UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

15-28 Rabiul Awal

  • 28hb Rabiul Awal 1434

    Hujung Tidak Bertepi

    Tuan Haji Sabtu M Ali - pensyarah Tamu - memilih hari Sabtu untuk memulakan kuliah beliau di Dewan Sabtu M Ali. Tema kuliah, Di Hujung Senja. Kata beliau, "setiap daripada kita akan melalui hujung kehidupan". Beliau sedang berada di zon tersebut. Namun hakikat sebenar, hujung ini tidak bertepi. Entah-entah kita yang di belakang beliau sudah sampai ke hujung tersebut tanpa disedari.

    Silalah ke Dewan kuliah beliau untuk berkenalan dan menimba sedikit ilmu yang bermanfaat.

    27 Rabiul Awal 1434

    Pilihan

    Setiap hari kita membuat pilihan.

    Namun banyak pilihan kita sangat tidak logik. Misalnya ramai yang menyebut-nyebut, "lebih baik membuat amalan yang sedikit tetapi berterusan berbanding dengan amalan yang banyak tetapi tidak konsisten". Benar ia berdasarkan satu hadis.

    Ia menarik kerana ramai yang mendengar kenyataan ini dan berhenti setakat itu sahaja. Hakikatnya ia bukan antara dua pilihan. Ia mempunyai pilihan yang lain. Misalnya, "bagaimana jika orang melakukan amalan yang banyak dan berterusan? Bagaimana pula orang yang melakukan amalan yang sedikit dan tidak konsisten. Maka - dengan faktor lain konsisten - mengikut susunan keutamaannya adalah seperti berikut:

    1. Banyak dan konsisten

    2. Sedikit dan konsisten

    3. Banyak dan tidak konsisten

    4. Sedikit dan tidak konsisten.

    Tentu sekali kita tersenyum jika ada yang berkata, "hotel saya jauh daripada Masjidil Haram, maka saya boleh berlama di sana". Berlama di dalam masjid bukanlah kerana hotel jauh atau dekat. Mereka mahu berlama atas dasar ilmu, betapa yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat adalah di dalam masjid dan bukannya di hotel. Jika saya mampu duduk sehampir mungkin dengan masjid, saya akan memilih hotel tersebut.

    Namun di mana sahaja kita berada - berdasarkan pilihan-pilihan yang ada - boleh membantu untuk membuat pilihan seterusnya. Jika hampir dengan masjid misalnya, kita mempunyai pilihan yang lebih baik dari sudut tertentu terutamanya bagi mereka yang sudah berumur dan mempunyai masalah kesihatan.

    Beberapa tahun yang lepas - ketika berkhidmat di Malaysia - saya menaiki pesawat penerbangan kelas pertama dari London ke Kuala Lumpur. Ia perjalanan hampir 13 jam. Ia tiket yang dinaiktaraf daripada kelas perniagaan kepada kelas tersebut. Itulah pengalaman pertama dan terakhir. Bagaimana rasanya? Jika ada satu perkataan yang boleh memberi huraian tepat maka saya akan menyebut "hebat". Ia seolah-olah membawa hotel bertaraf enam bintang ke dalam pesawat.

    Namun jika saya dijemput berceramah yang memerlukan pesawat dan dibiayai oleh penganjur maka saya menyebut, "memadai dengan pesawat yang paling murah tiketnya dan tempat tidur yang membolehkan saya berehat sekejap". Ia pilihan untuk memudah dan menjimatkan kos penganjuran. Malah saya tetap kekal dengan tagline, "tiada bayaran untuk menjemput saya memberi ceramah".

    Kita membuat pilihan. Namun banyak pilihan kita berdasarkan pelbagai kekangan. Saya selalu menyebut dengan anak-anak, "jika kita mempunyai elaun makan RM20 sehari, maka tidak salah untuk membeli makanan yang berharga RM40. Bermakna, pada hari yang lain awak perlu makan RM10 sehari selama dua hari bagi menampung pembelanjaan kasar yang telah kita lakukan. Jangan sekali-kali meminta bajet tambahan".

    Kadangkala kita langsung tidak mempunyai pilihan. Misalnya, kereta yang mampu dibeli hanyalah Kancil walaupun kita meminati BMW. Dalam konteks ini, mereka yang mempunyai kekayaan yang lebih mempunyai pilihan yang lebih berbanding dengan mereka yang kurang berkemampuan.Maksud saya - jika faktor-faktor lain kekal begitu - jika ada pilihan antara kaya dan miskin, maka pilihan menjadi kaya nyata lebih disukai oleh saya sendiri.

    Namun di atas segalanya, pilihan-pilihan yang kita ada merupakan satu ujian samada ia boleh menyebabkan kita hampir atau semakin jauh daripada Allah SWT. Malah konsep-konsep bersyukur, bersabar dan keikhlasan muncul bersama pilihan yang dibuat. Juga, pilihan yang kita buat mungkin mengundang perasaan riyak, takbur atau perasaan menyombong diri.

    Itulah nilai sebenar pilihan yang ada. Kami mohon keampunanMu ya Allah.

     

    26 Rabiul Awal 1434

    Catatan dari Mekah

    Kami berada di Mekah.

    Lebih 30 tahun yang lepas saya berkenalan dengan seseorang di MRSM Seremban. Saya namakan "Budak MRSM". Hubungan kami sangat mesra dalam tempoh sebulan ketika bersama-sama mengikuti program matrikulasi UKM. Kemudian kami berpisah mengikut haluan masing-masing. Saya ke UiTM Dungun, beliau ke UiTM Shah Alam.

    "Mil boleh kita perkena teh tarik?," beliau menghubungi saya sehari sebelum mahu pulang ke Malaysia. Saya melihat jadual. MasyaAllah, hampir setiap malam saya mempunyai tamu. Besoknya, saya sudah merancang mahu ke Mekah usai solat subuh.

    Namun saya nyatakan kepada Roza, "Yang, ini "Budak MRSM". Mereka sangat istimewa dalam hidup saya. Kita lewatkan sedikit pemergian ke Mekah". Lalu saya menulis SMS,

    "Kita breakfast di rumah saya. Tidak lama, 45 minit sahaja," saya memikirkan beliau mahu pulang ke Malaysia selepas solat zuhur. Begitulah. 30 tahun tidak bertemu, saya masih dapat mengesan beliau ketika berjalan di kawasan parking 11A walaupun susuk tubuhnya sangat berbeza.

    45 minit menjadi 120 minit. Beliau membawa bersama ibu dan isteri. Kami semua cepat klik. Namun saya terkesan dengan soalan beliau,"Mil, kenapa selalu ke Mekah?, lebih 400 km". Saya tahu jauh di sudut hati beliau yang ia mungkin tidak perlu dilakukan. Mungkin juga sebagaimana rakan-rakan MRSM yang sering bertanya "kenapa, kenapa, kenapa?".

    Lalu saya nyatakan, "inilah salah satu tempat yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat". Ia bukan soal Mekah tetapi Masjidil Haram. Ia hanya ada di Mekah. Begitu juga dengan Masjid Nabawi, ia hanya ada di Madinah. Mekah dan Madinah adalah LOKASI. Saya berpeluang kerana berada di sini. Maka itulah yang saya lakukan.

    Namun saya terangkan... banyak lagi amal ibadat lain yang boleh dilakukan jika kita tidak berpeluang melakukannya kerana LOKASI. Solat malam berdasarkan MASA, Puasa Nabi Daud berdasarkan AMALAN semata-mata. Emmmm.... banyak. Di mana-mana boleh dilakukan. Maksud saya, ia sudah ada dalam genggaman kita. Lihat apa yang ada di tangan dan beramallah.

    Ketika merenung Kaabah, saya tulis kembali di FB tentang maksud "apa yang ada di tangan",

    Bila disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa maka perbanyakkan masa di dalam MASJID bukan di HOTEL. Itulah maksud apa yang sudah ada di tangan dalam konteks Jemaah haji dan umrah. Namun nikmat berada di Mekah atau Madinah belum tentu lagi bersambung dengan nikmat berada di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

    Allahu Akbar, bertemu dengan rakan di kala usia 18 - 20 tahun, rasa muda itu muncul kembali. Kenangan ketika zaman tersebut terbayang walaupun ia berbalam-balam. Ia boleh dikenang tetapi tidak perlulah diceritakan.

     

    25 Rabiul Awal 1434

    Magik: Berniaga tanpa rugi

    Kuliah Usahawan Akhirat sedang berlangsung di Dewan Zaini. Siswa-siswi diingatkan yang ia kuliah yang lebih panjang dari biasa. Semoga bermanfaat.

    24 Rabiul Awal 1434

    Bila Sampai Waktunya

    "Prof ini saya, XYZ. Kami berada di Madinah".

    Subhanallah, Masya Allah, Allahu Akbar. Saya menitiskan airmata mendengar suara beliau di sini. Ia kegembiraan yang amat sangat.

    Begitulah. Ramai di antara kita mempunyai rasa kasih yang mendalam terhadap kenalan, sahabat handai, jiran tetangga atau rakan sejawat. Mereka orang baik-baik dalam hubungan sesama manusia. Hati mereka kelihatan sangat tulus berbanding dengan mereka yang kelihatan alim dan warak.

    Dulu. Sehingga ke hari ini saya masih ingat lagi jawapan beliau terhadap sebutan tulus ikhlas apabila pulang dari menunaikan fardhu haji,

    "XYZ, ketika di Tanah Suci saya mendoakan agar Allah membuka pintu hati awak untuk menunaikan fardhu haji".

    Di antara rakan yang ada, nama beliau saya sebut-sebut secara spesifik memohon agar Allah melembutkan hati untuk hadir di sini. Orangnya sangat baik, berkemampuan wang ringgit, mempunyai kesihatan yang baik dan sentiasa suka membantu orang. Namun - pada ketika itu - tiada tanda-tanda beliau terfikir mahu melakukan ibadat terakhir mengikut susunan rukun Islam.

    Seperti kebiasaan, beliau melawak bila diajukan sesuatu yang berkaitan dengan soal ini,

    "Doc, you tidak perlu mendoakan I. I tidak mahu menunaikan fardhu haji atas doa you. I mahu pergi kerana I sendiri mahu pergi. Bila sampai waktunya".

    Diam. Saya tidak tahu mahu ketawa atau tersenyum. Namun jauh di sudut hati saya masih mendoakan beliau Saya mahu beliau pergi ke Mekah dan Madinah merasai sebagaimana perasaan yang telah saya rasa.

    Sudah terlalu lama kami bergelak-ketawa ketika sama-sama bermain golf. Hampir 100 lapangan golf yang telah kami hadir dalam tempoh beberapa tahun berkenalan. Saya fikir, barangkali sudah sampai masanya untuk tersedu seketika menghadapi hari-hari yang tinggal.

    Allahu Akbar. Bila sampai waktunya.

    Dua hari lepas mendapat mesej daripada bekas staf yang paling "nakal". "Prof, saya akan - In'sya Allah - menunaikan umrah pada bulan ini". Juga, saya bersyukur kepadaNya kerana membenarkan beliau hadir di sini. Ia perasaan dalaman yang tidak boleh dipaksa-paksa.

    Hakikatnya, kita setiasa berharap mereka yang kita sayangi menjadi manusia terbaik. Segera berubah ke arah kebaikan dengan kadar yang lebih pantas. Masa berbaki hanya tinggal sejenak. Cuma - kebiasaannya - kita tidak mampu mengajak mereka secara berdepan. Lalu kita mengadu dan bercerita kepadaNya. Mereka tidak tahu.

    Namun selalu juga saya khabarkan kepada rakan-rakan yang saya sayangi dengan berkata, "HJK, saya selalu mendoakan - bila sampai waktunya - you akan menutup aurat dengan sempurna. Youlah salah seorang rakan yang paling saya sayangi. Minta maaf kerana terpaksa berkata begini. Ia dari hati".

    "Minta maaf sayang. Uncle sangat sayangkan arwah Mama. Uncle selalu doakan AMN supaya menjadi anak solehah. Itulah bantuan yang boleh kita sampaikan kepada beliau. Jaga aurat. Selalulah berdoa untuknya kalau benar kita sayangkan arwah".

    Inilah teknik berdakwah kepada mereka yang hampir yang saya fikir sangat berkesan. Kita nyatakan secara jelas apa yang kita doakan kepada mereka. Orang Islam - senakal mana mereka - tidak berkecil hati apabila orang mendoakan perkara yang baik-baik. Hampir mustahil untuk mereka berkata, "saya benci kamu kerana mendoakan saya".

    Benar, bila sampai waktunya banyak perkara berlaku sebagaimana yang kita harapkan. Jangan pula ada yang berkata yang ia terjadi secara semulajadi.

    Ingatlah, berapa ramai yang mendoakan kita agar diberkati dan dirahmati Allah. Dan Allah memakbulkan doa-doa tersebut.

     

    23 Rabiul Awal 1434

    Impian, Doa dan Hari Esok

    Pensyarah Tamu - Syaizul Amal - menyampaikan kuliah diDewan Amal. Siswa-siswi dijemput hadir.

     

    22 Rabiul Awal 1434

    Mengejar Masa

    Salah satu ujian kehidupan terbesar ialah kerana tidak dimaklumkan tentang tarikh kematian. Allah SWT menyebut melalui ayat 34, surah Al-Luqman,

    "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah beliau akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuanNya".

    Ia sangat berbeza dengan kehidupan harian yang lain. Misalnya, saya melihat Roza bertekun membaca kembali manuskrip Aroma antara Benua yang dipulangkan oleh penerbit. Penyebabnya mudah, ia perlu dipulangkan pada 5.2.2013. Jelas dan nyata beliau mengejar masa.

    Banyak perkara yang dilengahkan kerana tidak mengetahui tarikh penamat sesuatu keadaan. Apabila dimaklumkan yang kontrak kami akan berakhir pada penghujung Ogos - barulah - terasa masa di Madinah bergerak pantas. Bahasa mudah, kami mengejar masa. Lalu kami mengambil beberapa tindakan khusus - misalnya - menghantar Sofea untuk mempelajari al-Quran tanpa menghafal. Kami mahu beliau khatam dalam tempoh berbaki.

    Maka rutin Sofea berubah. Pagi di sekolah biasa, selepas zuhur membaca Quran bersama Kak Aini dan menghafal Quran di Haram selepas Asar. Ia perubahan rutin kerana mengejar masa.

    Kami juga maklumkan kepada adik-beradik betapa kami mahu menyambut mereka menunaikan umrah semasa kami bermukim di sini. Ia hanya penyebab. Allah SWT menggerakkan hati - Kak Mi, Kak Ma, Khamisah dan pasangan - untuk hadir ke Mekah dan Madinah. Alhamdulillah, kami rasa sangat teruja. Mungkin mereka juga mengejar masa.

    Benar Allah tidak menyatakan tarikh kematian. Namun tanda-tanda kematian dinyatakan berulangkali dan hampir setiap saat. Umur bertambah adalah ingatan yag paling hampir. Namun ia bukan satu kejutan. Lalu ia tidak membawa sebarang erti.

    Ramai di antara kita yang telah kehilangan kedua ibu bapa. Anak-anak semakin membesar. Ada yang sudah bercucu. Itu juga merupakan tanda-tanda betapa saat-saat kematian semakin hampir. Juga, ia peristiwa yang dilalui oleh hampir semua orang. Ia berlaku secara semulajadi dan tidak membawa perubahan signifikan.

    Namun ada sesuatu yang menarik tentang tanda kematian yang makin hampir. Misalnya apabila kita disahkan mengidap penyakit kronik yang terbukti penyebab yang hampir tepat. Salah satu kanser tahap empat. Ia tidak selalunya benar namun diam-diam hati meyakini saat kematian hampir tiba. Bila? Masih juga manusia tidak mampu menelah dengan tepat.

    Hakikatnya - In'sya Allah - ia membawa perubahan besar kepada pesakit dan juga mereka yang hampir. Ia perubahan emosi dan jasmani ketara. Tindakan spontan yang nyata ialah kemahuan untuk berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Mereka mahu bertaubat di sana. Mahu meminum air zam-zam. Juga, mahu menunaikan umrah. Ia berkait rapat dengan masa yang tinggal. Benar, kita mengejar masa. Masa yang tinggal itu mahu dimanfaatkan dengan cara terbaik.

    Namun notis seumpama ini tidak kerap berlaku. Apa yang ada hanyalah notis-notis umum yang sudah diketahui ramai. Ia tidak memberi impak besar yang mampu membawa manusia memasuki dimensi baru kehidupan. Hari-hari berlalu begitu sahaja.

    Saya ingin mengakhiri kuliah hujung minggu ini dengan memetik ayat 243, surah Al-Baqarah yang menjadi tanda ingatan semenjak kembali dari menunaikan fardhu haji pada 2007. Ayat tersebut bermaksud,

    Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: "Matilah" Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih".

    Setiap hari masa meninggalkan kita. Ia sudah tidak boleh dikejar lagi. Ya Allah, Kau ampunilah kami semua. Berikanlah kami kefahaman ilmu agar kami lebih hampir kepadaMu.

    Salam Perkenalan

    21 Rabiul Awal 1434

    Pensyarah Tamu - Tuan Haji Yasser Arafat - sedang menyampaikan kuliah di Dewan Yasser Arafat. Siswa-siswi dipersila hadir.

    20 Rabiul Awal 1434

    Pohon untuk Berfikir

    Mengajak orang menulis merupakan satu dakwah kerana Islam itu sendiri bermula dengan seruan "bacalah". Benar, ia merujuk kisah bagaimana Baginda SAW menerima wahyu pertama. Ia baris ayat kepada satu kitab yang menjadi anugerah Allah kepada hambaNya. Namun membacanya perlu bersekali dengan menyebut nama Allah. Malah Allah mengajar manusia melalui pena dan tulisan.

    Lalu jemputan untuk mengendalikan sesi penulisan bersama mahasiswa Universiti Islam Madinah menarik minat. Pertama, ia memanjangkan ilmu setelah hampir 20 tahun menulis secara serius. Sekadar rekod, tulisan pertama tersiar di majalah kanak-kanak BUJAL ketika usia 10 tahun. Ia sajak yang sudah luput dalam ingatan. Kedua, saya melihat potensi sekumpulan mahasiswa yang mampu menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Penyampaian melalui penulisan menjadikan - Insya Allah - ilmu boleh disebarkan secara lebih meluas, murah dan mudah.

    Sekadar memberi contoh saya paparkan statistik kehadiran siswa-siswi yang telah menghadiri kuliah di Universiti MKI dalam tempoh beberapa hari yang lepas. Ia ibarat ceramah di dalam kawasan dewan besar. Kini melalui penulisan alam maya ia menjadi sangat fleksibel.

    Ramai yang minat, mahu dan ingin menulis. Hati dan perasaan memang begitu. Namun menulis tidak berlaku semata-mata dengan "hati dan perasaan". Ia perlu disudahi dengan perbuatan. Perbuatan ini pula perlu berterusan untuk menghasilkan tingkah laku "berdakwah" yang konsisten. Bagaimanapun - umpama amal ibadat yang lain - kita sering bersoal jawab dengan pelbagai alasan dan kekangan. Antaranya faktor kesibukan sebagai seorang manusia. Lalu saya menganjurkan kepada mahasiswa untuk memperuntukkan hanya 2 jam seminggu atau 8 jam sebulan daripada waktu sibuk untuk mula menulis artikel ringkas. Saya gambarkan dengan bulatan pie.

    MasyaAllah, ia hanya satu peratus daripada waktu sibuk.

    Pada satu ketika saya bertanya, "kita berada di Madinah, maka tema yang hampir dengan kita adalah Madinah. Madinah mempunyai nilai tarikan pembaca dan pengikut yang sangat tinggi. Baik, apakah yang boleh kita tulis apabila melihat buah tamar yang berlambak dan pelbagai jenis di sini?"

    Ia soalan mudah dan ringkas. Agak saya, siswa-siswi juga mula memikirkan jenis-jenis tamar misalnya, ajwah, anbar, mejdool, helwah, Lubanah, mabroom, baydh, khudry, khalas, Suqaey, Safawy, Sukkary, Rothana.... Allah ya Allah, itu hanyalah sebahagian daripada pelbagai jenis yang ada di sini. Ia boleh menjadi artikel menarik dan berinfomatif.

    Saya membiarkan suasana ini seketika sehinggalah saya menayangkan bagaimana mahu menulis surat iringan kepada editor majalah. Saya petik sebahagian daripada surat tersebut,

    "Salam sejahtera Puan Norhashimah,

    Saya doakan puan dan keluarga dirahmati dan diberkati Allah SWT. Moga Allah permudahkan puan dan Tim ANIS dalam melaksanakan tugas.

    Bersama-sama ini saya lampirkan artikel bertajuk “Tamar: Pohon untuk Berfikir”. Ia merupakan hasil karya pertama dihantar kepada puan untuk dipertimbang bagi tatapan khalayak pembaca ANIS. Saya sangat bersyukur jika puan sudi menerima hasil karya ini".

    Saya bertanya mereka, "tidakkah tajuk ini telah mengubah nilai tamar yang mahu kita tulis?. Apakah kita mahu menulis semata-mata tentang jenis-jenis tamar? Tidak. Kita mahu berdakwah. Kita mahu mendekatkan khalayak pembaca kepada Allah SWT. Jenis-jenis tamar yang pelbagai itu adalah hanya satu atau dua para yang menceritakan tentang kebesaran Allah SWT".

    Lalu saya petik ayat al-Quran (Ar-Ra'd, ayat 4) yang bermaksud,

    "Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya".

    Juga, saya mula mengaitkan buah tamar dengan amalan berbuka puasa Baginda SAW, pohon tamar yang menangis dan pelbagai maklumat lain yang menjurus kepada kehebatan dan kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan melalui sejenis pohon yang ada di Madinah.

    Allah ya Allah, saya mengajar mereka bagaimana saya berfikir dan melakukan agenda penulisan berdasarkan pemahaman dan keinginan "semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah". Ia merupakan kerangka penulisan yang disampaikan secara praktikal dan mudah difahami.

    Agak saya begitu. Benar atau salah hanya khalayak yang dapat menilai.

    Hampir pertengahan malam saya sampai di rumah. Penulis - Roza Roslan - sedang meriba komputernya menyiapkan bab-bab buku terbaru. Saya tersenyum. Saya terkenang, beliau lahir bukan melalui bengkel penulisan. Roza hanya "main-main" menulis. Namun Allah memberi kelapangan masa kepadanya.

    Kembalilah kepadaNya. Moga Allah memberi izin untuk anak-anak muda ini menjadi penulis tersohor pada suatu masa nanti.

    Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

    19 Rabiul Awal 1434

    Memahami

    Beratus tulisan di KRTS musnah apabila blog tersebut menghadapi masalah beberapa bulan yang lepas. Ia kali kedua. Dan buat kali kedua juga saya kehilangan beberapa artikel yang saya suka dan berpotensi untuk ditulis semula dan diterbitkan sebagai bab di dalam buku.

    Kini saya - selepas kali kedua - mengambil iktibar. Setiap kali selesai menulis akan saya salin dan simpan dalam satu fail berasingan. Allah ya Allah.... itulah pesan saya kepada kesemua anak-anak murid apabila berhadapan dengan kerja-kerja yang melibatkan komputer. Istilah crash, virus atau hilang sangat menakutkan terutamanya bagi mereka yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan.

    Namun ada beberapa tulisan lama yang saya jumpa di sana-sini ketika melayari internet. Misalnya, saya gembira kerana bertemu kembali nota yang ditulis oleh Azrai di dalam KRTS melalui ruangan komen. Saya kekalkan tulisan asal yang berbunyi,

     

    "On the way to the Masjid, my dad ask me, “Azrai, how to deal with test (ujian)?”.

    He told me a simple story;

    Two person going to an exam, one prayed to Allah and the other one didn’t. They both passed. The person who prayed then said Alhamdulillah but the other one boast and said he passed because he is great. Both of them gain Dunia but only one got closer to Allah and gain Akhirah.

    He told me another similar story;

    Two person going to an exam, one prayed to Allah and the other one didn’t. They both failed. The first prayed and ask forgiveness and guidance from Allah while the other one cursed and blame. Both of them may not gain Dunia but one got closer to Allah and gain Akhirah.

    My dad told me “Life is a test”, the good or the bad. How do we react to it?

    “And I (Allâh) created not the jinns and humans but to worship Me (Alone),” Az-Zaariyaat 51:56

    Allah will not gain nor lose an atom worth of his kingdom if we pray to Him or not. But we humans need to pray to Allah.

    Wallahualam".

     

    Tentu sekali saya tidak menyangka perbualan ringkas tersebut melekat di minda Azrai. Saya fikir banyak perkara yang disampaikan oleh ayah dan ibu kepada anak-anaknya umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Malah saya sering memandang rendah pemahaman anak-anak terhadap apa yang cuba kita sampaikan. Alasannya mudah. Mereka sering tidak menunjukkan minat. Bahasa badannya begitu.

    Lalu ada sesuatu yang saya pelajari. Jangan serik mengajar anak-anak. Sambil mengajar disertai dengan doa agar mereka menjadi anak yang soleh atau solehah. Mudah memahami ilmu dan dilindungi daripada perkara yang menjauhkan mereka daripada syurga Firdaus. Benar, taufik dan hidayah itu kepunyaanNya tetapi bukankah doa ibubapa itu sangat mustajab.

    Semoga catatan ringkas ini memberi manfaat.

    18 Rabiul Awal 1434

    Berlawanan

    Salam sejahtera. Semoga kita semua dirahmati dan diberkati Allah.

    Roza suka berkemas. Saya kaki sepah. Beliau tidak boleh hidup dalam keadaan rumah huru-hara. Saya masih boleh menulis meskipun ruang kerja bersepah. Kedua-dua kami adalah pensyarah. Kesemua bahan pengajaran dan kuliah Roza tersusun rapi. Bahan-bahan saya pula terletak dalam satu timbunan.

    Itulah sebahagian daripada sifat bertentangan di antara kami berdua. Saya di sebelah yang buruk manakala beliau di bahagian yang lebih baik. Kini, usia perkahwinan sudah melebihi 20 tahun. Bermakna kami telah melalui satu nilai bertentangan selama tempoh tersebut.

    Kemudian kami dikurniakan dua pasang anak berbeza jarak usia. Jika kaki sepah itu merupakan faktor genetik, maka keempat-empat mereka mewarisi genetik ayahnya. Tiada yang secara semulajadi menjadi seorang kaki kemas.

    Lalu saya melihat kewujudan peraturan semulajadi yang kelihatan tidak adil tetapi menarik. Kebiasaannya, mereka yang kaki sepah boleh hidup dalam dunia yang kemas. Sebaliknya, mereka yang kaki kemas berserabut dengan keadaan huru-hara.

    Logiknya, tekanan perasaan melanda di sebelah kaki kemas. Malah lebih menyakitkan lagi bagi sikaki kemas melihat sikaki sepah berpindah tempat yang sudah sedia kemas dan menyepahkan tempat tersebut. Ia kerja yang tidak berkesudahan.

    Saya merasai banyak perubahan yang telah saya lalui setelah melebihi 20 tahun bersama Roza. Saya fikir ianya tidaklah terlalu cemerlang mengikut tanda aras beliau tetapi memadai untuk mengurangkan tekanan seorang isteri atau ibu yang perlu menguruskan segalanya.

    Beliau jarang bersungut tetapi sering memohon bantuan. Misalnya beliau menyebut, "Yang saya tidak sempat vakuum ruang hadapan," apabila mahu menyambut tetamu yang silih berganti berkunjung. Anak-anak yang tidak suka berkemas juga diajak ke dapur dengan berkata, "mari tolong mama berkemas di dapur. Tetamu kita sudah sampai".

    Lama kelamaan ia menjadi satu rutin yang tidak perlu dinyatakan. Amirul dan Sofea sudah tahu tanggungjawab mereka sebelum dan sesudah tetamu tiba. Mereka tidak suka berkemas tetapi perlu melakukanmya. Sesekali ia tetap terbabas dan perlu dinyatakan. Ia proses mendidik anak-anak supaya mengubah tabiat dan tingkah laku.

    Apa yang saya sampaikan di atas hanyalah satu contoh bagaimana manusia mempunyai sifat berlawanan. Hakikatnya, pelbagai sifat berlawanan boleh menambah warna-warna kehidupan. Ia kelihatan kecil. Namun jika sifat berlawanan ini berpuluh jumlahnya, ia boleh menimbulkan kesan negatif yang signifikan jika tidak ditangani dengan cara yang tepat. Malah ada yang berpisah kerananya.

    Dalam konteks ini saya terkenangkan kisah di universiti. Banyak tugasan yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Setiap ahli kumpulan mempunyai tingkah laku yang berbeza. Ada yang mahu menyiapkan tugasan secepat mungkin. Ada yang tidak ambil kisah dan mengharapkan orang lain melakukannya. Ada yang hanya memberi arahan dan ada pula yang menerima arahan.

    Ia sangat kompleks. Namun keputusan akhir sangat mudah. Setiap ahli akan mengenali tingkah laku masing-masing. Maka akhirnya hubungan seterusnya bergantung kepada sejauh mana kita dapat berkompromi dengan setiap sifat yang berlawanan ini. Ada ahli yang ditinggalkan dan ada yang kekal bersama. Kebanyakannya berlalu begitu sahaja. Kehadirannya tidak dirasa, kehilangannya juga begitu.

    Namun - saya fikir - manusia perlu berubah ke arah kebaikan. Tidak ada istilah "saya memang begitu" dalam konteks menyimpan sifat-sifat negatif.

    Saya ingin mengakhiri kuliah hari ini dengan satu sifat - kedekut dan bakhil - yang perlu ditinggalkan.Sifat ini juga berlaku di antara suami dengan isteri terutamanya dengan isteri yang berkerjaya. Ada suami yang sangat kedekut sehingga menyerahkan segala urusan kewangan kepada isteri. Ramai isteri yang memendam rasa.

    Malah sifat kedekut ini juga ditunjukkan kepada Allah SWT terutamanya dalam melakukan amal ibadat. Misalnya - tanpa kita sedari - istilah "kita lakukan mengikut kemampuan" membolehkan kita berkira-kira untuk melakukan perubahan diri. In'sya Allah, jika itu terlintas di hati, senaraikanlah kenapa dan apa yang kita tidak mampu sebelum kita berpuas hati untuk tidak melakukannya.

    Ia perubahan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Allah telah berfirman melalui surah Muhammad, ayat 38 yang bermaksud,

    "(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu".

    Kami mohon keampunan Mu.

     

    17 Rabiul Awal 1434

    Apa Ada Pada Nama?

    Kuliah hari ini disampaikan oleh Pensyarah Tamu, Roza Roslan. Sila ke Dewan Roza untuk mengikuti kuliah.

    16 Rabiul Awal 1434

    Mencari yang Terbaik

    Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

    Ramai di antara siswa-siswi yang berada di dewan kuliah ini akan menunaikan fardhu umrah. Ada sedikit pesan saya yang bersandarkan kepada hadis berikut,

    "Tidak disyariatkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Al-Masjid Al-Haram, Masjid Al-Rasul dan Masjid Al-Aqsa".

    Hadis ini riwayat Imam Tirmizi melalui Kitab: Al-Fitan. Hadis bernombor 2260. Hadis ini disebut bertaraf sohih oleh Syeikh Al-Albani.

    Juga berpandukan hadis ini yang bermaksud,

    "Allah SWT berfirman pada hari kiamat: "Hai Adam! Bangkitlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu [untuk ditempatkan] dalam neraka, dan satu akan ditempatkan dalam syurga"

    Hadis Riwayat Imam Tirmizi pada Jami' Tirmizi, kitab: Tafsir Al-quran, bab: Surah Al-Haj, nombor hadis: 3169. Syeikh Al-Albani menyatakan hadis ini sohih. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Tabrani pada kitabnya Mu'jam Kabir. Ia tercatat pada nombor hadis 306.

    Pesan ini tidak terpakai buat mereka yang sakit perut atau ceret-beret atau mereka yang akan mati kelaparan jika lambat menghadapi makan malam atau tengahari. Juga ia tidak terpakai kepada mereka yang memerlukan rehat panjang di hotel atau bilik penginapan.

    Saya perlu jelaskan sebegitu rupa takut-takut ada yang berasa kita berburuk-sangka terhadap mereka yang bermasalah. Tidak. Sama sekali tidak. Ini hanyalah pesan kepada anak-anak murid ku yang ingin menunaikan umrah dan mahu mempetimbangkan alternatif amalan.

    Dalam konteks Madinah, hadis di atas secara jelas menyebut Masjid Al-Rasul, iaitu Masjid Nabawi. Langsung ia tidak menyebut Madinah atau hotel di Madinah.

    Wahai anak-anak muridku, jika berkunjung ke sini, masuklah ke dalam masjid, perbanyakkan masa di dalam masjid, kurangkan tidur dan berehat di dalam hotel dan usahlah terlampau bergelak-ketawa. Tumpukan sepenuh perhatian untuk bermunajat, berdoa, memohon keampunan Allah, bangun malam dan bertekad untuk meneruskan amalan-amalan ini apabila pulang ke Malaysia.

    Gunakan setiap sen yang kita belanjakan dengan sesuatu yang disyariatkan. Tentu sekali kita membayar lebih untuk mendapatkan sebilik berdua bersama isteri dan suami berbanding dengan mereka yang berempat sebilik. Namun ia tidak menjadi lebih baik jika kita hanya menghabiskan masa bersama isteri (suami) di bilik lebih daripada berada di dalam masjid kerana menikmati setiap sen yang dibayar lebih. Biarlah kita berpisah dengan isteri (suami) kerana berada di dalam masjid. Sekadar perbandingan, biarlah lebih 50 peratus masa kita menjauhi hotel penginapan.

    Wahai anak-anak murid ku,

    Semalam saya terbatal wudhu sejurus azan Isya dilaungkan. Lalu saya berjalan keluar melalui pintu King Fahd (Pintu 21) - laluan keutamaan jemaah SEA yang menginap di bahagian belakang Masjid Nabawi - untuk memperbaharui wudhuk. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, terkejut saya melihat begitu ramai jemaah yang bersila di sini. Ia seumpama musim haji.

    Perhatikan gambar ini bagi memudahkan pemahaman. Terselit di antaranya sekumpulan wajah jemaah yang saya kenali melalui beg sandang mereka.

    Usai berwudhuk - maksudnya hanya tinggal beberapa minit lagi solat akan bermula - saya berjalan sedikit pantas berbanding kebiasaan. Saya melepasi ruang solat belakang yang sudah dipenuhi jemaah. Saya terus ke hadapan, Inilah ruang utama (tengah) solat. Saya berdiri di belakang dan merakamkan gambaran ini bagi memudahkan pemahaman anak-anak muridku. Pandangan ruang ini terus ke Raudhah dan tempat saf Imam. Ia penuh sesak.

    Jangan terpedaya wahai anak-anak murid ku. Kita masih sihat sejahtera. Tidak pula sakit perut atau ceret-beret. Atau kita tidak perlu untuk cepat-cepat pulang ke hotel kerana mahu bersama isteri (suami) yang kita tempah sebilik berdua atau kita perlukan tidur yang panjang. Ketahuilah, masih ada kiri dan kanan ruang di dalam masjid Nabawi.

    Lalu saya mengajak seorang jemaah Indonesia yang sudah mengalah dan mahu terus berada di lantai simen laluan pejalan di ruang belakang ini.

    "Pak, ikut saya. Mari saya tunjukkan laluan ke hadapan. Masih banyak ruang kosong di sana, In'sya Allah.".

    Beliau tidak degil. Langsung tidak memberi alasan. Beliau terus mengekori tanpa soal. Masyaallah, inilah ruang di sebelah kiri masjid yang - In'sya Allah - akan sentiasa ada ruang walapun di musim haji kecuali ketika hari-hari tertentu seperti bulan Ramadhan, solat Jumaat atau solat sunat hari raya.

    "Terima kasih Pak kerana membantu saya. Saya tidak tahu".

    Benar, saya hanya ingin membantu. Tidak lebih dan tidak kurang. Kita memberitahu bukan kerana mahu menunjukkan kita lebih baik atau lebih alim daripada yang lain.

    Marilah kita mencari yang terbaik di sisi Allah dalam kadar kemampuan sendiri. Namun, ukuran kadar kemampuan itulah yang selalu kita tewas kerana secara hakikatnya kita yang menentukan sendiri kadar tersebut.

    Wahai anak-anak muridku, saya memohon keampunan Allah jika terkhilaf dalam menyampaikan kuliah pada hari ini. Saya mendoakan agar kita semua dirahmati dan diberkati Allah sentiasa.

    15 Rabiul Awal 1434

    Pertanyaan tanpa Jawapan

    Begitu banyak pertanyaan berlalu tanpa perlu diperjelas dengan kata-kata. Malah - kadang-kala - jawapan melalui perbuatan, amalan atau bukti fizikal lebih membawa makna. Ia mengajar supaya manusia berfikir.

    Kehidupan saya mengajar begitu.

    Marilah kita bermula dengan satu pertanyaan ringkas langsung kelihatan tidak signifikan. "Prof, apakah kemudahan yang diperolehi dengan mendaftar sebagai pelajar Universiti MKI?"

    Saya tidak menjawab dan membiarkan pertanyaan tersebut berlalu. Namun ia menjadi signifikan ketika tanpa terduga saya menitiskan air mata ketika melafazkan "ya Allah Kau ampunilah dosa-dosa siswa-siswi Universiti MKI, permudahkan mereka menuntut ilmu, hampirkan mereka denganMu. Ya Allah, kami mungkin tidak bertemu di dunia tetapi temukan kami di syurgaMu. Kumpulkan kami di sana ya Allah...".

    Benar, ia bukan boleh dipaksa-paksa. Namun itulah realitinya. Doa seorang guru kepada anak muridnya. Maka itulah asas jawapan terhadap pertanyaan di atas. Ingatan guru kepada murid. Ia datang dari hati.Lalu mata yang mengalirkan tanda.

    Namun hakikat kenapa saya rasa sebak apabila terlintas memikirkan ada khalayak mendaftar sebagai pelajar. Sebenarnya mereka mengiktiraf saya sebagai guru. Anak-anak murid yang baik hati sentiasa mendoakan gurunya. Begitu juga dengan guru yang baik sentiasa mendoakan muridnya. Berkurun lama ia begitu.

    Lalu saya terasa Allah memberi nikmat merasai ada ribuan di luar sana yang mungkin mendoakan kesejahteraan, keberkatan dan kerahmatan buat kami sekeluarga. Ia hubungan anak murid – guru yang membezakan dengan mereka yang singgah dan berlalu.

    Universiti MKI berbeza berbanding Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS). Di sini – simboliknya – khalayak perlu mendaftar sebagai pelajar. Mereka yang mendaftar melakukannya tanpa paksaan. Tiada siapa yang menghalang untuk membaca nota-nota kuliah yang tertampal di dewan-dewan kuliah. Ia percuma dan tidak berbayar. Hakikatnya mereka tidak perlu mendaftar.

    Ia sudah memadai dengan hanya mengisi borang.

    Namun ada unsur psikologi luar biasa. Saya mulai terasa mempunyai tanggungjawab khusus untuk menyampaikan kuliah kerana sudah mempunyai pelajar. Malah saya semakin serius mencari pensyarah tamu bagi memberi dimensi berbeza terhadap isu-isu yang boleh difikirkan oleh mereka yang berminat menimba ilmu.

    Ada sesuatu yang lebih menarik. Saya mula melihat kedatangan dan maklum balas sebagai sesuatu yang mustahak. Misalnya – saya tersenyum sebenarnya – melihat bagaimana respons khalayak terhadap doa kepada siswa-siswi yang saya paparkan melalui FB yang saya catatkan di atas.

    Hampir 180 khalayak memberi respons. Lalu saya perhatikan satu-persatu. Kita tidak bertemu di alam nyata tetapi saya masih mampu membuat analisis yang mahu saya bentangkan di dalam kuliah ini.

    Pertama, ada yang menyebut….. Ameen… Ameen… Ameen. Kedua, ada khalayak yang menyatakan secara jelas Ameen dan berterima kasih dengan doa tersebut. Ketiga, ada yang terus mendoakan kembali kepada mereka yang mendoakannya dan keempat, ada yang terus meminta supaya berdoa lagi di atas apa yang mereka perlukan pada ketika mereka menaip. Doa yang lalu sudah berlalu.

    Ia bukan soal benar atau salah. Namun, itulah tingkah laku yang dipamerkan. Ia menggambarkan sifat diri yang tidak dapat disorok-sorok. Kadangkala ia hanya disedari apabila dinyatakan oleh orang lain.

    Di alam nyata - kisah dua tiga tahun yang lampau - saya memerhatikan tingkah laku siswa-siswi yang memasuki dewan kuliah. Hampir 90 peratus tidak memberi salam. Lalu saya mengajar mereka dengan cara yang santai, "tidak mengapa…. Saya suka memberi salam kerana orang yang memberi salam lebih baik di sisi Islam".

    Banyak perkara yang boleh disebut atas dasar anak murid dan guru. Ia tidak lagi terlalu berselindung. Maka jika ada yang bertanya, perlukah saya mendaftar? Maka saya memberi jawapan. Tidak. Ia tidak perlu dan tiada siapa yang memaksa.

    Jika mahu mendaftar sekalipun, tiada tanda yang membuktikan. Cukuplah ia secara santai dan ringkas!

Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

Web Hosting by Yahoo!



Editor

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook