Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
8 Rejab 1434
Kehidupan merupakan gedung ilmu pengetahuan untuk mereka yang mahu berfikir. Banyak perkara yang boleh dipelajari.
Subhanallah, U-MKI telah mempertemukan saya dengan seorang ibu hebat. Perkenalan awal hanya bermula dengan nota kuliah di Dewan Kuliah Azma. Kemudian beliau mengutusi saya melalui email. Akhirnya saya telah pun menjejaki rumahnya di Alor Star dua minggu yang lalu.
Asalnya, beliau bertanya beberapa perkara. Agaknya beliau beranggapan saya aalah pensyarah beliau. Begitulah kuatnya kesan universiti alam maya ini. Ia di luar jangkaan.
Namun - akhirnya - saya pula yang perlu belajar dan menuntut ilmu daripadanya. Secara spesifik, ilmu mendidik anak-anak menghafaz al-Qur’an dan ilmu tauhid.
Beliau lama menetap di Australia. Bertahun beliau bekerja, berkahwin dan melahirkan cahaya mata. Setelah berasa kekurangan dalam pendidikan anak-anak di negara minoriti Muslim, beliau meletak jawatan. Ibu ini mengorbankan gaji lumayan semata-mata ingin mendidik anak-anak sendiri di rantau orang. Beliau berkata, “untuk mendapat sesuatu, kita perlu mengorbankan sesuatu”.
Bagi saya beliau amat beruntung kerana mengorbankan dunia untuk akhirat keluarganya. Allahu Akbar!
“Home schooling” itulah istilahnya. Lebih hebat lagi kesemua anak-anaknya dididik dengan al-Quran walaupun beliau bukan seorang hafizah. Beliau kini mempunyai tujuh orang cahaya mata berusia sembilan tahun, lapan tahun, enam tahun, lima tahun, dua tahun, setahun dan yang paling bongsu sebulan.
Anak pertamanya berusia sembilan tahun telah menghafaz sembilan juzuk daripada al-Quran. Anak kedua dan ketiga tujuh juzuk, anak yang keempat telah menghafaz dua juzuk. Manakala anak-anak yang kecil menghafaz surah-surah pendek daripada juz 30.
Ma sya Allah.
Saya terpesona dengan dengan sifat kasih-sayang Allah SWT kepada mereka yang mahu menghampiriNya. Ma sya Allah, beliau seorang ibu hebat yang berjaya menjadi guru tahfiz cemerlang melalui inisiatif sendiri denag bantuan Dia yang Maha Agong.. Malah, beliau berjaya membentuk suatu suasana mengikut acuan yang dikehendakinya.
Suatu perkara lagi, anak-anaknya semua dipastikan solat berjamaah. Ma sha Allah.
Saya adalah wanita. Ia memberi rangsangan betapa Hebatnya tugas seorang wanita dalam membentuk generasi di dalam rumah sendiri.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.
Saya amat beruntung diberi peluang oleh Allah bertemu wanita dan ibu yang hebat ini, salah seorang siswi di U-MKI. Saya teruja melihat wajah-wajah kacukan 7 beradik (Malaysia-Australia) yang kini menetap di Malaysia.
Saya teringat kata-kata Sheikh Mustafa Siba’i tentang keajaiban wanita yang bergelar isteri. Walaupun – isteri – ibadah khususnya kurang berbanding ibadah suami tetapi keyakinan, keteguhan dan imannya lebih utuh dan mantap.
Saya mendoakan beliau dan seluruh keluarganya sentiasa terpelihara dari hasad dengki manusia. Semoga Allah memberi kejayaan kepadanya dan member tawfiq kepada anak-anaknya. Amin.
Semoga bermanfaat.
22 Jumada al-Akhir
Kehidupan adalah perjalanan menuju Allah.
Sebagai perbandingan, sesiapa yang mahu memulakan perjalanan maka destinasi akhirnya perlu diketahui. Tiada orang waras mahu berjalan jauh tanpa tujuan. Sekurang-kurangnya saya fikir begitu. Benar, ada ketikanya kita berpusing-pusing di jalanan tanpa tahu arah tujuan. Berselang minit kita memikirkan destinasi yang mahu dituju. Ia satu dalam seribu.
Kelazimannya – di dalam perjalanan – ada panduan yang perlu diikuti. Misalnya, kita membaca peta, papan tanda dan alamat agar selamat tiba ke destinasi akhir. Kini – mungkin – GPRS banyak membantu. Ada perumpamaan yang menyebut, "malu bertanya sesat jalan". Hakikatnya, perjalanan kehidupan ini juga mempunyai banyak alamat, tanda-tanda dan petunjuk yang perlu dibaca dan dipelajari agar selamat sampai ke destinasi.
Ada dua kitab besar yang perlu dibaca seiringan – ketika melalui perjalanan kehidupan – oleh manusia. Pertama, al-Quran sebagai sebuah kitab bacaan yang ditadabbur. Maaf saya menggunakan istilah – tadabbur – asal di dalam bahasa Arab. Namun jika saya permudahkan makna bahasanya, ia membawa maksud, "mengurus dan merenungkan kesudahan urusan itu. Dari segi istilah, saya petik makna tadabbur al-Quran oleh imam Ibn Kathir,
Berusaha untuk memahami makna lafaz-lafaznya, dan berfikir tentang apa yang sebenarnya ditunjukkan oleh ayat-ayat itu, serta apa yang terkandung di dalamnya.
Serta apa yang menjadikan makna-makna Al-Qur’an itu sempurna, dari segala isyarat dan peringatan yang tidak nampak dalam lafaz Al-Qur’an.
Dan hati mendapat manfaat serta menjadi khusyuk di hadapan nasihat-nasihat Al-Qur’an, patuh terhadap perintah-perintahnya, serta pengambilan ibrah darinya.
Saya sering risau menggunakan terma-terma Arab yang sukar memandangkan konsep catatan ini "ringkas, santai tetapi signifikan". Mudah-mudahan Allah SWT memberi kemudahan ilmu kepada khalayak pembaca.
Kedua, alam semesta sebagai kitab besar yang manusia tafakkur. Tafakkur – dari sudut bahasanya – bererti perenungan atau penghayatan. Ia berasal dari perkataan fakkara yang bererti kegiatan berfikir dan merenung. Tafakkur adalah aktiviti hati dalam memikir dan menghayati sesuatu. Maknanya lebih dalam dari aktiviti berfikir biasa. Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, tafakkur merupakan ibadat hati, fikiran dan roh.
Masya Allah, Subhanallah, Allahu Akbar.
Inilah intipati ILMU KEHIDUPAN yang menjad teras utama penubuhan Universiti MKI dan penulisan buku ini. Firman Allah SWT melalui surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud,
(Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?)
Membaca Alam Besar dan Alam Kecil
Tafsiran ayat di atas menunjukkan alam semesta ini terbahagi kepada dua alam, besar – alam semesta yang luas ini – dan kecil – diri sendiri – yang terdapat dalam diri manusia itu sendiri. Alam semesta menjadi bukti dan tanda kewujudan serta kekuasaan Allah Ta’ala. Begitu juga kejadian manusia – merupakan satu juzuk dari alam semesta ini – membuktikan kewujudan Allah.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an mengajak manusia berfikir tentang alam kecil seperti kejadian dan kelahiran manusia, golongan manusia yang bahagia dan binasa serta pelbagai lagi. Terdapat juga ayat-ayat mengajak manusia merenung alam besar melalui pelbagai kejadian seperti turunya hujan, kehidupan seekor unta, tumbuh-tumbuhan, peralihan siang dan malam, peredaran planet dan cakerawala serta banyak lagi bagi mereka yang mahu berfikir.
Manusia mempunyai keupayaan terbatas untuk membaca keseluruhan kitab alam besar. Jika bacaan atau tafakkur itu dibataskan semata-mata untuk memahami kitab kecil diri manusia sendiri – dengan izin Allah – manusia akan memahami kebenaran al-Qur’an.
Rasulullah SAW Pembawa Kunci
Allah Ta’ala menjadikan seluruh alam ini supaya hamba-hambaNya dapat mengenali dan mencintaiNya. Nama-nama dan sifat-sifat Allah tersebar dan terpampang di dalam setiap kejadian sama ada besar atau kecil. Lalu dengan perutusan baginda Rasulullah SAW maka kelihatan Bagindalah pembawa kunci membuka segala rahsia yang tersembunyi di alam kecil dan besar ini.
Baginda Nabi Muhammad SAW mengajar manusia agar dapat memahami hikmah-hikmah di sebalik kejadian alam semesta. Baginda SAW menerangkan makna setiap kejadian kepada manusia melalui al-Quran yang diwahyukan oleh Allah. Allahhu Akbar, tanpa Baginda SAW, alam besar dan kecil yang unik ini akan sia-sia kerana ia tidak dapat difahami oleh sesiapa. Itulah aturan yang telah ditetapNya.
Misalnya, Rasulullah SAW menjelaskan kepada para sahabat tentang kejadian gerhana matahari. Hadith 1862 dari Sunan al-Kubra al-Nasaie, Kitab Kusuf al-Shams wa al-Qamar. Daripada Nu’man bin Basyir RA berkata,
Pada zaman Rasulullah SAW, telah berlaku gerhana matahari lalu baginda SAW keluar sambil menarik bajunya dalam keadaan ketakutan sehingga baginda datang ke masjid. Lalu Rasulullah SAW terus bersolat hinggalah matahari kembali terang. Setelah matahari kembali terang Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya manusia mendakwa bahawa matahari dan bulan tidak gerhana melainkan kerana kematian seorang yang agung dari kalangan orang-orang yang agung. Bukanlah seperti itu yang sebenarnya, sesungguhnya matahari dan bulan itu tidak gerhana disebabkan kematian seseorang dan bukan kerana hidupnya dia, akan tetapi kedua-duanya adalah tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
Sesungguhnya Allah sekiranya Dia bertajalli pada sesuatu daripada penciptaanNya, maka ia menjadi khusyuk kepadaNya. Maka sekiranya kamu semua terlihat akan perkara tersebut, maka bersolatlah seperti solat kamu yang fardhu.”
Baginda SAW juga datang memberi khabar bahawa manusia ialah sebaik-baik kejadian. Allah berfirman di dalam surah al-Tin, ayat 4 yang bermaksud,
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Manusia ialah kemuncak kejadian di dalam alam semesta ini. Apabila seorang manusia melaksanakan tugas ubudiyyahnya dengan bertafakkur memahami makna-makna yang terkandung di dalam alam semesta ini, pada ketika itu manusia tersebut telah benar-benar menjadi insan.Hasil tafakkur manusia itu akan terpacul kata-kata pujian “Ma sha Allah!” kerana melihat kecantikan sesuatu ciptaan. Terbit doa-doa dan zikir-zikir seperti “Barakallah”, “Subhanallah” dan “Allahu Akbar” kerana mengkagumi keajaiban setiap kejadian lalu manusia membesarkan Allah di atas kehebatan ciptaan Allah ini. Ubudiyyah dan tafakkur sebegini seolah-olah terzahir satu pengumuman dalam diri manusia bahawa dia adalah sebaik-baik kejadian.
Insan yang mengiktiraf keagungan Tuhan - dengan memahami dan membaca kitab alam semesta sama ada alam besar dan alam kecil di dalam dirinya sendiri- layak memikul amanah besar dan berat. Manusia tersebut layak menjadi khalifah di atas muka bumi kerana beliau telah meletakkan kejadian dirinya yang terbaik di tempatnya yang tepat. Walaupun manusia itu lemah kejadiannya namun merekalah makhluk paling sempurna dan istimewa. Manusia mempunyai akal dan hati untuk bertafakkur dan memahami.
Doa Otak Ibadah
Manusia adalah subjek yang tidak pernah habis menghadapi ujian, bala, musibah dan serangan musuh. Begitu juga keinginan dan kehendak manusia teramat banyak seolah-olah tidak berpenghujung. Namun hakikatnya dirinya begitu lemah. Bagaimanakah makhluk yang lemah ini mahu menangani pelbagai ujian yang mendatang serta mahu mencapai keinginan yang tinggi?
Kedua-duanya bersifat berlawanan.
Namun ia tidak pula menjadi suatu kepelikan disebabkan fitrah manusia itu berdoa. Doa ialah asas dan otak ibadah. Di dalam berdoa manusia membuat pengakuan dan pengiktirafan di hadapan Allah tentang kelemahan diri seorang hamba. Ini adalah satu bentuk ubudiyyah yang tinggi.
Allah menundukkan langit dan bumi untuk berkhidmat kepada manusia yang lemah. Malah melalui kelemahan dan kefakiran manusia tadi Allah menjadikan manusia ketua seluruh makhluk. Pada diri manusia yang lemah juga terzahir ubudiyyah yang sempurna.
Sebagaimana alam semesta menjadi cermin membalikkan nama-nama Allah yang indah, manusia juga begitu. Manusia adalah makhluk paling sempurna, dirinya menjadi cermin yang juga paling sempurna dan universal bagi memantulkan seluruh nama-nama Allah. Sebagai perbandingan, apabila kita melihat seorang manusia, terpantul dari dirinya nama Allah al-Hayy (Yang Maha Hidup) dan al-Qayyum (Yang Maha Berdiri dengan sendiri). Melihat kejadiannya yang cantik terpantul nama Allah al-Musawwir (Yang Maha Membentuk) dan al-Jamil (Yang Maha Cantik).
Apabila melihat manusia menghadapi kesakitan terpantul nama Allah al-Shafi (Maha Menyembuhkan). Apabila merenung ke dalam diri, perjalanan darah dan pembahagian zat-zat dari makanan mengikut keperluan tubuh terpamer kekuasaan Allah dalam mentadbir (al-Mudabbir). Apabila manusia menjamah makanan dan bersyukur ketika itu difahami bahawa Allah al-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki). Pada ketika manusia begitu lemah ingin meperolehi sesuatu tetapi tidak berdaya ketika itu dapat difahami bahawa Allah al-Qawiy (Maha memiliki Kekuatan).
Di waktu ujian musibah menimpa, manusia mengetahui dirinya lemah dan hina, lalu beliau mengerti yang hanya Allah al-‘Aziz (Maha Gagah Perkasa ). Melihat pula kasih seorang ibu kepada anaknya, terpantul nama Allah al-Rahman al-Rahim (Maha Pengasih dan Penyayang).
Ia berterusan.
Misalnya, apabila manusia tersilap jatuh ke lembah dosa lalu balik mengadu kepada Allah, maka ketika itulah manusia akan melihat Allah itu al-Ghafur (Maha Pengampun). Lalu dengan kematian yang dihadapi manusia, terpamerlah nama Allah bahawa Dia yang kekal (al-Baqi).
Demikianlah seterusnya, setiap satu perkara dalam diri manusia serta keadaan yang dilaluinya kecil atau besar tidak suatupun yang berlalu tanpa mengandungi mesej yang membawa kepada Makrifatullah.
Mahukah kita berfikir?
Penutup
Melalui tafakkur manusia –dengan izin Allah – akan mencapai Makrifatullah yang membawa kepada hakikat iman dan ketauhidan. Di antara tanda ketinggian makrifah ialah penyaksian dengan penuh keyakinan tentang Keesaan dan Kekuasaan Allah yang terpamer menyeluruhi alam semesta.
Begitulah kita mengaku bahawa Allah itu tidak ada sekutu pada Uluhiyyahnya dan tidak ada pembantu pada Rububiyyahnya. Begitu juga tiada satu persamaan ataupun lawan yang setanding dengan Allah di dalam seluruh kerajaan langit dan bumi.
Kepercayaan dan pengakuan yang benar ini akan menjamin keyakinan dan ketenangan hati. Manusia yang melihat dengan pandangan ini seumpama melihat di mana-mana terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah dan termaktub cop Rububiyyah Allah pada semua makhluk. Dia mencapai martabat hakikat tauhid yang tinggi.
Saya menutup catatan "penat dan lelah" ini dengan surah al-Ikhlas serta ayat 32, surah al-Baqarah yang bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Moga bermanfaat.
(Nota: Uluhiyyah – Ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang disembah. Rububiyyah – Ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang mentadbir seluruh makhluk dan alam semesta)
13 Jumada al-Akhir 1434
Anak anugerah serta amanah Allah.
Namun ajal maut juga milik Allah. Jemputannya tidak mengikut susunan usia. Logik akal – sepatutnya – ayah dan ibu dijemput pulang mendahului anak. Tua mendahului muda. Begitulah Allah SWT menunjukkan Kehebatan dan KekuasaanNya, anak-anak di dalam kandungan tidak sempat pun menangis melihat dunia, ada yang tidak sempat mengenal kedua ibu bapa dan perginya ketika usia di peringkat remaja. Ada juga yang tidak sempat menamatkan pengajian universiti. Allah ya Allah, kematian tidak pernah mengenal usia, pangkat dan darjat.
Apabila tiba waktunya anak-anak ini pergi, tiada siapa yang mampu menahan walaupun ibu bapa tersayang. Hakikatnya, anugerah dan amanah Allah ini perlu dikembalikan. Sesiapa pun pasti bersedih dengan perpisahan ini apatah lagi ia melibatkan dunia dan akhirat. Baginda Rasulullah SAW tidak terkecuali. Baginda SAW sangat bersedih dengan pemergian Sayyidina Ibrahim anak lelaki baginda.
Namun kesedihan melampau sehingga mempertikaikan taqdir Allah boleh membahayakan aqidah. Realiti kehidupan, kelihatan ramai ibu bapa diuji dengan kematian anak. Sebagaimana yang saya nyatakan, ramai berfikir – sepatutnya - yang tua sepatutnya pergi dahulu. Lalu apabila yang muda mendahului mereka, pastinya ia mengundang kesedihan yang amat sangat. Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan Ibnu Hibban pernah bersabda,
Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: "Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hambaKu?". Malaikat menjawab, "Ya". Allah bertanya lagi, "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?". Malaikat menjawab, "Ya".
Allah bertanya kali ketiga: "Apakah kata hamba-Ku?". Malaikat menjawab, "Ia bersyukur padaMu serta mengucapkan, "dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali". Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya, "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu Rumah Kesyukuran".
Ibu bapa dan anak merupakan kisah kehidupan. Mereka ujian kegembiraan dan juga mungkin dijadikan ujian kedukaan. Misalnya - seorang sahabat – sudah dikurniakan tiga anak perempuan. Mereka menanti-nanti anak lelaki. Mungkin ia tidak dinyatakan namun hati tentunya menaruh harapan dan impian. Akhirnya – dengan Rahmat Allah SWT – mereka dianugerahkan dengan anak lelaki. Allahu Akbar, maka sempurnalah kehidupan dunia dengan dihiasi tiga anak perempuan seorang lelaki.
Allah menguji mereka.
Anak lelaki comel ini dipanggil pulang oleh Allah SWT setelah hanya seketika di dunia ini. Kurang lebih dua bulan sahaja. Beliau pergi tanpa penyebab besar. Allah ya Allah, lemah longlai sahabat ini menerima taqdir yang datangnya begitu mengejut sekali. Buah hati yang sekian lama dirindu rupanya hanya singgah sebentar di dalam dakapannya. Namun kehidupan dan kematian ini sudah tercatat di dalam luh mahfuz taqdir itu. Mudah-mudahan mereka akan berkumpul sekali lagi di syurga. Anak kecil itu bakal menanti ibu dan ayahnya di akhirat nanti. In Sha Allah.
Mungkin ramai ibu bapa yang menghadapi ujian sebegini masih diselubungi kesedihan. Berikut dibawakan suatu kisah tamsilan. Mudah-mudahan ia memberi kelapangan di hati. In sya Allah.
Seorang lelaki yang sedang dipenjarakan mempunyai seorang anak lelaki. Beliau amat sayang dan kasih kepada anaknya dan tidak mahu berpisah. Lalu beliau membawa anaknya tinggal bersama di dalam penjara. Di sebabkan kasih, beliau tidak mahu berenggang dengan si anak meskipun keadaan di dalam penjara susah dan gelap.
Sultan penguasa negara tahu tentang perkara ini. Lalu baginda menawarkan tempat dan jaminan keselamatan kepada anak lelaki tadi. Sultan berjanji akan menjaga dan memberikan segala keperluan dan keistimewaan kepada anak lelaki itu. Syarat lelaki tersebut perlu lepaskan si anak dari sisinya di dalam penjara.
Lelaki itu amat sedih untuk berpisah dengan anaknya walaupun Sultan menjamin keselamatan dan segala kebaikan untuk si anak. Malah lelaki itu juga akan bertemu dengan anaknya setelah keluar dari penjara suatu hari nanti. Namun rasa hiba dan tidak sanggup berpisah membuatkan lelaki itu menangis-nangis dan merayu jangan baginda mengambil anaknya kerana beliau akan kesunyian walaupun hati kecilnya tahu Sultan tidak akan memungkiri janji. Kawan-kawan menasihatinya. Mereka berkata,
"Lepaskan anakmu, biarlah beliau bebas bergembira di luar sana. Beliau akan setia menantimu. Di luar sana tidak ada kesusahan langsung. Anakmu akan hidup di dalam istana yang indah dan sentiasa hampir dengan Sultan. Anakmu akan mendapat segala yang terbaik yang tidak ada di dalam penjara ini.
Setelah engkau keluar penjara, engkau pasti akan bertemu dengannya tanpa rasa terpenjara lagi. Seharusnya engkau bersabar, tidak patut engkau memaksa anak itu tinggal di penjara yang sempit dan penuh kesusahan ini. Jangan lah engkau pentingkan diri, kasihani anakmu yang masih kecil ini. Biarlah beliau tenang dan bergembira di luar sana sehingga engkau kembali bertemunya.
Akhirnya lelaki itu akur melepaskan anak yang dicintainya. Sehingga tamat tempoh beliau dipenjarakan, beliau bertemu anaknya kembali dalam suasana dan situasi yang sangat bahagia kerana tiada kesengsaraan lagi seperti di dalam penjara dahulu. Sultan benar-benar memenuhi janjinya.
Demikianlah tamsilan mudah sebagai renungan. Penjara itu bayangan dunia. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda melalui riwayat Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah yang bermaksud, "dunia itu penjara bagi orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir”.
Ibu bapa yang tidak redha dengan kematian anak-anak mereka, umpama memaksa anak-anak tinggal di dalam penjara bersama mereka sedangkan kematian anak-anak itu adalah lebih baik. Mereka bebas dari belenggu dunia yang sempit. Malah mereka setia menanti ibu bapa mereka keluar dari penjara dunia. Marilah perhatikan butir-butir permata sabdaan Baginda Rasulullah SAW mudah-mudahan menjadi penawar hati bagi ibu bapa yang sedang bersedih. Rasulullah SAW pernah bersabda – riwayat Al-Bukhari – yang bermaksud,
Tidak seorang muslim pun yang kematian tiga orang anaknya yang belum baligh kecuali Allah akan memasukkannya (yakni ibu bapa) ke dalam syurga kerana keutamaan rahmat-Nya kepada mereka.
Wanita-wanita yang keguguran atupun kematian anak kecil hendaklah membesarkan Allah SWT. In Syaa Allah, Dia akan membesarkan semangat dan hati-hati yang sempit dengan kehilangan tersebut. Anak-anak hak mutlak Allah. Lalu jika Pemiliknya mahu mengambil kembali haknya maka ibu bapa tidak berhak menahannya. Pemergian anak kecil bukanlah siksaan Allah kepada ibu bapa tetapi ia adalah kasih sayang Allah yang datang menghampiri. Perhatikan hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim ini,
Tidaklah salah seorang dari kalian yang kematian tiga orang anaknya, lalu ia sabar dan mengharap pahala dari Allah, kecuali pasti ia akan masuk syurga. Lalu berkatalah seorang wanita dari mereka, "Bagimana jika dua orang saja?" Rasulullah bersabda, "Meskipun dua orang".
Balasan syurga itu adalah janji Allah dan tanda kasih sayang Allah. Dia menguji dengan kematian anak, tetapi Dia juga yang memberi balasan syurga di atas kesabaran dan keredhaan hamba menerima ujian yang diberi-Nya. Ibu bapa yang bersabar dan merelakan pemergian anak-anak mereka ke hadrat Allah Ta’ala akan mendapat keistimewaan disambut oleh anak-anak mereka sendiri dari mana-mana pintu syurga yang mereka inginkan sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda (riwayat Ibnu Majah dan Ahmad),
Tidaklah seorang muslim yang meninggal tiga orang anak-anaknya sebelum mencapai usia baligh, kecuali mereka (anak-anak itu) akan menyambutnya dari pintu-pintu syurga yang lapan, dari pintu mana saja dia hendak masuk.
Baginda SAW – melalui riwayat Imam Tirmidzi dan Ahmad – bersabda yang ibu bapa kematian seorang anak juga akan mendapat keistimewaan ini,
Barangsiapa yang memiliki dua pendahulu (yakni, anak kecil yang meninggal) dari kalangan umatku, maka beliau akan memasuki syurga. A’isyah berkata, “Bapakku sebagai tebusanmu, apakah orang yang memiliki seorang pendahulu (yakni, seorang anak yang mati mendahuluinya) juga (akan masuk syurga)?".
Baginda bersabda, "orang yang memiliki seorang pendahulu (yakni, seorang anak yang mati mendahuluinya) juga (akan masuk surga) wahai wanita yang diberi taufiq".
Kesedihan kerana kehilangan adalah mainan perasaan. Saya akhiri catatan ini dengan satu pesanan untuk diriku dan juga ibu bapa yang menghadapi kehilangan anak-anak tersayang,
Wahai ibu bapa yang bersedih,
Sesungguhnya tidak ada sehelai daun yang jatuh di bumi melainkan dengan izinNya. Begitu juga tidak ada jiwa yang berpisah dari badan melainkan menurut ketetapan Tuhan yang Maha Esa. Namunapabila seorang hamba redha dengan ketentuan Tuhan, hamba itu akan disayangi Allah dan diganti dengan kebahagiaan indah dan abadi di akhirat nanti.
Semoga kita semua mendapat keampunan dan keredhaan Allah SWT.
Noor Azma Mohd Khassim
Noor Azma Mohd Khassim merupakan Tutor di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia. Sebelumnya, lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Sarjana Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa pernah bertugas sebagai pensyarah di UiTM, Pulau Pinang.
Kini Azma berada di peringkat akhir menyediakan tesis PhD di dalam pengajian Hadith, Universiti Al-Quran Al-Karim, Sudan. Sila ke Dewan Kuliah Azma untuk mengikuti kuliah beliau.
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki