UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

01 - 15 Rabiul Akhir 1434

  • 15 Rabiul Akhir 1434

    Sahabat

    U-MKI telah mengendalikan Bengkel Penulisan kepada siswa(i) Universiti Islam Madinah. Sebagai motivasi dan sanjungan kepada mereka yang berusaha dan bercita-cita menjadi penulis, U-MKI menyediakan ruangan untuk mereka menyampaikan ilmu. Ia satu latihan sebelum mereka menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia. Artikel mereka boleh dibaca di SINI. Tulisan pertama sumbangan Khairul Izzuddin.

     

    Dosa Kering

    Ia istilah lama.

    Dulu saya tidak pernah peduli. Malah ia jadi bahan lawak. Dosa kering dilihat sebagai dosa yang "tidak apa" dan bertaraf "main-main" dan mudah diperbetulkan.

    Jika ada yang bertanya maknanya maka akan saya nyatakan, "dosa yang dilakukan tanpa keperluan melakukannya". Ia dosa mudah untuk dielakkan. Namun tahap dosa ini pelbagai. Ada dosa besar dan ada juga dosa yang memang menjadi hobi ramai orang. Sekadar menyebut contoh biasa, kadangkala kita melakukan sesuatu yang bersifat fitnah, mengumpat atau bercerita buruk hal orang walaupun ia tidak ada kena mengena dengan diri sendiri secara langsung.

    Tentu sekali melakukan dosa kering itu dilarang oleh Islam. Allah ya Allah.... semua dosa sememangnya begitu. Ia hanya istilah orang Melayu. Tentu sekali ia tidak membawa sebarang kebaikan. Misalnya, Rasulullah SAW telah menyatakan dalam hadis riwayat ImamTirmizi bermaksud, “Antara kebaikan Islam seseorang itu ialah beliau meninggalkan perkara yang tidak membawa faedah kepada dirinya”. Bezanya, dosa kering adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk dilakukan terutamanya bagi mereka yang mahukan kehidupan Islam, bersekolah tinggi dan belajar agama.

    Internet melalui laman sosial berperanan sebagai kaedah mudah untuk menghasilkan dosa kering. Ambil contoh Facebook bagaimana punat sharenya membawa dua implikasi serta merta.

    Pertama, jika sesuatu keburukan seseorang terus disebarkan tanpa usul periksa. Tidak pula memeriksa samada video, audio, surat, gambar atau kenyataan yang memudaratkan seseorang itu mempunyai kesahihan sumber. Ia boleh menyebabkan kita menjadi tukang fitnah, tukang sebar dan tukang umpat "di luar sedar".

    Penyakit ini - kelihatan - melanda ramai orang tidak kira mereka yang berkelulusan tinggi, jutawan, ahli perniagaan, ustaz atau profesor. Keghairahan menukar punat share ini nyata tidak memilih bulu. Lebih menyedihkan ia menjadi hobi yang tidak bertepi. Bahasa mudahnya, mereka tidak sedar dengan apa yang sedang mereka lakukan.

    Namun ada sesuatu yang lebih menarik tentang dosa kering dengan menekan punat Share ini. Langsung mereka tidak terfikir yang mereka juga menyebarkan gambar wanita yang tidak menutup aurat. Ia ibarat mengedarkan gambar lucah. Bezanya ia dilakukan "di luar sedar" akibat keghairahan tertentu.

    Misalnya, terdapat satu catatan ringkas yang menarik. Ia sangat bermanfaat. Namun diletakkan gambar iringannya bersekali dengan muslimah yang terdedah auratnya dengan tidak sengaja. Tentu sekali wanita ini tidak mahu begitu. Saya meyakini hal ini. Namun berpuluh ribu orang menekan butang share termasuklah rakan FB yang saya fikir bukannya berminat untuk menyebarkan sesuatu yang tidak sepatutnya.

    Namun "di luar sedar" mereka melakukannya. Niat baik tetapi tercemar dengan "dosa kering" yang berpotensi menjadi dosa besar. Saya menggunakan istilah "di luar sedar" kerana agaknya mereka terlupa yang aurat wanita begitu penting sekali dijaga. Kehidupan harian menyebabkan kita berasa ia tindakan "tidak apa" dan "tidak bersalah".

    Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

    Kedua, ia boleh menjadi ilmu bermanfaat. Jika menekan punat share - dalam konteks ini - ia bakal memberi ganjaran kepada ramai orang yang menggunakan maklumat tersebut. Malah - saya fikir - ganjarannya berterusan. FB atau laman sosial yang lain mampu menjadi medium dakwah berkesan. Hakikatnya - kini - ia bercampur aduk jika tidak berhati-hati. Mahu berdakwah, juga mahu memberi ilmu bermanfaat, malah teringin membuat segala kebaikan tetapi akhirnya terpalit dosa kering.

    Namun ada sesuatu yang lebih menarik tentang gelagat mereka yang gemar menekan butang share ini bila ditegur. Keegoan mereka mengatasi kebenaran. Ia agak sukar menarik balik apa yang telah disharekan. Mereka rela kekal begitu. Lalu saya terpaksa mengambil sikap mudah dengan "unfriends" rakan-rakan begini yang menyebabkan apa yang di"share" berada di dalam laluan FB kita.

    Ia nampak isu mudah tetapi benar-benar signifikan.

    Menekan punat share membawa implikasi besar. Tarik nafas panjang-panjang, mohon keampunan Allah, dan gunakan akal dan ilmu yang ada sebelum melakukannya.

    Ia pilihan mudah dengan sedikit pertanyaan, "jika aku tidak melakukannya apakah ia menjauhkan diri daripada Allah SWT?" atau kita bertanya dengan soalan yang lebih positif sifatnya, "dekatkah aku dengan Allah SWT dengan menekan butang ini?".

    Lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah.

     

    14 Rabiul Akhir 1434

    Mengubat Rindu

    Rindu pada Rasululllah SAW sering dikaitkan dengan keperluan hadir di Madinah dan seterusnya berada di dalam masjid Nabawi. Istilah ziarah Baginda SAW dengan mengucap salam dan melalui makam memberi kepuasan yang mendalam. Ia terasa lebih signifikan begitu.

    Ia perasaan hebat terutamanya bagi mereka yang pernah berada di sini. Terbayang keindahan dan suasana nyaman berada di dalam Masjid (nota: pengecualian diberikan kepada mereka yang fobia masjid dan gemar berada di luar).

    Saya tertarik melihat kesan psikologi ini dari sudut yang berbeza. Misalnya - sedar atau tidak - keindahan fizikal masjid Nabawi ini terlangsung lama setelah mengalami perubahan struktur pembinaan dan hiasan dalamannya setelah Baginda SAW meninggalkan kita.

    Keindahannya tidak jemu mata memandang. Ramai yang menyatakan rasa aman, damai dan sejuk hati apabila berada di sini. Sepatah kata, ia rasa cinta kepada masjid Nabawi. Tentu sekali ia bersesuaian dengan permohonan Baginda SAW kepada Allah SWT,

    “Wahai Allah, jadikan kami mencintai Madinah, seperti kami mencintai Makkah atau lebih dari mencintai Makkah.” (Sahih Al Bukhari).

    Jika kita berdiam diri sejenak, memerhatikan tapak asal masjid dan membayangkan tiada tiang-tiang emas, mimbar baru ditapak asal atau mihrab tempat Baginda SAW mengimami solat maka kecantikan fizikal masjid hilang dari pandangan mata. Bayangkan pula kisah-kisah bagaimana tapak asal masjid Nabawi yang terbina menggunakan bahan-bahan yang tidak seberapa. Maka lebih banyak tempat-tempat lain di dunia akan kelihatan lebih cantik di mata.

    Maksud saya, akhirnya kita mengerti dan memahami betapa keindahan, kecantikan dan rasa damai berada di sini bukanlah berdasarkan fizikal masjid. Ia lahir nun jauh di lubuk hati. Ia rasa cinta dan rindu yang sungguh luar biasa. Ia kelihatan abstrak kerana tidak dapat diterjemah dengan kata-kata yang nyata.

    Lalu rasa rindu kepada Baginda SAW juga sepatutnya bukanlah semata-mata kerana makam Baginda berada di sini. Ia juga tidak sepatutnya kerana Madinah merupakan bandar Baginda SAW. Terjemahan rasa rindu ini perlu dilihat dalam perspektif yang berbeza. Pastinya, tidak ramai yang mampu hadir di sini setiap tahun.

    Jika ada yang mampu hadir 2X seumur hidup berziarah ke Madinah - saya fikir - sudah boleh dianggap nikmat lumayan. Akan ada yang hanya mampu mendengar cerita-cerita keindahan Masjid Nabawi tanpa pula berpeluang untuk menyaksikan sendiri apa yang telah dicerita orang.

    Maka rindu yang ada perlu diubati.

    Misalnya, semalam (13hb bulan Hijrah), hari ini (14 bulan Hijrah) dan besok (15 bulan hijrah). Berapa ramai di antara kita yang menyebut-nyebut rasa rindu kepada Baginda SAW melaksanakan puasa sunat yang dianjurkan oleh beliau? Jawablah rasa rindu di hati dengan melaksanakan apa yang Baginda lakukan bagi mereka yang tidak bermasalah dengan kesihatan dan tidak pula terbabit dengan kedudukan yang menghalang mereka berpuasa. Ia boleh dilakukan walaupun tidak berada di Madinah.

    Anehnya, ketika berada di sini sekalipun ramai jemaah yang lebih berpuas hati solat di masjid, usai solat berjalan melalui Babu Salam ke arah Babu Baqi dan mengucap salam dan terus pulang ke hotel. Masa yang diperuntukkan di hotel hampir 20 jam berbanding dengan masa di masjid yang kelihatan sangat tidak signifikan.

    Bersalawat kepada Baginda SAW merupakan hadiah Allah SWT kepada hambaNya. Ia boleh mengubat rasa rindu kepada Baginda. Banyak hadis-hadis yang menceritakan kelebihan bersalawat. Sekadar contoh,

    Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat diatas bumi yang mengembara keliling meyampaikan kepadaku salam dari umatku" - [Hadith riwayat Ahmad 1/144, Al-Nasaa'i #1282 dan dikelaskan sahih oleh Al-Albani]

    Jika rindukan Baginda SAW (malah jika tidak rindu sekalipun, berselawat dan salam kepada Baginda SAW merupakan amalan yang dituntut) boleh dilakukan tanpa perlu melintasi kawasan makam. Ia boleh dilakukan samada kita berada di Madinah atau di Malaysia, Brunei atau Indonesia. Jawablah rasa rindu dengan memperbanyak amalan ini. Ia boleh dilakukan ketika berjalan, duduk, berdiri dan baring.

    Hakikatnya, merindui Baginda perlu dilahirkan dengan menjadikan Baginda SAW sebagai idola utama. Laksanakan amalan-amalan yang menjadi kesukaan Baginda. InsyaAllah tanda cinta tersebut membawa kita ketemu Baginda di Jannah.

    Saya mimpikan begitu!

    In'sya Allah, bulan Mac nanti ramai tetamu umrah dari negara SEA yang akan berkunjung ke Madinah. Ada sesuatu yang pasti..... bila kembali ke negara masing-masing akan terpantul keluar, "aku rindukan Madinah, mahu kembali ke sana.....". Jadi, jangan sia-siakan nikmat yang Allah berikan untuk berada di Madinah. Panjangkan nikmat tersebut menjadi nikmat berada di dalam Masjid Nabawi. Jangan ia berakhir dengan,

    "nikmat berada di dalam hotel berhampiran dengan Masjid Nabawi di Madinah".

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

     

    13 Rabiul Akhir 1434

    Mencari Teman Sejati

    Roza Roslan - Pensyarah Tamu U-MKI - menyampaikan kuliah bertajuk Mencari Teman Sejati. Siswa(i) dijemput ke Dewan Kuliah Roza untuk bersama-sama mendapat manfaat.

     

    RM130 000

    MasyaAllah Tabarakallah

    Khidmat Masyarakat Siswa(i) U-MKI berakhir tepat jam 11.59 waktu Malaysia. Mereka telah berjaya menyumbang hampir 127000. Pentadbir U-MKI akan mencukupkan menjadi jumlah genap kepada jumlah yang tertera di atas.

    Kami hanya mengira jumlah yang disumbang bermula 12.01 pagi (21hb Feb 2013) sehingga 11.59 malam (22hb Feb 2013) sebagaimana arahan yang dikeluarkan.

    Ia jumlah yang besar. Sangat besar. Saya sendiri terkejut. Hampir 800 siswa(i) terlibat dengan projek "Saperah Masjid Nabawi, Kutipan berbuka puasa Isnin dan Khamis, serta puasa 13, 14, 15 Hijrah". Secara purata, setiap siswa(i) menyumbang RM200/seorang. Lebih terperinci, mereka yang menyumbang di antara RM1 hingga RM5000.

    Tidak tertanggung rasanya beban di bahu. Namun ia amanah yang perlu diselesaikan.

    Kami - saya dan Persatuan Pelajar Universiti Islam Madinah - telah bermesyuarat sebentar tadi dan ingin memohon kepada siswa(i) penderma untuk membenarkan wang kutipan untuk digunakan seperti berikut,

    1. Saperah berbuka puasa hari Isnin dan Khamis serta 13, 14 dan 15 Hijrah

    2. Menyediakan jamuan berbuka puasa di bulan Ramadhan.

    Kedua-duanya akan diadakan di masjid Nabawi. Jika ada yang tidak bersetuju untuk (2) sila maklumkan melalui e-mel umki@muhdkamil.org dengan memaklumkan jumlah yang disumbangkan untuk kami mengambil tindakan seterusnya.

    Allahu Akbar. Permudahkanlah urusan kami ini ya Allah. Jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai amal ibadat yang diterimaMu.

    12 Rabiul Akhir 1434

    Kembara Matahati

    DZ dan keluarga selamat kembali ke Tanah Air daripada menunaikan ziarah dan Umrah. Beliau terus ke Dewan Kuliah menyampaikan syarahan. Sila hadir ke Dewan Kuliah Zaini Arif untuk bersama beliau. Ia kuliah yang memerlukan matahati berfikir.

    Semoga dirahmati dan diberkati Allah.

     

    11Rabiul Akhir 1434

    Ujian

    Berpuluh-puluh siswa-siswi gagal dalam ujian pertama.

    Kami telah menghantar e-mel kepada kesemua siswa-siswi yang mendaftar dengan universiti bagi melaksanakan kegiatan "Khidmat Masyarakat Siswa(i) U-MKI". Ia merupakan aktiviti biasa bagi siswa(i) universiti di alam nyata. Lalu saya panjangkan idea ini kepada U-MKI menggunakan pendekatan yang berbeza. Ia melibatkan masyarakat muslim sejagat.

    E-mel tersebut mengandungi ucap selamat dengan memberi arahan yang sangat mudah, "Sila amati notis yang dilampirkan". Begitulah arahan yang sentiasa dimaklumkan oleh penyarah yang bakal menduduki ujian, "sila baca arahan dengan teliti".

    Notis yang dikeluarkan juga merangkumi ajakan untuk menyertai projek khas ini. Ia terbuka kepada siswa-siswi berdaftar. Tersirat, ia kegiatan yang boleh dilakukan apabila menyertai keluarga besar U-MKI. Allah ya Allah, ia tidak wajib. Sesiapa yang berkemampuan, teruja dan ikhlas mahu menyertainya diberi ruang. Namun ia ada beberapa arahan ringkas.

    Pertama, saya merayu sangat-sangat agar e-mel yang dihantar tidak dijawab. Rayuan ini dipandang remeh oleh berpuluh siswa-siswi. Kotak e-mel saya berpusu-pusu dengan ucapan terima kasih. MasyaAllah, mereka mahu melahirkan kegembiraan tetapi dalam masa yang sama menyusah pula yang lain. Ia boleh dilakukan di FB tanpa perlu melanggar arahan.

    Kedua, kegiatan ini hanya boleh bermula pada jam 12.01 pagi pada 21hb Februari. Ia hanya boleh bermula lebih awal jika venue yang digunakan memerlukan tempoh untuk menyempurnakan kegiatan ini. Ia sepatutnya berakhir pada jam 11.59 pada 22hb Februari. Masa yang digunakan adalah waktu Malaysia.

    Tentu sekali peraturan ini bersebab. Namun ia tidak perlu dinyatakan. Kita tidak makan daging babi bukan kerana ia mengandungi cacing pita atau boleh memudaratkan sipemakannya. Ia dilakukan semata-mata kerana merupakan perintah Allah SWT. Benar sekali, kajian selepas itu telah menjawab keperluan untuk tidak memakan daging ini terutamanya dalam konteks kesihatan. Hakikatnya ia menggambarkan betapa Allah SWT Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan Maha Mengasihi hambaNya.

    Namun jika orang bertanya mengapa, maka saya sudi memberi jawapan. Mari kita melihat dengan menggunakan analogi urusan mengurus derma. Memberi derma amat mudah. Jika kita berkemampuan, transfer sahaja wang yang ingin kita hulurkan kepada akaun yang berkaitan. Khalas (Habis) cerita. Mereka yang mengurus derma tidak pula berakhir dengan penerimaan wang tersebut. Semakin banyak wang dikutip semakin besar cabarannya. Ia melibat jumlah yang besar termasuklah jumlah ringgit dan dermawan. Ia tugas mudah yang renyah. Lebih sukar kerana ia melibatkan soal tanggungjawab dan kepercayaan orang ramai.

    Jika saya melakukannya, saya akan pilih cara yang paling mudah dan selamat untuk menjaga diri sehingga dihisab oleh Allah SWT. Di peringkat mikro, saya melakukan kerja-kerja amal ini dengan "senyum dan tawa" tetapi dilakukan dengan tidak membebankan tugas harian yang lain. Hakikatnya, saya mempunyai banyak kerja lain yang perlu dilakukan.

    Lalu dicipta peraturan. Utamanya ia melibatkan masa. Dalam konteks ini - misalnya - saya tidak perlu memerhatikan perjalanan akaun. Saya cuma mengambil jumlah baki wang yang ada pada jam 12.00 malam pada 20hb dan melihat baki akhir pada 22hb pada - juga - jam 12.00 malam. Kemudian, saya akan membuat tambahan dua atau tiga ribu ringgit sebagai sumbangan dari kami sekeluarga. Ia bertujuan untuk membersihkan wang yang diterima.

    Hakikatnya, jika ada yang tidak mengikut arahan dengan mendepositkan wang terlebih awal - sebenarnya - mereka telah menyusahkan mereka yang mengendalikan urusan tersebut. Pada saya, mereka mementingkan diri sendiri, mengambil mudah dan melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain. Mereka mahu melakukan kebaikan tetapi dalam masa yang sama melanggar beberapa adab asas.

    Misalnya, mereka melakukan sesuatu yang melanggar arahan dan kemudian menghantar e-mel memohon maaf. Alangkah baiknya jika adab asas ini dipatuhi dengan bertanya atau membuat permohonan untuk diberi pengecualian. Lalu saya boleh membuat penjelasan betapa tiada sesiapa yang dipaksa atau diwajibkan untuk ikut serta. Malah ia lebih mulia dengan tidak ikut serta daripada menyusahkan orang lain.

    Lalu jika diperhalusi, sebenarnya ia menggambar sifat sombong diri dan tidak menghormati peraturan. Di sini - Universiti MKI - mengajar siswa-siswinya berdisiplin. Kita mengajak agar siswa-siswi melakukan amal ibadat khusus secara konsisten. Mereka yang bangun malam, berpuasa Nabi Daud atau Isnin dan Khamis, solat berjemaah di masjid, menghormati orang lain dan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah adalah berkait rapat dengan prinsip disiplin diri. Ia perlu dipraktiskan dalam kehidupan harian. Projek Khidmat Masyarakat ini berada di dalam lingkungan universiti dan ia perlu mengikut peraturan yang telah digariskan.

    Ia ujian untuk memperlihat keperibadian diri sendiri dan seterusnya membuat sedikit perubahan menjadi manusia yang lebih baik.

    Namun saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua siswa-siswi yang bersungguh-sungguh menjayakan projek ini. Sehingga saat saya menyampaikan kuliah ini, ia tidak sampaipun 10 peratus daripada jumlah pelajar yang terlibat. Namun - kelihatan - hasilnya begitu memberangsangkan. In'sya Allah, akan saya umumkan selepas jam 12 malam pada 22hb apabila kesemua kegiatan ditutup dengan rasminya.

    Semoga Allah menjadikan usaha kecil ini sebagai amal ibadat yag diterimanya.

     

    10 Rabiul Akhir 1434

    DI Hujung Senja Menanti Kematian

    63 tahun.

    Hari ini genap usia Pensyarah Tamu kita - Tuan Haji Sabtu M Ali - seusia dengan usia kewafatan Baginda SAW. Dewan Kuliah beliau dibuka pada hari ini untuk merai dan mendoakan agar beliau dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Beliau memohon untuk menyampaikan kuliah berkaitan dengan topik di atas. Siswa-siswi dijemput hadir.

    Sebelum mengikuti kuliah, doakan beliau dan kita semua dirahmati dan diberkati Allah SWT.

    9 Rabiul Akhir 1434

    Hidup untuk Memberi

    "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

    Memberi perbuatan yang sangat mulia. Namun ia salah satu amalan yang sangat sukat untuk dilaksanakan. Penyebabnya sangat mudah. Kenyataan memberi perlu bersekali dengan satu sifat lain, iaitu memiliki. Saya tertarik dengan satu komen FB yang menyebut "keperluan memiliki" apabila dikaitkan dengan apa yang kami lakukan, iaitu membuka kelas Fardhu Ain percuma dan menjamu makan kepada anak-anak pelajar dan keluarga. Catatan beliau berbunyi,

    "Sudah sepatutnya Prof MKI melakukannya kerana beliau seorang profesor dan menerima banyak royalti hasil penulisan".

    Beliau mengira dan membayangkan wang yang saya ada!

    tulah pandangan biasa yang tidak pelik. Malah itulah kefahaman ramai di antara kita betapa jika mereka berkemampuan atau memiliki sumber kewangan secukupnya barulah ia boleh memberi pula sesuatu secara percuma dan melakukan beberapa amal ibadat yang akan mengeluarkan wang ringgit daripada poket sendiri.

    Namun manusia – kebiasaannya – tidak pernah merasai kecukupan dengan apa yang mereka miliki. Begitulah rasa di hati yang sentiasa melihat orang lain yang berkemampuan, senang dan mempunyai sumber pendapatan yang berlebihan berbanding diri sendiri. Hakikatnya, mungkin duit di bank dan harta benda orang yang merasai tidak kecukupan itu jauh lebih banyak daripada mereka yang suka menderma.

    Membaca al-Quran dan cuba memahami isi kandungannya nyata memberi banyak kelebihan terutamanya bagi mereka yang benar-benar mahu mencari keredhaanNya. Misalnya, saya terkedu apabila mendalami maksud ayat yang dipetik pada permulaan kuliah ini. Ibnu Katsir ketika mengulas ayat ini melebarkan maksud senang dan susah yang mencakupi ketika suka ataupun terpaksa dan sihat ataupun sakit.

    Ayat 274, surah al-Baqarah menjelaskan lagi isu ini dengan Allah menyatakan secara jelas,

    "Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita".

    Bila kita membanding-bandingkan kemampuan orang lain dengan menyatakan yang kita tidak mampu untuk melakukan perkara kebajikan maka secara logiknya kita menyatakan ketidakcukupan terhadap rezeki yang telah Allah kurniakan. Perasaan ini ternyata membatasi banyak perkara yang mahu kita lakukan dalam soal ibadat khusus. Kita disibukkan dengan perasaan tidak cukup sehingga tidak mampu untuk berehat sekitar bagi menunaikan solat berjemaah di masjid.

    Tentu sekali kita tersenyum dengan alasan "tidak cukup" apabila ingin berbakti ke jalan Allah. Ia bersimpang-siur dengan sifat popular yang disebut-sebut di dalam al-Quran, iaitu bakhil, kikir dan kedekut. Kumpulan ini tidak pernah cukup dengan apa yang mereka ada hatta mahu memberi makan kepada isteri dan anak-anak juga berkira sekali.

    Benar, mereka yang mahu memberi perlu memiliki. Namun memberi bukan hanya semata-mata wang ringgit. Berdoa juga merupakan derma perbuatan yang paling mudah untuk dilakukan.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

    Nota Al-Quran: Ayat di permulaan kuliah di petik dari surah Al-Imran ayat 133-134.

    8 Rabiul Akhir 1434

    Kehidupan Signifikan

    Hari ini, Roslan Ab Hamid memulakan tugasnya sebagai Pensyarah Tamu Universiti. Beliau memulakan kuliah perkenalan dengan memperkatakan konsep HEBAT dalam Kehidupan Signifikan.

    Siswa-siswi dipersila untuk merasai kehebatan kuliah yang bermula sejurus jam 12.00 malam (waktu Malaysia) di Dewan Roslan Ab Hamid.

    7hb Rabiul Akhir 1434

    Kuliah untuk Tetamu Allah

    Hampir dua minggu saya membicarakan topik ini ketika menemui jemaah umrah di Madinah. Saya catatkan sebagai bahan kuliah. Ia jadi berbeza bila dibukukan berbanding dilafazkan secara lisan kepada jemaah. Ia kombinasi tulisan dipelbagai ketika yang berbeza. Anggaplah ia nota kuliah yang dikemaskini.

    "Tidak disyariatkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Al-Masjid Al-Haram, Masjid Al-Rasul dan Masjid Al-Aqsa"

    Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar.

    Pertama kali kami tiba di Mekah dan Madinah semasa menunaikan fardhu haji pada hujung 2006. Kami memasuki Mekah melalui Jeddah dan kemudian meninggalkan Madinah pulang ke Malaysia pada awal bulan Februari, 2007. Saya hadir ke Mekah dan Madinah dalam keadaan yang sangat fokus dan jelas dengan keinginan dalaman terutamanya dalam konteks menjalani ibadat haji dan kehidupan pasca haji.

    Tentu sekali perjalanan kerohanian ini berlatarkan banyak perkara – misalnya – ia dipengaruhi dengan kehidupan zaman lampau, kefahaman tentang kehidupan selepas kematian atau kemahuan ingin menjadi manusia terbaik di sisiNya. Bayangkanlah bagaimana orang biasa-biasa yang berada dalam situasi resah gelisah sehingga menimbulkan rasa ketakutan setelah bertahun-tahun tidak pernah secara serius memikirkan hubungan denganNya – apatah lagi – mahu memikirkan soal kematian. Lalu inilah doa yang saya panjatkan – hampir setahun – kepada Allah SWT sebelum berangkat ke Tanah Suci,

    "Ya Allah, kami mohon keampunanMu Ya Allah. Kami mohon kerahmatanMu Ya Allah. Kami Mohon Taufik dan Hidayah Mu, Ya Allah. Ya Allah aku telah dijemput olehMu untuk menunaikan ibadat haji pada hujung tahun ini. Aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami sekeluarga.

    Ya Allah terimalah aku sebagai tetamuMu Ya Allah. Tetamu yang paling istimewa Ya Allah. Tetamu yang paling-paling istimewa. Tetamu yang paling-paling-paling istimewa Ya Allah. Ya Allah aku pergi dengan cara Muassasah. Ya Allah, jangan Kau bezakan aku dengan mereka yang lain. Aku tahu Engkaulah yang berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah Ampunilah diriku Ya Allah.

    Saya fikir – masa lampau – dipenuhi dengan dosa-dosa yang pastinya tidak terpikul di bahu, terpengaruh dengan cakap-cakap umum mengaitkan Mekah dan Madinah atau ibadat haji sebagai tempat berlakunya pembayaran tunai. Kisah-kisah negatif yang sering ditonjolkan sangat tidak membantu. Namun pada pandangan sisi yang berbeza, saya memikirkan Allah SWT telah memberi banyak nikmat yang perlu disyukuri sepenuhnya.

    Kemuncaknya, saya dianugerahkan kelulusan PhD dan jawatan Profesor pada usia relatif yang sangat muda. Lalu hati saya berkata biarlah saya menghabiskan sisa umur dalam suasana menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Masa yang tinggal kelihatan jauh lebih singkat berbanding dengan masa yang berlalu.

    Malah saya mula memahami realiti kehidupan sebenar di dunia yang hanya merupakan ujian semata-mata. Misalnya, Allah SWT telah menyatakan dengan jelas tentang kehidupan dunia berbanding dengan kehidupan akhirat melalui surah An Naziat, ayat 34-41 yang bermaksud,

    Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar; iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; dan neraka diperlihat kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

    Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

    Kami tidak tahu kewujudan hadis di atas ketika bertolak ke Mekah. Malah sepanjang tempoh 46 hari berada di Mekah – Masjidil Haram – dan Madinah – Masjid Nabawi – kami tidak langsung mengaitkan kehadiran kami di sini dengan apa yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW tentang nikmat bermusafir untuk beramal ibadat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau Masjidil Aqsa.

    Namun kami bersyukur kepadaNya kerana menggerakkan hati dan perasaan untuk memenuhi sebahagian besar masa dengan berada di dalam masjid. Hotel hanyalah untuk berehat seketika sambil mengembalikan tenaga dan membersihkan badan. Kami hanya tidur 3 – 4 jam sehari.

    Kemudian, kami diberi Allah untuk bermukim di Madinah pada penghujung 2011. Ia nikmat yang tidak dapat kami dustakan. Lalu kami mula mencari dan mengkaji hadis-hadis menyebut secara langsung dengan Madinah. Tentu sekali ia berkait dengan niat kami berhijrah, iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Kami mahu biarlah keberadaan kami di Madinah berdasarkan ilmu dan bukan semata-semata atas dasar emosi. Hadis-hadis yang kami temui tidaklah terlalu banyak namun kami sangat tertarik dengan beberapa hadis yang sangat popular. Salah satunya yang kami catat di permulaan bab ini.

    Hadis ini – sebenarnya – memberi implikasi besar terhadap tingkah-laku atau rutin harian mereka yang berada di Madinah atau Mekah. Inilah – berada di Mekah dan Madinah – salah satu perjalanan untuk beramal ibadat yang sangat bernilai. Pertama, ia merupakan sebahagian daripada menunaikan perintah Allah iaitu melaksanakan ibadat haji dan melaksanakan ziarah ke bandaraya Rasulullah SAW. Kedua, menunaikan ibadat umrah.

    Pada masa kini, kedua-dua ibadat ini memerlukan pertimbangan banyak perkara misalnya kewangan, masa, kesihatan dan kelulusan visa dari negara Arab Saudi. Jarak perjalanan Malaysia – Arab Saudi melebihi 7000 KM. Secara purata, kos menunaikan fardhu haji yang termurah berada di sekitar RM10000.

    Manakala kos untuk menunaikan umrah di sekitar RM5000 hingga RM6000. Namun kos ini melonjak naik ketika di bulan Ramadhan. Malah ketika visa umrah tidak dikeluarkan, ramai jemaah yang sanggup membayar dengan harga lebih – menggunakan visa ziarah – semata-mata kerana ingin datang ke Mekah dan Madinah untuk beramal ibadat..

    Ketika bertemu dengan jemaah samada dijemput untuk berceramah atau yang bertandang ke rumah mendengar tazkirah maka hadis inilah yang sering saya nyatakan. Ia sangat berbekas di hati. Saya akan mengulangi bacaan hadis ini beberapa kali agar kesemua hadirin mendengar dengan jelas dan nyata. Lalu saya nyatakan,

    Ingat, ia jelas menunjukkan lokasi MASJID, bukan Madinah, Mekah atau Palestine.

    Hakikatnya, ramai jemaah – terutamanya pasca haji (umrah) – berasa lega kerana selesai menunaikan fardhu haji dan terabai dengan pesanan ini. Lebih banyak masa dihabiskan di hotel berbanding di masjid. Lalu saya bersungguh mengeluarkan sedikit congak matematik. Jika purata kematian orang Melayu di sekitar 75 tahun, maka jumlah hari kita bernyawa di bumi Allah sekitar 27000 hari. Kebiasaannya jemaah haji (umrah) berkunjung ke Madinah hanya 8 (3) hari daripada jumlah tersebut. Maksudnya, ia hanya 0.029 peratus. Ia mungkin kunjungan pertama dan terakhir.

    Bayangkan berapa ramai di antara jemaah yang tidak dibuka pintu hati untuk memahami senario ini. Mereka pergi solat, balik ke hotel. Pergi lagi, balik ke hotel. Jika ada yang beriktikaf di masjid – kebanyakannya – hanyalah di antara waktu Maghrib dan Isya. Lebih penting, berehat, berehat dan berehat. Lalu saya berpesan,

    Luangkan masa di masjid. Bermulalah hari kita di sana seawal dua atau tiga pagi. Bersolat, bermunajat, berdoa dan bertaubatlah. Mohon kepada Allah agar apa yang kita kehendaki bila pulang ke Malaysia terutamanya dalam konteks beramal ibadat khusus dipermudah Allah.

    Saya nyatakan juga, bacalah al-Quran dengan terjemahannya. Ya Allah… pengalaman saya menghabiskan bacaan terjemahan hanya dalam tempoh enam hari semasa – berada di Madinah – menunaikan fardhu haji menusuk jiwa. Hati terasa-rasa Allah berbicara dengan saya. Malah saya yakin hampir kebanyakan ayat-ayat al-Quran boleh difahami dengan jelas dan nyata. Sekurang-kurangnya itulah rasa di hati. Saya tahu Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Penerima Taubat.

    Ya Allah, Ya Allah… saya berpesan, amalkanlah puasa Nabi Daud sepanjang 8 hari di Madinah. Jika bertembung dengan hari Isnin dan Khamis, rasailah bagaimana penduduk Madinah meraikan mereka yang berpuasa pada hari tersebut. Berbukalah di dalam masjid. MasyaAllah, saya ceritakan bagaimana perasaan saya menikmati rasa nikmat berbuka puasa dan berpuasa yang tidak pernah saya alami sebelumnya. Jika kita sudah merasai nikmat tersebut, maka bodohlah kita untuk berpuasa setakat lapar dan dahaga.

    Pulanglah dengan rasa rindu pada Madinah. Katakan pada mereka yang bertanya, "apakah yang kamu rindui di sana?," dengan jawapan yang sangat jelas,

    Aku merindui Madinah kerana di sanalah aku berada 12-14 jam setiap hari beriktikaf di dalam masjid Nabawi, aku solat berjemaah setiap hari, aku belajar puasa sunat di sana, aku mampu bangun malam setiap hari, aku membaca quran dan terjemahan…. Allah ya Allah…. Itulah rindu yang aku bawa pulang dan akan aku teruskan di Malaysia, InsyaAllah.

    Lalu saya berpesan juga pada mereka, IA TIDAK WAJIB. Sekali-kali tidak wajib. Pilihan untuk melaksanakan apa yang dicadangkan terletak pada diri sendiri. Namun saya fikir, saya tidak mahu mempedulikan jika jemaah lain menganggap ia tidak penting. Saya mahu meneruskan kehidupan dengan amalan yang mampu kita laksanakan – Insya Allah – agar mendapat redhaNya.

    Lalu saya simpulkan pemahaman saya tentang hadis ini dengan satu catatan ringkas. Ramai orang yang diberi nikmat berada di Madinah atau Mekah. Namun belum tentu lagi mereka diberi nikmat untuk berada di dalam masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Ramai yang diberi nikmat untuk menunaikan fardhu haji dan umrah, namun belum tentu lagi mereka diberi nikmat untuk beramal ibadat di dalam kedua-dua masjid tersebut.

    Mekah dan Madinah mempunyai banyak kelebihan. Ramai mereka – jemaah haji dan umrah – berkunjung ke sini melihat dan merasai pelbagai perkara ajaib. Misalnya, saya pernah bertemu dengan sepasang suami-isteri semasa musim haji. Salah satu kenyataan awal yang dituturkan adalah, "ajaib, banyak perkara ajaib yang berlaku di sini". Lalu saya nyatakan,

    Di Malaysia juga banyak berlaku perkara ajaib tetapi kita tidak melihat sebagaimana kita melihat di Mekah dan Madinah. Itu sahaja. Namun ada satu keajaiban yang tiada di Malaysia, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Bila berada di sini, rebutlah keajaiban tersebut semaksimum mungkin. Jangan solat di luar masjid. Pergilah ke saf-saf hadapan. Perbanyakkan masa di dalam masjid bukan di hotel. Berapa ramai yang sanggup begitu? Jika mahu berehat, saya fikir hotel di Malaysia lebih canggih, kemas, teratur dan nyaman.

    Ya Allah, aku mohon keampunanMu jika terkhilaf dalam menyampaikan sedikit ilmu yang aku pinjam dari Mu, ya Allah.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

    Nota Hadis: Hadis ini riwayat Imam Tirmizi melalui Kitab: Al-Fitan. Hadis bernombor 2260.

     

    Hadis ini disebut bertaraf sohih oleh Syeikh Al-Albani.

     

    6hb Rabiul Akhir 1434

    Masa

    Topik ini disampaikan oleh Pensyarah Tamu - Sabtu M Ali - di Dewan Kuliah beliau. Siswa-siswi dijemput menghadiri kuliah ini. Semoga mendapat manfaat.

    5hb Rabiul Akhir 1434

    KeranaNya

    Banyak perkara kelihatan sukar.

    Umumnya kita mendengar orang menyebut, "saya sukar untuk melakukannya secara konsisten". Jika dinyatakan dalam terma agama bermaksud "tidak mampu istiqamah". Ia kegagalan melakukan sesuatu secara berterusan. Maka sandaran terhadap kecacatan tingkah laku ini berdasarkan kenyataan "melakukan perkara sedikit secara berterusan lebih baik daripada perkara yang banyak tetapi hanya dilakukan sekali atau sekali-sekala".

    Namun kehidupan kita - sedar atau tidak - dipenuhi dengan unsur-unsur istiqamah, "melakukan banyak perkara secara konsisten". Misalnya, kita secara konsisten menggosok gigi setiap hari. Ada yang melakukannya tiga kali sehari. Kita konsisten makan dan minum. Berjadual. Malah jadualnya sangat tepat. Kita "punch-card" di pejabat. Kita memandu laju jika masa yang tinggal kelihatan tidak mencukupi untuk memastikan kad tidak merah.

    Malah kita konsisten tidak bangun malam bertahajud. Maksudnya, kita konsisten tidur lapan jam sehari. Kita juga istiqamah tidak menutup aurat. Setiap hari kita istiqamah "berbogel" ke pejabat. Malah ada yang tidak sempurna harinya jika tidak mengata orang di pejabat. Ada yang istiqamah sebagai penyebar berita. Mereka digelar CNN pejabat. Kelihatan ada yang secara konsisten fobia dengan masjid dan majlis ilmu. Ada juga yang gelisah tidak bertaruh di padang golf.

    Saya membuka pandangan "istiqamah" atau "konsisten" dalam dua dimensi berbeza bagi menunjukkan yang tingkah laku tersebut ada dalam diri manusia. Ia istiqamah melakukan kebaikan dan konsisten melakukan sesuatu yang ditegah (nota: saya menggunakan terma istiqamah untuk amalan kebaikan dan konsisten untuk perkara yang ditegah untuk ayat ini). Secara hakikat, kita - manusia - boleh melakukan banyak perkara secara konsisten. Ia satu pembohongan diri untuk menyatakan "saya tidak mampu istiqamah" jika manusia itu berfikir sedalam-dalamnya.

    Saya tidak mengata sesiapa tetapi melihat diri yang berpuluh tahun hidup di dalam pembohongan yang dicipta sendiri. Lebih kronik lagi kerana cuba sedaya upaya melawan fitrah dalaman.

    Isu ini sangat menarik. Jika kita ingin istiqamah bangun malam maka kita perlu meninggalkan sesuatu tindakan yang telah sekian lama kita lakukan secara konsisten, iaitu tidur malam yang berpanjangan. Jika kita mahu berpuasa sunat Isnin dan Khamis secara konsisten maka kita perlu meninggalkan dua hari istiqamah makan dan minum sepanjang hari yang telah kita lakukan bertahun-tahun.

    Begitulah keadaannya jika mahu melakukan perubahan signifikan. Saya terkenang bagaimana saya sangat istiqamah menghisap rokok semenjak 1978 ketika menamatkan peperiksaan SRP (seumpama PMR pada zaman ini). Ia konsisten hampir 30 tahun. Di antara tahun-tahun tersebut saya pernah mencuba untuk meninggalkan amalan "bodoh" ini. Ia sentiasa gagal. Paling lama bertahun hanya sebulan dua.

    Namun ia berubah ketika saya menerima panggilan menunaikan fardhu haji. Saya nyatakan kepada Allah SWT betapa saya ingin meninggalkan amalan ini semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya. Saya mahu buktikan kepada Allah SWT yang saya sangat bersungguh untuk berubah. Ia satu perlambangan ke arah permulaan kepada perubahan diri yang mencakupi amalan-amalan khusus yang lain.

    Tentu sekali ia sukar. Namun saya tidak bertangguh dan berhenti serta merta. Saya tidak mempercayai saranan melakukan secara perlahan-lahan. Saya tidak malu mencatatkan betapa saya menangis memohon kepadaNya supaya diberi kekuatan jiwa dan fizikal. Air hidung sentiasa meleleh ketika dipermulaan usaha. Demam. Kesihatan terganggu. Malah saya terpaksa berjumpa pegawai perubatan beberapa kali dalam tempoh sebulan.

    Kini, sudah hampir tujuh tahun saya istiqamah atau konsisten "tidak merokok". Saya meninggalkan "istiqamah" merokok yang telah saya lakukan hampir 30 tahun. Bezanya, istiqamah 30 tahun terlangsung sebagai amalan yang tidak membawa kebaikan. Manakala "istiqamah tidak merokok" hadir bersama kekuatan yang dianugerah Allah kerana bersungguh mahu melakukannya.

    Malah Allah memberi sesuatu yang lebih besar. Asap rokok yang harum bertukar menjadi sebusuk-busuk bau. Saya berani menegur mereka yang merokok di restoran, di dalam lif atau ketika isteri dan anak-anak berada di sisi.

    Saya selalu menyebut kepada anak-anak, "marilah kita lakukan sesuatu dengan berfikir. Jika kita boleh istiqamah makan sepanjang hari, tujuh hari seminggu - berehat seketika di bulan Ramadhan - sepanjang tahun, marilah kita mengambil HANYA dua hari seminggu untuk istiqamah berpuasa Isnin dan Khamis".

    Usai solat subuh - pagi tadi - saya bercerita dengan Azrai, "setelah 5-6 tahun ayah berpuasa Isnin dan Khamis, ayah istiqamah mengambil dua hari seminggu untuk melakukannya. Setahun yang lepas, ayah curi dua hari lagi daripada seminggu yang ada. Maka jadilah puasa Nabi Daud, puasa selang sehari. Maksudnya, ayah istiqamah berpuasa dan separuh masa lagi istiqamah makan dan minum sepanjang hari. Dunia kelihatan adil untuk kita melangkah ke alam akhirat".

    Saya boleh memberi banyak contoh untuk kita berfikir dalam soal istiqamah atau konsisten untuk melakukan sesuatu dengan bukti-bukti yang jelas dan nyata. Ia umpama melihat bukti "bulan dan matahari", "tumbuh-tumbuhan dan haiwan" malah menyaksikan "sungai, hujan dan laut". Ia hanya akan meresap ke jiwa jika kita mahu berfikir dan berniat mahu melakukan sesuatu keranaNya.

    Tentu sekali tidak sama mereka yang berfikir dengan mereka yang tidak berfikir. Malah tentu sekali tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu.

    Tanda kita berfikir dan berilmu bukan kerana kita seorang profesor atau lulusan universiti tetapi lebih kepada kemampuan untuk melakukan sesuatu semata-mata keranaNya yang didorong oleh kemahuan yang dipohon dari Allah SWT. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki tetapi dengan aturan tertentu.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

     

    4hb Rabiul Akhir 1434

    Berbahas

    Banyak isu dibahaskan.

    Perbahasan terhadap sesuatu isu - kadangkala - memakan masa yang agak panjang. Kesudahan yang ditunggu tidak pernah muncul. Benar, manusia suka berbahas, mengeluarkan berpendapat, berhujah dan menyatakan pendirian masing-masing terhadap sesuatu isu.

    Perbahasan di dalam suatu pertandingan akan berakhir dengan keputusan. Menang atau kalah di pihak pencadang atau pembangkang. Ia bukan soal melaksanakan apa yang dibahaskan.

    Realiti kehidupan tidak begitu. Banyak perkara perlu berakhir dengan melaksanakan apa yang dibahaskan.

    Kita berbahas banyak perkara yang remeh. Ia bermula dengan satu pertanyaan mudah, kenapa?. Misalnya, kenapa membina masjid di Somalia sedangkan belanja sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu anak yatim di Malaysia?

    Kenapa kita sibukkan tentang soal sunat ketika perkara wajib masih belum disempurnakan?

    Kenapa begitu?

    Kenapa begini?

    Kesukaan untuk berbahas di kalangan manusia bukanlah satu kepelikan. Melalui surah Al-Araf, ayat 71 - misalnya - Allah SWT telah menerangkan bagaimana kaum Nabi Hud yang berdolak-dalik dengan seruan untuk menyembah Allah SWT.

    Nabi Hud menjawab: Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendakberbahasdenganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu.

    Namun pertanyaan kenapa ini sangat perlu di dalam proses mencari ilmu. Mereka yang mahu mencari jawapan kepada kebenaran akan selalu bertanya kenapa kepada diri sendiri. Ia memerlukan jawapan tetapi tidaklah perlu melalui perbahasan yang tidak berkesudahan. Malah kenapa itu tidak terlalu kerap dituju kepada orang lain.

    Saya selalu teruja dengan mereka yang selalu bertanya, "kenapa tuan tidak melakukan begini dan begitu?". Jawapan saya selalunya semudah mereka yang mengemukakan pertanyaan tersebut, "Oh ya.... sebab saya suka lakukan begini dan tidak suka melakukan begitu. Agak saya ia tidak menyalahi".

    Mereka yang suka berbahas mempunyai hubungan langsung dengan tidak keupayaan untuk melaksanakan apa yang mereka bahaskan. Sebagai pentadbir universiti, saya telah menyaksikan sendiri bagaimana mereka yang "banyak cakap" bukanlah orang yang boleh diharapkan untuk melaksanakan keputusan pentadbiran. Mereka hanya boleh bercakap tetapi tidak boleh bekerja. Mereka memberi idea tetapi mengharapkan orang lain melakukannya. Konsep ilmu dan amal terpinggir.

    Namun saya suka mengaitkan soal "perbahasan" ini dengan pertelagahan dalaman. Ia tidak melibatkan orang lain. Kita bersoal jawab dengan diri sendiri. Misalnya, kita terlalu berkira untuk melakukan sesuatu kebaikan. Kita mahu berubah tetapi takut dengan mereka yang berada di sekitar. Akal dan minda berlawan-lawan di antara satu sama lain sehingga akhirnya kita sentiasa tidak bergerak ke hadapan dalam mendekati diri kepada Allah SWT.

    MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Kini terasa benar "malas" untuk berbahas-bahas sesuatu yang kelihatan nyata dan pasti. Benar, ada masanya diam itu lebih baik. Biarlah mereka yang suka berbahas terus berbahas dalam dunia mereka.

     

    2hb Rabiul Akhir 1434

    Sahabat, Rakan dan Kenalan

    Adakah saya mempunyai sahabat?.

    Entah. Saya fikir ada. Namun masa telah memisahkan ramai sahabat. Pangkatnya berbeza. Mungkin ia bermula sebagai sahabat karib. Kemudian lama berpisah lalu disebut rakan atau kenalan. Kemesraan dahulu - rupanya - hanya menjadi kenangan. Pertemuan di kala tua nyata berbeza.

    Saya tiada sahabat persekolahan rendah yang kekal sehingga ke hari ini. Barangkali orang yang paling rapat sekali pun sudah kekok bila berjumpa. Ada sahabat rapat terjebak dengan penagihan dadah. Ada juga terlibat dengan kongsi gelap. Ia terpisah jauh. Ada nama hanya tersimpan di memori. Wajah yang ada kekal dengan wajah ketika usia 11-12 tahun. Tidak banyak kenangan luar biasa bersama sahabat karib ketika usia ini.

    Di MRSM, saya mempunyai beberapa sahabat yang melakukan banyak perkara serentak. Ia zaman remaja. Kami sama-sama menuntut ilmu kebal di Wakaf Lichong, Pasir Puteh (hahaha), melakukan pelbagai komplot luar biasa yang tidak terfikir dek akal kami dan menempuh kegagalan dan kejayaan bersama. Ia kekal rapat tetapi suasananya jelas berbeza.

    Riak teruja ketika itu masih ada ketika sekali-sekala kembali bertemu. Kisah-kisah terkini masih klik dengan kisah yang telah lama berlalu. Malah hubungan ini masih kekal melalui kemajuan teknologi. Bezanya, kehidupan lalu dan masa kini dilukis bersama kehidupan masa hadapan. Benar ia kenangan terindah sebagai anak remaja namun ia berubah memberi laluan kepada kehidupan kekal abadi. Kami hanya mempunyai sedikit masa berbaki.

    Kemudian sahabat universiti. Ia terbina ketika usia matang. UiTM, Dundee dan Wales. Satu-dua menjadi sahabat keluarga. Nilainya berbeza. Ada yang kekal dan beredar. Akhirnya, mereka yang kelihatan sangat-sangat hampir adalah isteri (suami) yang sentiasa di sisi. Itulah hubungan terjalin menjadi satu - sahabat, rakan dan kenalan - yang sepatutnya bersambung sehingga ke Jannah.

    Namun isu suami (isteri) ini juga tidak berkesudahan. Begitu ramai yang menderita hati dan perasaan atas ikatan hubungan ini. Apa yang disangka putih rupanya berbeza warna. Ia jadi lebih sukar kerana bersangkut dengan isu-isu lain umpamanya ikatan suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak. Lebih lama bersama, lebih banyak lagi faktor yang perlu dipertimbangkan.

    Hakikatnya, hubungan suami-isteri menjadi ujian terbesar ketika saat-saat akhir menuju garis penamat. Ia perlu ditangani dengan teliti agar ujian seumpama ini lebih mendekatkan diri kepadaNya. Sabar da solat. Itulah sebenarnya manual ringkas yang telah digariskan oleh Allah SWT ketika menghadapi sebarang ujian kehidupan. In'sya Allah, di sebalik kesusahan akan ada kemudahan.

    Sebaliknya - semakin hampir dengan hari penamat - rata-rata hubungan suami-isteri menjadi sangat indah. Ia lebih stabil. Kita menjadi rakan karib. Kita bergurau-senda dengan rasa gembira meraikan hari-hari yang bakal kita tinggalkan. Bersama bangun malam, tiada halangan lagi untuk ke masjid untuk solat berjemaah dan menadah ilmu malah tidak bermasam muka bila direnjiskan sedikit air ke muka.

    Tentu sekali kita teruja membaca satu hadis direkodkan oleh Abu Daud yang menjadikan amalan bangun malam seolah-olah sebagai pengikat kasih-sayang di antara suami-isteri. Allahu Akbar, mudah-mudahan kita dan pasangan kita akan bertemu kembali di syurga Firdaus sebagai balasan atas ikatan kasih-sayang dan saling cinta-mencintai di dunia dalam konteks beramal ibadat kepada Allah SWT. Baginda Rasululllah SAW menyatakan,

    "Allah SWT sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya"

    Begitulah. Sahabat, rakan dan kenalan ini sangat berbeza. Kita meraikan setompok warna putih - sahabat karib - di kepala dengan gurau senda. Mungkin menyentuh dagu yang sudah berlapis dengan doa moga ia hilang ketika bertemu kembali di Jannah. Ia sepatutnya begitu.

    Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

     

    1hb Rabiul Akhir 1434

    Maaf

    Memohon maaf sukar.

    Memaafkan orang juga - kadangkala - sukar. Acap kali kita tahu kita bersalah dan memohon maaf tetapi masih juga mahu menyatakan yang kita lakukannya bersebab. Malah bersungguh-sungguh kita mahu menjelaskan kenapa kita berkelakuan begitu. Lebih parah lagi kita cuba pula mengalih kesalahan tersebut kepada orang yang kita memohon maaf.

    Wajah dan persetujuan saya untuk menyampaikan tazkirah pada satu e-mel telah diiklankan di dalam akhbar. Iklan yang ditunjukkan kepada saya telah disiarkan melalui akhbar utama negara. Malah saya dikhabarkan juga ia turut disiarkan di dalam sebuah akhbar tabloid lain (nota: saya tidak melihat siaran di sini). Saya fikir jumlah khalayak pembaca bagi kedua-dua akhbar ini melebih setengah juta.

    Di dalam iklan ini juga dinyatakan secara jelas "ajakan" untuk bersama-sama menunaikan ziarah dan umrah (kembara ilmu) dengan kos RM6290. Penggunaan wajah dan persetujuan berceramah melalui iklan yang tersebar ke seluruh negara tidak pernah mendapat izin saya. Malah rakan-rakan yang hampir dan mengenali saya secara peribadi mengetahui betapa saya tidak mahu terlibat dalam keadaan seumpama ini.

    Saya langsung tidak pernah membincangkan soal bayaran ketika bersetuju untuk hadir berceramah. Ya atau Tidak hanya bergantung kepada masa dan ketika serta kemampuan saya untuk hadir. Saya pernah bercakap di hadapan 2-3 orang individu dan pernah juga bercakap di hadapan puluhan ribu. Ia tidak mustahak.

    Malah di blog telah saya nyatakan secara jelas betapa syarat utama untuk memanggil saya bercakap adalah dengan tidak membuat sebarang bayaran. Malah mereka yang mengendalikan program ini tidak boleh mengenakan sebarang caj langsung kepada mereka yang mahu mendengar ceramah yang akan saya sampai.

    Iklan yang dikeluarkan memberi implikasi yang sungguh besar. Persepsi masyarakat sangat mudah. Saya menerima kenyataan, "Prof sudah terlibat dalam perniagaan?". Ada juga yang berkata, "Prof sudah mendapat bayaran...". Begitulah, melakukan sesuatu tanpa niat sekali pun boleh menyebabkan kita melakukan "fitnah tanpa sedar".

    Lalu saya khabarkan kepada pihak yang mungkin terkhilaf dengan keadaan ini dengan kenyataan berikut,

    "Salam sejahtera

    Saya mendapat khabar yang wajah dan persetujuan saya untuk menyampaikan tazkirah diiklankan. Saya tidak pernah membenarkan begitu. Tentu sekali ia mendukacitakan saya. Saya maklumkan yang saya membatal persetujuan awal untuk bersama dengan kumpulan puan untuk menyampaikan tazkirah tersebut dan saya juga menarik diri daripada........

    Saya doakan puan dan keluarga dirahmati dan diberkati Allah.

    Muhd Kamil Ibrahim"

    Malah di FB saya nyatakan,
    "Sedih, beginilah etika bekerja orang Islam. Saya tidak pernah bersetuju untuk digunakan nama dan wajah untuk tujuan pengiklanan, apatah lagi di akhbar-akhbar. Saya berceramah tanpa bayaran. Tolonglah menghormati pendirian saya ini.
    Benar, saya bersetuju untuk menyampaikan tazkirah kepada jemaah haji dan umrah atas dasar semata-mata kerana Allah. Saya maklumkan yang saya tidak mahu terlibat dengan kumpulan ini".
    Isunya sangat mudah. Gambar saya diiklankan. Ia tidak pernah dimohon kebenaran. Samada mereka mahu meraut keuntungan atau tidak saya tidak pernah kisah. Lakukan apa sahaja asalkan tidak membabitkan saya. Kenyataan ini mengundang permohonan maaf tetapi ia lebih melukakan hati saya. Perhatikan penggunaan ayat ini,

    "Kami dari ......... memohon maaf jika ianya bertentangan dengan apa yang prof faham".Saya pula yang dituduh tidak faham dengan niat murni mereka memaparkan wajah saya di akhbar seluruh negara. Malah kenyataan ini benar-benar membodohkan nilai intelektual seorang manusia,

    "Bagi kami kehadiran Prof untuk menyampaikan tazkirah satu keistimewaan buat jemaah umrah anjuran ........... Lantas kami membuat iklan untuk memberitahu masyarakat bahawa Prof insya-Allah akan bersama-sama jemaah ......... sebagai satu penghormatan. Tiada niat langsung untuk memperdagangkan apatah lagi menjual nama Prof atau menjadikan ia sebgai salah satu bentuk perniagaan".

    Apa pun niat kita ia tersirat pada sudut yang tidak akan terbongkar. Namun yang jelas, meletakkan gambar orang dengan tagline "tempat terhad", "deposit RM500", dan kos "RM6290" tidak memerlukan penafsir yang hebat.

    Saya fikir memohon maaf sangat mudah. Misalnya, memadailah dengan berkata, "saya telah melakukan kesilapan. Saya mohon keampunan Allah dan saya mohon Prof maafkan saya. Tidak tertanggung rasanya jika ia dihisab nanti".

    Memohon maaf dan memaafkan orang adalah sifat terpuji. Namun ada pendidikan yang perlu disempurnakan. Hakikatnya, tiada seorang pun yang berdosa dengan saya sebagaimana yang saya nyatakan di dalam siri-siri kuliah yang terdahulu terutamanya melalui KRTS. Saya pernah maklumkan,

    "salah satu amalan yang mulia adalah memohon dan bercerita kepada Allah SWT sebelum kita melelapkan mata dengan kata-kata berikut, Ya Allah aku maafkan kesemua kesalahan mereka yang telah melakukan kesalahan kepada ku. Kau ampuni dosa-dosa mereka ya Allah. Kau bukakanlah hati-hati mereka yang telah aku lakukan kesalahan agar mereka memaafkan daku sebagaimana aku memaafkan orang-orang yang telah melakukan kesalahan kepada ku. Kau ampunilah daku dan mereka semua ya Allah.

    In'sya Allah, bila kita terjaga pada waktu tahajud, hati kita tenang dan damai. Mudah-mudah Allah makbulkan permohonan tersebut.

    Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

Web Hosting by Yahoo!



Editor

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook