asalnya dengan menggunakan teknik stable isotope (kandungan hidrogen, carbon, oksigen dan nitrogen) serta elemen kimia (seperti dalam jadual berkala kimia).
Saya menjadi sangat teruja - misalnya - Allah menjelaskan dalam ayat ini betapa dua tanah yang berhampiran akan mempunyai cirian kimia yang berbeza, lalu menghasilkan buah yang berbeza sifatnya (kerana kandungan kimia juga berbeza) walau disiram dengan air yang sama (sungai atau hujan).
Sungguh ilmu Allah itu sangat luas, hanya Dia yang mampu memberi ilmu dan kefahaman untuk kita kaji dan amalkan.
Shifa
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki