UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

Roslan Ab Hamid

Tema: Motivasi, Komunikasi dan Ilmu

  • Biduk didayung terus, tidak dihanyut arus

    20 Rabiul Akhir 1434

    Nota Pentadbir U-MKI: Kehadiran siswa(i).

     

    Momentum

    Saya tahu benar tentang ungkapan ini.

    Setelah menghantar nota kuliah pertama untuk U-MKI, saya terhenti seketika. Hakikat nyata, momentum untuk bermula terasa payah.
    Begitupun momentum untuk terus kekal berlari dalam lorong yang dicipta acapkali lebih susah. Berulangkali saya mengumpul tenaga, membisik kata, “orang berjaya akan menyudahkan apa yang telah mereka mulakan”.

    Saya telah bertegur sapa dengan suara jiwa. Ia suara hati jujur dan tidak pandai berbohong. Suara jiwa adalah penunjuk utama seorang mukmin. “Apabila kebaikan itu menyenangkan dan kejahatan itu menyusahkan,” maka itu tandanya kita dalam lingkungan seorang mukmim. In'sya Allah.

    Eliminasi

    Suara jiwa saya mahu terus berkongsi di dewan kuliah ini. Lalu saya harus berusaha mengeliminasikan semua lintasan pemikiran negatif yang datang menggoda agar terus bermalas-malasan. Bermalasan bermakna tiada hantaran nota kuliah mingguan.

    Bermalasan bererti mengundang petaka berulang seumpama berterusan berjalan di malam kelam. Tidak ketemu cahaya benderang. Berjalan tanpa pedoman. Terkadang terhantuk tembok penghalang. Mungkin juga terjatuh ke lubang yang dalam.

    Ilmu melawan malas sudah lama di dada. Soalnya, mahukah ia diamal atau dibiar begitu sahaja. Tidak. Saya telah diajar 5 petua melawan malas,

    Pertama, berwudhuk - hindar diri dari bisikan syaitan yang mengajak kita untuk bermalas.

    Kedua,  solat diawal waktu. Berjemaah selalu.

    Ketiga, bangun awal. Ianya membangkitkan rasa segar.

    Keempat, bergaul dengan orang yang rajin dan

    Kelima, bersenam bagi mengupayakan minda dan badan untuk aktif semula.

    Namun ada yang pasti, mengikis rasa malas - akhirnya - mengundang istiqamah.

    Dunia

    Semua bunga yang mekar mengharum pada esok hari adalah benih hari ini. Semua hasil esok hari ada dalam fikiran hari ini. Hukum semai tuai mengajar, "semailah benih terbaik dan kita bakal menuai hasil yang terbaik jua di hari kemudian".

    Ia hari pembalasan yang kekal abadi.

    Kehidupan dunia ini selalu memikat. Kita saban waktu diadu domba dengan persaingan ketat. Imej kemewahan sentiasa menghambat. Teknologi pula berubah mendadak cepat. Semua ini mudah menjerat kita jauh dari kehidupan penuh rahmat.

    Kita harus lebih mengenal dunia. Dalam Al-Zuhd karya Ibn Hanbal, Ibnu Mas’ud dilaporkan berkata, “Dunia adalah tempat bagi orang yang tidak memiliki tempat. Orang-orang yang tidak berakal berkumpul kerana dunia”.

    Halal

    Lantas, apakah kita perlu menolak dunia?

    Inilah antara persoalan paling ketara yang telah dibincang lama sepanjang sejarah manusia. Pesona hebat dunia tanpa kawalan tepat pedoman ILahi menjadikan ramai orang hanyut terbawa arus.

    Dalam Syu’ab al Iman, karya al Baihaqi dilaporkan Malik Ibn Dinar pernah menceritakan orang-orang ada bertanya kepada Ali bin Abi Thalib RA,

    “Wahai Abu al Hasan, jelaskan tentang dunia kepada kami.” Ali dengan kebijaksanaanya bertanya balik, “jawapan yang panjang lebar atau jawapan yang singkat?”.

    Orang ramai menjawab, “yang singkat sahaja”. Lalu  Ali memberi penjelasan mudah, “barang halalnya bakal dihisab sementara barang haramnya menjerumuskan ke dalam neraka”.

    Hisab

    Jika kita memahami semua ini dengan naluri insani, ia boleh menjadikan nafas terhenti seketika. Betapa dunia ini pentas yang amat menduga. Setiap yang kita lakukan walaupun halal pasti dihisab. Hisab ini saja sudah cukup menjadi siksa.

    Dermaga tujuan hidup menuntut kita selalu berusaha. Dalam berusaha, kita berdepan pelbagai ujian dan aneka fitnah. Justeru, pesan Prof MKI, “Bersyukur bila diuji” perlu dihadam berulang kali dalam meniti hidup untuk menjadi insan terpuji.

    Menurut beliau kesedihan bertandang tidak akan lama. Ia datang untuk menduga kita. Sahabat junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ubaidah r.a. dilaporkan pernah berkata, “Kesedihan adalah penerang kalbu yang dapat menghaluskan ruang-ruang berfikir”.

    Berfikir

    Dalam seminar kendalian saya, ada diajar untuk memanfaatkan 18 kekuatan berfikir positif. Setiap sesuatu ada hikmahnya. Jika kita tidak mendapat kebaikan atas apa yang tidak kita sukai, tentu kita pun tidak akan mendapat kebaikan atas apa yang kita sukai.

    Dalam surat Khalifah Umar Al Khatab r.a. kepada Abu Ubaidah r.a. di Syam, jelas peringatan nasihat ini, “Jika seseorang ditimpa kemalangan, pasti Allah menggantikannya dengan kelapangan. Setiap kesulitan tidak akan boleh mengalahkan dua kemudahan. Allah SWT berfirman melalui surah al-Imran, ayat 200 yang bermaksud,

    “Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (diperbatasan negerimu) dan bertawakalah kepada Allah seupaya kamu beruntung".

    Sebagai penutup, hayati pesan Nabi Muhammad SAW melalu hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “Ketahuilah sesungguhnya kemenangan menyertai kesabaran, kelapangan menyertai kesulitan dan dalam kesulitan pasti ada kemudahan”. 

    Semoga ada manfaat.

  • KEHIDUPAN SIGNIFIKAN

    8 Rabiul Akhir 1434

    Ibnu Mas'ud berkata, "Pelajarilah kebaikan kerana kebaikan dapat menjadi kebiasaan (tabiat harian)".

    Permulaan 
    Saya duduk menekun diri.

    Bersungguh mahu membaris dan menyusun abjad kata. Berusaha mencari luhur makna. Saya gementar mahu bermula. Ia rasa debar memulai kuliah pertama di Universiti MKI.

    Ketika ini, saya terkenang lembaran kisah silam. Rupanya - dalam diam - sudah 35 tahun insan bernama Muhd Kamil Ibrahim (MKI) berada dalam minda. Kepetahan MKI bertutur bagaikan rantai emas yang mengikat kenangan bersama.

    35 tahun dulu, saya di tingkatan satu. MKI di tingkatan tiga MRSM Kota Bharu. Beliau petah berkata, pintar berhujah dan pendebat ternama kebanggaan warga MRSM. MKI sering bertegas, "anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia." Ia kata bermakna yang terakam kekal dalam minda.

    Tertulis
    Hari ini, MKI menjawat jawatan Profesor di Universiti Taibah, Madinah. Saya pula usahawan di bandar tempat kami pernah bermula, Kota Bharu Kelantan. Kini - sekurang-kurangnya kami kembali semula melalui Universiti MKI. MKI digerak Allah untuk  memberi ruang kepada saya berkongsi tajuk MKI juga: MOTIVASI, KOMUNIKASI dan ILMU.

    Tawaran menarik ini datang bagai kejutan penghormatan yang amat menyenangkan. Kita tidak semestinya hebat untuk bermula tetapi kita perlu bermula untuk hebat. Lalu HEBAT ini adalah kata kunci pembuka cerita dalam kuliah pertama di Universiti MKI.

    Tiada jawapan mampu saya tuturkan pada tawaran MKI kecuali Alhamdulillah Terima Kasih. Seumpama kali pertama melihat MKI berdebat di atas pentas 35 tahun silam, hati dan emosi saya pada masa ini berasa amat teruja sekali.

    Lorong Hebat
    HEBAT, akronim semasa di MRSM adalah Hati Emosi Berasa Amat Teruja. Apakah HEBAT yang serupa mahu saya kongsikan sekarang? Pada hemat saya, setelah membaca banyak buku dan mengikuti pelbagai seminar - termasuk bacaan buku MKI dan Puan Roza Roslan - akronim hebat ini perlu berubah makna. Seorang teman mengajar saya makna baru di sebalik akronim HEBAT.

    H adalah Hanya kerana Allah. MKI dalam banyak perkongsiannya sering mengingatkan agar kita memburu darjat dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Kemuliaan di sisi Allah akan merapatkan kita dengan manusia, manakala barang diingat kemuliaan di sisi manusia ada kalanya menjauhkan kita daripada Allah.

    E adalah Elakkan Irihati, Benci dan Dengki. Kehidupan akan lebih sempurna bila kita belajar mencintai, memaaf dan memberi. Hidup perlu bahagia dan membahagiakan. Lebih utama diredhai oleh yang Esa.

    Perbezaan
    Cara terbaik bagi menceriakan diri adalah dengan menceriakan orang lain. Mulakan dengan memberi. Memberi seumpama kita membina jambatan penghubung yang merentasi jurang keterpencilan diri sendiri. Satu satunya perbezaan antara hari yang baik dengan hari yang buruk adalah sikap kita. Sikap adalah perkara kecil yang membawa perbezaan besar.

    B adalah Bersyukur bila diuji. Bersyukur bila dipuji. Bersyukur dengan segala nikmat Allah SWT. Kita harus menerima kesakitan, kesusahan dan kepayahan serta menjadikan ia sebagai pembakar semangat dalam perjalanan hidup.

    Setiap kali berdepan kesukaran, saya teringat kata-kata Iman Syafi'i,

    "Jangan bersedih atas sesuatu yang hilang di dunia, kerana engkau masih memiliki keIslaman dan Kesihatan. Jika sesuatu yang engkau usahakan hilang dari mu maka dengan Islam dan kesihatan itu terdapat ganti yang hilang untuk mu.

    Perubahan
    A adalah Amalan Kerja Keras dan Fokus. Untuk berjaya ubah Fokus, Emosi dan Fisiologi. Dalam kehidupan, kita tidak dapat berpatah balik dan mencipta permulaan baru semula. Begitupun seseorang sentiasa dapat bermula daripada sekarang dan mencipta penamat baru yang lebih baik tentunya.

    Apakah ada sosok agung lain yang dapat kita jadikan contoh keteladanan?  Jawapannya TIDAK ADA. Dia satu dan sesatunya, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pada dirinya ada teladan besar kekuatan iman dan kesabaran. Pada diri baginda ada contoh kerja keras dan fokus.

    Rasulullah saw dihina, disiksa dan diusir. Baginda berdepan penolakan. Baginda menderita tetapi pantang putus asa. Rasa percaya diri yang tinggi menjadikan Nabi Muhammad SAW istiqamah menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam ini.

    Pegangan
    T adalah Tawakal. Menurut ulama analogi Tawakal itu ada 3 tahap. Tahap pertama, tahap pemula adalah tawakal di bumi. Pergantungan kita kepada Allah adalah sangat sedikit. Kita selalu tanpa sedar lebih percaya pada kuasa manusia dan mata benda.

    Tahap kedua, tawakal di lautan. Kita masih berharap pada pautan sampan atau apungan air manakala tawakal tahap ketiga adalah tawakal di udara. Inilah setinggi tinggi tawakal kerana kita hanya bergantung pada Allah SWT jua.

    Akronim HEBAT inilah yang memayungi sesi-sesi Motivasi, Komunikasi dan Ilmu dalam dewan kuliah saya di Universiti MKI. Saya akan cuba sebaik mungkin berkongsi beberapa perkara dengan doa "di hujung perjalanan orang berilmu adalah KEJAYAAN".

    Moga ada ruang manfaat di bilik kuliah ini, In'sya Allah.

 

 

 

 

 

Roslan Ab Hamid, 47 tahun, berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang bisnes. 12 tahun di sektor korporat dengan syarikat syarikat tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dan 11 tahun dalam bidang keusahawanan.

Seorang Komunikator Profesional yang sekarang ini menguruskan 5 buah syarikat.

Di kalangan kenalan, beliau diketahui tekun membaca sekurang kurangnya 10 buah buku sebulan.

Beliau merupakan penulis dan pengendali program pengembangan daya keusahawanan.

Roslan merupakan bekas pelajar MRSM Kota Bharu dan lulusan Pengurusan Perniagaan dari UM.

Tema kuliah, Motivasi, Komunikasi dan Ilmu.

Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

Web Hosting by Yahoo!



Editor

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook