UNIVERSITI MKI

Santai, Ringkas dan Signifikan

(Ditubuh sejak 1434/2013) 

 

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook

  • Home
  • MKI dan DIARI
  • Nota KuliahClick to open the Nota Kuliah menu
    • 01 - 15 Rabiul Akhir
    • 16 - 30 Rabiul Akhir 1434
    • 01-15 Rabiul Awal
    • 15-28 Rabiul Awal
    • 01-15 Safar 1434
    • 16-30 Safar 1434
    • 01-15 Muharam 1434
    • 16-29 Muharam 1434
  • Pensyarah TamuClick to open the Pensyarah Tamu menu
    • Profil
    • Zaini Ariff
    • Noor Azma
    • Sabtu M Ali
    • Roza Roslan
    • Syaizul Amal
    • Yasser Arafat
    • Roslan Ab Hamid
  • Forum Siswa(i)
  • Siswa(i) Menulis
  • Pautan
  • Video
  • Pendaftaran
  • Masjid Al-Tawfiq

DEWAN KULIAH SabtU M ALI

Tema: Di hujung Senja

  • PELAN HARI PERTEMUAN

    1 Rejab 1434

    Kematian berada sentiasa di minda mereka yang berada di hujung senja. Hati terasa-rasa yang masanya semakin hampir. Namun ada dua kemungkinan, pertama membiarkan rasa tersebut berlalu tanpa mempedulikannya. Malah ada yang cuba menidakkan kehadiran perasaan tersebut. Hakikatnya, mereka tidak tahu bagaimana menghadapi rasa begitu kerana tidak pernah merancang atau menyambut kedatangan saat-saat di hujung senja ini.

    Kedua – bagi yang bijaksana – tentu sekali mereka memikir dan melayani perasaan tersebut sambil mahu menyediakan Pelan Hari Pertemuan (PHP) yang akan menentukan mereka ke syurga atau ke neraka. Mereka serius. Malah ia bercampur dengan pelbagai perasaan lain yang menggambarkan rasa takut dan gentar dengan pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku. Masa sangat suntuk dan banyak perkara yang perlu dilakukan.

    Benar, kematian bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia peristiwa besar. Misalnya kehidupan sebelum  kematian yang tidak diurus dengan baik menyebabkan ada manusia  membuat permohonan yang tidak diluluskan oleh Allah SWT. Mereka mahu kembali semula ke dunia. Peristiwa ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat 99-100, surah al-Mukminun yang bermaksud,

    Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikan daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang beliau sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

     

    Banyak perkara yang boleh difikirkan sebelum kita bersedia menghadapi kematian. Namun saya gembira dan teruja untuk melihat empat elemen penting PHP. Saya namakan STEP (Solat, Taqwa, Ehsan dan Pahala).  Tersirat ia membawa makna LANGKAH.

    Aspek kedua ialah elemen gangguan terhadap PHP. Saya namakan PEST (Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi). Tersirat, PEST adalah simbol anai-anai yang merupakan makhuk perosak. Logiknya, STEP dan PEST berlawanan sifat. STEP langkah menuju pengabadian yang hakiki manakala PEST menjurus kepada kehancuran. Keinginan kepada kebaikan selalunya tercabar dengan pelbagai ujian.

    Padanan – STEP dan PEST – bagi setiap perkataan itu juga membawa maksud yang sama. Saya rangkumkan perbandingannya seperti berikut,

    ·Solat dan sosial pasti sukar untuk dicari titik pertemuan;

    ·        Teknologi membawa kebaikan. Namun tanpa taqwa ia boleh membawa kerosakan kepada manusia sejagat;

    ·    Ehsan mendekatkan diri kepadaNya. Ekonomi tanpa ehsan menjadikan manusia bertuhankan kebendaan; dan

    ·        Pahala dan politik itu bagaikan air laut dan tumpahan minyak kapal yang pecah!  

     

    Marilah kita bermula dengan perkataan ehsan. Apakah yang menjadi nilai tambah kepada ehsan dalam konteks kehidupan di hujung senja? Dalam hadith qudsi yang masyhur – soal jawab di antara Malaikat Jibril dan Rasulullah SAW – ehsan itu dikaitkan pengertiannya dengan Islam dan Iman. Itulah tiga komponen utama dalam memperkasakan akidah. Saya petik intipati hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui himpunan Hadith 40 susunan Imam Nawawi:

    Ehsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatNya maka Dia (Allah) melihat engkau.

     

    Saya memahami ehsan dengan cara mudah. Ia mencakupi semua amal perbuatan yang menjurus kepada kebaikan dan dilakukan dengan penuh keihklasan. Sepatah ayat, "ia dilakukan semata-semata kerana Allah". Maka asas utama PHP ialah dengan memastikan apa yang kita lakukan dijadikan sebagai satu amal ibadat.  

    Setiap amalan bermula dengan niat. Niat itu letaknya di hati. Hati membenarkan iman. Jika ada keimanan maka keikhlasan pastinya menyuburkan hati. Namun kecanggihan teknologi masih belum berupaya menghasilkan alat pengukur ikhlas. Tiada unit yang boleh dikaitkan dengannya. Juga, tiada siapa yang berupaya melihatnya kecuali siempunya hati. Hati tidak pernah membohongi diri.

    MasyaAllah. Sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui.

    Kehidupan sebenar menggambarkan manusia itu tidak selalunya ikhlas. Pelbagai ungkapan – misalnya - “lain di mulut, lain di hati", “cakap tak serupa bikin” dan "mulut manis" serta "di hadapan lain, di belakang lain" adalah proksi kepada sifat tidak ikhlas manusia.

    Subhanallah, ketika usia melewati waktu kecederaan – saya fikir – sifat-sifat seumpama ini perlu dibuang jauh-jauh. Maksud saya, kita tidak mahu mmenjadi manusia yang suka berdusta dan tidak menepati janji. Tidak mengapa jika ramai yang begitu sehinggakan ia menjadi amalan bagi sesetengah pihak yang gamaknya tidak takut mati. Peliknya, mereka itu pula yang disanjung.

    Sudah banyak diceritakan kisah hari pertemuan denganNya di mana proses hisab dan membela diri amat berbeza sekali dengan apa yang ada di dunia. Di mahkamah akhirat, tiada peguam bela yang boleh dibayar dan dibeli. Sistem dan amalan serupa itu tidak valid. Setiap anggota berfungsi sendiri. Lidah dan mulut disekat dari berfungsi. Maklumat itu – kebanyakan kita – sering dibaca-baca berulang kali pada setiap malam Jumaat melalui ayat 65, surah Yasin yang bermaksud,

    Dan pada hari itu Kami menutup rapat mulut mereka (buat seketika), dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberi tahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.

     

    Kedua solat.

    Inilah pertahanan diri paling hadapan dan mustahak. PHP ia menjadi pertimbangan utama. Gagal di sini maka yang lainnya seolah-olah tidak bermakna lagi. Di dunia, solatlah yang akan menjana kehidupan bersyariat. Orang yang mendirikan solat dijanjikan perlindungan dan pemeliharaan dari perkara-perkara ditegah Allah. Di mahkamah Allah pula nanti, solatlah yang dihisab dahulu. Benar, ia sangat mustahak. Kegagalan di sini hanya dengan rahmatNya yang dapat mengubah keadaan.

    Apabila solat didirikan, itulah petanda awal bertapaknya taqwa. Ia bukti bagaimana manusia menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada sang Pencipta. Ia mengandungi aspek kecintaan dan ketakutan. Cinta dengan kasih-sayangNya yang melimpahkan pelbagai nikmat yang tidak terhitung. Ketakutan pula kerana memikirkan tentang tanggungjawab yang tidak tertunai. Allah ya Allah, di kala usia yang menanti hari, saya sering memikirkan tentang azab siksa yang menanti. Takut, kalau-kalau rahmat dan kasihnya Allah tidak diperolehi maka segalanya tiada ertinya lagi!

    Pahala pula umpama ‘ganjaran’ kebaikan yang kita lakukan. Lawannya dosa. Umumnya, semua kita tahu. Hatta, untuk dirikan solat – kebanyakan di antara kita – dipacu olehnya. Pahala dan dosa itu KPI seorang Muslim. Ia sebagai pentunjuk prestasi utama kepada amalan hidup di dunia. Namun, score atau pencapaiannya hanya dibentangkan di SANA – di hadapan Allah – ketika bertemunya nanti! Itulah janjinya yang pasti.

    Cuba bayangkan apa yang manusia akan lakukan sekiranya scorecard masing-masing dapat dipantau ketika di dunia. Terus terang saya akui, saya tidak mempunyai jawapan. PHP hanyalah ikhtiar manusia untuk menghadapi hari penghakiman dengan memahami tujuan kehidupan di dunia.

    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

     

  • ILMU SEPANJANG HAYAT

    27 Jumada al-Akhir

    Ilmu Allah amat luas.

    Tiada siapa yang berupaya menjangkaui kesemuanya. Lalu Allah SWT merakamkan kehebatan ilmuNya melalui surah Al-Khafi ayat 109 yang bermaksud,

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku; walaupun kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan!”.

     

    Masya Allah, ketika usia di hujung senja lalu menoleh ke belakang melihat ilmu di dada nyata memilukan. Semakin hampir mahu meninggalkan alam fana ini semakin terasa diri ini tidak mempunyai apa-apa. Benar sekali kenyataan betapa menuntut, mencari dan mengajar ilmu hanya terhenti apabila kita dipanggil pulang.

    Imam Ghazali melalui kitab Ihya Ulumuddin menyentuh tentang mengajar dan menuntut ilmu dari apa yang diperkata oleh Mu’adz bin Jabal,

    Pelajarilah ilmu. Sesungguhnya mempelajari ilmu untuk Allah merupakan kebaikan. Menuntut ilmu suatu ibadah, mengkajinya merupakan tasbih. Membahasnya merupakan jihad, mengajarkan kepada orang yang tidak mengetahuinya merupakan sedekah. Dan mendermakan kepada ahlinya merupakan amal yang mendekatkan diri kepada Allah.

     

    Imu merupakan teman ketika bersendirian. Sahabat dalam kesepian. Pembentuk kesabaran ketika diuji sama ada ujian kesenangan dan kesengsaraan. Ilmu petunjuk jalan agama dan penyuluh jalan ke syurga, tujuan penginapan hakiki yang kekal abadi.

    Jelas, status ilmu itu tinggi kedudukannya terutamanya apabila dikaitkan dengan proses mencari redha Allah. Ilmu tanpa amal akan menjurus kepada kesesatan – lagi menyesatkan – orang lain. Amal tanpa ilmu menjadikannya sia-sia. Justeru itu, hukum menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap Muslim apabila sudah mencapai akil-baligh. Mungkin dalam kes-kes terpencil, janganlah kita merasa hairan – apa lagi mengherdik – jika umur baligh seseorang itu 60 tahun.

    Mereka baligh di alam pencen dalam konteks belajar, mencari dan mengamal ilmu. Sekurang-kurangnya ia belum terlambat. Tidak mustahil – di atas sifat kasih dan rahmatnya Allah – akhir kehidupan orang ini lebih hebat – di sisiNya – berbanding seseorang lebih awal ‘balighnya’. Ini bukan logik akal. Ia akal yang perlu mengimani kekuasaan Allah. Benar sekali, “ia bukan bagaimana seseorang itu bermula, tetapi bagaimana beliau mengakhiri amalan hidupnya”. Namun permulaan dan pengakhiran yang baik merupakan idaman muslim sejati.

    Tema catatan ‘di hujung senja’ mempunyai maksud tersirat. Senja itu kitaran waktu alam. Senja datang dan pergi. Ia menjadi sebahagian dari proses kehidupan. Senja bermula dan berakhir. Ia di antara terangnya siang dan kelamnya malam. Sekali pandang, senja hanyalah warna-warni kehidupan. Namun ia menjadi signifikan kerana ia seolah-olah waktu meninjau-ninjau kematian.

    Perhatikan ayat 29, surah Luqman yang bermaksud,

    Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan siang pada malam (silih berganti), dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah mahluk-mahluknya)? Tiap-tiap satu dari kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Amat Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

     

    Logik akal menyatakan ia selesa jika seseorang itu mati pada usia 65 tahun. Jika melewati usia 80an pula, logik akal akan mengatakan seseorang itu sedang menunggu saat-saat kematiannya. Jika kematian tiba dan beliau seorang ternama atau berjasa kepada masyarakat atau negara, mulut akan mengingatkan “kematiannya adalah suatu kehilangan,” walaupun ada di antaranya berada dalam keadaan koma yang panjang.

    Reaiti kehidupan, ramai akan terkejut apabila di kalangan anak jiran atau keluarga terdekat menemui ajalnya pada usia 15, 20 atau 30 tahun. Lebih-lebih lagi jika kematiannya mengejut anpa penyakit kronik. Mulut akan melontarkan keluhan, “kasihan, beliau pergi ketika usianya masih muda lagi", "kepakarannya masih diperlukan" atau "hilangnya tiada ganti”.

    Menuntut ilmu dan menanti kematian memiliki sesuatu yang pasti iaitu masa. Persoalannya, bilakah kedua-duanya akan berakhir? Siapa mendahuli siapa? Saya fikir, ia amat bergantung kepada penghargaan seseorang itu kepada masa dan saat kematiannya. Sebagai perbandingan, jika seseorang itu memilih untuk berseronok sakan sehingga ke hujung hayatnya, bermakna proses menuntut ilmunya telah berakhir sejak sekian lama. Penantian kematian sebenarnya tidak pernah wujud. Pastinya, ia suatu kerugian yang jelas.

    Namun ada yang yang memilih untuk mewarnai waktu senjanya dengan pelbagai majlis ilmu. Alhamdulillah, niat menuntut ilmu dipermudahkan dengan kemudahan yang ada. Ilmu boleh didapati dengan membaca, melalui saluran TV dan pelbagai produk multimedia. Ia berada di dalam poket sehinggakan ke bilik tidur. Namun mengadap guru secara bersekemuka dan menadah kitab dengan orang alim – agaknya – akan lebih ganjarannya.

    Persolannya, apakah pilihan hati?

    Ramai orang teruja dengan perubahan diri sendiri ketika di hujung senja. Dalam konteks ini saya teringat kepada bekas bos yang mahu menghampirkan diri kepadaNya. Rutin hariannya dipenuhi dengan amalan zikir yang pelbagai. Sungguh bersemangat beliau mengamalkannya sehingga – terkadang – melepasi tahap yang sepatutnya. Ia menimbulkan ketakutan buat saya yang tidak berilmu. Suatu hari kami bertemu dan bersembang-sembang seketika. Beliau sangat bersemangat mengemaskini amalannya kepada saya. Saya mendengar dan mendengar tanpa gangguan.

    Setiap pagi, jam 3:00 pasti isteri akan kejutkan untuk qiam tetapi beliau hanya menjadi tukang kejut sahaja.


    Setiap bulan Ramadhan saya sering berada di Mekah tetapi isteri tidak pernah mahu turut serta.

     

    Saya sudah membina dua buah masjid di Kemboja. Murah. Kos hanya RM60,000 sebuah. Satu dinamakan dengan nama ayah dan satu lagi dengan nama sendiri. Awak?

     

    Saya tidak memberi apa-apa respon. Diam dan terus membiarkan beliau bercerita. Namun di hujung cerita beliau berpijak di bumi nyata. Ada sesuatu yang terbuku di hati. Saya dapat merasainya dengan kata-kata berikut,  

    “Isteri, risau pulak melihatnya. Beliau tidak langsung menggangu kegiatan yang saya lakukan. Beliau menyokong  walaupun beliau terperuk di rumah bila saya bermusafir ke Luar Negara.

     

    “Bos berdoalah banyak-banyak kepada Allah”.

     

    Itulah penyudah kepada pertemuan ringkas di tangga masjid. Benar, pada usia di hujung senja – tidak kira tahap mana sekali pun – diri dan pasangan serta ahli keluarga perlu bersedia dan menyediakan diri untuk bertemu denganNya. Kedua-duanya, suami dan isteri. Tiada istilah penyokong untuk beramal-ibadat. Mudah-mudahan kita – suami dan isteri – sentiasa bersama sehingga bertemu semula di Raudhah.

    Rasanya elok jika saya menamatkan catatan ini dengan menceritakan keperibadian seorang ulama’ besar di zaman silam. Namanya Khairu An Nasaj. Beliau tinggal di kota Bahgdad. Ketika itu berusia 120 tahun.

    Khairu An Nasaj berulang-alik dari rumah ke kota dengan mendayung sampan. Suatu petang – dalam perjalanan balik – dayungan solonya mengejutkan sekumpulan pemuda yang dilewatinya. Perahunya memintas laju. Jerih dibuatnya untuk kumpulan pemuda itu mengejarnya. Sampai di penambang, pemuda-pemuda ini mengepungnya,

    Maafkan kami wahai Tuan Guru. Kami bukan berniat jahat ke atasmu.

     

    Jadi, apa pula hajatmu, wahai pemuda-pemuda perkasa?.

     

    Begini Tuan Guru. Kami tahu usia Tuan telah melewati lebih 100 tahun. Namun, ketika Tuan berdayung perahu dan memintas kami sebentar tadi sungguh menakjubkan. Dayungan Tuan Guru bagaikan dayungan seorang pemuda 20 tahun! Apakah rahsia kekuatan Tuan Guru?

     

    Wahai anak-anak muda pembela agama Allah. Rahsianya mudah. Jagalah Allah – dan pasti Allah akan menjaga dirimu. Hindari diri dari segala bentuk maksiat keatasNya! Berwaspadalah apabila diri kita dipuji. Kerana orang yang memuji itu sifatnya sempurna. Apa yang pasti, diri sendiri – yang dipuji – tentu arif tentang kekurangannya.

     

    Menghayati kisah ini membuat saya merenung diri. Masih banyak ilmu yang perlu dipelajari. Jelas, ilmu Allah tidak akan tamat sampai bila-bila sehingga tiba memo kematian. Lalu saya panjatkan doa kepada Dia yang Maha mendengar,

    Ya Allah. Sesugguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Bijaksanana. Kurniakan kami ilmuMu yang tidak bertepi untuk dimanfaatkan dunia dan akhirat. Ya Allah. Kurniakan kami, anak-anak kami serta zuriat kami kecemerlangan dan darjat yang tinggi di sisiMu di dunia dan akhirat.

     

    Semoga ada manfaatnya, InsyaAllah.

  • DOA DAN KERINDUAN

    3 Jumada al-Akhir

    Apa ada pada rindu?

    Semakin usia di hujung senja – rasa rindu – muncul bertali arus. Ia pelbagai. Kita merindui mereka yang hampir. Bila bersendirian kita terkenang langkah-langkah yang pernah kita lalui. Ada yang mahu dilupakan tetapi lebih banyak yang membuat kita tersenyum sendirian.

    Subhanallah.

    Namun rindu orang tua selalunya dikaitkan dengan masa tersisa. Misalnya, saya sentiasa merindui untuk berada di Masjidil Haram agar dapat menatap kaabah sepuas-puasnya. Saya mahu bertawaf, bersaei dan bertahlul. Malah terasa damai di hati berdoa dan bermunajat di kala dini hari.

    Tentu sekali saya terus-terusan merasai rindu untuk melakukan kunjungan ke Masjid Nabawi agar dapat berada sehampir mungkin dengan makam Rasulullah SAW. Ramai orang begitu. Benar, ia hanya simbol hati dan perasaan untuk berada hampir dengan kekasih Allah ini. Bagi yang memahami, selawat dan salam boleh disampaikan walau di mana kita berada. Malah Baginda SAW menjadi semakin hampir dengan mengamalkan segala sunnahnya. 

    Saya fikir kerinduan ini cermin naluri keimanan terutamanya bagi mereka yang pernah terpilih sebagai tetamuNya. Anehnya, kerinduan ini juga menggamit jiwa mereka yang masih belum berpeluang ke sana.

    Apa sahaja kerinduan di hati bersandarkan soal kemahuan mahu sehampir denganNya pasti dipandang Allah. PertolonganNya pasti tiba. Malah – kebiasaanya – ia tidak mampu ditelah dek akal sendiri.

    Ia datang dalam berbagai bentuk sepanjang perjalanan kehidupan seharian setiap insan. Cuma, sifat Ehsan Allah ini sering terlepas pandang. Ramai yang tidak mahu memikir dan mengakui dengan segala rahmat dan nikmat yang telah dan sedang kita kecapi.

    Sehinggakan ada yang berani mengeluh dan berkata, “puas sudah aku berdoa tetapi kenapa Allah tidak makbulkan!”. Apakah itu wajar dilafazkan? Bukankah ia menunjukkan seolah-olah kita mahu campur tangan, mempersoalkan kerja dan kekuasaan Allah SWT?

    Hakikatnya, manusia sering bersungut dengan apa yang tiada di tangan sedangkan apa yang sedang dan sudah mereka nikmati tidak terkira banyaknya.

    Sekali fikir, ramai yang gagal matematik. Mereka tidak pandai mencongak atau mengira!

    Kerinduan sepatutnya membawa kita semakin hampir dengan Allah SWT. Lantas kita pastinya perlu berkomunikasi dengan DIA melalui doa dan bermunajat. Doa itu senjata mukmin. Itu yang selalu diingatkan. Dari sisi yang berbeza, doa itu – pada pengamatan saya – seolah-olah suatu transaksi perniagaan timbal balas.

    Perniagaan di antara seorang hamba dan PenciptaNya. Ada dibayar tunai. Ada dalam bentuk pelaburan yang tertakluk kepada tempuh matang. Ada juga kredit dan debitnya. Apa yang pasti – sebagamana yang dijanji Allah – ia perniagaan yang tidak pernah rugi!

    Tanggungjawab utama sebagai hambaNya adalah untuk berdoa. Ia satu ibadat mudah. Meminta apa yang kita kehendaki. Para ulama’ terdahulu telah memberi kaedah dan paduan serta tatacara berdoa.

    Hajat dan keinginan dari doa tersebut amat bergantung kepada sejauh mana kita memelihara perhubungan denganNya. Jika boleh saya nyatakan, ia disebut customer loyalty dalam ilmu perniagaan moden. Perlu diyakini bahawa doa itu - sama ada diterima, ditangguh atau ditolak – bukan urusan sipemohon!

    Saya pernah mendengar kenyataan seorang ilmuan tasawuf terkenal negara yang telah merumuskan kaedah berdoa. Ia menarik perhatian saya untuk dikongsi bersama,

    "Dalam setiap doa itu pasti ada redhaNYA. Carilah redhanya Allah di sebalik sebab dan akibat dari anugerah dan nikmat (apa jua bentuknya) yang ditakdirkan. Hanya mereka yang mengikhlaskan diri dalam doanya mampu memikirkan dan menemui jawapannya”.

    Subhanallah!

    Kisah doa dan kehidupan saya sekeluarga tidak dapat dipisah. Banyak kisah-kisah ringkas yang kelihatan tidak mustahak boleh dijadikan pedoman jika kita mahu berfikir. Kisah ini juga tidak terkecuali.

    Suatu petang, saya dan isteri melewati sebuah kedai optimetri di Shah Alam. Hati kami tergerak untuk singgah di situ. Ada sesuatu yang dicari.  “Assalamu’alaikum Ustaz,” sapa isteri dalam keadaan terkejut. Apa tidaknya, sebaik sahaja pintu kaca ditarik muncul orang yang dicari-cari di hadapan mata.

    “Wa’alaikumusallam”. Jawab Ustaz Al-Amin. Beliau juga terkejut kerana mereka sebenarnya hampir bertembung.

    “Kami mahukan maklumat lanjut tentang ziarah Palestine. Masjid Al Aqsa”. Isteri saya memulakan bicara merujuk kepada poster yang ditampal di blog beliau. Nada isteri tersekat-sekat. Sebenarnya beliau teruja. “Ada tempat lagikah Ustaz?” Isteri saya terus bertanya. Bagaikan tidak sabar menunggu jawapan.

    “Duduk, duuuduk… dulu. Cool Hajjah”. Ustaz Amin berseloroh. Beliau cuba menenangkan keadaan. Keceriaan jelas terpancar dari wajah bersih beliau. Itulah gelagat sama seperti yang pernah kami amati melalui pelbagai program beliau di media massa.

    “Sebenarnya program ziarah ini dilakukan setiap bulan. Saya kendalikan sendiri, InsyaAllah. Program dua bulan lagi agak eksklusif dan special sedikit”.

    Kami bertambah teruja lalu membiarkan beliau meneruskan penjelasan tanpa gangguan.

    Ia ziarah tiga masjid. Bermula dengan Al-Aqsa dan diikuti dengan Umrah – pastinya – akan ke masjid An-Nabawi dan Al-Haram. Ada dua tempat lagi!”  

    Itulah gerak awal yang diilhamkanNya. Suatu hasrat dan kerinduan terpendam lama. Kami terus membuat pendaftaran dan membuat pembayaran muka sebagai tanda jadi.  Perjalanan balik ke rumah dalam sebak. Air mata membasahi pipi. Kami tidak berbual seperti lazimnya. Kami biarkan kaset ‘terapi zikir’ yang sedia terpasang mengiringi kegembiraan hati.

    Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

    Ya, benar! Kami terlalu ingin untuk bersolat di Masjid Al-Aqsa. Itulah doa kami selama lebih 20 tahun setelah doa kami menunaikan fardhu haji sebelum usia 40 tahun restuiNya. Sepanjang tempoh tersebut, setiap kali tibanya bulan Rejab akan kami ‘perbaharui’ niat untuk ke sana. Kisah-kisah Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW melalui tazkirah dan ceramah khas menjadi pemangkin.

    Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjidil Al-Aqsa (di Palestine); yang Kami berkati sekelilingnya…..”.

    Maksud sebahagian dari ayat pertama Surah Al-Isra’ bagaikan dipaparkan di dashboard kereta. Apa tidaknya, seringkali bila membaca dan menyemak tafsir ayat tersebut menjadikan hati ini menjadi sebak. Sedih ada, marah pun ada! Itulah kiblat pertama agama Islam yang kini di bawah kawalan rejim Yahudi laknatullah. 

    “Mak dan babah suka sangat ke tempat-tempat yang bahaya,” itulah komen dan luahan spontan hati anak sulung sebaik sahaja dimaklumkan program ziarah kami ke Palestine. Ia rasa logik kerana sebelumnya kami baru sahaja berkunjung ke Kashmir, India. Ia kawasan pelancongan yang kemasukannya dikawal ketat tentera.

    “Jaja, kematian kita di mana-mana sahaja. Di atas katil yang selesa pun ada orang meninggal!”

    Saya cuba memaham dan mendamaikan hatinya. Itulah ujian perasaan pertama yang perlu dilalui. Apa yang pasti – anak ini – amat prihatin kepada ahli keluarganya. Lalu isteri mengaitkan rasa sayang dan prihatin  dengan sesuatu yang lebih bernilai,

    “Bersama-samalah Jaja dan adik-adik berdoa akan keselamatan Mak dan Babah”.

    Ia bukan semat-mata pujukan. Doa merupakan satu amal ibadat. Malah saya mahu menyatakan, "doa anak yang soleh dan solehah dipandang Allah dengan penuh keistimewaan". Dari kejauhan – mereka berkomunikasi dari Mexico – ternampak jelas kerisauan di wajahnya. Namun – akhirnya – beliau tunduk tanda bersetuju. Pastinya Jaja – In'sya Allah – memohon keredhaan Illahi.

    Kami merindui Masjidil Aqsa walaupun tidak pernah ke sana. Ia perasaan luar biasa. Tentunya penantian hari penerbangan ke Amman penuh dengan debaran. Malah perkembangan semasa konflik Palestine-Israel dipantau hampir setiap hari. Perkembangan ‘Arab Spring’ di negara-negara berjiran diteliti. Dua bulan terasa lebih lama dari 20 tahun.

    Allah ya Allah, itulah tahap kerinduan yang dibuai perasaan!

    “Bang, kalau sudah tercatat di lauhulmahfuz, pastinya – In syaa Allah – kita ke sana juga!” Itulah sentuhan hati seorang isteri. Sungguh, ia berbekas di kalbu.

    Akhirnya, kami mampu sujud buat pertama kali di Masjidil Aqsa. Ia berlaku ketika kami di hujung senja. Subhanallah, ia rasa rindu yang dinyatakan melalui doa-doa yang dipohon lama kepadaNya. Apabila sampai masa dan ketikanya, maka DIA makbulkan permintaan tersebut. Tentu sekali khalayak dapat membayangkan perasaan kami ketika itu. Rasanya, cukuplah saya nukilkan sebegini,

    Langkah singkat, rasa sedepa; Berjalan, rasa berlari!

    Gundah dan penat, terasa redhaNya; Laluan, terasa di hati!

    Hati sebak, air mata bercucuran;Rencana Allah, hebatnya pasti!

    Ganti Hak (Allah), akhiri perniagaan; Kasihnya Allah, tidak bertepi!   

    Sesungguhnya, nikmat ketenteraman berada di dalam Masjid Al-Aqsa – salah satu tempat yang disyariaatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat – adalah sesuatu yang sukar ditulis bicara. Malah berada di Baitulmaqqadis juga wujud getar di dada. Benarlah ayat Allah – “Masjidil Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya…”

    “Ya Allah, kami ini terlalu lemah dalam memikul amanah. Justeru itu, janganlah bebankan kami dengan bebanan (amanah) yang tidak kami berupaya memikulnya!

    Ya Allah, maafkan kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami. Rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami. Justeru itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir!

    Ya Allah, kembalikan bumi Palestine dan Masjidil Al-Aqsa di dalam penguasaan Islam. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Berkusa lagi Maha Bijaksana!

     Kerinduan kami terubat. Doa kami termakbul.

Sabtu M Ali

Beliau merupakan tokoh yang mempunyai pengalaman melebihi 30 tahun di sektor awam dan swasta.

Beliau merupakan pesara LLN/TNB sebelum terlibat sebagai Penasihat Korporat.

Tuan Haji Sabtu berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan dari universiti di UK.

Beliau memperolehi ijazah Sarjana dari Universiti Ohio, USA.

Tema kuliah "Di hujung Senja".

Copyright 2012 Universiti MKI. All rights reserved.

Web Hosting by Yahoo!



Editor

Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah

ph: +966502127721

umki@muhdkamil.org

Komen di sini:Facebook