UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

01-15 Rabiul Awal

15 Rabiul Awal 1434

Pertanyaan tanpa Jawapan

Begitu banyak pertanyaan berlalu tanpa perlu diperjelas dengan kata-kata. Malah - kadang-kala - jawapan melalui perbuatan, amalan atau bukti fizikal lebih membawa makna. Ia mengajar supaya manusia berfikir.

Kehidupan saya mengajar begitu.

Marilah kita bermula dengan satu pertanyaan ringkas langsung kelihatan tidak signifikan. "Prof, apakah kemudahan yang diperolehi dengan mendaftar sebagai pelajar Universiti MKI?"

Saya tidak menjawab dan membiarkan pertanyaan tersebut berlalu. Namun ia menjadi signifikan ketika tanpa terduga saya menitiskan air mata ketika melafazkan "ya Allah Kau ampunilah dosa-dosa siswa-siswi Universiti MKI, permudahkan mereka menuntut ilmu, hampirkan mereka denganMu. Ya Allah, kami mungkin tidak bertemu di dunia tetapi temukan kami di syurgaMu. Kumpulkan kami di sana ya Allah...".

Benar, ia bukan boleh dipaksa-paksa. Namun itulah realitinya. Doa seorang guru kepada anak muridnya. Maka itulah asas jawapan terhadap pertanyaan di atas. Ingatan guru kepada murid. Ia datang dari hati.Lalu mata yang mengalirkan tanda.

Namun hakikat kenapa saya rasa sebak apabila terlintas memikirkan ada khalayak mendaftar sebagai pelajar. Sebenarnya mereka mengiktiraf saya sebagai guru. Anak-anak murid yang baik hati sentiasa mendoakan gurunya. Begitu juga dengan guru yang baik sentiasa mendoakan muridnya. Berkurun lama ia begitu.

Lalu saya terasa Allah memberi nikmat merasai ada ribuan di luar sana yang mungkin mendoakan kesejahteraan, keberkatan dan kerahmatan buat kami sekeluarga. Ia hubungan anak murid – guru yang membezakan dengan mereka yang singgah dan berlalu.

Universiti MKI berbeza berbanding Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS). Di sini – simboliknya – khalayak perlu mendaftar sebagai pelajar. Mereka yang mendaftar melakukannya tanpa paksaan. Tiada siapa yang menghalang untuk membaca nota-nota kuliah yang tertampal di dewan-dewan kuliah. Ia percuma dan tidak berbayar. Hakikatnya mereka tidak perlu mendaftar.

Ia sudah memadai dengan hanya mengisi borang.

Namun ada unsur psikologi luar biasa. Saya mulai terasa mempunyai tanggungjawab khusus untuk menyampaikan kuliah kerana sudah mempunyai pelajar. Malah saya semakin serius mencari pensyarah tamu bagi memberi dimensi berbeza terhadap isu-isu yang boleh difikirkan oleh mereka yang berminat menimba ilmu.

Ada sesuatu yang lebih menarik. Saya mula melihat kedatangan dan maklum balas sebagai sesuatu yang mustahak. Misalnya – saya tersenyum sebenarnya – melihat bagaimana respons khalayak terhadap doa kepada siswa-siswi yang saya paparkan melalui FB yang saya catatkan di atas.

Hampir 180 khalayak memberi respons. Lalu saya perhatikan satu-persatu. Kita tidak bertemu di alam nyata tetapi saya masih mampu membuat analisis yang mahu saya bentangkan di dalam kuliah ini.

Pertama, ada yang menyebut….. Ameen… Ameen… Ameen. Kedua, ada khalayak yang menyatakan secara jelas Ameen dan berterima kasih dengan doa tersebut. Ketiga, ada yang terus mendoakan kembali kepada mereka yang mendoakannya dan keempat, ada yang terus meminta supaya berdoa lagi di atas apa yang mereka perlukan pada ketika mereka menaip. Doa yang lalu sudah berlalu.

Ia bukan soal benar atau salah. Namun, itulah tingkah laku yang dipamerkan. Ia menggambarkan sifat diri yang tidak dapat disorok-sorok. Kadangkala ia hanya disedari apabila dinyatakan oleh orang lain.

Di alam nyata - kisah dua tiga tahun yang lampau - saya memerhatikan tingkah laku siswa-siswi yang memasuki dewan kuliah. Hampir 90 peratus tidak memberi salam. Lalu saya mengajar mereka dengan cara yang santai, "tidak mengapa…. Saya suka memberi salam kerana orang yang memberi salam lebih baik di sisi Islam".

Banyak perkara yang boleh disebut atas dasar anak murid dan guru. Ia tidak lagi terlalu berselindung. Maka jika ada yang bertanya, perlukah saya mendaftar? Maka saya memberi jawapan. Tidak. Ia tidak perlu dan tiada siapa yang memaksa.

Jika mahu mendaftar sekalipun, tiada tanda yang membuktikan. Cukuplah ia secara santai dan ringkas!

 

14 Rabiul Awal 1434

Pandangan

"Tuan seorang yang terlalu berjaya, terasa seolah dunia ini tuan yang punya"

Saya membalas e-mel ini dengan sedikit kenyataan, "ramai orang menyangka sebagaimana yang tuan sangka tentang kehidupan saya".

Begitulah di antara banyak e-mel dan SMS yang membawa maksud yang sama. Melihat ke atas tentunya terasa diri terlalu jauh. Jarang benar kita mahu melihat ke bawah. Jika sesekali terpandang begitu - agak saya - terasa gayat takut terjatuh. Rupanya kita sudah berada di tempat yang agak tinggi.

Teori rumput jiran lebih hijau dan subur menghantui ramai orang. Apa yang ada di pinggan tidak selazat makanan yang ditempah oleh pelanggan meja sebelah. Kerjaya rakan rapat lebih menarik berbanding jawatan sendiri. Malah anak-anak adik-beradik sendiri terasa lebih bijak dan berjaya daripada anak sendiri.

Hakikatnya ia tidak berpenghujung.

Ambil contoh kerjaya. Saya bermula dengan jawatan pensyarah, pensyarah kanan, profesor Madya dan Profesor. Profesor pula ada Profesor C, B dan A. Saya dianugerahkan jawatan Profesor C pada 2003. Selepas 10 tahun saya masih kekal begitu. Jika saya melihat rakan sejawat seusia yang sudah ditawarkan Profesor B maka logiknya saya terfikir saya tidak termasuk di dalam golongan bernasib baik.

Dulu saya berangan-angan mahu bergelar Dato' atau Tan Sri. Ketika usia menghampiri 50an, ramai rakan-rakan sudah memakai gelaran tersebut. Adatnya sudah pasti hati saya terasa-rasa cemburu dan ternanti-nanti dicalunkan untuk menerima anugerah tersebut.

Malah saya pernah terfikir bilakah saya mampu membawa kereta Jaguar, Mercedez, Alphard atau BMW yang canggih itu. Saya mengkagumi mereka yang bercuti di Peeble Beach, berulang-alik ke London dan Paris dan mampu pula membawa anak-anak ke Disneyland.

Namun segala-galanya sudah menjadi tidak mustahak apabila kita merenung setulus hati apa yang ada di tangan. Malah ia menjadi lebih mudah jika kita merasai yang ia sudah memadai dengan apa yang ada. Kita mencari yang terbaik - kehidupan di dunia - tetapi ia perlu berakhir dengan persoalan mudah, "adakah ia membawa kita hampir kepadaNya?".

Satu istilah ringkas yang diketahui umum, BERSYUKUR.

Bersyukur bermakna kita tidak mengungkit-ungkit tentang perasaan kekurangan diri. Itu yang paling sukar. Ia bukan menjadikan kita manusia yang tidak berusaha, berputus asa dan cepat kecewa. Hampir kepadaNya menyebabkan kita mahu menjadi manusia yang terbaik di sisiNya. Lalu konsep melakukan sesuatu semata-mata keranaNya menjadi penawar kehidupan yang paling berkesan. Ingatan Allah melalui surah Al-Ra'd ayat 26 sangat jelas,

"Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar): Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat".

Saya fikir begitu.

Agak saya juga, jika perasaan kekurangan diri masih ada di hati, maka itulah tandanya hati kita masih resah dan gelisah. Mungkin lebih mudah menggunakan perkataan gundah-gulana. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut bagaimana mahu membentuk hati yang tenang. Saya petik firman Allah melalui surah yang sama (ayat 28-29) yang bermaksud,.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya".

Allahu Akbar, jika dunia ini saya yang punya, mahu saya terus kekal di Madinah. Namun ia tidak sentiasa mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Kini saya selalu berdoa,

"Ya Allah, terima kasih kerana membenarkan kami sekeluarga berada hampir dua tahun di Madinah. Ia nikmat yang tidak dapat kami dustakan. Kami bersyukur ya Allah. Ya Allah, Kau berikanlah yang terbaik untuk kami sekeluarga agar kami lebih hampir kepada Mu. Jika kami terpaksa meninggalkan Madinah - kami mohon padaMu -suatu hari nanti kembalikanlah kami ke sini. Biar kehidupan kami berakhir di sini. Kaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Tutuplah pandangan yang menggusarkan hati. Tenteramkanlah jiwa dengan sentiasa kembali kepadaNya. InsyaAllah, Dia sentiasa memberi yang terbaik kepada hambaNya mengikut sukatan dan ketentuan yang hanya Dia Mengetahuinya.

 13 Rabiul Awal 1434

 Kegembiraan

 Setiap orang pastinya mempunyai saat kegembiraan yang melebihi detik-detik yang lain. Saya tidak terkecuali. Misalnya, dihadiahkan kasut Johnson ketika usia 12 tahun. Pertama kali menaiki kapalterbang, hari perkahwinan, dianugerah jawatan profesor, artikel pertama disiarkan melalui akhbar, terbitnya buku pertama Motivasi Minda Pelajar, kelahiran Sara Fateha, berjaya melanjutkan pelajaran ke UK dan berada di Madinah adalah senarai panjang yang dapat dikumpulkan secara spontan.

Banyak lagi. Namun bila saya susun kembali, hampir kesemuanya tidak diiringi dengan sujud syukur tanda kegembiraan yang kembali kepadaNya.

Ia kisah yang telah berlalu. Namun di antaranya, kejayaan memperolehi PhD nyata sentiasa segar dalam ingatan. Agaknya, bagaimana perasaan ketika disahkan bergelar Dr? Dr Muhd Kamil Ibrahim. Saya cuba merakamkannya sebaik mungkin, tetapi ia tidak mungkin menjadi sempurna. Saya mengajak khalayak bersama-sama merasainya secara nyata.

Jumaat – 11.30 pagi – 14 Mei 1999. Saya berhadapan dengan Profesor Ross McKay (pengerusi viva), Dr Shanti (pemeriksa dalam) dan Dr Alex Rusell (pemeriksa luar) bagi mempertahankan tesis “Market value, Book value and Goodwill (1999)”. Professor Dr Stuart McLeay (penyelia) juga turut hadir atas permintaan saya. Beliau hanya mendiamkan diri sesekali menguap apabila tempoh pemeriksaan lisan mencecah 60 minit.

Ross bermula dengan dua soalan mudah membiarkan Alex bertanya selepas itu. Alex adalah pemeriksa luar yang baik dan nampak berniat ingin membantu. Ia mula bertanya beberapa soalan asas yang memudahkan saya mermberikan jawapan. Jika saya termenung memikirkan jawapan yang sesuai ia memberikan kenyataan isyarat yang memudahkan saya menyambung dan memberi penjelasan lanjut. Alex benar-benar memberi bantuan dan tidak menyusahkan.

Hampir sejam 15 minit saya bersama mereka sehinggalah diminta beredar sementara menunggu mereka berbincang dan membuat keputusan. Sambil berjalan keluar, saya sendiri sudah dapat merasakan yang PhD akan menjadi milik saya. Cuma saya risau dengan kemungkinan pembetulan atau tambahan yang perlu dilakukan terhadap tesis yang baru dipertahankan itu.

Saya menanti di bilik bersendirian yang secara kebetulan tidak begitu jauh dengan bilik pemeriksaan lisan. Masa menunggu tidaklah terlalu lama, kurang lebih lima minit. Tetapi memang benar kata orang, ‘penantian suatu penyeksaan’. Walaupun yakin, setiap saat yang berlalu terasa begitu lambat. Kemudian saya dipersilakan masuk. Saya berjalan perlahan menuju kembali ke tempat yang telah dikhaskan kepada saya, mengadap mereka berempat.

Tiba-tiba perasaan baru dan asing yang tidak tergambar menguasai diri saya. Ia berlaku sejurus pengerusi viva menyampaikan keputusan. Sambil tersenyum dengan bola mata memandang tepat kepada saya, Ross berkata:

Kami telah berbincang dan telah membuat keputusan sebulat suara. Kami berpuas hati dengan tesis yang telah anda pertahankan. Tahniah Dr Kamil Ibrahim. Anda telah berjaya memperoleh PhD tanpa sebarang pindaan isi. Cuma saya mahu anda membetulkan beberapa kesilapan taip dan memastikan ia dimaklumkan kepada penyelia.

Dengan itu, nama saya boleh bermula dengan panggilan Dr! Dr Muhd Kamil Ibrahim. Dan nama saya akan sebaris dengan nama Dr Syed Noh, Dr Juhari, Dr. Ibrahim Kamal, Dr Normah, Dr Nafsiah dan Dr Fatimah – pensyarah sefakulti yang lebih awal menamatkan pengajian. Hati kecil segera mengucap syukur kepada-Nya.

Saya bingkas bangun dan bersalam dengan Stuart McLeay, penyelia tesis sambil mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Ia memeluk saya. Kemudian saya menghulurkan tangan kepada pemeriksa luar, pemeriksa dalam dan akhir sekali kepada pengerusi viva. Tentu sekali saya tidak dapat menceritakan kembali bagaimana reaksi spontan yang berlaku begitu pantas. Sepantas kilat. Keluar dari bilik viva, rakan-rakan dan kakitangan fakulti silih berganti mengucapkan tahniah.

Tidak cukup berjabat tangan, ada pula yang berpeluk Arab (berpeluk sambil pipi bertemu pipi dan dilakukan sebanyak tiga kali berselang-seli kiri dan kanan). Saya tersenyum dan tersenyum sambil berkata thank you – thank you – thank you. Tubuh terasa ringan, ibarat urat-urat kapas yang berterbangan ditiup angin. Beban berat yang digalas sebegitu lama terlucut begitu sahaja.

Apabila reda – perasaan dan sambutan – saya segera mahu pulang ke rumah. Kepenatan kerana tension yang terkumpul dalam diam mula menguasai diri. Saya mahu bersendirian dan mahu tidur secukup-cukupnya. Itulah niat segera saya. Kedudukan bangunan universiti di puncak bukit memudahkan perjalanan pulang.

Malah ia menjadi lebih mudah dan tidak meletihkan kerana jasad dan fikiran saya seolah-olah terbang membelah awan. Laluan saya melalui High Street Bangor. Saya singgah sebentar di Littlewood Superstone berjumpa isteri, Roza yang sedang melayani pelanggan. ‘Dah dapat’ – bibir memberi signal dua perkataan mudah berserta dengan simbol OK mengundang senyum kegembiraan isteri. Saya yakin ia juga berperasaan tidak ‘tentu hala’ apabila mendapat berita tersebut.

Bagaimanapun agak sukar untuk menduga sedalam mana kegembiraan Roza dengan perkhabaran tersebut. Namun kalau diukur dengan sokongan persiapan, misalnya ia dengan rela hati dan bersedia berbelanja besar untuk membeli kasut Clark, kemeja, seluar dan tali leher Mark & Spencer baru khusus untuk hari viva, tentunya Roza akan memeluk dan mencium saya dengan penuh bangga atas kejayaan saya itu.

Penyataan sokongan fizikal yang bernilai hampir 100 pound sterling (RM700) tentulah bukanlah ukuran sebenar sokongan Roza terhadap saya. Jika ia berada di sisi, pastinya Roza akan menjadi khalayak tunggal penceritaan semula peristiwa viva yang baru terlangsung.

Saya segera beredar kerana tidak mahu mengganggu kerja-kerjanya. Perasaan terlalu gembira tidak cepat berlalu. Mahu rasanya melompat-lompat, menyanyi, bersorak dan bertempik. Bibir sentiasa menguntum senyum, pada pokok, flora dan fauna, bangunan, jalan raya, tembok batu dan (….ah! semuanya yang dapat dipandang).

Hatta kepada semua ‘Mat, Minah, Datuk dan Nenek Salleh’ yang berselisih akan saya hadiahkan dengan sekuntum senyuman PhD. Sempat saya membayangkan ‘mereka’ mengucapkan tahniah dan turut gembira dengan kejayaan saya. Tentu sekali itu perasaan yang melampau!

Niat sebenar saya mahu lekas pulang, tetapi tanpa sedari kaki melangkah ke tengah-tengah pusat bandar. Bangor tidak sebesar mana. Jika saya katakan pusat bandar, maka sesiapa yang berjalan-jalan atau window shopping di situ mereka akan berjumpa dengan saya. Dr Muhd Kamil Ibrahim. Seorang lelaki yang baru saja diberi anugerah tertinggi akademik. 

Saya benar-benar gembira, girang dan seronok.

Begitulah, perasaan hampir 15 tahun yang lampau. Pada ketika itu saya terasa-rasa sayalah manusia yang paling hebat kerana dapat menyiapkan PhD dalam tempoh yang singkat. Ia rasa yang tidak disandarkan dengan pertolongan dan bantuan Dia yang Maha Esa. Namun lapan tahun selepas bergelar Dr, saya menangis teresak-esak di Mina mengingati kejayaan yang sama. Ia dilihat dalam konteks yang berbeza. Sangat berbeza.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 

12 Rabiul Awal 1434

 

Kuliah hari ini di adakan di Dewan Kuliah Zaini Ariff

 

Perjalanan ke Mekah....

 

(Al-An'aam, ayat 78) Kemudian ketika beliau melihat matahari terbit beliau berkata, “Inilah Tuhanku, ini lebih besar”. Tetapi ketika matahari terbenam, beliau berkata, ”Wahai kaumku! Sungguh aku berlepas diri apa yang kamu persekutukan".

 

 

 

11 Rabiul Awal 1434

 

Rasa Hati

 

Hampir mustahil untuk memuaskan hati semua orang.

 

Kini usia saya menjangkau 50 tahun. Tinggal 1 1/2 tahun lagi maka termasuklah saya dalam kelompok kumpulan usia baru. Ketika saya memulakan kerjaya di UiTM pada 1988, saya menjangkakan usia 50 tahun adalah tempoh yang lambat berlaku. Ia 25 tahun lagi.

 

Kini - bila menoleh ke belakang - saya masih terasa dan terkenang hari melaporkan diri bekerja. Ia seolah-olah baru semalam berlalu. Lalu kalau kita terjemahkan kepada masa yang tinggal maka 25 tahun yang bakal tiba juga akan mempunyai kepantasan berlalu yang serupa.

 

Bezanya, akan tiba masanya yang kita tidak mampu menoleh ke belakang untuk mengenangi masa yang telah berlalu. Saat itulah yang kita namakan kematian. Malah semua orang tahu soal ini. Misalnya dalam surah Al-Imran ayat 185, Allah telah menegaskan,

 

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan".

 

Namun saya suka merenungi masa yang berlalu. Ada banyak pengajaran boleh dikisahkan melalui masa lampau. Hakikatnya, itulah yang dianjurkan oleh al-Quran untuk menoleh ke belakang. Kisah-kisah masa lampau terutamanya dalam konteks umat-umat terdahulu diceritakan semula untuk dijadikan ingatan dan pengajaran.

 

Malah kisah-kisah lampau ini juga dijadikan bukti betapa Nabi Muhammad SAW itu bukanlah pembohong dan al-Quran itu adalah kitab yang benar. Misalnya Allah menyatakan secara jelas melalui surah Al-Qasas, ayat 46 yang bermaksud,

 

"Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya)".

 

Masa lampau menunjukkan satu perkara. Ia membenarkan satu kenyataan, hampir mustahil untuk memuaskan hati semua orang terutamanya mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan kita. Apabila kita memulakan kerjaya, maka rakan sejawat yang hampir, berkepentingan dan mungkin menjadi saingan - barangkali - tidak berpuas hati dengan apa yang kita lakukan. Semakin menuju puncak kerjaya maka muntahan tidak puas hati ini lebih terdedah. Ia tidak dapat dibendung.

 

Lalu istilah atau peristiwa seperti surat layang, fitnah atau tikam belakang merupakan gambaran negatif tentang perasaan tidak puas hati yang tidak terkawal. Kehidupan hampir 50 tahun yang berlalu membenarkan kenyataan ini. Malah ia pasti berlaku kepada setiap manusia. Sukar untuk mencari manusia yang terkecuali.

 

Pengalaman saya mengajar sesuatu. Kita tidak perlu "khuatir amat" bila orang tidak berpuas hati dengan kita. Amati, pertimbangkan, lakukan pembetulan jika perlu dan teruskan kehidupan dengan bersandarkan "semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah". Kita perlu banyak berdoa, solat, bermunajat dan berbicara denganNya agar Allah memberi jalan penyelesaian dan menjadikan hati tenang setenangnya. Dugaan dan ujian seumpama ini boleh menyebabkan kita semakin hampir denganNya.

 

Namun saya lebih khuatir apabila kita tidak berpuas hati dengan orang lain. Misal yang kelihatan mudah, kita mungkin tidak berpuas hati kerana orang tidak memanggil kita "DATUK", "TAN SRI", "DR" atau "PROF" kerana kita sudah bergelar. Jika soal sekecil itu (?) boleh merosakkan hati, bayangkanlah perasaan kepada soal-soal yang lebih besar.

 

Misalnya, 25 tahun bertugas di sebuah universiti sebagai pentadbir akademik membawa saya melawat beberapa kampus cawangan universiti. Dalam satu kejadian, saya hanya tersenyum apabila seorang pemandu yang ditugaskan mengambil saya bersungguh-sungguh bertanya dan memberitahu,

 

"Saya perlu bertanya tuan sama ada tuan seorang Profesor atau Dr kerana dalam borang permohonan kereta ini tidak menyatakan gelaran tuan. Kenapa saya bertanya begitu kerana saya pernah dimarahi oleh seorang Dr apabila memanggilnya dengan hanya panggilan “Tuan Haji”. Tuan Haji tersebut memberitahu saya: ‘Saya belajar tiga (3) tahun, tiga tahun di England untuk mendapatkan PhD. Sekarang ini saya Dr Haji PhD".

 

Kita juga mungkin tidak berpuas hati kerana tidak diberi layanan sewajarnya. Misalnya kita geram dan kecewa apabila orang lain diberi kenaikan pangkat, mendapat prestasi cemerlang, tawaran biasiswa sehinggakan susun atur kerusi majlis juga menjadi isu. Allahu Akbar, ia akhirnya menjadi kudis besar kepada hati dan perasaan jika tidak ditangani dengan penuh keimanan.

 

Saya percaya perasaan tidak puas hati kepada orang lain lebih sukar dihadapi berbanding dengan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kita. Kembalilah kepada ubat asas membersihkan hati dengan memperbanyakkan amal ibadat khusus kepadaNya. Amalan-amalan seperti bangun malam, berpuasa sunat, membaca al-Quran dan berzikir boleh membantu, In'sya Allah.

 

Usia tua sepatutnya membawa kematangan. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa lampau dan menerima kita sebagai hamba yang hampir denganNya.

 

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 

 

 

10 Rabiul Awal 1434

 

Bersangka Baik (Buruk)

 

 

 

"Awak tidak boleh berdua-dua begini, ia boleh menghampiri zina?"

 

"Awak jangan bersangka buruk"

 

"Kenapalah mereka suka duduk di luar masjid, di dalam masih kosong. Rugi datang jauh-jauh, bayar tambang kapalterbang, hotel mahal, kemudian memilih untuk solat di tepi tandas dan tong sampah"

 

"Awak jangan buruk sangka, mungkin mereka sakit perut"

 

Begitulah konsep buruk sangka yang difahami oleh ramai orang. Beberapa hari yang lalu saya menulis diFB,

 

"Terlupa.... manusia memang lemah.

 

Saya membantu mengambil air zam-zam dan menghulurkannya kepada seorang jemaah. Beliau mengambil dengan tangan kiri dan meminum pun dengan tangan diri.

 

Bila usai saya berkata, "Haji bagus minum dengan tangan kanan".

 

Lalu beliau menunjukkan tangan kanannya dan bersuara dengan nada kesedihan, "Urat tangan saya putus. Jari-jari ini tidak boleh memegang"

 

Saya usap tangannya dan melihat bekas jahitan. Alangkah baiknya jika saya bertanya, "kenapa haji minum menggunakan tangan kiri?" daripada terus membuat ayat kenyataan.

 

Itulah saya yang serba kekurangan. Lalu saya mohon keampunanNya".

 

Ia mengundang hampir 1800 Like dan lebih 100 komen. Ia kisah ringkas tetapi signifikan yang telah saya lalui. Namun ada di antara mereka yang memberi komen menyebut, "kita tidak boleh berburuk sangka".

 

Itulah pemahaman buruk sangka yang saya fikir amat bercanggah dengan konsep sebenar.

 

Tulisan di FB bukan soal buruk atau baik sangka. Menegur atau saling ingat mengingati sangat jelas dalam Islam. Minum menggunakan tangan kanan adalah sunnah Baginda SAW. Jelas ia lebih baik daripada menggunakan tangan kiri. Jika berhadapan dengan orang Saudi di dalam masjid Nabawi, kebanyakan mereka berterus terang dengan menyatakan "ia amalan syaitan" apabila kita cuba mengambil sesuatu yang diberi oleh beliau. Tentu sekali ia ada pengecualian tetapi hanya dalam keadaan tertentu.

 

Ia cuma pemilihan ayat menyampaikan. Saya fikir itu sahaja.

 

Larangan tidak boleh berburuk sangka ini - misalnya - terkandung dalam firman Allah melalui surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

 

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".

 

Jelas terdapat dua sangkaan, dilarang dan dibenarkan. Jika kita mengkaji tulisan-tulisan mereka yang terdahulu, sangkaan yang dilarang sering berteraskan perasaan hasad dengki, khianat, busuk hati dan kadangkala bersifat atas dasar persaingan serta kumpulan. Tentu sekali kita tidak boleh mencari-cari kesalahan orang lain dengan niat begitu. Malah amatlah mendukacitakan jika kita mahu menghebahkannya pula kepada semua orang tentang keaiban mereka. Istilah mengumpat mungkin lebih tepat sebagai modus operandisnya.

 

Bersangka buruk bagi mereka yang melakukan kebaikan juga dilarang. Jika orang mengajak manusia lain melakukan kebaikan - misalnya - dengan berkata, "kenapa kita mahu solat di luar masjid. Bayangkanlah dengan kesungguhan kita mengumpul wang untuk hadir di Mekah dan Madinah, tambahan dengan kuota yang ketat, kesukaran mendapatkan mahram, marilah kita rebut peluang untuk mengambil yang terbaik. Kenapa mahu duduk di tepi tandas, berhampiran dengan tong sampah?"

 

Jangan pula kita bersangka buruk dengan menyatakan, "beliau ingin menunjukkan yang dia lebih baik, mulia dan terpilih di sisi Allah". Atau agak ironi dengan beranggapan mereka tidak ikhlas untuk menyatakan ajakan kebaikan".

 

Saya pernah ditegur oleh seorang Ustazah selepas usai sesi ceramah di Doha, Qatar. Beliau - dalam keadaan terketar-ketar - bertanya,

 

"Prof seorang yang cemerlang. Kenapa prof minum menggunakan tangan kiri? Saya mengajar anak-anak murid menggunakan tangan kanan...".

 

Ia terkesan di hati. Sampai sekarang saya mengingati beliau yang telah memberi teguran yang meresap di lubuk hati. Lalu saya bertekad, jika ingin menegur mereka yang minum menggunakan tangan kiri akan saya guna kaedah beliau yang telah mengemukakan pertanyaan. Itulah maksud saya bila saya memulakan penulisan di FB dengan kenyataan "Terlupa... manusia memang lemah" merujuk kepada pengalaman yang telah saya lalui. Saya fikir patut menggunakan ayat tanya.

 

Ia bukan soal baik sangka atau buruk sangka.

 

Mengingati sesama Islam secara umumnya adalah perkara yang terpuji dan dituntut. Jika kita melenting kerana ingatan umum bermakna kita sendiri sudah membina prasangka buruk. Andaikata kita mempunyai perasaan begiru kepada mereka yang mengajak kebaikan maka cepat-cepatlah kita berdoa, "Ya Allah aku mohon keampunanMu ya Allah dari sifat berburuk sangka yang Engkau larang. Ya Allah aku mohon kepadaMu agar beliau melakukannya semata-mata keranaMu ya Allah, semata-mata keranaMu ya Allah, semata-mata keranaMu ya Allah".

 

Jangan kita berburuk sangka dengan merasai orang lain berburuk sangka.

 

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 

 

 

9 Rabiul Awal 1434

 

DIA Maha Mendengar

 

"Boleh saya bersara awal?"

 

Itulah penutup kepada perbualan dengan Pendaftar UiTM sejurus menerima tawaran bekerja di Universiti Taibah, Madinah. Ia pertanyaan yang tidak tergamak untuk diluahkan walaupun itulah tujuan utama saya membuat panggilan. Perbualan santai, relax dan diselang-seli dengan ketawa kecil bertukar menjadi serius usai soalan tersebut dilafazkan. Amat serius.

 

"Berapa umur Prof?," saya terasa beliau membetulkan kerusi, menyandar dan merenung tajam ke mata walaupun saya berada di Segamat dan beliau di Shah Alam. Saya terbayang tubuh kecil beliau beremosi mendengar pertanyaan tersebut. Ia jarang-jarang berlaku bagi mereka yang sudah berkhidmat lama di UiTM kecuali bersebab yang luar biasa.

 

"47"

 

"Baik, Prof hantar borang permohonan dan saya akan bawa ke Lembaga Pengarah UiTM untuk dipertimbangkan". MasyaAllah suara beliau terus bertukar menjadi seorang pentadbir yang serius. Tentu sekali begitu. Beliau seorang wanita. Allah... Allah... Allah... itulah tanggapan semulajadi lelaki bila berurusan dengan wanita berpangkat besar. Bila agaknya pandangan seumpama ini akan bertukar? Entah!

 

"Dr, kalau tidak kerana Madinah, kami tidak akan tinggalkan UiTM," saya cuba membayangkan rasa cinta kepada tempat yang begitu berkesan dalam kehidupan kami sekeluarga. Saya belajar di sini hampir enam tahun, hampir 24 tahun bertugas sebagai seorang pensyarah, bertemu jodoh dengan budak UiTM dan kedua-dua anak kami – Sara dan Azrai – juga melanjutkan pelajaran di UiTM. Malah Roza juga – akhirnya – menjadi pensyarah di universiti ini.

 

Tiba-tiba nada suara beliau berubah.

 

"Roza ikut serta?"

 

"Kami seisi keluarga akan ke Madinah, InsyaAllah. Cuma Sara dan Azrai akan menamatkan pengajian degree dan diploma mereka terlebih dahulu. Itulah perancangan awal".

 

"OK Prof, kami akan cuba membantu untuk mempercepatkan urusan ini," perbualan yang berakhir dengan nada suara yang sangat lembut. Barangkali aroma Madinah mengubah hati dan perasaan beliau yang sentiasa bertegas dengan apa sahaja peraturan pentadbiran. Ia memberi sedikit harapan agar permohonan yang bakal saya ajukan dipandang sebagai sesuatu yang perlu disegerakan.

 

Hakikatnya, proses persaraan di UiTM memakan masa hampir setahun termasuk urusan dengan pelbagai pihak luar seperti Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Namun ia proses yang dimulai dua tahun lebih awal terutamanya dalam konteks mempersiapkan minda bakal pesara. Itulah tanggungjawab sosial UiTM yang sangat-sangat saya hargai. Namun saya tidak mempunyai begitu banyak masa. Ia sangat terhad dan perlu disempurnakan dalam tempoh lima bulan sahaja.

 

Allah.... Allah... Allah... "hanya Dikaulah tempat aku memohon pertolongan ya Allah, ya Allah Kau lembutkanlah hati Naib Canselor UiTM untuk membenarkan permohonan ku ini. Lembutkanlah hati-hati pegawai UiTM yang menguruskan proses permohonan ini, mudahkanlah ya Allah...." hampir setiap malam saya merayu dan memohon kepadaNya agar urusan ini dipermudah, dipercepat dan disudahi dalam keberkatan dan kerahmatanNya. Malah airmata sentiasa mengalir memohon keampunan Allah agar hijrah ini menjadi hijrah yang diterimaNya.

 

"Kak Roza, bergetar dan meremang bulu roma saya membaca permohonan bersara awal prof. Allah.... seronoknya Kak Roza. Saya terasa seolah-olah saya yang akan berpindah. InsyaAllah kami cuba membantu untuk mempercepat proses ini".

 

Itulah kenyataan pegawai UiTM yang ditugaskan menguruskan permohonan kami. Allahu Akbar, ia rasa yang bukan boleh dipaksa-paksa. Roza sebak menerima panggilan ini. Terasa Allah itu Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Benar, Dia Maha Mendengar. Dia memberikan rasa kasih-sayang kepada kami melalui pegawai tersebut yang turut merasai getaran sebagaimana kami rasa. Itulah bantuan Allah yang tidak dapat kami nafikan.

 

Lalu prosesnya bermula. Kami mulakan dengan menyatakan persetujuan untuk berkhidmat dengan Universiti Taibah. Kedua, kami menulis surat permohonan bersara awal. Saya menyebut-nyebut berulangkali kepada Roza yang pilihan tarikh akhir berkhidmat dengan UiTM pada 31 Julai 2011. Ia tidak bersebab tetapi saya memerlukan masa yang lebih panjang untuk berehat dan menguruskan pelbagai urusan lain sebelum meninggalkan Malaysia.

 

Aneh.

 

Bila saya menulis tarikh pilihan persaraan awal pada surat permohonan, saya catatkan 31 Ogos 2011, tarikh hari Kebangsaan Malaysia. Maksudnya, kami mula bersara pada 1hb September 2011. Saya merenung tarikh tersebut namun tidak membetulkannya kembali sebagaimana niat asal. Saya cetak, tandatangan dan meneruskan urusan selanjutnya.

 

Allah... Allah... Allah.... rupanya perbezaan tempoh sebulan itu bernilai hampir RM10000. Ketika kerajaan membuat pengistiharan bonus 2011, kami termasuk kumpulan yang layak kerana tarikh bersara kami telah dianjak lewat sebulan. Allah... Allah... Allah... bagaimana Dia memberi rezeki kepada hambaNya – kadang-kadang – tidak dapat ditelah dengan sempurna. Lalu nikmat mana lagi yang hendak saya dustakan?

 

Surat permohonan ini dihantar melalui ketua jabatan. Pertama, pengarah kampus yang menulis dengan jelas, "Di sokong sepenuhnya". Kemudian saya menghulurkan surat yang sama kepada Dekan. Beliau menyatakan, "jika Prof bertanya saya, maka tentu sekali saya tidak akan melepaskan prof pergi. Fakulti masih memerlukan tenaga Prof. Sekarang, saya bertanya sekali lagi, Prof benar-benar mahu berpindah ke Madinah?"

 

"Ya Prof. Jika bukan kerana Madinah atau Mekah, saya tidak akan tinggalkan UiTM. Saya sayangkan UiTM".

 

"Apa yang perlu saya tulis di sini?," barangkali beliau melawak. Saya tidak berlapik menjawab pertanyaan tersebut, "Prof perlu menulis Disokong sepenuhnya dan ia merupakan penghormatan buat UiTM". Tentu sekali saya tidak kekok menyatakan isi hati kepada rakan sejawat. Tambah-tambah lagi beliaulah yang mengambil saya bekerja, sama-sama berada di dalam pengurusan UiTM dan mempunyai hubungan yang rapat.

 

Allah.... Allah... Allah... proses persaraan bukanlah semudah 1,2 dan 3. Ia kerja leceh. Banyak borang-borang yang perlu diisi. Bilangannya lebih daripada 10 dan ia melibatkan beberapa pihak luar, misalnya Lembaga Hasil Dalam Negeri. Ia menjadi lebih sukar kerana sepanjang berkhidmat dengan UiTM saya dikelilingi oleh pembantu khusus kerana menjawat jawatan pentadbiran. Tugas-tugas sebagai Dekan, Pengarah Kampus, Ketua Pusat dan Pegawai Khas Naib Canselor membekalkan saya dengan pelbagai kemudahan. Namun dua tahun terakhir di UiTM, saya hanyalah seorang profesor yang tidak berjawatan. Ia sesuatu yang saya pilih!

 

"Prof tidak perlu mengisi kesemua borang-borang bersara. Nanti saya bantu. Saya isi semuanya. Jika saya tidak dapat maklumat akan saya minta daripada Prof dan Kak Roza. Prof sign sahaja borang-borang itu nanti".

 

MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Saya rasa sangat sebak, terharu dan teruja. Ia rasa yang bercampur-campur. Benar, beliau pasti berasa belas dengan keperluan saya membuat kerja-kerja remeh yang sudah lama ditinggalkan. Kami juga tahu beliau seorang insan yang berhati tulus. Beliau tidak perlu melakukannya kerana saya sudah tidak lagi berkuasa dan tidak mempunyai sesuatu yang boleh membantu beliau. Malah – saya dan Roza – akan pergi meninggalkan UiTM. Namun di atas segalanya – saya yakin ia sentiasa benar – itulah pertolongan Allah bagi memudahkan urusan persaraan kami berdua. Ia disalurkan melalui beliau!

 

Dokumentasi persaraan UiTM disempurnakan dalam tempoh sebulan. Ia dihantar tangan ke JPA. Allah... Allah... Allah... ia suatu lagi proses yang mendebarkan. Mereka memerlukan lima atau enam bulan untuk meluluskan permohonan ini. Saya berdebar namun keyakinan untuk bergantung dan berharap kepadaNya sudah melekat di hati sanubari. Bukankah Allah sudah menyatakan,

 

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)

 

Lalu kepada Dia saya merayu agar staf JPA yang ditugaskan terbuka pintu hati untuk membantu dengan menyegerakan proses permohonan ini. Ia doa dan permintaan sesungguh hati. Beberapa hari kemudian saya menerima panggilan dari JPA,

 

"Prof, saya Shaiful dari JPA (nota: tentu sekali saya berdebar dan menyangka ia berkaitan dengan permohonan bersara awal). Prof free pada 1hb Jun? Kami ingin menjemput prof untuk menyampaikan Luncheon Talk kepada pengurusan tertinggi JPA. Khalayak dari Ketua Pengarah dan ketua-ketua jabatan".

 

Maha Hebat Allah SWT.

 

Saya hentikan kuliah hari ini di sini. Ia sebahagian daripada catatan di dalam bab: Lapor Diri yang terkandung dalam buku rujukan terbaru Anekdot Madinah yang akan diterbitkan sedikit masa lagi.

 

8 Rabiul Awal 1434

 

Doa yang Panjang

 

Saya tidak pandai berdoa.

 

Hari ini saya terkenangkan kisah tujuh tahun yang lampau. "Hopeless", adalah satu perkataan ringkas menggambarkan perasaan dalaman apabila dijemput menunaikan fardhu haji pada 2006. Tiada tempat untuk saya mengadu. Hanya DIA sahaja yang tinggal. Doa ini dipohon setelah memahami kenapa saya perlu menunaikan fardu haji. Namun ia banyak dipengaruhi oleh perasaan ketakutan di atas kejahilan diri sendiri.

 

Doa ini juga dibaca setelah kami bertekad untuk melakukan haji Tamatuk, memasuki Kota Mekah terlebih dahulu dan dapat membayangkan secara jelas apa yang ingin kami lakukan. Hampir setiap malam – 3 hingga 4 pagi – selama setahun saya memohon kepadanya. Ia adalah salah satu cara mengulangkaji tatacara haji. Ketika berdoa saya akan membayangkan kegiatan yang akan kami lakukan. Sepenuh hati dan perasaan.

 

Getarnya masih terasa sehingga ke hari ini.

 

Memohon Keistimewaan

 

Ya Allah, kami mohon keampunanMu Ya Allah. Kami mohon kerahmatanMu Ya Allah. Kami Mohon Taufik dan Hidayah Mu, Ya Allah. Ya Allah aku telah dijemput olehMu untuk menunaikan ibadat haji pada hujung tahun ini. Aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami sekeluarga. Ya Allah terimalah aku sebagai tetamuMu Ya Allah. Tetamu yang paling istimewa Ya Allah. Tetamu yang paling-paling istimewa. Tetamu yang paling-paling-paling istimewa Ya Allah. Ya Allah aku pergi dengan cara Muassasah. Ya Allah, jangan Kau bezakan aku dengan mereka yang lain. Aku tahu Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah Ampunilah diriku Ya Allah.

 

Memohon Perlindungan Keluarga

 

Ya Allah, Kau peliharalah keselamatan dan kesihatan anak-anak kami, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea. Tenangkanlah hati mereka. Jangan Kau cetuskan rasa rindu kepada kami sepanjang kami menjadi tetamuMu. Ya Allah, bukalah pintu hati anak-anak kami untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, taat kepadaMu dan mampu pula menjaga diri mereka. Ya Allah bukalah pintu hati mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan dapat pula membantu Datuk dan Nenek mereka. Janganlah mereka menyusahkan Mak dan Abah.

 

Ya Allah, Kau berilah kesihatan yang baik kepada Mak dan Abah. Kau lindungilah mereka. Masuklah mereka di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Kau balaslah budi baik mereka yang sanggup bersusah payah menjaga anak-anak kami dengan memberi kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan akhirat. Kau ampunilah dosa-dosa mereka. Ya Allah aku mohon keampunanMu Ya Allah.

 

Memohon Ikatan Kasih Sayang

 

Ya Allah kau ampunilah diriku. Ya Allah bersama-sama aku nanti adalah isteriku, kakakku dan adik perempuanku. Ya Allah kami pergi ke rumahMu semata-mata untuk beramal-ibadat kepadaMu. Jangan Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau sukarkan perhubungan di antara isteri, kakak dan adik dengan diriku. Ya Allah, Kau berilah perasaan kasih-sayang, cinta-mencintai di antara kami, saling maaf-bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham-memahami dan saling kasih-mengasihi. Jagalah hubungan di antara Roza dengan ipar-iparnya. Jagalah hubungan antara adikku, kakakku dan isteriku. Jangan kau uji kami dalam soal ini Ya Allah.

 

Memohon Perlindungan Perjalanan

 

Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami daripada rumah ke Tabung Haji, Kelana Jaya. Janganlah kami terjebak dengan sebarang kesulitan yang menyukarkan kami untuk mendaftar diri. Jauhilah kami daripada mala petaka, Ya Allah. Ya Allah permudahkanlah urusan pendaftaran. Permudahlah kami untuk bergerak ke KLIA daripada Kelana Jaya. Jangan kau pisahkan kami. Ya Allah, Ya Tuhan kami, berilah ketenangan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami.

 

Elakkan daripada perasaan terlalu kerap ingin membuang air kecil. Ya Allah jagalah diebetesku. Ya Allah jagalah tekanan darahku. Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami daripada KLIA ke Jeddah. Biarlah kami sekeluarga sentiasa bersama, tidak terpisah dan mendapat tempat yang istimewa di dalam kapalterbang. Ya Allah, Ya Tuhan kami, permudahkanlah urusan kami di imigresen Jeddah. Mudahkan urusan kami untuk bertolak ke Mekah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah kami sehingga kami sampai ke hotel.

 

Memohon Hotel dan Rakan Sebilik yang Istimewa

 

Ya Allah hanya padaMulah tempat kami bergantung harap. Ya Allah berikanlah kemudahan kepada kami sekeluarga. Tempatlah kami di kawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Ya Allah kami mohon kepadaMu agar tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada tujuan kedatangan kami ke Mekah. Kami mahu beramal ibadat kepadaMu. Semata-mata untuk Mu Ya Allah. Permudahkanlah makan-minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Ya Allah kau berikanlah rakan-rakan sebilik yang bertimbang-rasa, berhati mulia dan mampu menjaga silaturrahim. Ya Allah berikanlah kesabaran kepada kami dan rakan sebilik dalam menghadapi sebarang dugaan. Ya Allah jauhilah kami daripada senggeta. Ampunilah kami Ya Allah.

 

Memohon Kemudahan Mengerjakan Umrah Wajib

 

Ya Allah kami akan mengerjakan haji Tamatuk. Kau terimalah ibadat ini. Ya Allah ketika kami sampai mudahkanlah kami untuk melakukan ibadat Umrah wajib. Berikanlah laluan dan lorongan bagi kami melakukan tawaf umrah. Permudahkanlah kami Ya Allah. Ingatkan kami untuk bersembahyang sunat tawaf, berdoa di hadapan Multazam dan meminum air zam-zam. Ya Allah berikanlah kekuatan dan kesihatan untuk aku melakukan ibadat Saie Umrah. Ya Allah jangan kau uji kami dengan rasa jarak yang jauh, hati yang malas dan tenaga yang tiada. Ya Allah jika kami selesai mengerjakan saie, jangan Kau lalaikan kami daripada bertahlul. Ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

 

Memohon Menetapkan Hati Sebelum Wukuf

 

Ya Allah setelah kami selesai melakukan ibadat Umrah, janganlah Kau lalaikan kami dengan bersenang-lenang dan malas beramal ibadat. Ya Allah kami hadir sebagai tetamuMu dalam keadaan yang jahil. Kaulah yang boleh membantu kami. Ya Allah, berikanlah aku perasaan jatuh cinta kepada Masjidil Haram. Gerakkanlah hati kami untuk sentiasa berada di sana. Beramal ibadat di sana. Dan itulah cita-cita kami Ya Allah. Kami datang semata-mata keranaMu Ya Allah. KeranaMu Ya Allah. Ya Allah tutuplah pintu hati kami daripada melakukan shopping. Tutuplah pintu hati isteriku, adikku dan kakakku.

 

Ya Allah penuhilah ruang masa kami dengan melakukan amal-ibadat yang sepatutnya kami lakukan. Ya Allah aku ingin khatam Quran di Masjidil Haram. Ya Allah aku ingin bersembahyang di Hijir Ismail. Ya Allah aku ingin mencium Hajar Aswad. Ya Allah aku ingin mengadap Multazam Ya Allah. Ya berikanlah rasa kasih yang sangat mendalam kepada Masjidil Haram. Ya Allah Kau ajarlah kami. Kau bantulah kami. Kau tunjukkanlah dengan sebaik-baik pengajaran. Kau berikanlah ilham untuk aku melakukan yang terbaik. Ampunilah kami Ya Allah. Hanya padaMu tempat kami berserah dengan sesungguhnya.

 

Memohon Perlindungan di Arafah, Muzdalifah dan Mina

 

Ya Allah ampunilah kami Ya Allah. Mudahkanlah perjalanan kami daripada Mekah ke Arafah. Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak dapat kami pikul. Berikanlah kesihatan yang baik. Amankan hati. Tenangkan perasaan kami. Ingatkan kami untuk bertalbiah di sepanjang jalan. Ya Allah mudahkan urusan kami semasa di Arafah. Berikanlah kemudahan bilik air kepada kami sekeluarga. Janganlah ia menjadi satu masalah yang besar. Ya Allah tetapkan hati kami untuk beramal-ibadat.

 

Ya Allah kuncilah mulut kami daripada bercakap-cakap perkara yang tidak memberi faedah. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang, menghabiskan masa dan membazir waktu. Ya Allah, semasa wukuf, berikanlah ruang kami di luar khemah untuk mengadapMu bersama ahli keluarga. Ya Allah, Kau izinkan kami untuk beramal ibadat daripada gelincir matahari sehinggalah terbenam matahari. Ya Allah berikanlah kesihatan yang baik semasa wukuf. Jangan kau lalaikan kami daripada pelbagai perkara yang menyusahkan.

 

Ya Allah mudahkan perjalanan kami ke Muzdalifah. Izinkan kami untuk bermabit di sana. Dan mudahkanlah perjalanan kami ke Mina. Berikanlah kesihatan yang terbaik semasa kami di sana. Mudahkanlah urusan melontar. Ya Allah, jauhilah kami daripada kesesakan manusia. Berikanlah ruang dan laluan untuk kami berjalan menuju ke Jamaratul Aqabah dan lain-lain jamaratul. Ya Allah, lindungilah kami daripada sebarang kecelakaan semasa kami melakukan ibadat ini. Ya Allah berikanlah kekuatan untuk kami beramal-ibadat di dalam khemah di Mina. Aku berserah kepadaMu Ya Allah. Ya Allah dan izinkanlah aku melakukan ibadat bertahlul awal semasa di Mina.

 

Memohon Keamanan di Mekah Selepas Selesai Haji

 

Ya Allah, Kau permudahkanlah perjalanan pulang kami daripada Mina ke Mekah. Berikanlah kesihatan yang baik. Ketenangan hati dan perasaan. Ya Allah, sekali lagi aku mohon kepadaMu, mudahkanlah untuk aku melakukan Tawaf Haji. Ya Allah gerakkanlah hati untuk membanyakkan amal di Masjidil Haram. Berikanlah perasaan kasih-sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah mudahkanlah untuk aku melakukan ibadat tawaf, bersembahyang dan membaca Al-Quran. Ya Allah aku mohon keampunan daripadaMu.

 

Memohon Keredhaan Melakukan Ziarah ke Madinah

 

Ya Allah, Kau mudahkanlah perjalanan kami daripada Mekah ke Madinah. Berikanlah kesihatan yang baik. Jauhilah kami daripada kesusahan, mala petaka dan sebarang kesulitan. Ya Allah di Madinah, Kau berikanlah rasa cinta, rasa sayang dan rasa kasih kepada Masjid Nabi. Ya Allah aku mahu yang terbaik. Aku mahu beramal-ibadat di sana. Berikanlah aku peluang untuk melakukan ziarah dan dapatlah aku melalui Makam Rasullullah. Ya Allah berikanlah ruang sembahyang di kawasan Raudah. Cukupkanlah sembahyangku sekurang-kurangnya 40 waktu secara berterusan. Ya Allah berikanlah kemudahan tempat tinggal, makan minum dan rakan sebilik yang sesuai. Ya Allah, jangan Kau palingkan rasa takut, rasa gentar dan keinginan kenapa kami ingin menziarah kota Madinah. Ya Allah Kau redhailah niat murni kami.

 

Memohon Kemudahan Perjalanan Pulang

 

Ya Allah Ya Tuhan kami. Kau ampunilah kami. Kau berikanlah taufik dan hidayah. Kau berikanlah kerahmatan kepada kami. Ya Allah setelah selesai segala-galanya, aku mohon kepadaMu, permudahkanlah perjalanan pulang kami. Permudahkanlah urusan di lapangan terbang Madinah. Permudahkanlah kami semasa di dalam kapalterbang. Ya Allah, jauhilah malapetaka semasa perjalanan pulang. Berikanlah keselamatan kami sehinggalah dapat kami berjumpa dengan anak-anak kami, Mak dan Abah, adik-beradik dan saudara-mara. Ya Allah Kau berkatilah kami Ya Allah. Ampunilah kami Ya Allah.

 

Memohon Haji Mabrur

 

Ya Allah. Aku adalah manusia jahil. Aku manusia yang kerdil. Aku banyak dosa kepadaMu Ya Allah. Ampunilah diriku. Aku pergi menunaikan fardu haji semata-mata kerana ketakutan dan keinginan untuk menyampaikan rasa syukur aku kepada Mu. Kau yang Maha Berkuasa. Kau yang mampu memakbulkan segala permohonan hambaMu. Ya Allah, aku mahu yang terbaik, yang teristimewa dan yang terpilih di antara jutaan hambaMu.

 

Ya Allah berikanlah dan kurniakanlah Haji yang Mabrur, haji yang Kau redhai dan yang mulia di sisiMu. Ya Allah, jika aku pulang ke Malaysia, aku mahu berubah Ya Allah. Aku mahu menjadi manusia yang lebih baik di sisiMu. Ya Allah berikanlah kebahagiaan kepada kami sekeluarga. Berikanlah rezeki yang halal dan jauhilah kami daripada mereka yang suka membuat fitnah. Kaulah yang telah mencipta kami dan kami hanyalah HambaMu yang terlalu hina dan tidak berpengetahuan.

 

Ya Allah, jika aku dipanggil olehMu, Kau masukkanlah aku di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Mereka yang beriman. Kau tempatkanlah aku di dalam syurgaMu yang paling istimewa. Syurga Firdaus Ya Allah. Kami mohon keredhaanMu.

 

Subhanallah, Alhamdullillah, Allahu Akbar. Kini, walaupun tujuh tahun berlalu, saya masih membaca catatan ini merasai getar tersebut. Ya Allah, kami mohon keampunanMu.

 

 

7 Rabiul Awal 1434

Perjalanan

Kami telah singgah di beberapa kota besar dunia.

Sekadar menyebut beberapa contoh - misalnya - London, Paris, Jakarta, Bangkok, Istanbul, Doha dan Singapura. Malah berada di Mekah dan Madinah merupakan perjalanan kehidupan yang tiada bandingan.

Pengalaman perjalanan terakhir kami berada di bumi Kaherah. Hampir kesemua benua telah kami jelajahi kecuali bumi Afrika. In'sya Allah, dalam tempoh beberapa bulan lagi kami mungkin berada di Sudan bagi menghantar Amirul yang akan berada di bumi tersebut dalam tempoh beberapa tahun.

Perjalanan mengajar kita banyak perkara. Paling mudah melihat bagaimana corak kehidupan masyarakat setempat dengan kedudukan ekonomi. Di setengah tempat pengemis mengekori ke mana sahaja kita pergi. Bila kita bersedekah kepada seseorang, berduyun-duyun yang lain memaksa kita memberi kepada mereka pula. Ia menjadikan perjalanan tersebut sebagai sesuatu yang sangat merimaskan. Saya tidak fikir mahu kembali ke sana.

Di Kaherah, kami mengalami peristiwa berbeza. Kesukaran kehidupan atau keperluan kepada wang ringgit menjadikan manusia berada di luar batas adab yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya dengan satu peristiwa yang telah kami alami secara langsung walaupun banyak kes lain yang telah diceritakan.

Kami berada di luar masjid Saidina Hussein. Saya dan Roza memang tertarik dengan roti Mesir yang dijual oleh peniaga di luar kawasan masjid.

Rotinya menggelembung. Sedap mata memandang. Malah ia kelihatan sangat lazat. Namun kerana ia dijual tanpa bertutup maka keinginan untuk terus "beli dan makan" tidak pula melekat di hati.

Kami juga tahu harga 6 keping boleh dibeli dengan hanya 1 pound Mesir. Khabarnya, jika ia disubsidi kerajaan maka harganya lebih murah.

"Tuan, boleh saya ambil photo? kami hanya mahu mengambil photo sahaja," saya menghulurkan 5 pound. Saya tunjukkan kamera dan menghalakannya ke arah roti yang bertimbun di atas para jualan. Penjual itu tersenyum dan mengganggukkan kepala. Kemudian beliau berkata,

"Mahu saya agihkan roti ini kepada orang fakir itu," beliau bertanya sambil menunjukkan kepada beberapa orang peminta sedekah.

"Terpulang pada tuan," saya memberi jawapan yang sangat jelas. Lalu kami meninggalkan kawasan tersebut menuju ke kereta. Kelihatan beliau mengagih-agihkan roti tersebut kepada beberapa orang. Apabila melihat kami mahu meninggalkan tempat tersebut beliau menahan kereta dan menuntut 100 pound sambil menjerit-jerit di dalam bahasa Arab. Sangat jelas beliau menyebut, "haram, haram, haram".

Kami boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa bersusah payah. Namun saya masih menghulurkan 20 pound tanda malas mencari balah. Beliau masih tidak berpuas hati dan terpekik terlolong umpama terkena histeria.

Pemandu kami terus memecut meninggalkan kawasan tersebut. Lalu saya terkenang kepada kenyataan betapa "kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran". Dalam konteks ini, kemiskinan - berdasarkan pengalaman perjalanan yang telah kami lalui - boleh dirujuk kepada soal kemiskinan wang ringgit. Namun kami melihat manusia bukan sahaja miskin harta benda tetapi miskin ilmu, jiwa dan perasaan. Malah kerana wang ringgit kita mungkin menjadi miskin adab dan kemulian diri walaupun mempunyai simpanan jutaan ringgit.

Tentu sekali Kami banyak menyimpan kenangan melalui kembara ini. Kesemuanya adalah pengajaran untuk diteladani. Benar sekali Allah SWT mencipta bumi ini sebagai tempat persinggahan. Namun ia terkandung pelbagai ilmu untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ia bukan sahaja merujuk kepada bulan, bintang, matahari, gunung-ganang, sungai, unta atau kapal yang belayar di lautan.

Paling hampir dengan kita ialah tingkah laku manusia itu sendiri. Saya akhiri nota kuliah hari ini dengan sedikit petikan dari surah Al-Isra, ayat 37 yang bermaksud,

"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang".

Maksudnya, perjalanan sepatutnya menjadikan kita manusia yang semakin kerdil berbanding dengan kekuasaan Allah SWT. Ia menjadikan kita semakin takut dan gentar.

Kami memohon keampunanMu ya Allah.

 

6 Rabiul Awal 1434

Ujian oh Ujian

Bersyukur Saat Diuji ditulis berdasarkan kisah kehidupan.

Saya teruja dengan buku ini kerana ia mengingatkan diri sendiri untuk memahami bagaimana mahu menghadapi ujian samada duka atau suka. Hakikatnya, ia ada solusi mudah, solat dan sabar. Itulah intipati buku setebal hampir 250 muka surat. Buku - In'sya Allah - Anekdot Madinah meneruskan kisah menghadapi ujian dengan memberi fokus betapa Allah itu Maha Mendengar. Benar, DIA Maha Mendengar.

Namun sangat menarik apabila menerima SMS dan e-mel yang menyatakan, "saya telah membeli buku Bersyukur Saat Diuji dan telah membacanya. Alhamdulillah, buku ini sangat menarik dan saya telah membaca sehingga habis".

Kemudian - kebiasaannya - penulis SMS (e-mel) menceritakan ujian-ujian yang telah dan sedang beliau hadapi. Di hujungnya tertulis, "Prof tolonglah bantu saya memberi idea bagaimana mahu mengatasi ujian ini".

Sah. Sebagai penulis saya gagal menyampaikan idea di sebalik tulisan Bersyukur Saat Diuji. Namun saya terfikir, benarkah beliau telah membaca buku ini sehingga tamat? Adakah mereka berdoa memohon supaya Allah memudahkan pemahaman sebelum membaca? Adakah mereka menyebut nama Allah sebelum membaca sebagaimana yang disaran pada muka surat awal buku tersebut? Mungkinkah beliau membuat tebukan di sana-sini atau memang beliau tidak dapat mengutip intipati sebenar tulisan tersebut.

Lalu saya menjawab ringkas, "nasihat saya serupa dengan apa yang saya tulis di dalam buku tersebut. Saya tidak pandai dan tidak berilmu. Itu sahaja yang saya tahu. Banyakkan solat dan bersabar. Mohon pada Allah untuk memudahkan kita".

Juga, saya sering menerima kenyataan, "ujian yang saya hadapi tidak sama dengan Prof.Saya sudah berdoa, solat dan bersabar tetapi ia masih begitu".

Benar, ujian yang kita tanggung adalah sebesar-besar ujian. Kita akan berasa ujian yang berada di bahu lebih besar daripada mereka yang lain. Ia merupakan perbandingan yang dibuat-buat yang memberi gambaran sebagaimana yang Allah SWT nyatakan melalui surah al-Fajr ayat 16,

"Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!"

Hidup ini adalah ujian. Ia ujian suka dan duka. Jika kita berada pada mood suka, cepat-cepat kita perlu bertanya - apakah ia membawa kita lebih hampir kepadaNya? Begitu juga sebaliknya. Jika kita ditimpa ujian duka, tidak usahlah terlampau bersedih hati. Pergilah kepadaNya mengadu sesungguh hati, In'sya Allah ia melapangkan dada.

Dua-tiga minggu lepas saya bertemu Dekan dan bertanya masa depan saya di Universiti Taibah setelah mereka membuat keputusan menukar kata pengantar kepada bahasa Arab. Beliau tidak fasih berbahasa Inggeris. Maka penjelasan beliau sangat mudah, "khalas (tamat), ini semester terakhir".

Lalu pada pertengahan tahun ini saya sepatutnya jadi penganggur. Pencen persaraan pula hanya akan diterima pada bulan Mei, 2014. Sembilan bulan saya dijangka tidak mempunyai pendapatan tetap. Ia tentu sekali di luar jangkaan atau perancangan ketika kami membuat keputusan berhijrah ke Madinah. Kami mahu dikebumikan di Baqi'.

Malah banyak lagi perencanaan yang terpaksa dijajar semula apabila mendengar khabar ini. Ia kenyataan ringkas tetapi membawa implikasi teramat besar dalam kehidupan kami sekeluarga.

Allah ya Allah..... maka saya kembali kepadaNya. Dua tahun yang telah Allah kurniakan merupakan nikmat suka yang tidak terhingga. Ia umpama berada hampir 24 tahun di sini (nota: ayat ini akan saya ulas dalam entri yang berbeza).

Kami sedih namun kami perlu menukar mood sedih ini dalam konteks yang telah saya sampaikan kepada khalayak, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan".

Hakikat sebenar - bila berlaku sesuatu ujian - Allah menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada hambaNya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah As-Sharh tersebut dengan syarat mereka "sabar dan solat". Lalu jika orang bertanya kepada kami maka saya terangkan dengan tegas, "kami juga bersabar dan ternanti-nanti apakah sesuatu yang lebih baik yang telah dijanjikan oleh Allah SWT".

Kami telah melalui tempoh perjalanan kehidupan yang sangat panjang. Ia berwarna warni. Cantik sekali warnanya. Hampir 50 tahun. Masa yang tinggal kelihatan begitu hampir. Kami fikir, ujian-ujian pada penghujung kehidupan perlu ditangani dengan cara yang diredhai dan diberkatiNya. Ia kembali kepada prinsip asas, "Kaulah yang satu-satunya kami sembah dan mohon pertolongan".

Allah ya Allah, lalu kami hubungi saudara-mara yang hampir dan menyebut, "jemputlah ke Madinah ketika kami masih berada di sini". Tentu sekali kami teruja menyambut kedatangan mereka. Mahu kami membawa mereka menaiki Dodge, membawa mereka makan nasi unta yang lazat dan membawa mereka melihat kehidupan sebenar di belakang tabir Masjid Nabawi yang tidak akan diperolehi oleh jemaah haji dan umrah yang lain.

Mudah-mudahan itu menjadi penyebab untuk mereka menunaikan - sekurang-kurangnya - umrah yang sentiasa bertangguh-tangguh. Alhamdulillah, adik kesayangan kami dan suami sudah memberi jawapan positif. Mereka mahu menunaikan umrah sebelum kami pulang ke Malaysia.

Begitulah Allah memberi jawapan kepada isi hati kami yang sentiasa mendoakan adik-beradik, sanak-saudara, sahabat handai dan kaum muslimin agar diberi peluang merasai nikmat sebagaimana yang kami rasai di sini.

Benar sekali Allah memberi ruang masa lebih setengah tahun untuk kami merencanakan laluan kehidupan seterusnya. Ia ruang masa yang sangat mengujakan kerana kami ternanti-nanti, "apakah nikmat yang lebih baik yang Allah mahu kurniakan". Lalu kami terus "bersabar dan bersolat". Menangis, merayu dan merintih kepadaNya. Mudah-mudahan kami termasuk dalam golongan yang kusyuk.

Ya Allah, kami mohon keampunanMu. Permudahkanlah kehidupan kami di dunia dan akhirat. Berikanlah yang terbaik di sisiMu. Hanya padaMu kami mohon perlindungan dan pertolongan.

 

5 Rabiul Awal 1434

Ia Tidak Wajib

Sangat benar yang ia tidak wajib. Misalnya, menuntut ilmu formal tidak wajib sehingga ke peringkat PhD. Malah tidak lulus SPM juga tidak mengapa. Apa sahaja yang dikaitkan dengan keperluan dunia pada dasarnya tidak wajib.

Lalu kita boleh memberi contoh. Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak ke universiti berjaya menjadi salah seorang terkaya di Malaysia. Malah beliau mempunyai universiti sendiri. Penuntutnya melangkaui pelbagai benua. Membaca kisah beliau sangat mengasyikkan.

Puan Ainon PTS juga selalu menyebut yang beliau tidak berjaya menamatkan pegajian PhD. Namun dengan idea kreatif beliau menghasil puluhan buku yang mengajar manusia berfikir. Puan Ainon menulis, bercakap dan mengamalkannya. Maka beliau - saya fikir - berjaya dalam dunia perniagaan yang berkait rapat dengan minat dan upaya beliau tanpa PhD.

Kita boleh memberi banyak contoh tentang perkara yang tidak wajib. Namun tidak ramai yang mahu menegaskan bagaimana perkara tidak wajib tiba-tiba sahaja menjadi wajib. Misal terdekat, hampir seluruh universiti terkemuka dunia meletakkan syarat perlantikan pensyarah perlu berkelululusan PhD. Benar, belajar sehingga ke peringkat PhD tidak wajib tetapi untuk menjawat jawatan pensyarah universti - dalam kebanyakan kes - ia wajib bersijil PhD.

Lalu mereka yang tidak berkelulusan PhD mungkin berkata, "tidak mengapa, saya tidak perlu bekerja di universiti. Saya mahu berniaga". Hakikatnya, mereka yang berkelululusan PhD juga boleh berkata, "Opps... saya tidak berminat bekerja di universiti, saya juga mahu berniaga". Mereka mempunyai dua pilihan.

Begitulah. Ia bukan soal berkelulusan PhD atau tidak. Tidak pula mereka yang berkelulusan PhD lebih baik daripada mereka yang lain. Saya hanya memberi contoh (analogi) mudah tentang realiti kehidupan yang sedang kita hadapi.

Dulu - misalnya - saya cukup berkira dengan solat. Saya hanya melakukan perkara wajib. Tidak perlu membaca surah selepas al-fatihah. Bacaan dalam ruku' atau sujud diketepikan. Ia tidak wajib. Lalu solat menjadi sangat ringkas, pantas dan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Acap kali terlupa yang rupa-rupanya solat sudah berakhir.

Malah ada yang mencadangkan, solatlah di hujung waktu dan di awal waktu. Ia seolah-olah jamak sepanjang masa. Hilang kepentingan solat berjemaah di masjid. Allah ya Allah, ia tidak wajib!

"Marilah kita bangun pada 1/3 malam," ia ajakan yang paling saya sukai. Namun - sesekali - ada yang berkata, "ia tidak wajib prof. Saya takut tidak dapat istiqamah".

"Marilah kita puasa sunat. Puasa Nabi Daud, puasa sunat paling disukai Allah," ia juga ajakan yang tidak putus-putus saya ajukan terutamanya kepada mereka yang sihat tubuh badan.

"Prof, tidakkah ia kelihatan Islam sangat menyusahkan jika kita memberi penekanan kepada soal-soal begini. Ia hanya perkara sunat," kata seseorang.

Saya sangat sebak dan sayu. Konsep wajib, sunat dan makruh barangkali sangat besar kesannya kepada sebahagian daripada kita. Pemisahan ini menjadikan kita sangat berkira dengan amalan-amalan sunat yang boleh menguatkan amalan wajib yang lain.

Saya fikir konsep "menyembah dan beramal ibadat semata-mata kerana Allah" dan "sepanjang masa", sangat sukar dicapai jika kita berkira-kira dalam setiap amalan.

Lalu jika ada yang mengajak ke arah kebaikan maka lebih baik kita berdiam diri. Tidak usahlah berkata, "ia tidak wajib". Jauh sekali untuk berkata, " saya mahu tetapi....".

Kami mohon keampunanMu ya Allah. Moga kami menjadi golongan terbaik di sisiMu.

4 Rabiul Awal 1434

Kemampuan

Ia sering diucapkan.

Malah ia menjadi perlindungan semulajadi yang sangat menarik untuk dibuat analisis. Misalnya jika pelajar saya berkata, "saya tidak mampu untuk mendapat A dalam matapelajaran ekonomi," maka pastinya sebagai seorang pensyarah saya akan bertanya, "kenapa?".

"Ekonomi sangat kelabu. Terlalu banyak andaian. Terlalu banyak kelok. Saya tidak sukakan pensyarah yang mengajar".

Lalu kita memberi senarai panjang yang menyukakan hati betapa benarlah kita tidak mampu mendapat A dalam mata pelajaran tersebut.

"Adakah awak mahu A?," ia soalan rutin bila berhadapan dengan pelajar yang pandai bercakap ini.

"Mari kita lihat satu persatu isu yang telah dikemukakan. Kita cuba mencari jalan bagaimana mahu mengatasinya," juga kata-kata standard .

Itulah yang dinamakan menganalisis isu yang menjadi hadangan terhadap sesuatu cita-cita atau impian. Kemudian, kita mencari jalan untuk mengatasi isu tersebutt. Agaknya itulah yang dinamakan usaha.

Itu dulu. Kini, saya masih bertanya dan menambah kata, "mohonlah pada Allah sepanjang masa. Bangun pada 1/3 malam tersisa, berdoalah supaya Allah lapangkan dada, fikiran dan mudahkan pemahaman. Cuba amalkan puasa-puasa sunat. Mudah-mudahan Allah makbulkan usaha-usaha kita. Jangan lupa maklumkan kepada ayah, mak supaya berdoa agar kita berjaya dunia dan akhirat".

Jika tidak berjaya mendapat A maka sebutlah - jika mahu menggunakan perkataan tersebut - saya tidak mampu tetapi Alhamdulillah, itulah yang terbaik buat saya.

A atau B bukan keperluan mutlak. Ia hanya memberi kesan kepada keputusan peperiksaan keseluruhan. Namun lulus atau gagal memberi kesan yang sedikit berbeza. Misalnya, mereka yang gagal perlu mengulang. Tertanda di dahi - istilah budak U - muka kantoi. Ia merupakan sesuatu yang mahu kami elakkan. Itu perasaan kami pada zaman tersebut.

Kini, saya melihat siswa-siswi tersengeh-sengeh kerana terpaksa mengulang. Ramai yang begitu maka ia bukan lagi menjadi kepelikan. Ia norms.

Pusingan ini kembali semula apabila kita membicarakan soal amal-ibadat terutamanya apabila melibatkan soal-soal yang tidak wajib. Bukankah A atau B tidak terlalu mustahak?

Banyak pengajaran yang boleh kita simpulkan melalui kemahuan mendapat A di dalam mata pelajaran ekonomi yang sukar itu (emmmm..... ini kisah saya sebenarnya). Konsep "saya tidak mampu" perlu dijelaskan dalam konteks yang benar dan saksama.

Kita telah membuktikan sesuatu. Saya cemburukan Syed Mokhtar AlBukhary yang membina banyak masjid. Beliau banyak menyumbang kepada kerja-kerja amal. Allah ya Allah.... tentu sekali kita tidak mampu untuk melakukan sebagaimana yang beliau lakukan. Namun - akhirnya - bersama-sama kita berjaya membangunkan masjid KRTS di Somalia. Ia tetap masjid walaupun beratus-ratus orang terlibat. Itulah kemampuan kita.

Saya fikir, beliau berjaya membuka universiti (nota: saya memohon untuk bekerja di sini). Kami tidak mampu - buat masa sekarang - untuk membuka Universiti MKI. Apa yang saya mampu hanyalah membuka kelas fardhu Ain. Malah saya tersenyum dan berbangga melihat Puan Ainon membuka "Universiti Terbuka PTS" dan kini "Ainon Business School". Lalu saya bercadang mahu menukar laman web ini sebagai Universiti MKI meniru apa yang Puan Ainon lakukan. Mungkin saya boleh mengumpul lebih ramai pelajar (nota: perlu dibaca dengan nada yang lebih santai).

Kemampuan sangat luas sifatnya. Bila kita mahu sahaja menyebut, "saya tidak mampu", berhenti sejenak dan bertanya kembali, "di dalam kekangan yang ada, apakah yang saya mampu" atau "kenapa saya tidak mampu?".

Di atas segala-galanya, manusia tidak mempunyai kudrat. Ia nikmat yang Allah SWT anugerahkan. Kembalilah kepadaNya. Kembalilah dengan sepenuh hati dan perasaan. DIAlah yang kita sembah dan mohon perlindungan serta pertolongan.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 

3 Rabiul Awal 1434

Ujian Musim Sejuk

Sejuk dan panas merupakan rasa berlawanan. Jika ia berada pada hujung ekstrims maka ia merupakan cabaran besar bagi sesetengah orang. Misalnya sudah beberapa hari saya melihat petunjuk suhu berada di sekitar 13 - 15 celsius ketika waktu solat subuh.

Agaknya kami memang sudah berusia. Ya.... memang usia sekarang tidak seperti 10 tahun yang lampau. Ingat, usia muda sebelum tua. Ia sangat terasa. Ketika bangun pada dini hari hati teragak-agak untuk ke bilik air. Benar, kami berwudhu dengan air suam-suam kuku. Namun apabila keluar sahaja dari bilik air sepantas kilat air di muka menjadi tersangat sejuk. Buat seketika tubuh menggigil.

Alhamdulillah, itulah rasa ciptaan dan kekuasaan Allah SWT.

Sepanjang musim sejuk ini - hari bekerja - kami bersolat di masjid berdekatan rumah. Kebiasaannya ada 5-6 saf yang panjang. Hari ini tidak sampai 1 saf ketika Imam memulakan takbir. Itulah kesan langsung cabaran cuaca sejuk. Berselimut lebih selesa.

Solat subuh juga dilewatkan sehingga jam 6 pagi. Itulah waktu Amirul dan Sofea mula ke sekolah diambil oleh pemandu. Ayman - pemandu dari Mesir - mencadangkan kepada Amirul supaya solat di rumah. Namun saya bersyukur apabila Amirul menyatakan kepada beliau,

"saya mahu solat berjemaah di masjid. Sekejap sahaja. Marilah solat di masjid. Nanti kita terus pergi".

Maka - itulah - saya ikut solat bersama Amirul di masjid berhampiran. Jaraknya hanya 150 meter namun kami terpaksa segera meninggalkan masjid untuk pulang ke rumah.

Biasanya Ayman sudah sedia menanti.

Benar, kami tidak mahu meninggalkan solat berjemaah di masjid tetapi kami juga tidak mahu mengganggu tugas Ayman. Ia hanya ujian yang memerlu sedikit ubah-suai rutin terutamanya solat subuh di Masjid Nabawi.

Doa kami agar Ayman juga terbuka pintu hati untuk menunggu Amirul di masjid dan tidak di rumah.

Kahwin

Saya tidak tahu mahu bersedih atau bergembira. Namun saya menulis, "Tahniah (mabruk), semoga Allah merahmati hidup tuan".

Kisahnya mudah. Saya menerima e-mel daripada bekas bos saya di sini,

"Prof, saya mohon maaf kerana menyampaikan berita sedih. Saya bercerai dengan isteri saya. Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Namun saya ada juga berita baik, saya akan kahwin dan mahu berbulan madu di Malaysia".

Kahwin buat kebanyakan lelaki sangat mudah. Saya mempunyai beberapa kawan yang selalu membicarakan tentang dua tiga dan empat. Namun bertahun-tahun begitu dan ia tidak pernah berlaku. Namun ada yang diam-diam, tiba-tiba berkata, "bila di Mekah, tolong doakan agar isteri aku dapat menerima isteri kedua..."

Ia kisah kehidupan.

Mencintai Saudara

2 Rabiul Awal 1434

Lumrah untuk hati berasa sayang terhadap seseorang. Malah umat Islam disarankan untuk mengasihi sesama muslim. Kita adalah bersaudara. Dinyatakan - perhubungan sesama saudara - ia ibarat mencubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Malah ada juga disebut dan ditanya, "mahukah kita memakan bangkai saudaranya sendiri?"

Perasaan sayang, cinta atau kasih ini lebih terangsang apabila kita mempunyai hubungan langsung misalnya, ibu bapa, suami-isteri, anak, adik-beradik, sahabat-handai dan mereka yang hampir. Namun tahapnya berbeza-beza mengikut hubungan yang terlangsung.

Akhir-akhir ini saya sering memikirkan beberapa rakan yang pernah hadir dalam hidup kami. Kami sayangkan mereka. Kami mengenali mereka sebagai rakan yang sentiasa diberi pelbagai nikmat oleh Allah SWT. Namun kejayaan demi kejayaan telah melalaikan. Misalnya daripada bertudung, mereka memilih untuk melucutkannya kerana memikirkan ia lebih bergaya dan boleh membawa ke puncak kejayaan.

Ia menjadi lebih pilu kerana berlaku di kala usia semakin meniti ke hujung.

Dari kejauhan kami sentiasa berdoa, "ya Allah, Kau lembutkanlah rakan-rakan kami ini ya Allah agar sentiasa mengingati aturan kehidupanMu. Kaulah yang Berkuasa di atas segala-galanya. Ya Allah, jagalah mereka, kami dan seluruh muslimin dan muslimat agar sentiasa patuh kepadaMu. Jangan Kau terbalikkan hati kami setelah kami hampir kepadaMu".

Benar, kita semua manusia yang sangat lemah sifatnya. Ujian Allah tidak terduga. Hari ini kelihatan sangat hampir denganNya, besok mungkin kitalah yang paling dimurkaiNya. Kita mohon perlindungan darNya.

Setiap kejadian - selalunya - menjadi ingatan kepada diri sendiri. Kami mohon keampunanMu ya Allah.

     

    Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

    Web Hosting by Yahoo!

    

    Editor

    Universiti MKI
    Jabal Uhud
    Madinah

    ph: +966502127721

    umki@muhdkamil.org

    Komen di sini:Facebook