Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
16 Muharam 1434
Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya,
Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan, kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya - dan jika Tuhan mengambil nyawanya maka diberikan keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya.
Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar. Saya sangat teruja mempelajari, mendengar dan menghayati hadis ini. Ia memberi implikasi besar kepada pemahaman saya terhadap konsep bersyukur saat diuji. Malah ia secara jelas menceritakan beberapa sifat Allah secara khusus misalnya, Allah itu Maha Pengasih dan Allah itu Maha Penyayang.
Membaca dan mempelajari hadis ini meneguhkan lagi pemahaman saya dengan lima perkara sebelum dan selepas yang sering disebut-sebut, iaitu keperluan untuk mengingati masa sihat sebelum sakit, waktu kaya sebelum miskin, kelapangan masa sebelum tibanya waktu sibuk, ketika muda sebelum tiba usia tua dan semasa hidup sebelum mati.
Hakikatnya, apa yang berlaku pada masa hadapan pastinya tidak dapat ditelah dengan sempurna. Kematian merupakan salah satu perkara yang pasti berlaku. Namun ia tidak boleh dijangka dengan tepat. Adik saya - Haniza - meninggal ketika usianya baru mencecah 35 tahun. Begitu juga dengan adik ipar - Ayu - yang meninggal pada usia yang sama.
Ayah pula pergi buat selamanya ketika usianya di sekitar awal 60an. Abah - bapa mertua - pula lebih 10 tahun panjang usianya berbanding ayah. Ia berbeza-beza mengikut ketetapan yag telah diatur oleh Allah SWT. Penyebabnya juga berbeza-beza. Namun kematian pasti tiba, tidak lewat dan cepat sesaat. Melalui surah al-Baqarah, ayat 243 Allah telah nyatakan,
"Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka:
Matilah, kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih".
Begitulah. Hampir kesemua manusia sedar dengan realiti kehidupan dan kematian. Namun dalam sedar mereka masih mahu bertangguh apabila dikaitkan dengan ibadat khusus. Kita mendengar ada yang merancang untuk melakukan banyak perkara termasuklah menghampiri Allah SWT setelah tiba usia pencen. Namun - realitinya - begitu ramai yang sudah menyambut usia pencen masih lagi tidak berupaya melaksanakan apa yang dirancang ketika muda.
Mereka masih lagi disibukkan dengan pelbagai uusan dunia yang tidak bernokhtah. Malah ada yang tersedu apabila ditimpa bencana badan - misalnya - penyakit kronik seperti kanser, stroke atau angin ahmar yang tidak memungkinkan mereka melaksanakan amalan sebagaimana yang difikirkan ketika sihat.
Menarik. Hadis di atas sangat menarik kerana Allah menjanjikan untuk terus memberi ganjaran dengan apa yang diamalkan dikala tubuh sihat sejahtera walaupun kita tidak mampu meneruskan amal ibadat tersebut akibat bencana badan. Benar sekali, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Jika kita tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid, bangun malam dan berpuasa sunat maka Allah masih lagi memberi ganjaran ketika kita terlantar di pembaringan akibat - misalnya - lumpuh sebelah tubuh. Bahasa mudah, Allah menyediakan skim pencen lumayan jika lima perkara yang disebut - muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati - dimanfaatkan dengan cara menyembah dan beramal ibadat kepadaNya.
Saya mahu mengambil manfaat daripada hadis ini yang sudah melekat di minda. Malah saya merenung diri. Saya berpenyakit - tekanan darah tinggi dan diabetes - yang boleh menjurus kepada komplikasi penyakit lain misalnya serangan penyakit jantung. Ia sentiasa benar betapa itu hanya penyebab bagaimana Allah menjemput kita pulang. Hakikat sebenar, ia merupakan isyarat Allah supaya kita lebih bersedia menghadapi saat-saat tersebut. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar.
Juga, setiap hari umur saya bertambah. Masa yang tinggal semakin singkat. Jika berlaku sesuatu yang boleh menyebabkan saya tidak berupaya melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang sihat, biarlah saya mendapat pencen lumayan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Ia perlu dilakukan sekarang dan tidak hanya menanti dan menanti. Akhirnya - takut-takut -apa yang dinanti tidak muncul-muncul.
Saya mohon keampunan Allah.
Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Ahmad pada kitabnya Al-Musnad, pada Musnad Anas bin Malik, hadis no: 13712. Berkata Syeikh Syuib Al-Arnaout Sohih Li-Ghoirih yang tahap hadis ini adalah hasan.
17 Muharam 1434
Semalam - sekali lagi - Madinah dilanda hujan lebat. Ketika kami bertolak ke masjid Nabawi kelihatan awan gelap sekali. Ruang solat berpayung di tutup. Kesemua petugas bersedia menghadapi kesan hujan yang jarang-jarang turun di bumi Madinah.
Saya sendiri tidak menyedari berapa lama hujan membasahi kawasan masjid. Cuma memadai jika saya katakan ia berterusan bermula sebelum maghrib sehinggalah kami keluar meninggalkan masjid usai solat Isya.
Mengikut rancangan asal, kami akan meraikan tetamu berbangsa Cina yang bermukim di Madinah. Omar, anak keluarga ini merupakan rakan halaqah Amirul di Haram. Mereka bersahabat dan Amirul mahu memperkenal mereka kepada saya dan Roza. Kemudian - di sekitar 2 pagi - kami mahu terus ke Mekah menunaikan umrah. Usai umrah, jangkanya kami akan berlepas ke Jeddah menyampaikan tazkirah di majlis usrah masyarakat Malaysia di sana.
Hujan membatalkan perjalanan malam. Saya tidak selesa memandu pada waktu dinihari dalam suasana hujan renyai-renyai dan jalan licin walaupun ia sebenarnya waktu segar dan kesukaan kami. Lalu kami bertolak di sebelah pagi.
Allahu Akbar, akibatnya kami terlepas waktu pintu kaabah di buka. Pemegang kunci Kaabah membukanya usai solat subuh dan - dikatakan - ia terbuka sehingga jam 9.00 pagi. Kami pula tiba di sekitar jam 11.50 pagi. Ia pengalaman menarik dan tidak mahu kami lepaskan. Namun begitulah, ia bukan milik kami.
Sekejap tadi, kami sekeluarga selamat kembali ke Madinah. Perjalanan Jeddah - Madinah sepatutnya mengambil masa 3 1/2 jam. Namun saya kepenatan. Dua kali saya berhenti rehat dan tidur. Kata Roza, tidur saya berdengkur! Itulah tandanya tubuh saya semakin tua. Masa muda telah berlalu. Masa yang tinggal pula tidak dapat ditelah dengan sempurna. Sampaikah 10 tahun lagi?
Namun perjalanan kali ini menyaksikan bagaimana penduduk Saudi menghargai air hujan yang membasahi bumi mereka. Di mana air bertakung, di situlah deretan kereta bersusun mengambil ruang. Di sisi kereta, sekeluarga kelihatan berpiknik. Kami memerhatikan betapa ia fenomena unik di sepanjang perjalanan.
Allah ya Allah - di Malaysia - air bertakung bukanlah satu keajaiban. Tasik dan sungai juga sudah tidak begitu dipedulikan. Air terjun sudah jarang dilawati. Ia nikmat depan mata yang ada sepanjang masa. Maka ia seolah-olah menjadi hak secara semulajadi.
Di sini, saya dan Roza menilai kembali apa yang ada di tangan. Mudah-mudahan kami tahu bersyukur - takut-takut - ia ditangisi atau dikesali apabila ia tidak lagi menjadi milik sendiri apabila tiba masanya.
MasyaAllah, kami pulang ke Madinah. Di sinilah beradanya Masjid Nabawi. Ia hanya ada satu di dunia. Ampunilah kami ya Allah jika kami terlupa untuk bersyukur kepadaMu.
18 Muharam 1434
Suhu Madinah berada di bawah paras 20 darjah celcius. Matahari masih mengeluarkan cahaya. Namun kesejukan angin menembusi kulit tubuh sehingga terasa sehingga ke tulang.
20 tahun yang lampau saya berada di Dundee, Scotland. Suhunya lebih sejuk. Kerap berada di bawah paras 10 darjah celsius. Bagaimanapun tubuh saya mampu menerima cuaca tersebut tanpa sebarang masalah.
Kini berbeza.
Hanya ada satu perbezaan ketara, iaitu faktor usia. Dulu saya berusia di sekitar 27-28 tahun. Maka apa yang saya catatkan dalam entri terdahulu tentang 5 faktor sebelum dan selepas nyata benar-benar berlaku. Ketika usia muda banyak perkara yang boleh dilakukan. Daya tahan tubuh sangat tinggi berbanding ketika usia meniti senja.
Sejuk-panas silih berganti di Madinah. Masa berlalu pantas. Datang dan perginya tidak terhalang. Masa itulah yag perlu direnung betul-betul. Apakah yang telah dimanfaatkan?
Nikmat Masjid Nabawi

Berada di Madinah merupakan satu nikmat. Berada di masjid Nabawi merupakan satu nikmat yang lain. Ramai yang berada di Madinah tetapi sukar untuk berjemaah di masjid Nabawi.
Kemudian, nikmat berada di masjid Nabawi boleh membawa pula nikmat bersolat di saf hadapan, berdoa di dalam Raudhah serta sedia melakukan amal ibadat yang lain. Malah bagi mereka yang belajar di sini, mereka berpeluang bersolat, menelaah dan membaca di dalam masjid Nabawi - sekurang-kurangnya - pada sebelah malam.
Begitulah seterusnya bagaimana nikmat itu bertingkat-tingkat bezanya. Satu nikmat yang diberi Allah - selalunya - membawa kepada nikmat yang lain.
Nikmat berada di Madinah membawa juga kemungkinan untuk lebih mudah ke Mekah. Ia juga terpakai kepada mereka yang bermukim di Jeddah atau Yanbo. Kedua-dua kawasan ini secara relatifnya sangat hampir dengan Mekah dan Madinah.
Begitu juga dengan nikmat-nikmat lain yang ada di tangan. Nikmat kesihatan - misalnya - membolehkan kita bangun malam, berpuasa sunat, membaca al-Quran dan terjemahan. Ia amalan yang tidak semestinya bergantung kepada lokasi. Ramai yang berada di kedua Tanah Suci tidak digerakkan hati untuk melakukan ibadat ini.
Malah ada mereka yang berada di Malaysia, Brunei dan Singapura lebih selesa melakukannya dengan penuh keikhlasan.
Di sini, ada yang membesarkan tidur - apatah lagi - ketika menghadapi musim sejuk. Ia kelihatan ujian besar. Saya terasa begitu. Tubuh jadi lemah dengan bisa-bisa sendi. Namun ia perlu dilawan. Biar nikmat yang ada - terutamanya - solat berjemaah di masjid tidak terputus.
Ia perlu dipohon. Jika bergantung dengan kudrat sendiri sudah lama ia berkubur.
Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami untuk meneruskan amal ibadat ini semata-mata kerana Mu. Berikan rasa nikmat yang tidak terhingga dalam menghadapi ujian yang tidak seberapa ini.
Ampunilah kami ya Allah.
19 Muharam 1434
USTAZ MAT - tinggal di Besut - sering dikunjungi apabila berlaku kecurian atau kehilangan barang. Kadang-kala ia mencapai tahap keyakinan melampau. Kenyataan seperti, "cepat pergi rumah Ustaz Mat" apabila berlaku musibah menyebabkan saya terfikir tahap kebergantungan sesama manusia. Ia mungkin boleh menyebabkan akidah tercalar.
Dan tentulah kenyataan perlindungan paling popular ialah "kita berusaha".
Hampir setiap kali pulang ke Besut, Ustaz Matlah yang sering saya cari. Ia bukan kerana mahu menggunakan kepakaran tersebut. Beliaulah tukang urut saya. Urutan beliau sangat menyakitkan tetapi saya tetap bersedia untuk menghadapinya. Pada ketika inilah saya sering bertanya beliau,
"Ustaz, bila orang minta tolong, apakah yang Ustaz lakukan?"
"Bangun malam dan mohonlah pada Allah," ia kenyataan ringkas yang sudah saya maklum. Ustaz Mat yang saya ketahui sememangnya insan yang sangat konsisten bertahajud.
Beliau meminta pada Allah. Tidak ada yang ganjil dengan amalan tersebut. Setiap manusia boleh melakukannya. Malah kenyataan "Kaulah yang aku sembah dan minta pertolongan" disebut-sebut secara konsisten setiap hari. Bila sampai saat diuji ramai yang terlupa dengan ikrar tersebut. Malah hadis qudsi ini sangat relevan.
Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)
Semalam saya tertinggal jaket di kelas. Di dalamnya terkandung handphone "mahal" saya. Lalu saya teringatkan Ustaz Mat, bukan mahu membuat panggilan dan memohon beliau bangun malam dan meminta kepada Allah supaya jaket dan HP agar selamat di mana tempat ia ditinggalkan. Atau jika diambil orang, biarlah digerakkan hati untuk mengembalikannya.
Tidak begitu. Saya terkenangkan amalan beliau. Lalu saya fikir biarlah saya memohon sendiri di Madinah. Ada atau tidak barang yang ditinggalkan - biarlah - bersandarkan kepada keyakinan dan keredhaan dengan apa yang telah berlaku.
Benar, saya tetapkan hati yang Allah Maha Mendengar. Dialah yang satu-satunya yang aku sembah dan mohon pertolongan dalam apa jua keadaan.
20 Muharam 1434
"Siapa yang mengacam penduduk Madinah dengan cara aniaya, maka Allah akan membalas ancamannya, pastilah untuknya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya"
Hadis diriwayatkan oleh Nasa'i dari Said bin Khalad. Dipetik dari buku Sejarah Madinah Al Munawwarah yang disusun oleh beberapa ulama yang diketuai oleh Syaikh Shafiyur Rahman Al Mubarak Furi terbitan Darussalam.
HARI INI, genap seminggu Amirul mengalami peristiwa mendebarkan dalam hidup beliau.
"Amirul kena culik," beliau menangis teresak-esak. Allahu Akbar. Kami sangat terperanjat. Lalu saya memeluk beliau. Ia sesuatu yang tidak pernah atau akan kami fikirkan berlaku di sini.
Kisahnya berlaku ketika beliau berjalan ke masjid. Beliau mahu solat subuh di masjid yang agak berjauhan daripada rumah. Fikirannya mudah. Beliau mahu berjumpa - Omar - rakan berbangsa Cina di kawasan rumah mereka. Ketika tiba di kawasan yang agak gelap, beliau ditangkap oleh tiga pemuda Saudi - di dalam lingkungan 20an - dan dibawa lari dengan sebuah kereta.
Amirul dipukul, diugut dan diancam. Mereka merampas dompet dan jaket. Ketika tiba di suatu kawasan mereka memberhentikan kenderaan dan salah seorang daripada mereka mahu mengambil sesuatu di bonet. Itulah satu saat yang ditunjuk dan digerak Allah untuk melarikan diri.
Kata Amirul, "mereka mengejar tetapi Amirul lari ke arah masjid".
"Amirul, pergi sujud syukur," saya menyatakan kepadanya.
"Sudah... Amirul sujud syukur di masjid," beliau masih menangis. Lalu saya dan Roza terus sujud ke lantai berterima kasih kepada Allah SWT kerana memberi perlindungan kepada anak bujang kami.
Allah ya Allah. Pada hari yang lain saya nyatakan kepada Amirul,
"Tengok bagaimana Allah menjaga Amirul. Amirul minta izin mama untuk pergi ke masjid yang jauh dari rumah kita. Mama tidak benarkan. Amirul ikut hati sendiri. Amirul pergi juga.
Ayah dan mama tidak tahu - kadangkala - kenapa bila Amirul minta izin untuk melakukan sesuatu, ayah dan mama tidak benarkan. Barangkali Allah bagi kelebihan buat ayah dan ibu.
Amirul kena ingat peristiwa ini. Namun ayah gembira kerana Amirul tahu sujud syukur, ingat Allah ketika susah dan tidak lupa ketika terlepas daripada kesusahan tersebut".
Ia berlaku di sini. Dan ia menjadi ingatan yang berbekas.
23 Muharam 1434
SAYA TIDAK SIBUK
TENTU sekali saya tersenyum mendengar cerita tentang keadaan sesetengah isteri yang mengikut suami ke Luar Negara terutamanya mereka yang berkerjaya.
"Saya hampir tiada waktu lapang di Malaysia. Di sini saya tidak tahu apa yang mahu saya lakukan".
Maksudnya mudah, "saya tidak sibuk di sini".
"Cuba hafal lima baris ayat al-Quran sehari. Enam hari - InsyaAllah - akan hafallah surah al-Fajr".
Lalu tolehlah ke belakang dengan masa tidak sibuk yang dianugerah Allah. Habiskah kita membaca terjemahan al-Quran?
Manusia suka menyebut tentang kesibukan dunia mereka. Apalah agaknya yang hendak dibanggakan dengan kesibukan yang tidak berpenghujung. Bila usia pencen pun masih mahu sibuk-sibuk lagi. Kita cari jalan untuk menyibukkan diri.
Ia satu bab dalam buku baru yang sedang ditulis. Mudah-mudahan saya tidak terlalu sibuk untuk menyudahkan buku ini.
ILMU
Terima kasih kepada pemantun yang konsisten menyampaikan pantunnya kepada saya setiap hari walaupun pantunnya tidak dapat dibaca oleh khalayak KRTS yang lain. Maksudnya, Pak Cik Amam menulis kerana Allah dan mahu saya menatap tulisannya. Beliau tidak mempedulikan samada pantunnya tidak kesampaian pada khalayak yang lain.
Terima kasih. Saya membaca tulisan tuan setiap hari.
Entri Amirul di culik juga mengajar saya banyak perkara. Ramai nama-nama yang tidak pernah muncul menulis dan berdoa agar kami sekeluarga sentiasa dipelihara Allah SWT. Malah saya gembira dan bersyukur dengan nama-nama biasa yang menjadi kesayangan saya juga turut bertanya khabar. Buat mereka, tulisan itu tidak penting samada tersiar atau tidak kepada khalayak.
Kebanyakannya berusaha menyampaikan mesej mereka melalui FB, borang pembaca, SMS dan e-mail. Allah ya Allah.... ada yang sampai menghantar mesej melalui kesemua laluan agar ia menjadi doa yang mahu disampaikan. Mereka mahu memujuk hati kami agar tabah menghadapi ujian. Ia membantu terutamanya buat Amirul yang berhadapan dengan jalan kehidupan yang masih panjang.
Tentu sekali ada yang sememangnya berdiam diri dan terus berdiam diri mendoakan keselamatan Amirul dan kami sekeluarga. Kami menghargai doa-doa tersebut. Moga Allah memakbulkannya.
Melalui perubahan blog ini ada ilmu yang saya perolehi. Saya meyakini ada teman yang sangat hampir dengan kami sekeluarga. Moga kita bertemu secara nyata di Syurga Firdaus, InsyaAllah.
22 Muharam 1434
MERAIKAN TETAMU

Pagi hingga malam kami meraikan tetamu. Alhamdulillah saya mempunyai isteri berkuasa kuda. Beliau lahir pada 1967, katanya tahun kuda. Opps... manalah ada kaitan antara binatang dengan tahun kelahiran. Ia tidak masuk logik akal.
Namun Allah memberi kekuatan kepada Roza. Usai solat subuh beliau sudah menyediakan makan pagi untuk anak-anak murid yang mengikuti kuliah fardhu Ain. Ia sarapan ringkas, jemput-jemput bawang dan teh O yang disediakan di dalam termos.
8.30 pagi beliau mula mengajar. Kemudian, saya mengisi slot kedua. Roza terus ke dapur menyediakan Nasi Kabuli berlauk ayam goreng dan daging kerutub untuk anak-anak murid dan ibu bapa bagi makan tengahari.
Di sebelah petang, beliau menurunkan ilmu nasi Maqlubah kepada Puan Noraizah dari Jeddah. Sebagai sampingan, beliau juga menyediakan ayam panggang, sup kambing, spaggeti dan beberapa bahan lain termasuklah salad tuna, jagung manis dan beetsroot. Ia dilengkapi dengan salad serta kek bagi menyambut tetamu di sebelah malam.
Hasilnya begini.
Ini sahaja yang dapat saya lakukan. Terima kasih kerana sentiasa tersenyum walaupun ia satu hari yang memenatkan.
21 Muharam 1434
SAYA TIDAK MUNAFIK
"Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak".
Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.
Munafik jika dilunakkan sedikit bahasanya boleh disebut hipokrit. Namun ia semacam sahaja. Jika orang menuduh kita munafik maka panas hatinya membakar.
Kalau kita mengatakan, "kamu hipokrit," mungkin persahabatan akan berakhir di situ.
Namun saya tidak kisahkan kata atau tuduhan orang. Biar saya menilai diri sendiri tentang nilai munafik yang telah disebut melalui hadis di atas. Ia telah dinyatakan secara jelas sejak berkurun lamanya.
Saya tidak munafik adalah ikrar diri untuk tidak mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan. Ya Allah, jauhkan daku daripada menjadi manusia munafik. Terimalah daku di syurga Mu.
Nota Hadis: Hadis ini diriwayat oleh Imam Bukhari pada sohihnya, kitab: Azan. Ia terkandung dalam bab: Kelebihan solat Isyak secara berjemaah. Hadis nombor 657.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim pada sohihnya, kitab: Masjid dan tempat solat. Terkandung dalam bab: Kelebihan solat berjemaah dan ketegasan pada sesiapa yang meninggalkannya. Hadis nombor 651.
28 Muharam 1434
PERTOLONGAN
Kita sering menyebut, "Kaulah yang satu-satunya yang aku sembah dan mohon pertolongan". Memohon pertolongan daripada Allah SWT adalah satu amal ibadat. InsyaAllah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bagaimana Dia menyempurnakan permohonan tersebut tidak terduga. Ia terbaik di sisiNya. Malah jika tidak disempurnakan di dunia, kemuliaan di akhirat akan dianugerahkan.
Namun kita juga memohon pertolongan sesama manusia. Pertolongan ini berbeza. Bagi mereka yang memohon kepada Allah, mungkin Allah memakbulkan permohonan tersebut melalui seseorang. Hakikatnya, ia masih pertolongan Dia yang Maha Berkuasa. Namun di sana-sini manusia terkhilaf dengan memberi gambaran yang manusia hebatlah yang membantu mereka, misalnya dengan menyatakan "aku kenal MB, PM atau Agong". Ia turut serta dengan rasa hebat yang amat sangat.
Itu bukan isu yang mahu saya ulas.
Saya juga pernah meminta bantuan ramai orang. Misalnya, keinginan saya mahu membina masjid di Somalia dinyatakan kepada Allah SWT. Lalu Allah bukakan pintu hati ramai manusia terutamanya khalayak pembaca KRTS dan FB untuk menderma. Itulah pertolongan Allah. Tentu sekali saya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menderma.
Memohon pertolongan akan berakhir dengan dua atau tiga keadaan. Pertama, permohonan kita dilaksanakan. Kedua, kita mungkin menerima kenyataan, "mohon maaf saya tidak dapat membantu". Mungkin juga mereka yang menerima permohonan berdiam diri dan tidak menyatakan pendiriannya. Hakikat sebenar, jika kita meminta pertolongan orang maka memadai sekali kita menyatakan keinginan tersebut.
Jika tidak ia kelihatan seperti memaksa yang akhirnya boleh menyebabkan terputus hubungan.
Entah, saya fikir begitu!
27 Muharam 1434
PUTARAN
KEHIDUPAN berputar. Kadangkala - kita fikir - sudah jauh kita melangkah tiba-tiba kita berada kembali di mana kita bermula. Namun ada yang terus bergerak dan bergerak ke hadapan - sesekali menoleh ke belakang - sehingga terhadang dengan satu sebutan, KEMATIAN.
Setiap kali berbicara dengan teman-teman di Malaysia - terutamanya rakan UiTM - maka timbul cerita-cerita lama yang berkaitan. Saya dibesarkan di UiTM, bertemu jodoh dan pernah mencari sesuap nasi melalui UiTM. Hampir 30 tahun di sana. Jika umur meninggal saya 60 tahun maka 50 peratus masa utama kehidupan berada di UiTM.
Tangga kerjaya saya hampir ke puncak. Melintasi hiraki kepimpinan utama universiti dan berpeluang memberi nasihat keada Naib Canselor, mentadbir sebuah kampus, fakulti dan pusat serta pelbagai jawatan pentadbiran yang lain.
Alhamdulillah, di sini saya mempelajari dengan jelas putaran kehidupan. Misalnya, tugas-tugas pentadbiran akademik seperti Dekan, Rektor, Ketua Jabatan atau jawatan Naib Canselor sekalipun merupakan jawatan sementara. Ia jawatan kontrak dan bukannya hakiki. Bila sampai masanya, pulanglah mereka dengan jawatan hakiki, misalnya profesor, profesor madya ataupun pensyarah kanan.
Bayangkanlah, ketika menjawat jawatan pengarah kampus - kini disebut Rektor - saya akan disalute setiap kali keluar-masuk kampus. Setiap patah perkataan perlu dipatuhi dan didengari. Segalanya tersedia dengan pelbagai kemudahan.
Malah saya menjaga bajet puluhan juta. Sebut harga yang bernilai bawah RM500000 dikawal saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga. Pengambilan staf untuk kampus sendiri di bawah kawalan dan seliaan rektor kampus. Begitulah - sepintas lalu - kuasa sementara yang dipinjamkan. Malah banyak kuasa tersembunyi yang lain dimiliki oleh seorang ketua jabatan. Di mata masyarakat rektor atau pengarah kampus adalah jawatan gah.
Allah ya Allah, logiknya ada yang jadi gila dengan jawatan ini. Terselit di hati keinginan untuk mengekalkan jawatan yang sememangnya ujian daripada Allah SWT. Ramai yang tewas. Lalu bila hampir sampai ke bulan-bulan terakhir tempoh perkhidmatan maka usaha melobi akan berjalan. Diam-diam jawatan sekecil ini boleh pergi sehingga ke Menteri, Menteri besar dan pelobi-pelobi yang mengharapkan balasan. Pada ketika inilah juga surat layang melayang-layang. Saya pernah melalui dan menyaksikan drama seumpama ini.
Lalu akhirnya putaran kehidupan akan muncul. Kita terduduk kerana belum bersedia untuk kembali kepada tugas hakiki. Kita masih mengharapkan disalute, memperolehi kuasa untuk mengambil sesen-dua atau membantu kaum keluarga yang hampir.
Saya selalu berpesan kepada rakan-rakan, jawatan begini usah dicari. Jika dihulur, sambut dan terima serta bekerjalah kerana Allah. Bila sampai masanya, beredarlah dengan penuh kemuliaan dan penghormatan. Nanti kita akan dihitung satu persatu dengan apa yang telah kita lakukan.
Saya juga berpesan, "jangan lupa bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa, berdoa, bermunajat dan meminta pertolonganNya. Jangan lupa solat berjemaah bersama staf dan siswa-siswi di masjid. Ajaklah mereka untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau benarkanlah mereka untuk bersolat Dhuha 5-10 minit dan setiap program utamakan solat mengatasi segala-galanya".
Kami mohon keampunan Allah.
26 Muharam 1434
MERINDUI

BILA BERJAUHAN nilainya berbeza. Sate juga begitu. Ia bukan kerap diperolehi. Malah untuk menyediakan sate di Madinah setara dengan rasa seumpama sate Kajang tentu sekali sukar.
Hari ini kami sekeluarga - kecuali Sofea - berpuasa Nabi Daud. Berbuka di masjid dengan hanya bekal dipoket. Tamar serta air Zam-zam. Bila pulang dari Haram, kami dikejutkan dengan makan malam yang istimewa. Sate dan Mee Mamak.
Ia bukan Nasi Arab.
Saya menghargainya. Itulah tandanya ada unsur-unsur merindui masakan asal usul.
SENARAI BUKU
Kami menerima banyak pertanyaan tentang senarai buku yang ditulis oleh saya dan Roza. Saya catatkan di bawah. Semoga ada manfaat.
Buku tulisan Roza Roslan:
1. Travelog Cinta Abadi, 2. Travelog Impian Abadi, 3. Travelog Kehidupan Abadi. Terbitan PTS.
25 Muharam 1434
BERDOA
PERTANYAAN menarik, "semua doa Prof dimakbul Allah?". Jawapannya juga - agak saya - semenarik soalan, "Ya, dengan izinNya dan mengikut aturanNya".
Konsep berdoa ini sudah acap kali saya tulis melalui catatan di KRTS, buku Travelog Haji, Tip Motivasi Haji dan Bersyukur Saat Diuji. Malah melalui manuskrip yang sudah ada di tangan penerbit, Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar berkonsepkan doa sebagai satu ibadat. Cuma ia tidak dinyatakan begitu secara jelas. Tajuk itu sendiri sepatutnya, Berdoalah: DIA Maha Mendengar. Namun kerana ia disampaikan berdasarkan kisah benar maka Anekdot muncul.
Malah dalam tulisan terbaru, Kitab Hadis Moden yang sepatutnya siap lebih awal juga ada menceritakan bab berdoa. Doa sangat sinonim dengan kehidupan manusia. Manusia suka meminta dan permintaan mereka pelbagai. Kadangkala aneh. Seorang ahli politik, doanya berkait dengan mahu menjadi pemimpin. Kalau boleh mahu jadi PM. Ia sangat penting. Mereka yang sedang belajar di peringkat PhD, doanya berkait dengan kemudahan dan laluan PhDnya.
Malah saya sendiri berdoa hampir sepanjang masa. Misalnya, jika mahu menyampaikan kuliah atau tazkirah, hampir sepanjang perjalanan saya memohon, "Ya Allah lembutkanlah lidahku, lancarkanlah tutur kataku, mudahkanlah penyampaianku dan mudahkanlah pemahaman khalayak pendengar. Terkesankanlah hati mereka agar mereka hampir kepada Mu. Aku lakukan ini semata-mata kerana Mu ya Allah. Jadikanlah ia sebagai ilmu yang bermanfaat".
Saya juga berdoa apabila menulis catatan ini. Berdoa menulis buku dan berdoa mahu kekal tinggal di Madinah. Namun saya nyatakan kepada Allah SWT, "jika itu yang terbaik di sisi Mu ya Allah". Hakikatnya, bangun tidur berdoa, mahu tidur berdoa, ke pejabat berdoa..... Ia - sebenarnya - berkisar kepada permohonan agar Allah mengampunkan segala dosa. Allah ya Allah semuanya meminta, meminta dan meminta.
Namun saya selalu meminta untuk masuk syurga tanpa dihisab dengan rahmatNya. Mahu berjumpa kembali dengan Roza, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea di syurga yang paling istimewa. Juga, mahu Ayah dan Wan, Mak dan Abah, adik-beradik, ipar-ipar dan kesemua orang yang saya sayangi berkumpul di sana. Di hujungnya, biarlah kaum muslimin dan muslimat - juga - berada di sana.
Maka bila meminta ia perlu dilengkapi dengan bersyukur. Inilah putaran yang perlu dipatuhi sebagai seorang hamba kepada PenciptaNya. Doa kita - dengan IzinNya - memang dimakbulkan kerana kita yakin Dia memenuhinya dengan apa yang TERBAIK DI SISINYA. Ia bukan apa yang kita pohon secara mutlak.
Maka berdoa menjadi sebagai satu amal ibadat yang mendekatkan diri kepadaNya dan bukan menjadikan kita manusia yang kecewa, hampa dan berputus asa dengan doa-doa yang kita pohon.
24 Muharam 1434
LETIH
KAMI meraikan masa rehat semalam dengan menyambung puasa Nabi Daud. Duduk bersantai-santai sambil mengadap komputer dengan membaca mesej FB, laman web dan mencatat beberapa fakta untuk menulis buku yang sedang dikarang. Cuaca sejuk memerlukan kami berselimut.
"Yang, awak sudah solat Dhuha?," ia pertanyaan rutin hampir setiap hari apabila tiba masanya. Ia menjadi lebih kritikal apabila cuaca sejuk dan waktu terbit matahari agak lewat daripada hari-hari biasa.
Mengingati atau saling ingat-mengingat antara suami-isteri dalam konteks amal ibadat menjadi sangat manis dan signifikan. Ia boleh menjadi faktor motivasi yang tidak disedari. Malah saya sangat teruja membaca satu hadis direkodkan oleh Abu Daud yang menjadikan amalan bangun malam seolah-olah sebagai pengikat kasih-sayang di antara suami-isteri. Baginda Rasululllah SAW menyatakan,
"Allah SWT sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya".
Allahu Akbar, mudah-mudahan kita dan pasangan kita akan bertemu kembali di syurga Firdaus sebagai balasan atas ikatan kasih-sayang dan saling cinta-mencintai di dunia dalam konteks beramal ibadat kepada Allah SWT.
Tiba-tiba saya mendapat panggilan,
"Kami berada di Madinah. Baru sampai dari Malaysia.... Besok akan bertolak ke Jeddah"
Saya terbayang kami sudah melayani tetamu sepanjang hari yang terdahulu. Lalu saya bertanya Roza,
"Ada tetamu dari Malaysia. Hanya malam ini mereka berpeluang berjumpa kita. Awak mahu memasak atau kita makan di luar sahaja?"
"Emm.... masaklah. Bahan untuk nasi Gidra sudah tersedia. Cuma maklumkan kepada saya berapa orang yang akan datang," Roza menyatakan kesanggupannya. Bilangan tetamu merupakan isu besar buat Roza.
Lalu saya SMS semula dengan menyatakan persetujuan kami untuk menerima mereka sebagai tetamu.
Di parking 11A saya bertanya, "mana seorang lagi, kata bertiga".
"Rakan saya letih, beliau mahu berehat".
Saya mendiamkan diri. Saya fikir mudahnya memberi alasan atau senangnya manusia melanggari janji.
Ketika usai makan saya nyatakan secara terus-terang,
"Jika saya bersetuju menerima tetamu bermakna kami memberi penghormatan yang sangat tinggi kepada tetamu kami. Kami bersedia. Saya terkejut apabila tuan memberi alasan rakan tidak dapat hadir kerana letih. Tuan nyatakan tiga orang maka kami bersedia untuk tiga orang. Kita selalu memikirkan diri sendiri tanpa memikirkan perasaan orang. Kita ambil mudah. Malah kita tidak mengambil kesungguhan untuk memaklumkan jika ada perubahan.
Begitu juga dalam melakukan amal ibadat. Ia memerlukan disiplin, keutamaan dan kesungguhan. Kita tidak boleh ambil mudah. Letih bukan alasan untuk tidak solat berjemaah ke masjid. Merangkak sekali pun mereka perlu ke masjid (nota: bacalah entri terdahulu yang bertajuk Saya tidak Munafik). Orang terlantar sakit pun perlu bersolat. Ia ada aturan dan perturannya".
Letih?
Mudah-mudahan kami tidak letih untuk melayani tetamu dan menyampaikan sesuatu yang akan menjadi ingatan dan ilmu bermanfaat kepada mereka dan kami sekeluarga.
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki