Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
Tema Kuliah: Hidup itu Indah
13 Rejab 1434
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.
(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
Surah al-Insan, ayat 2 dan 3.
Alhamdulillahirabilalamin! Terima kasih Allah.
Allah.. Allah ya Allah. Itulah ucapan yang keluar dari bibir hampir setiap pagi apabila membuka mata. Kami masih berada di rumah kecil berhadapan Jabal Uhod. Bernafas di bumi Allah, berpijak di bumi anbia’. Dalam berjuta umat Islam yang impikan tinggal di bumi Rasullah SAW, kami sekeluarga berada di sini.
Allahu Akbar. Di sini kami berpeluang mengenali banyak wajah. Kami memerhatikan pelbagai tingkahlaku dan gelagat manusia yang digambarkan di dalam quran. Sungguh benar, barangkali ketika bersembahyang di dalam masjid al-Nabawi – tiada siapa yang peduli – darjat, pangkat, keturunan malah berapa banyak harta yang kita miliki. Siapa sahaja mampu bersembahyang di saf yang sama. Apa yang membezakan mereka di sisi Allah adalah yang lebih taqwanya.
Di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 Allah berfirman;
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Malahan Allah berpesan, agar tidak berlaku sombong sesama manusia melalui surah al-Israa’ ayat 37 firman Allah bermaksud;
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
Namun, manusia sifatnya suka bermegah-megah dengan pencapaian diri, kejayaan anak-anak, harta benda, pangkat darjat dan kuasa yang dimiliki. Walaupun hanya baru berkenalan, mereka sudah mahu memperagakan ciri-ciri kelebihan yang dimiliki.
Ini kad perniagaan saya. Alamat dan nombor telefon ada tercatat di belakang.
Biasanya kami tidak mahu melihat latar belakang apabila menerima tetamu Allah di rumah kecil kami. Bimbang terasa kekok jika tidak berbahasa – barangkali mereka bergelar Tan Sri, Datuk, Professor, Tengku atau Tuanku. Biar kami melayani mereka secara sama rata, dengan izin Allah kerana Allah.
Biar mereka menerima kami seadanya. Rumah kecil kami di Jabal Uhod tiada berkerusi meja. Tiada apa-apa. Jadi, setiap kali mempersilakan tetamu Allah masuk ke rumah – secara berseloroh kami mempelawa;
Haji dan Hajjah. Jemput masuk. Silalah bersila.
Di rumah kecil kami, hidangan disediakan di dalam dulang besar. Ada yang menyeduknya ke dalam pinggan pelastik masing-masing dan ada yang makan di dalam dulang beramai-ramai.
Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Setelah tetamu pulang ada yang memaklumkan tentang tetamu yang berkunjung ke rumah kami. Barulah kami mengetahui latar belakang mereka. Dalam diam hati berbisik-bisik perlahan;
Mohon maaf – Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin, Professor, Dr, Tuanku dan Tengku – jika kami tidak melayani seperti yang sepatutnya.
Allahu Akbar!
Salah seorang tetamu Allah yang pernah mengunjungi rumah kami menghubungi melalui e-mail. Beliau membahasakan dirinya sebagai kak Engku. Rupa-rupanya beliau salah seorang kerabat di raja. Bekas isteri pembesar. Namun dalam bahasa merendah diri beliau menulis panjang;
Kak engku suka melihat puan – suami isteri – melayani tetamu. Terasa sayu apabila melihat bagaimana seorang tua sanggup datang walau bertongkat. Bertambah sayu melihat tuan puan melayani mereka.
Allahu Akbar! Kak Engku pernah berpeluang melayani tetamu ketika suami bertugas di keduataan di luar negara. Namun tetamu kita berbeza perawakannya.
Sungguh benar. Tetamu kami jemputan Allah. Mereka datang beribu batu, bertahun-tahun mengumpul wang dan tidak jemu-jemu memohon agar dijemput Allah ke Tanah Suci menunaikan haji atau umrah. Terpancar kebahagiaan apabila diterima menjadi tetamuNya. Kebanyakannya, tutur kata luhur dari hati yang ikhlas.
Mereka sudah bersedia untuk berubah menjadi orang baru yang diredhai Allah. Mereka mahukan haji yang mabrur dan umrah yang diterima oleh Allah.
Dalam setahun hanya beberapa bulan sahaja kak Engku dapat menemani suami di Luar Negara, menghabiskan cuti tahunan dan dicampur cuti tanpa gaji.
Katanya, beliau sayang melepaskan jawatan tinggi, kuasa serta gaji lumayan. Beliau salah seorang pengarah di dalam sebuah syarikat yang besar. Beliau menolak setiap kali suami merayu agar beliau tinggal lama bersamanya. Alasannya anak-anak masih bersekolah. Apabila anak-anak mulai membesar dan memasuki universiti, suami berusaha mendapatkan universiti di negara tempat beliau bertugas. Mereka berjaya mendapatnya.
Beberapa kali suami memujuknya agar berhenti kerja untuk tinggal bersama di Luar Negara. Mereka mahukan kehidupan berkeluarga. Mereka mahukan seorang ibu yang menguruskan keperluan mereka. Kak Engku masih menolak walaupun beliau berseorangan di Malaysia.
Allahu Akbar!
Kak Engku mencipta alasan lain. Hakikatnya, beliau bimbang melepaskan jawatan yang disandang. Takut-takut kebosanan menjadi suri sepenuh masa. Juga, bimbang suami akan mempersia-siakannya. Akhirnya, anak-anak berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan yang baik. Ada pula berumahtangga. Suami pula di arah berpindah tempat bertugas di negara lain. Kak Engku menulis lagi,
Kerasnya hati ini. Langsung tiada simpati kepada anak dan suami. Bagi kak Engku, kerjaya harus diletakkan nombor satu.
Kuasa Allah, ketika kegawatan ekonomi memuncak, syarikat mereka terjejas teruk. Syarikat terpaksa menghentikan ramai pekerja. Malahan ada pengarah menarik diri secara sukarela. Akhirnya yang tinggal beberapa kerat. Mereka inilah yang berhempas pulas memulihkan kembali kestabilan syarikat. Kak Engku salah seorang yang terpaksa berkerja berlipat kali ganda usahanya.
Tekanan ekonomi dan tekanan perasaan sangat hebat. Bertimpa-timpa melanda. Kak Engku tiada berpeluang bersuka-suka apatah lagi untuk mengambil cuti menemani suami. Kak Engku sedar mereka merasa hampa. Kecewa dengan sikap kak Engku yang mementingkan diri sendiri.
Apabila mencecah usia pertengahan 50an, suami memujuk lagi. Kali ini, kak Engku termasuk hati dengan ucapan yang dilafazkan oleh suami. Masih tengiang-tengiang kata dihujung telefon,
Apa yang you mahukan dengan harta benda dan wang yang melimpah ruah? Kita semakin tua – anak-anak sudah berkeluarga – mereka semakin tidak memerlukan kita. Lagi pun, hidup kita semakin singkat. Kita sudah hampir mati. Pangkat, kuasa, hartabenda dan wang ringgit tidak di bawa ke kubur.
Kak Engku terduduk. Ia benar-benar menusuk jantung. Diam-diam beliau bermuhasabah diri. Mengenangkan betapa banyak masa yang telah dipersia. Akhirnya beliau mengambil keputusan bercuti untuk bersama suami. Beliau nekad. Syarikat yang digalas selama ini sudah tidak menjadi isu penting lagi.
Kak Engku mengambil cuti mengikut suami selama setahun. Beliau tidak tahan berdiam diri lalu tahun berikutnya beliau belajar secara sambilan. Beliau memohon cuti belajar. Begitulah. Kak Engku menulis lagi,
Empat tahun bersama keluarga merupakan tempoh yang sangat hebat dan bahagia yang pernah dirasainya. Anak-anak menziarahi mereka dan suami kelihatan sangat gembira. Di hujung minggu, kami berjalan menghirup udara pagi sambil berpimpinan tangan.
Kak Engku dan suami pulang ke Malaysia apabila suami tamat tempoh perkhidmatan wajib. Beliau pula kembali bertugas. Selama tiga bulan hatinya mula meronta-ronta mahu berhenti kerja. Beliau terasa sudah berusia dan mahu beramal ibadat bersama suaminya. Suaminya menyatakan,
Bersara sahajalah. Mari kita menunaikan haji.
Sungguh, ibadat itu sahaja yang belum ditunaikan lagi. Suaminya telah beberapa kali mengerjakan umrah bersama anak-anak dan sekali menunaikan haji tanpa kak Engku. Kali ini beliau sudah bersedia. Lalu ia diterjemah dengan mendaftar dengan salah sebuah syarikat swasta.
Kemudian, kak Engku melihat suaminya berubah tingkah laku. Beliau lebih banyak beriktikaf di masjid. Suatu hari – setelah pulang dari masjid – suami berpesan kepadanya,
Kata ustaz, kita dan zuriat keturunan beriman, Insya Allah dapat bertemu semula di syurga dengan rahmatNya. Zaman muda sudah berlalu – marilah kita bertaubat dan beramal ibadat kerana Allah. Allah maha pengasih lagi penyayang – Dia mengampunkan dosa-dosa hamba yang memohon keampunan dariNya.
Tidak mahukah kita bertemu kembali di syurga?
Pesan kepada anak-anak agar tidak meninggalkan sembahyang. Jangan syirik kepada Allah. Pangkat, darjat, bangsa keturunan dan harta benda tidak menjamin masuk syurga. Pesan kepada anak perempuan agar aurat sentiasa dijaga dengan sempurna. Maafkan saya kerana selama ini tidak bertegas sebagai ayah dan suami.
Tidak mahukah kita bertemu kembali di syurga?
Kata kak Engku,
Saya gelihati melihat tingkahlaku suami berlagak seperti ustaz. Saya tidak menghiraukannya dan membiarkan beliau sendirian di sofa.
Keesokan harinya, beliau menunggu suami pulang dari masjid untuk bersarapan. Namun suaminya tidak muncul-muncul. Telefon tangan suami yang dihubungi berdering di sofa. Lebih teruk lagi kak Engku tidak mengetahui di manakah masjid yang sering dikunjungi oleh suaminya selama ini.
Allahu Akbar!
Pada siapa mahu mengadu? Di manakah kariah masjid yang sama-sama bersembahyang dengan suaminya? Puas beliau menelefon kaum kerabat dan sahabat handai namun tiada yang tahu. Ada yang mencadangkan agar beliau membuat laporan polis.
Pada ketika itu beliau benar-benar terasa kehilangan suaminya. Jika semalam kak Engku tertawa tetapi kini beliau terasa seluruh alam mentertawakannya. Lalu beliau terfikir – sedangkan di dunia beliau tidak tahu di mana suaminya – inikan pula di padang mahsyar!
Dapatkah kami bertemu kembali di syurga? Layakkah isteri sebegini bertemu suaminya di syurga? Apakah daku menepati ciri-ciri wanita untuk memasuki syurga?
Ketika ini jugalah Allah memberi ilham. Pesan suami agar solat sunat dua rakaat dan tunduk sujud mengadu kepada Allah jika menghadapi sebarang masalah menerpa minda. Sungguh benar, tiada sesiapa yang dapat membantunya selain Allah!
Ia kisah bernokhtah. Ketika hampir zohor, sebuah kenderaan polis muncul di perkarangan rumah kak Engku. Benar, apa yang dikhuatiri dan fikirkannya menjadi kenyataan. Suaminya pergi buat selamanya. Jenazahnya dijumpai telah meninggal dunia di parkir kereta. Bersamanyaa empat keping roti canai dan dua bungkus teh tarik.
Allahu Akbar!
Rumah besar, hartabenda, pangkat, kuasa dan limpahan wang ringgit tidak dapat mengembalikan suaminya yang terlalu baik hati. Suami yang sentiasa berpesan-pesan mengajak isteri dan anak-anak ke arah kebaikan. Suami yang berdoa mahu bertemu isteri dan zuriat keturunannya di syurga.
Kak Engku mengakhiri kisahnya dengan menyatakan,
Anak-anak dan seluruh keluarga mempersalahkan saya kerana membiarkan suami sendirian. Selama ini memang mereka tidak berpuas hati kerana sikap saya yang tidak mahu menemani suami. Saya seorang isteri dan ibu yang gagal di mata mereka.
Kini beliau sendirian. Namun, biarlah di akhir hayatnya beliau mahu menghabiskan usia tuanya dengan menghampiri kepada Allah SWT. Dia yang Maha Pengampun. Benar, beliau merindui suaminya dan terkenangkan 4 tahun 4 bulan terakhir ketika saat-saat bahagia bersamanya. Beliau mahu bertemu kembali suami di syurga.
Masa yang berlalu telahpun berlalu. Terlalu banyak yang telah dipersiakan. Hari ini, beliau mahu mengutip sisa-sisa yang ada dengan tunduk sujud kepada Tuhan. Berseorangan.
Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?
25 Jumada al-Akhir
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Al-Hajj 15: 36)
Allahu Akbar.
Ada ingatan indah tersemat di minda apabila dikaitkan dengan ibadat haji. Dulu istilahnya lebih mudah, Naik Haji. Ia berada dalam kamus minda seawal usia 5 atau 6 tahun. Ketika itu saya terdengar – abah dan emak – mereka berbincang soal ini berkali-kali. Beberapa patah perkataan utama terdengar dan melekat misalnya, bas rombongan, Kuala Lumpur, Pelabuhan Kelang dan kapal laut.
Naik haji?
Ini pula suasana berbeza walaupun istilahnya sama. Saya pernah melihat orang dewasa lelaki berjam-jam di warung kopi bermain suatu permainan menggunakan penutup tudung botol air bergas. Sebelah pihak meletakkan penutup tudung botol terlentang dan lawan pula secara terlangkup. Kesemua penutup botol tersebut tersusun di atas sekeping papan berpetak berselang-seli warna. Hitam dan putih. Ia mengadap di antara satu sama lain. Jumlah penutup botol tersebut 24.
Penutup botol ini digerakkan secara bergilir-gilir. Di kedua sisi terdapat penyokong. Ia permainan yang kelihatan sangat ceria. Setiap kali pemain dapat melangkau, melanggar atau istilahnya "memakan" penutup botol pihak lawan maka penyokong masing-masing bersorak gembira. Ia umpama pasukan sokongan berjaya menjaringkan gol dalam permainan bola sepak. Sesekali akan terdengar,
Hah! Nak kau… Hajiiiiii! Haji!
Itulah jeritan apabila penutup botol sampai(mendarat) di kawasan petak terakhir lawan. Penutup botol ini mempunyai kuasa luar biasa. Ia boleh mengundur ke belakang dan bergerak jauh(terbang). Mereka yang mempunyai banyak(ramai) Pak Haji mempunyai kelebihan berganda. Kemenangan pasti terbayang.
Permainan ini berhantu. Otak kecil saya berfikir begitu. Malah – saya agak – ramai syaitan bergayut di kawasan tersebut. Alasannya mudah. Kesemua pemain (mereka orang dewasa dan ada yang sudah berumur) masih terus bermain walaupun azan berkumandang dari surau atau masjid berdekatan. Mereka tanpa segan silu bersorak-sorak meskipun ternampak imam dan jemaah menuju ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.
Namun kisah Tok Abah dan Mak Wa naik haji tidaklah terlalu banyak melekat di minda. Di meja makan selalunya Abah bercerita dan mengajar kami. Naik haji tidak terkecuali. Ia rukun Islam. Itupun jika mampu. Banyak lagi perkara yang dinyatakan oleh Abah tetapi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya tidak mampu mengingatinya. Ada kenyataan yang lebih mustahak.
Tok Abah dan Mak Wa akan naik haji. Minggu hadapan kita semua balik kampung Paya Jakas.
Balik kampung?
Itu yang lebih mengembirakan hati bagi kanak-kanak yang masih belum bersekolah. Saya terbayangkan sawah bendang, anak sungai dan sepupu-sepupu. Biasanya bila berkumpul beramai-ramai, abah dan emak tidak begitu menghiraukan kami asalkan berada di sekitar mereka. Kami bermain sepuas hati. Main dan main. Seolah-olah hari yang tiada penghujung.
Banyak permainan diperkenal oleh sepupu-sepupu apabila berkumpul. Terdapat permainan di dalam rumah seperti pok amai-amai, bang selebu, sapu-sapu ringgit, enjit-enjit semut, goreng-goreng pisang dan berbagai lagi. Jika di luar rumah kami biasanya bermain kejar mengejar atau permainan yang menggunakan peralatan seperti tali, tempurung, tin susu dan ranting kayu. Allah ya Allah, saya hampir melupainya.
Mak, esok tu minggu depan ke?
Tidak. Hari ini Rabu. Hari Rabu minggu depan dinamakan seminggu. Kita balik kampung pada pagi hari Khamis. Malamnya kita ke Kuala Lumpur menghantar Tok Abah dan Mak Wa. Nanti awak boleh tengok kapal besar.
Ya Allah. Terlalu lama rasanya menunggu minggu hadapan. Saya sudah tidak sabar balik kampung dan memperkenalkan permainan baru menggunakan penutup tudung botol.
Akhirnya kami sampai ke rumah Tok Abah. Saya melihat sudah ramai saudara mara berkumpul. Rupa-rupanya ada majlis kenduri doa selamat meraikan Tok Abah dan Mak Wa berangkat ke Mekah. Hampir seluruh penduduk kampung datang berziarah. Kebanyakan mereka menangis sambil berpeluk-pelukan. Mereka juga saling bermaafan.
Saya tidak memahami. Malah ia langsung tidak penting bagi kami. Lalu kami – saya dan sepupu-sepupu – duduk berkumpul dalam satu bulatan. Bersama saya sekeping kertas berkotak-kotak rekaan sendiri berserta ceper penutup botol. Saya terangkan kepada mereka kaedah permainan ini. Allahu Akbar, saya kecundang. Tidak ada seorang pun yang memahaminya. Akhirnya sepupu yang lain mengeluarkan beberapa biji batu. Batu-batu itu dilambung dan disambut. Kemudian di timbang-timbang. Nama permainan ini Batu Seremban. Ia kelihatan lebih sesuai dengan sifat remaja perempuan berbanding dengan permainan Naik Haji.
Tiba-tiba muncul seorang lagi sepupu baru sampai dari Lenga. Beliau memperkenalkan permainan baru menggunakan ceper penutup tudung botol. Ceper-ceper itu dilemparkan perlahan-lahan di atas lantai. Pihak lawan akan menunjukkan dua biji ceper yang harus dilagakan tanpa mengena ceper yang lain. Satu tangan mengepung seolah-olah seperti penghadang. Sementara sebelah tangan lagi menjentiknya. Kami teruja.
Allahu Akbar!
Terasa masa beredar begitu cepat. Kami belum puas bermain. Malam mengganti siang. Kami bersiap untuk meninggalkan rumah Tok Abah menuju Kuala Lumpur. Kelihatan bas sekolah menunggu di bawah pokok tanjung di hadapan Sekolah Kebangsaan Paya Jakas. Ramai saudara mara dan beberapa orang kampung di dalamnya. Saya melihat ada buaian tergantung. Abah meletakkan saya dan Tuti duduk bersamanya. Sementara kak Long Fidah duduk di sebelah mak. Ratna yang masih bayi di dalam buaian.
Tiba-tiba saya teringatkan Tok Abah dan Mak Wa. Seharian hingga ke malam, sampailah kami di dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur, saya hanya melihat kelibat mereka dari kejauhan. Mereka langsung tidak menghiraukan saya. Mungkin juga saya yang sibuk bersama sepupu yang lain. Semasa di dalam bas barulah saya mengintai-intai dan mencarai mereka. Kelihatan Tok Abah tunduk membaca al-quran. Mak Wa pula memegang tasbih. Bibirnya terkumat-kamit. Di dalam hati saya berkata-kata dan bertanya,
Naik haji ke Mekah membuatkan mereka menjadi orang lain. Kenapa begitu perlakuan mereka?
Penat.
Saya lesu dan keletihan. Masa untuk berehat dan tidur. Namun saya tidak dapat menahan diri dari melayani pelbagai pertanyaan yang bermain di kepala. Lalu saya bertanya kepada abah,
Abah kenapa orang menangis dan berpeluk-peluk dengan Tok Abah dan Mak Wa?
Ooooh, Tok Abah dan Mak Wa naik haji selama tiga bulan. Ada orang yang pergi haji langsung tidak balik lagi. Mereka mungkin meninggal dunia di sana. Jadi, itulah semua orang menangis dan bermaaf-maafan.
Abah menjawab persoalan yang ada di kepala. Saya sedih dan sebak. Hati saya menangis mengenangkan kemungkinan tidak dapat berjumpa dengan Mak Wa lagi. Namun perlakuan mereka menyebabkan saya lebih terasa hati. Saya fikir mereka sudah tidak sayangkan saya. Barangkali perasaan kematian membuatkan mereka fokus untuk diri sendiri. Tidak langsung mepedulikan cucu kesayangan!
Tidur saya nyenyak sekali. Saya terjaga apabila dikejutkan oleh suara bising peserta rombongan. Rupanya mereka berhenti di masjid bagi menunaikan solat subuh. Usai solat, masing-masing membuka bekalan untuk bersarapan. Saya mencari Tok Abah dan Mak Wa. Mengintai bayang mereka. Tiada. Mereka tidak kelihatan.
Akhirnya kami sampai di pelabuhan Kelang. Ia suasana awal pagi. Saya melihat lautan manusia. Abah memimpin tangan saya dan mendukung Tuti. Sementara emak bersama Long Fidah mendukung Ratna. Di sini, semua peserta rombongan sudah berpecah. Mata saya mencari Tok Abah dan Mak Wa. Niat saya satu. Saya mahu memohon maaf kepada Tok Abah kerana mengambil siling-siling yang jatuh di bawah rumah tanpa memberitahunya. Juga, saya mahu meminta maaf dari Mak Wa kerana memecahkan sebiji pinggan tetapi tidak mengaku apabila ditanya mak saudara. Saya tidak mahu mereka naik haji dan meninggal di Mekah tanpa memaafkan saya.
Tiba-tiba saya mendengar pengumuman dari corong pembesar suara. Kemudian di ikuti dengan suara bacaan quran. Orang ramai semakin berasak-asak mahu menghampiri kapal besar yang sedia berlabuh. Saya tidak dapat melihat apa-apa kerana di himpit oleh begitu ramai manusia. Hati saya semakin cemas. Cemas memikirkan saya sudah tidak mampu memeluk dan memohon maaf dari Tok Abah dan Mak Wa. Barangkali itulah saat terakhir melihat mereka di dunia. Saya dilanda rasa sebak dan hiba. Ia rasa yang sukar digambarkan.
Tiba-tiba – tanpa sedar – saya melontarkan satu teriakan disertai tangisan histeria yang berjaya menarik perhatian semua yang hampir.
Tok Abah! Mak Wa! Saya mahu tengok Tok Abah. Nak Mak Wa. Tok Abah… Mak Wa! Waaa ..Waaa ... Mak Waa.
Laluan terbuka.
Abah mendukung saya di sebelah kiri dan Tuti di sebelah kanan merentasi laluan lautan manusia. Laluan itu menuju betul-betul berhampiran kapal. Saya melihat ramai jemaah haji sudah mula mendaki tangga kapal besar. Saya fikir rancangan hebat berjaya. Saya meraung-raung lagi sambil menyebut-nyebut nama Tok Abah dan Mak Wa.
Ya Allah!
Saya dibawa ke arah Tok Abah dan Mak Wa. Tok Abah berbaju putih, bersongkok, memakai kot, bersamping dan berseluar hitam. Mak Wa pula memakai baju kurung dan bertelekung. Saya segera menerpa ke arah mereka, menangis sambil memohon maaf. Ya, saya lakukan sebagaimana mata saya melihat orang ramai lakukan. Tok Abah dan Mak Wa memeluk kemudian mencium pipi saya sambil tersenyum. Mereka memujuk saya sambil berkata,
Insya Allah, Tok Abah dan Mak Wa pergi cuma tiga bulan sahaja. Awak rasa di Mekah ada apa? Apa yang awak mahu dari sana?
Manalah saya tahu apa yang ada di Mekah. Saya membayangkan haji seperti permainan dam haji. Jika dahulu Tok Abah memakai selapis pakaian kini menjadi dua lapis. Ada baju kot. Jika dahulu Mak Wa hanya pakai kain selendang di kepalanya kini bertelekung litup. Satu lagi, saya melihat mereka memakai pakaian putih bersih. Sejurus melihat Tok Abah dan Mak Wa sudah mahu segera pergi lalu saya membuat satu permintaan hebat yang dapat difikirkan.
Tok Abah, balik Mekah nanti jangan lupa bawakan saya unta.
Semua orang di sekeliling saya tertawa besar. Saya terasa dipersenda. Lalu saya meraung lagi. Kali ini raungannya lebih kuat lagi!
Allahu akbar!
Hari ini, Mekah, Naik Haji dan unta berada hampir dengan kami sekeluarga. Di sini, kami menikmati nasi unta. Malah ia ajakan istimewa kepada mereka yang hampir ketika mengziarah kami di Rumah Kecil di Jabal Uhud. Lalu – setiap kali – melihat makanan ini terhidang – pastinya - saya terkenangkan peristiwa yang telah saya catatkan. Perasaan yang tidak akan berulang namun kesannya masih berbekas.
Ya Allah, Ya Tuhan kami, sesungguhnya daku sangat-sangat merindui mereka. Temukan kami di syurgaMu ya Rabb.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
12 Jumada al-Akhir
Catatan ini ditulis ketika saya berseorangan. Anak-anak ke sekolah. Suami bekerja. Subhanallah, tiba-tiba saya terasa sunyi-sepi. Ia tambah syahdu apabila sujud memohon keampunan Allah di kala menunaikan solat Dhuha. Ia waktu pagi yang sentiasa tenang di kawasan Jabal Uhud.
Saya termenung mengenangi betapa anak-anak, suami(isteri), keluarga, kekayaan dan apa jua di sekeliling kita merupakan limpah kurnia dari Allah SWT. Ia juga merupakan ujian. Ujian ini pula berbeza-beza. Ada ujian suka dan duka di atas apa yang dianugerahkan kepada manusia. Lulus atau tidak ujian tersebut bergantung kepada individu. Keputusan cemerlang – akhirnya – sepatut membawa manusia semakin hampir kepadaNya. Allah telah nyatakan melalui surah Al-Furqan, ayat 20 yang bermaksud,
Dan Kami tidak mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).
Seluruh kehidupan merupakan ujian. Namun ramai yang tidak sedar atau tidak ambil kisah dengan konsep kehidupan ini. Ada yang menyangka laluan kehidupan ini seolah-olah tidak bernokhtah. Sudahkah kita dibacakan ayat 214, surah Al-Baqarah yang bermaksud,
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Allahu Akbar!
Rupa-rupanya Allah sengaja menguji hambaNya dan meminta kita bersabar dengan tunduk sujud menyembahNya. Akhirnya setiap ujian yang disertai dengan "sabar dan solat" mendapat pertolongan Allah SWT. Ia di luar batas pemikiran manusia. Namun, Allah juga bercerita tentang tingkahlaku manusia yang tidak tahu bersyukur apabila penyelesaian yang diberi Allah tidak memenuhi kehendak hati mereka.
Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang tidak manusia ketahui? Masih belumkah kita dibacakan dengan surah Al-Fajr, ayat 15-16 yang bermaksud,
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!
Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!
Allahu Akbar! Bergetar hati sanubari apabila dibacakan ayat ini. Ya Allah janganlah kiranya daku termasuk dalam golongan hamba yang tidak tahu mensyukuri nikmat limpah kurnia dariMu.
Allah ya Allah. Bersendirian dan kesunyian juga merupakan nikmat Allah. Ia memberi peluang untuk kita bertafakur dan bermuhasabah diri. Lalu terasa-rasa begitu banyak nikmat limpah kurnia Allah SWT yang dihulurkan kepada hambaNya ini.Jelas, ia tidak terhitung banyaknya. Tidak mampu dilafazkan dengan kata-kata.
Benarlah, bersendirian tanpa anak-anak dan suami di sisi membuatkan saya berfikir,
Bagaimana keadaan daku sekiranya mereka pergi buat selama-lamanya? Bagaimana pula jika suami pergi bersama segala harta benda tanpa tersisa?
Barangkali pada ketika itu barulah kita benar-benar menghargai saat-saat bersama. Kehilangan menyebabkan kita merasai nikmat mempunyai. Kehilangan boleh menyebabkan kita menghargai sesuatu yang kelihatan tidak bernilai sebelumnya.
Allahu Akbar!
Di kala berseorangan dan kesunyian ini jugalah kita berpeluang melakukan sesuatu yang berfaedah. Saya mampu menulis buku baru, menjawab e-mel yang dihantar secara peribadi. Kebanyakannya datang dari kaum Hawa yang jiwanya gundah gulana dan berdukacita. Saya sentiasa mendoakan agar mereka dilimpahi cahaya petunjuk dari Allah dan berlapang dada ketika diuji. Ujian itu semata-mata kerana Allah mahukan kita dekat serta menghampiriNya. Berdoa dan merintilah kepadaNya. Masyallah tabarakallah! Sesungguhnya Allah itu maha mendengar, maha pengasih lagi maha penyayang.
Di antara ratusan e-mel, saya tertarik untuk berkongsi kisah bagaimana seorang wanita yang dimulia dan dimewahkan hidupnya. Semoga ia boleh dijadikan panduan serta teladan. Lebih baik lagi untuk kita bermuhasabah dan berfikir sejenak.
Saya bekerja hanya sebagai penyambut tetamu. Orang biasa-biasa. Namun segalanya berubah apabila bos (CEO)nya melamar untuk dijadikan isteri. Saya terasa martabat dan darjat dinaikkan. Ia anugerah Allah SWT. Saya sejenak pun tidak memikirkan yang saya telah merampas atau melukai hati sesiapa.
Kehidupannya bertukar. Bezanya ibarat langit da bumi. Jika dahulu terpaksa berkejar-kejar dan berasak-asak menaiki bas ke tempat kerja, kini suami menyediakan sebuah kereta dan pemandu. Ia hanya dengan sediit arahan maka sampailah ke tempat yang mahu dituju. Suaminya seorang yang sangat penyayang. Apa yang dimiliki oleh isteri pertama pasti akan disediakan untuknya. Benar, beliau terasa dimuliakan dan dimewahkan.
Manusia tidak selalunya berpuasa hati dengan apa yang ada di tangan. Ia dinyatakan berulang kali di dalam Quran. Manusia memang mudah lupa dan tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah. Suaminya sudah memaklumkan beberapa pantang larang yang bakal dilalui sebagai isteri ke dua. Beliau berjanji untuk tidak membantah. Malahan beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Masa berlalu.
Beliau dikurniakan tiga cahaya mata. Apabila anak-anak meningkat remaja, tiba-tiba timbul keinginan untuk melihat suami membawa anak-anak lelaki solat berjemaah di masjid terutamanya pada hari Jumaat. Selama ini anak-anak hanya dihantar oleh pemandu. Beliau begitu teringin agar sesekali suami pulang untuk solat berjemaah bersama keluarga sekurang-kurangnya di rumah.
Tiba-tiba perasaannya semakin melampau. Hati berdetik mahu merasa suami pulang bersama-sama ke kampung halaman apabila tiba musim perayaan walaupun beliau mengetahui ia tidak mungkin berlaku. Itulah janji mereka sebelum diijab-kabul. Suaminya memujuk,
Mintalah perkara lain yang boleh ditunaikan seperti pergi melancung ke luar negara atau melakukan umrah. Cuma yang satu ini, saya minta maaf. Ia untuk isteri pertama.
Allahu Akbar!
Tiba-tiba wanita ini melihat ia sebagai sesuatu yang perlu diperjuangkan. Ia mula merepek dan mudah berasa hati. Hatinya terasa-rasa yang langsung tiada kebaikan yang telah dihulurkan oleh suami. Beliau memberontak dalam hati namun terpancar di wajah malah terpamer dengan perlakuan. Suami masih memujuk. Namun beliau cekal untuk terus merajuk sehingga beberapa lama.
Akhirnya, barangkali suami merasa bosan lalu beliau sudah jarang-jarang pulang ke rumah. Ia berlalu beberapa tahun lamanya dan kepincangan itu dihidu oleh ibubapanya. Setelah dinasihatkan, beliau mengendurkan sikap bodoh sombongnya yang langsung tidak membawa faedah. Di saat-saat beliau bernekad untuk berubah dan mengakhiri episod merajuk – tiba-tiba – suaminya tidak muncul-muncul lagi.
Beliau cuba menghubungi suami tetapi tidak pernah berjaya. Timbul sesalan di hati. Beliau mula menyesal ketika hati terasa sunyi dan kehilangan harta yang tidak ternilai harganya.
Beberapa bulan beliau memasang telinga bertanyakan khabar dari bekas rakan-rakan di pejabat suaminya. Ringkaskan cerita, suami beliau sudah menemui penggantinya. Jangkaannya sudah ada di hati tetapi apabila ia diketahui secara jelas ia ibarat mendengar letupan bom. Menggeletar seluruh anggota badan. Maruahnya tercabar. Terasa beliau dihina. Beliau menulis,
Perasaan saya berbaur. Ada desingan di telinga. Darah naik ke kepala. Saya terfikir mahu menyerang penggantinya. Akhirnya – tanpa berfikir panjang –saya menghantar pesanan ringkas memohon agar suami melepaskan dirinya secara baik.
Permohonannya diterima suami.
Putaran kehidupan terus berlaku. Kini beliau berada di sebelah bawah. Rumah mewah, kereta besar dan segala harta benda yang dihadiahkan bagaikan tiada nilai tanpa suami di sisi. Hidup bertambah sunyi apabila anak-anak membesar dan melanjutkan pelajaran ke universiti. Diam-diam beliau bermuhasabah diri. Terfikir di benak kepala, suatu ketika dahulu letupan bom itu barangkali pernah dilakukannya kepada isteri pertama.
Ia berlalu bertahun tanpa ada serang hendap dan tiada maki-hamun. Tiada apa-apa yang berlaku. Bersendirian dalam keadaan kesunyian beliau menyatakan,
Saya bagai ditampar. Saya sedar diri. Selama ini saya tidak tahu bersyukur. Pada ketika inilah saya kembali mengadu kepada Allah yang mengaturkan jodoh pertemuan.
Kisah beliau membuat saya berfikir dan bertanya,
Bukankah suami itu hanya pinjaman serta anugerah dari Tuhan yang Maha penyayang? Dia yang memberi dan berhak menariknya kembali.
Namun ada sesuatu yang pasti. Laluan kehidupan yang telah beliau lalui membuatkan wanita tersebut yakin apa yang berlaku bukanlah satu pembalasan dari Allah SWT. Benar, beliau telah melakukan banyak kesilapan tetapi beliau telah menemui sesuatu yang lebih nikmat hasil dari peristiwa itu.
Beliau bertemu dengan kebesaran Allah. Menyedari malah bersyukur dengan setiap kejadian yang telah tercatat di dalam kitab dilauh mahfuz untuk dirinya. Beliau semakin sedar yang Allah tidak menganiayainya.
Sendirian?
Barangkali ia lebih baik begitu jika ia mampu mendekatkan dirinya kepada Pencipta. Benarlah, di dalam surah An-Nisa’ ayat 147, Allah telah nyatakan,
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).
Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Saya kelu mendengar kisahnya. Hanya doa dikirimkan setulus hati kepada Allah SWT agar suami wanita itu terbuka hati untuk kembali rujuk kepadanya dan ke pangkuan keluarga. Benar, hidup itu indah tetapi keindahannya mungkin hadir setelah merasai kepedihan hati.
Guru Besar di Sekolah Fardhu Ain IQRA, Jabal Uhud, Madinah.
Bekas Pensyarah Universiti Teknologi MARA, Malaysia dan Universiti Taibah Madinah. Lulusan MBA dari UiTM.
Penulis buku-buku Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi, Travelog Kehidupan Abadi dan Bukan Sekadar Resepi.
Emel: roza@muhdkamil.org
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki