UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

16 - 30 Safar 1434

  • Takut dan Gentar

    29 Safar 1434

    Sheikh Ghamdi terhenti dan sebak ketika membaca surah Al-Ghaffir (Al-Mukmim, surah 40, juz 24) ketika mengimami solat subuh di Haram pagi tadi. Beliau terhenti ketika tiba pada ayat ke 18.

    Saya turut berasa getarannya walaupun tidak langsung memahami maksud ayat yang dibaca. Namu saya terasa-rasa yang ia kisah pembalasan pada hari Kiamat.

    Saya terus membuka Quran Exporer bagi mengetahui maksud ayat-ayat tersebut. Subhanallah, inilah maknanya,

    "Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.

    Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. Dan Allah memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat".

    Usai solat saya terus ke ruangan solat jenazah. Ada tiga jenazah semuanya, dewasa dan kanak-kanak. Ajal maut tidak mengenal usia. Terasa sebak di dada apabila mengusung salah satu jenazah keluar masjid. Saya terfikir - Ya Allah, bagaimana kami di hari penghakimanMu?

    Kemudian saya melihat Sheikh Ghamdi diiring keluar daripada Haram. Beliau berada berhampiran dengan laluan saya. Spontan saya hulurkan tangan bersalam dengan beliau tanpa dihalang oleh polis bertugas. Sesuatu yang jarang berlaku. Beliau tersenyum dan saya gembira kerana dapat menatap wajah Imam yang sebak, takut dan gentar apabila membaca ayat-ayat amaran Allah SWT.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

    28 Safar 1434

    Kami - saya dan Roza - adalah pesara kerajaan Malaysia. Dijangka, tahun ini merupakan tahun terakhir kami bertugas di Universiti Taibah. Ia kelihatan semakin nyata. Lalu kami akan bersara lagi.

    Alhamdulillah, ia memberi ruang masa untuk kami berfikir dan merencanakan perjalanan kami seterusnya terutamanya pendidikan anak-anak. In'sya Allah - ia keputusan terlebih awal - Amirul akan melanjutkan pelajarannya ke Sudan sehingga ke peringkat universiti. Kami mahu beliau mendalami bahasa Arab dan al-Quran tanpa meminggirkan ilmu-ilmu yang lain.

    InsyaAllah juga beliau akan menduduki peperiksaan tingkatan 3 di kedutaan Sudan pada bulan Mac nanti. Kemudian, kami sekeluarga akan ke Sudan menghantar anak manja kami ini untuk memulakan penghidupan beliau di sana. Ia pada bulan Julai.

    Tentu sekali kami terkejut dengan kesediaan Amirul untuk berhijrah ke negara tersebut. Ia sungguh luar biasa buat anak ini yang sentiasa memanjakan dirinya. Begitulah ketentuan Allah SWT yang telah mematangkan kehidupan Amirul setelah berada hampir dua tahun di Madinah. Saya selalu menyatakan kepada beliau,

    "Amirul anak yang sangat istimewa. Amirul dilahirkan di United Kingdom, belajar di Madinah dan - InsyaAllah - akan merantau ke Sudan. Kini ayah memahami kenapa Allah SWT mengizinkan ayah dan mama tinggal di Madinah".

    Kami selalu berdoa agar Amirul mempunyai jalan kehidupan terbaik. Namun - selalunya - kami buntu.Dia tidak pernah konsisten dengan kemahuan sendiri. Suatu hari beliau pulang dari sekolah dan bercerita:

    "Tahun hadapan sekolah akan ditutup. Abla Tis'am mahu pulang ke Sudan. Abla menunggu Amirul habiskan peperiksaan. Abla mahu Amirul ikut dia pulang ke Sudan".

    "Amirul mahu?," saya pantas bertanya. Beberapa tahun yang lampau saya dan Roza selalu memikirkan mahu menghantar Amirul ke Yaman atau Sudan terutamanya ketika beliau memasuki sekolah agama di Muar. Ia perancangan tanpa mengetahui bagaimana mahu melaksanakannya.

    MasyaAllah, Allahu Akbar, Subhanallah.... ia kelihatan apa yang kami rancang diperkenan Allah. Namun jalannya sungguh luar biasa. Kami dipindahkan ke Madinah, berkenalan dengan beberapa nama dari Sudan dan akhirnya mereka menjadi guru Amirul dan Sofea yang sangat komited.

    Aturan Allah terbaik. Tiada siapa yang dapat merancang lebih baik daripadaNya. Mengenangi kembali tempoh dua tahun berada di Madinah - InsyaAllah - menambah lagi keimanan dan keyakinan betapa Allah itu Maha Berkuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

    Benar sekali, jika berhadapan dengan ujian, sabar dan solat. Malah di sebalik kesusahan atau kesulitan pasti ada kemudahan. Namun kemudahan itu - kadangkala - tidak terjangkau dek akal manusia.

    Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

    27 Safar 1434

    26 Safar 1434

    NOTIS

    Ringkas.

    Minggu peperiksaan. Musim sejuk. Dan utamanya kesihatan yang tidak menentu. Cuaca sejuknya tidaklah memerlukan kita memakai termal atau baju sejuk. Ia nyaman.

    Tiba-tiba ia menangkap tulang. Tiba-tiba juga ia terus menangkap satu ruang di dalam otak.

    Begitulah tanda-tanda tubuh yang semakin tua. Dan saya teringat perbualan dengan Pak Long, "Alhamdulillah kalau sedar kita sudah tua. Itu notis. Manusia memerlukan notis".

    Opss.... saya menerima banyak notis yang signifikan.

    Misalnya, ketibaan Azrai membawa sekali notis dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia yang saya masih berhutang sebanyak RM6052.

    Ia notis yang penting bersekali dengan notis tua yang tidak bertulis.

    RINDU ADIK

    24 Safar 1434

    Sepanjang hari sejuk. Sofea demam. Amirul juga hanya berselimut. Otak beku. Ia menyelinap ke tulang.

    Namun ada yang meriakan kami sekeluarga. Esok, Abang Ngah - Haris Azrai - berkunjung ke Madinah, InsyaAllah.

    Semoga semuanya selamat.

    SUKAR

    22 Safar 1434

    Malam tadi saya menerima tetamu. Saya tertarik dengan ungkapannya betapa Islam itu mudah. Lalu beliau bertanya, "tidakkah dakwah prof mengajak orang berpuasa Nabi Daud, bangun malam itu akan menyebabkan orang berfikir yang Islam itu susah?"

    "Perasaan itulah perlu dibuang dan dikikis betapa beramal ibadat itu susah. Siapa yang rasa susah, ia jadi susah".

    Tugas kita untuk menyatakan ia mudah. Perlu dijelaskan yang ia boleh dilakukan. Membuktikan ia mudah. Malah berdoa supaya ajakan kita itu menjadi mudah. Tugas kita menyampai dan kita sampaikan dengan hati dan perasaan. Lalu jika mahu menyampaikan kepada orang lain, amallah terlebih dahulu.

    Mungkin, jika berdakwah dengan orang kafir, pendekatannya berbeza. Kita tidak membicarakan amal secara spesifik. Ia perlu bermula dengan tauhid. Di sini, saya mengajak - terutamanya - kepada orang yang menunaikan fardhu haji dan umra

    h. Ramai di antara kita yang sudah sampai pada usia hujung.

    Malah saya nyatakan..... "ia hanya amalan sunat. Itulah mudahnya Islam. Terpulanglah... siapa yang rasa susah tidak perlu melaksanakannya. Saya cuma mengajak."

    Namun saya tetap mahu memberi motivasi sehingga terpaksa mengeluarkan hujah terakhir yang Allah kurniakan dalam berdakwah,

    "Amirul berumur 14 tahun. Beliau puasa nabi Daud......"

    Saya mohon keampunan Allah.

    20 Safar 1434

    Hadis 14: Memuliakan Tetamu

    "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya".

    Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar.

    Tetamu selalunya dikaitkan dengan mereka yang berkunjung ke rumah. Mereka – kebiasaannya – orang yang kita kenali. Ada ketikanya rakan sejawat. Ada masanya kaum keluarga. Ia mungkin juga jiran tetangga. Namun – bagi saya – tafsiran tetamu sangat luas sifatnya. Saya fikir kesemua hamba ciptaan Allah adalah tetamu umum dunia yang perlu dimuliakan. Dunia adalah tempat persinggahan sementara. Kita bertandang sejenak sebelum beredar pergi. Kita sesama kita adalah tetamu dalam dunia masing-masing.

    Itu adalah falsafah umum peribadi setelah melalui pelbagai perjalanan kehidupan menjadi tetamu mereka yang lain. Saya melihat bagaimana dunia masa kini – sebenarnya – masih terdapat insan berhati mulia yang meraikan tetamu mereka sesungguh hati. Apabila terasa dimuliakan, maka itulah pengajaran semulajadi anugerah Allah SWT yang melekat di minda. Hati terkesan dan jiwa menjadi lembut dengan pengalaman sebegitu rupa. Jika orang boleh melakukan begitu, kenapa tidak kita? Itulah rasa umum dalam bab meraikan tetamu sebelum saya membaca, mengkaji, memahami dan menerima penerangan secara khusus berkaitan hadis di atas.

    Ada banyak peristiwa lampau berkaitan menjadi tetamu yang berbekas di hati. Namun di antaranya saya terkenang bagaimana kami sekeluarga di sambut oleh universiti Dundee – sebagai tetamu Luar Negara – ketika melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Perjalanan panjang Subang Jaya – London – Edinburg – Dundee sejauh 10700 KM dan hampir 20 jam masa keseluruhan sangat meletihkan. Namun ia terasa reda dan lega dengan layanan sambutan staf universiti.

    Mereka tidak menjangka akan menerima kedatangan kami pada hari tersebut. Pegawai bertugas tersenyum manis dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan rumah penginapan. Ia menggambarkan bagaimana mereka sangat memuliakan tetamu walaupun kami hanyalah seorang pelajar. Barangkali ia polisi kualiti universiti yang diamalkan oleh individu di dalam organisasi tersebut. Mereka tidak bersedia tetapi urusan kehadiran kami dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Allahu Akbar, ia melekat di hati sehingga ke hari ini walaupun ia sudah berlalu hampir 20 tahun (nota: kami tiba di Dundee pada hujung 1993).

    Kedua – semasa di Dundee – kami menerima undangan menjadi tetamu kepada keluarga penduduk tempatan. Ruth berasal dari England, manakala suaminya pula penduduk asal Scotland dan kakitangan universiti. Keduanya beragama Kristian. Ia bermula dengan pertayaan ringkas Ruth kepada Roza yang mahu membawa kami sekeluarga ke rumah beliau bagi menikmati makan malam. Roza bersetuju.

    Kami terpesona dengan cara mereka mengendalikan jemputan tersebut. Terasa benar kami dimuliakan walaupun tempoh perkenalan yang amat singkat. Pada suatu petang, Ruth berkunjung ke rumah untuk mengesahkan kehadiran. Beliau bertanya beberapa soalan ringkas, "bagaimana dengan pengangkutan? Jika tidak berkenderaan, mahukah saya menjemput anda? Bagaimana dengan makanan halal dan haram? Apakah permintaan kamu sekeluarga terhadap penyediaan makanan?". Beliau meninggalkan lakaran peta ke rumah mereka sebelum beredar.

    Begitu sekali. Seumur hidup kami tidak pernah diraikan sebegitu rupa. Saya rasa teruja dan dimuliakan.

    Ketiga, kami sekeluarga dimuliakan oleh rakan sejawat ketika tiba di Wales melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Kami telah dijemput di Lapangan Terbang Manchester, di bawa pergi ke rumah beliau di Menai Bridge, Bangor dan menjadi tetamu mereka hampir dua minggu. Fuad dan Nor sekeluarga melayani kami seperti saudara sendiri. Ia tidak dinyatakan tetapi layanan hati pasti pergi ke hati. Saya tidak tahu samada ia berdasarkan apa yang telah disebut-sebut dengan adab melayani tetamu di dalam Islam sebagaimana yang ditulis di dalam kitab-kitab atau artikel yang berkaitan dengan topik ini.

    Namun Fuad dan Nor menyambut kedatangan kami dengan wajah manis, gembira dan seolah-olah sudah berbulan menunggu-nunggu kedatangan kami. Mereka bertanya khabar, menyediakan tempat tidur yang selesa serta makan-minum yang terlalu istimewa buat kami sekeluarga. Mereka langsung tidak menyebut atau membincangkan kesukaran atau masalah yang sedang mereka hadapi. Ia tersembunyi sepanjang kami bersama mereka.

    Kami benar-benar berasa selesa dan dimuliakan. Benar – kini – kami mengetahui melalui pembacaan dan sebutan di kuliah-kuliah yang telah saya hadiri betapa para ulama menjelaskan bahawa tempoh bertamu yang disyariatkan oleh syarak adalah selama tiga hari. Hanya semalam berada pada tahap wajib melayani tetamu secara terbaik mengikut kemampuan. Selebihnya, disyariatkan melayani tetamu dengan apa yang ada di rumah sahaja. Allahu Akbar, Fuad dan Nor melayani kami melebihi standard yang telah saya nyatakan selama 14 hari. Kami memohon kepada Allah agar memberi kemuliaan dan penghormatan kepada mereka dan keluarga di Jannah.

    Namun pelajaran memuliakan tetamu melalui pengamatan – sebenarnya – bermula lebih awal. Saya mempunyai seorang ibu – Wan – yang telah melahirkan 12 anak secara berterusan. Hampir seluruh kehidupannya bersama anak-anak. Bila anak-anak membesar, remaja dan dewasa, mereka membawa sahabat-handai ke rumah. Allahu Akbar, Wan melayani tetamu yang dibawa ke rumah setanding anak-anak sendiri. Beliau memasak makanan yang menjadi kesukaan anak-anak – misalnya nasi dagang – walaupun leceh, rumit dan mengambil masa untuk dihidangkan kepada tetamu.

    Bila pulang Wan akan menghadiahkan kain pelikat kepada tetamu lelaki atau kain sarung kepada tetamu wanita. Malah bukan menjadi kepelikan untuk tetamu menerima 10 kilo beras Siam Wangi sebagai tanda mata sebelum mereka beredar pergi. Jelas, rakan-rakan yang pernah hadir ke rumah kami sentiasa berkirim salam dan doa buat Wan. Mereka mengingati beliau atas layanan istimewa yang telah diterima semasa bertamu di rumah kami.

    Wan telah lama pergi. Saya tidak pernah bermimpikan Wan pasca peninggalannya. Namun Roza – menantunya – acap kali bertemu Wan melalui mimpi-mimpi yang diceritakan. Setiap kali, Roza melihat Wan berada di dalam rumah besar yang dihiasi dengan cahaya berlian dan mutiara. Rumahnya sentiasa dipenuhi tetamu. Ia seolah-olah gambaran Wan memberi makan kepada kesemua tetamunya dengan senyum simpul.

    Benar, mimpi hanyalah mainan tidur. Ia tidak boleh dijadikan hujah. Malah ia tidak pula membawa sebarang erti bagi kami manusia biasa-biasa yang sangat kerdil di sisiNya. Namun mimpi yang indah seumpama itu tetap memberi keseronokan dan harapan. Ya Allah, binalah mahligai indah buat Wan, anak-anaknya dan suami serta kaum keluarga dan tetamu-tetamu yang telah beliau raikan di Jannah.

    (Artikel penuh boleh dibaca dalam bab yang sama melalui buku Kitab Hadis Moden yang sedang dalam penulisan dan - In'syaa Allah - bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu)

    Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya melalui kitab: Adab di dalam bab: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ia hadis bernombor 6018 dan 6019.

    Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim pada sohihnya melalui kitab: Iman, di dalam bab: Memuliakan tetamu, jiran dan melazimi diam kecuali untuk perkara-perkara yang baik. Semuanya itu sebahagian dari Iman. Ia hadis bernombor 82.

    Hadis ini dibaca melalui hadis yang lebih panjang sabdanya, "sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau berkata baik atau beliau diam. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya".

    19 Safar 1434

    Menghargai Apa yang Ada

    Mendapat nikmat berada di Madinah tidak semestinya mendapat nikmat berada di Masjid Nabawi. Ia sama sekali tidak sama.

    Hakikatnya, kami sendiri tidak tahu berapa lama berpeluang untuk menikmati kehidupan di Madinah dan boleh berada di dalam masjid Nabawi sebagaimana yang kami rasakan sekarang. Nanti kami tidak mahu terfikir-fikir dan terkenang yang pernah tinggal di sini tetapi tidak menggunakan kesempatan yang ada sepenuhnya.

    Allahu Akbar.

    Fakulti kami - Universiti Taibah - sudah membuat keputusan. Mulai semester depan bahasa pengantarnya kembali kepada bahasa Arab. Saya fikir ia keputusan bijaksana khusus untuk warga mereka. Ilmu lebih mudah disampaikan dalam bahasa yang mudah mereka fahami. Hakikatnya, al-Quran itu sendiri diturunkan dalam bahasa Arab.

    Namun kesan langsung terkena kepada kami. Ia bukan sesuatu yang kami mahukan walaupun ia sudah dapat dirasakan sejurus kami mendarat di sini.

    Tentu sekali kami kembali kepadaNya agar memimpin kami membuat pilihan yang tepat. Apapun - buat sementara waktu - saya mahu menikmati sepenuhnya berada di bumi berkat yang menjadi impian ramai orang.

    Kita menghargai nikmat yang sedia ada. Nikmat masa hadapan akan kita tempuhi jua.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

    19 Safar 1434

    Hadis 13: Memuliakan Jiran Tetangga

    "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan jiran tetangganya".

    Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar.

    Jiran di sebelah rumah merupakan keluarga yang paling hampir. Suasananya begitu. Ia menjadi lebih ketara apabila melihat design kawasan perumahan moden yang benar-benar kelihatan bersebelahan, bertemu belakang atau berhadapan di sempadani dengan jalan yang hanya beberapa kaki ukurannya. Malah kedudukan unit-unit di dalam apartment, kondo atau flat juga menjanjikan jarak yang lebih rapat. Jika terjadi sesuatu yang memerlukan bantuan segera maka merekalah – jiran tetangga – yang paling segera (pantas) boleh dituju.

    Jiran tetangga adalah kehidupan bernyawa mempunyai hati dan perasaan. Lalu itulah ujian berjiran yang paling besar. Tersentuh hati, mati. Tersentuh rasa, binasa kerana – kebiasaannya – itulah tempat tinggal bersama menunggu masa dipanggil pulang jika kediaman itu merupakan hak sendiri. Allah ya Allah – dalam keadaan biasa – jiran tetangga boleh menjadi seperti sanak-saudara rapat yang sentiasa dirindui. Ia juga boleh menjadi musuh paling ketat yang sangat dibenci. Namun bagi mereka yang mahu memahami dan menghayati hadis yang tercatat di atas – In'sya Allah – kehidupan bersama jiran tetangga diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

    Islam itu tersangat indah. Membaca dan menghayati hadis ini lebih memudahkan saya menilai dan merasai kebesaran dan kehebatan Allah SWT melalui hubungan sesama manusia. Allahu Akbar, bayangkanlah bagaimana Islam mengaitkan hubungan sesama jiran tetangga dengan sifat-sifat mereka yang beriman denganNya serta hari akhirat. Dunia sepatutnya aman damai jika setiap muslim mengamalkan apa yang disarankan melalui hadis ringkas dan mudah faham ini. Malah hubungan ini juga terkandung secara jelas melalui ayat 36, surah An-Nisa' yang bermaksud,

    Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.

    Jiran tetangga mempunyai hubungan yang sangat signifikan dalam hidup kami sekeluarga. Saya memahami erti memuliakan jiran tetangga melalui pengalaman hidup yang pelbagai. Misalnya, pada awal usia perkahwinan kami tinggal di kawasan rumah teres berangkai Subang Jaya. Kedua-dua jiran kami – kiri dan kanan – merupakan keluarga Cina beragama Buddha. Hidup di kota nyata berbeza berbanding di kampung halaman. Dalam sehari hanya beberapa detik kami bersua muka, bertegur sapa atau bertanya khabar. Tambah-tambah lagi waktu kerja saya bermula jam lima petang sehingga ke malam. Ia waktu ganjil.

    Pengalaman berjiran kami sangat menarik. Jika hari hujan, pakaian di ampaian sudah sedia terangkat. Jiran di sebelah kiri – isterinya suri rumah sepenuh masa – membantu dengan kerelaan hati. Ia kelihatan kecil tetapi menyentuh hati. Apatah lagi mereka berlainan bangsa dan agama. Pertolongan yang dihulurkan – saya fikir – berdasarkan hak atau perasaan tanggungjawab terhadap jiran tetangga. Hakikatnya, mereka memuliakan kami walaupun mereka berupaya untuk memilih sikap tidak ambil kisah terutamanya dengan gaya hidup kota. Tidak siapa kisah dan peduli jika ia tidak dilakukan.

    Kemudian, ketika isteri mengandungkan anak pertama, kami mengalami kemalangan. Kereta saya terpaksa berada di bengkel hampir sebulan lamanya. Setiap hari isteri – Roza – menunggu teksi untuk ke pejabat. Saya tahu ia suasana yang agak tidak selesa buat beliau tambahan pula ketika berada pada tahap awal kehamilan. Roza menghadapi morning sickness.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

    Jiran di sebelah kanan memerhati keadaan. Lalu beliau bertanya khabar serta menawarkan pertolongan. Kami menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkan beliau dan keluarga.

    Saya jiran anda. Inilah tugas saya ketika jiran ditimpa bencana. Tidak. Awak kena terima pertolongan kami.

    Kami terkedu. Ia menyentuh hati. Itulah tugas beliau bersama isterinya setiap hari menghantar Roza ke pejabat. Hampir sebulan lamanya. Kedua-dua jiran kami ini sangat baik budi pekertinya. Kami hidup dalam suasana harmoni, aman damai dan saling bantu membantu. Sehingga ke hari ini kami masih mendoakan agar mereka diberikan taufik dan hidayah untuk mengenal Allah SWT dan seterusnya bersama-sama bergerak menuju ke Jannah. Dalam konteks kami, itu sahaja yang mampu kami lakukan setelah lebih 25 tahun tidak bertemu muka.

    Allahu Akbar, bayangkanlah jika kita sesama muslim yang memuliakan jiran tetangga dengan sentiasa mendoakan kerahmatan dan keberkatan sesama sendiri. MasyaAllah – In'sya Allah – ia doa yang berpanjangan dan mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan mereka yang beriman dengan Allah SWT dan hari kiamat.

    Kami juga mempunyai jiran tetangga – Melayu Islam – ketika bertugas di Segamat, Johor. Di belakang rumah – Maznah dan keluarga – yang hanya berdindingkan pagar ringkas. Malah kami boleh menyelit di antara dinding dapur rumah kami untuk bertukar-tukar juadah. Di sebelah sisi pula kami berjiran dengan – Adib dan Shima – yang bersempadankan jalan raya. Di hadapan rumah masih tidak berpenghuni dan sebelahnya pula hanya didatangi sesekali pada hujung minggu.

    Allahu Akbar, kami berjiran ketika Allah telah mengizinkan kami menghayati hadis di atas. Kami mahu mengamalkannya. Malah kami bertekad mahu termasuk dalam golongan mereka yang memuliakan jiran tetangga agar memenuhi kriteria sebagai mereka yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat. Ia tindakan di dalam sedar dengan kewujudan hadis ini. Hakikatnya, kita tidak mempunyai pilihan lumayan dalam soal hubungan sesama manusia. Jiran tetangga mudah terdedah kepada pelbagai isu yang boleh menyebabkan hubungan menjadi tidak sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Samada kita yang tersilap atau mereka yang terkhilaf bukanlah isu yang perlu diperdebatkan. Kita mahu menjadi golongan terbaik di sisiNya.

    Pada ketika ini saya sudah memahami dengan pelbagai hak yang ada pada setiap individu yang berjiran. Misalnya, jiran tetangga muslim yang mempunyai hubungan keluargaan mendapat hak sebagai jiran tetangga, berhak sebagai orang muslim dan akhir sekali sebagai ahli keluarga. Begitulah seterusnya, mereka yang berjiran sesama muslim mempunyai hak atas dua perkara iaitu, hak sebagai jiran dan hak sebagai saudara seagama. Akhir sekali, mereka yang berjiran dengan orang kafir, mereka – jiran – tetap mendapat hak sebagai jiran tetangga. Allahu Akbar, saya terpesona dengan aturan yang telah diajar oleh Islam yang menjanjikan suasana harmoni, aman dan damai. Jika diperhalusi, berdasarkan hak-hak yang telah dijelaskan, jiran tetangga adalah pembolehubah yang sentiasa mempunyai keistimewaan tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan. Begitulah kemuliaan jiran tetangga yang perlu dipeliharakan.

    Isunya bagaimana mahu melaksanakan kemuliaan ini?

    (Artikel penuh boleh dibaca dalam bab yang sama melalui buku Kitab Hadis Moden yang sedang dalam penulisan dan - In'syaa Allah - bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu)

    Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya melalui kitab: Adab di dalam bab: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ia hadis bernombor 6018 dan 6019.

    Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim pada sohihnya melalui kitab: Iman, di dalam bab: Memuliakan tetamu, jiran dan melazimi diam kecuali untuk perkara-perkara yang baik. Semuanya itu sebahagian dari Iman. Ia hadis bernombor 82.

    Hadis ini dibaca melalui hadis yang lebih panjang sabdanya, "sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau berkata baik atau beliau diam. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya".

    18 Safar 1434

    MATA

    Saya mula memakai cermin mata ketika usia 10 tahun. Ketika itu, saya selalu mendengar kata-kata, "ditarik nikmat penglihatan". Namun sebagai kanak-kanak, saya tidak mempedulikannya. Kini, bila berlaku sesuatu yang dikaitkan dengan kekurangan maka ia masih juga disebut ditarik nikmat. Misalnya, nikmat makan. Mungkin nikmat masa atau nikmat kesihatan.

    Dalam konteks dunia, penggunaan perkataan "ditarik" membawa konotasi negatif. Ada penjawat awam ditarik jawatan kerana bersalah di mahkamah. Ada juga Dato' ditarik gelaran kerana - juga - melakukan kesalahan yang tidak melayakkan beliau membawa gelaran tersebut. Atlet ditarik pingat kerana menggunakan dadah. Pelajar ditarik kemudahan asrama kerana masalah disiplin.

    Usia muda diganti dengan masa tua. Adakah nikmat muda itu sudah ditarik? Mereka yang berada lalu - pada satu ketika - menjadi tidak kaya lagi. Adakah nikmat berada itu sudah ditarik? Begitu juga dengan kesihatan. Ingat sihat sebelum sakit. Adakah bila sakit maka nikmat sihat itu sudah ditarik balik?

    Jika penggunaan perkataan ditarik dalam konteks manusia sejagat maka ia menjadi satu hukuman akibat satu kesalahan.

    Lalu saya berfikir, nikmat penglihatan saya "ditarik" ketika usia belum akil-baligh. Saya tidak fikir sudah mempunyai sebarang dosa yang memerlukan penghukuman.

    Menarik. In'sya Allah, bukankah Allah selalu menyebut, "setiap kejadian untuk kamu berfikir". Dan itulah yang sedang saya fikirkan.

    17 Safar 1434

    Masam Cetum

    Mengajak anak-anak solat subuh berjemaah di masjid bukanlah tugas mudah. Ia lebih sukar apabila ia mahu diterapkan sejurus kita sendiri mula menyedari kepentingan untuk melaksanakannya.

    Maksud saya, bertahun-tahun kita dan anak-anak begitu. Masjid begitu asing sekali kecuali pada hari Jumaat. Anak-anak hanya melihat hari Jumaat sebagai hari wajib ke masjid. Mereka kagum melihat ayah paling smart bila tiba untuk solat seminggu sekali ini.

    Dan itulah yang terpahat di minda sehinggalah mereka membesar bersama ingatan tersebut. Lalu apabila tiba waktunya, raut wajah anak-anak ini menunjukkan penentangan luar biasa di atas ajakan atau suruhan kedua ibu bapanya untuk solat di masjid. Muka "masam cetum" dan ada pula yang menjawab dengan kata-kata yang kurang enak.

    Lalu ayah mengalah dengan ingatan zaman silamnya yang serupa. Tidak mengapa, namun sebagai seorang ayah kita tidak boleh mengalah begitu sahaja. Anak-anak merupakan ujian Allah. Akhirnya, berpalinglah kembali kepadaNya. Bangunlah pada 1/3 hujung malam tersisa memohon agar Allah lembutkan hati anak-anak ini supaya tidak mengulangi apa yang telah kita lalui sebelumnya.

    Malah yakinlah, doa ibu bapa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan sangat mustajab. Itulah senjata yang paling bermakna apabila berhadapan dengan situasi yang seolah-olah tidak tertanggung ini.

    Hakikatnya, ia boleh menghampirkan diri kepada Dia yang Mencipta langit dan bumi.

    Jika berpeluang - khas untuk anak-anak muda yang baru berkahwin - selalulah mengajar anak-anak secara berulang-ulang dengan ayat 23, surah al-Isyra yang bermaksud,

    "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yag mulia (yang bersopan santun)".

    Mudah-mudahan mereka tidak "masam cetum" apabila dikejutkan untuk bangkit solat subuh berjemaah di masjid, In'syaa Allah.

     

    16 Safar 1434

    Berehat

    Berehat dengan bersolat.

    Itulah kenyataan yang sangat menarik. Solat yang kusyuk mampu menteteramkan jiwa manusia. Dan itulah tujuan berehat, menenangkan tubuh badan samada secara luaran ataupun dalaman.

    Berdasarkan prinsip inilah saya mengajak jemaah haji dan umrah dengan kata-kata, "marilah kita berehat di Masjid Nabawi". Saya terkenang satu hadis terkenal direkodkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

    Daripada Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: Tidak disyare’atkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Al-Majid Al-Haram, dan Masjid Al-Rasul dan Masjid Al-Aqsa.

    Hadis ini tidak langsung menyebut Mekah, Madinah atau Palestine. Ia menyebut masjid, masjid dan masjid. Lalu marilah kita bertanya, "bila berkunjung ke Madinah, apakah nisbah berada di masjid lebih lama berbanding di hotel?".

    In'sya Allah, mereka yang akan sampai ke Madinah untuk ziarah sebelum (selepas) menunaikan umrah hanya akan tinggal di sini selama 3-4 hari sahaja. Jika umur kita mampu mencecah 75 tahun (kurang lebih 27400 hari) maka ia hanya sedetik (3-4/27400) daripada usia kehidupan.

    Gunalah peluang sepenuhnya berada di dalam masjid Nabawi sehinggakan waktu rehat juga di sana. Bukankah kita sering mendengar kata-kata, "tenang hati bila berada di dalam masjid Nabawi".

    Biar ia sepadan antara kata-kata dengan perbuatan.  

Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

Web Hosting by Yahoo!



Editor

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook