Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
23 Rabiul Awal 1434
Penulisan bukan bidang atau kemahiran saya.
Ia semacam kelemahan semulajadi sejak dari bangku sekolah. Malah ia terasa sehingga ke hari ini kerana tiada usaha gigih untuk memperbaikinya. Tentu sekali saya bersyukur – dalam susah payah – dapat menyediakan kuliah pertama untuk Universiti MKI dan bertemu khalayak yang besar jumlahnya.
Namun dunia ini penuh dengan kepelikan untuk dijadikan renungan bagi mereka yang mahu berfikir. Saya tidak meminati penulisan tetapi Allah SWT mencampakkan saya di dalam industri penulisan, berkawan dengan ramai penulis, sehinggakan berkahwin pula dengan seorag penulis. Ia kelihatan sangat luar biasa bagaimana Allah merencanakan yang terbaik buat hambaNya. Ia bukan terbaik di sisi kita tetapi terbaik di sisiNya.
Isteri saya – Ain Maisarah – menulis novel remaja bersama syarikat PTS. Itulah permulaan persahabatan dengan Prof MKI, pengasas Universiti ini. Persahabatan inilah yang mungkin menjadi penyebab mendorong saya untuk mula menulis. Moga-moga ia menambah saham akhirat daripada usaha Prof MKI berdakwah.
Saya berdoa agar siswa siswi kuliah ini dapat menerima kekurangan berdasarkan latar yang saya nyatakan. Hubungi saya di laman Facebook www.facebook.com/syaizulamal jika mahu penjelasan lanjut dengan apa yang saya sampaikan di sini. Insya Allah saya sudi membantu.
Mari kita mulakan kuliah pertama dengan mengimbau kembali naluri dalaman saya ketika remaja (nota: agak saya – kini pun – masih muda lagi). Saya bercita-cita MAHU JADI JUTAWAN. Saya berdoa sejak kecil. Doa cara saya. Malah saya tidak berselindung dengan menyatakan cita-cita ini apabila mengisi mana-mana borang yang memerlukan saya menyatakan cita-cita.
Hakikatnya mudah. Saya mahu kaya.
Ada rakan memandang sinis. Ada juga – rakan dan saudara – mengambil persepsi negatif terhadap kakayaan. Kata mereka wang boleh melahirkan sifat tamak, lupa diri dan sombong. Tetu sekali ia perasaan yang tidak dapat dinafikan. Cuba kita melihat kisah Firaun dan Qarun yang jelas diceritakan melalui al-Quran.
Maka saya percaya ia salah satu risiko menjadi jutawan. Kekayaan hadir bersama cabaran. Paling utama – saya labelkan – sebagai penyakit sayangkan wang. Lalu saya menukar doa. Saya memohon menjadi jutawan dermawan. Itu lebih selamat. Jutawan yang tidak sayang dan kedekutkan wang untuk dibelanjakan ke jalan Allah. Saya terasa lebih damai di hati.
Pilihan menjadi jutawan tentunya bersebab. Pertama saya mahu bebas, kebebasan masa dan kebebasan membuat pilihan untuk membuat hanya perkara yang saya suka. Lalu ketika berumur 25 tahun, bersama rakan niaga – kami – membuka perniagaan dalam industri telemomunikasi. Alhamdullilah, Allah memudahkan. Tahun pertama kami kami sudah mendapat sejuta pertama. Setiap bulan, angka jualan purata di antara RM250 ke RM300 ribu.
Apakah ia berkaitan dengan doa yang dimakbulkan? Bukankah saya berdoa semenjak kecil mahu jadi jutawan?
Industri telekomunikasi sangat pantas berubah. Hampir setiap 6 bulan muncul teknologi baru memerlukan perhatian kami. Jadi, semakin berjaya perniagaan, semakin kurang masa saya. Jelas, saya tidak pula dapat membuat perkara-perkara yang saya suka walaupun sudah mempunyai kewangan yang kukuh.
Kita banyak mendengar kisah peniaga jutawan yang dikatakan mempunyai kebebasan masa. Berada di sini – dalam dunia perniagaan – saya dapat menyaksikan mereka tetap sibuk walaupun perniagaan mereka sudah maju dan bergelar jutawan. Alasan mereka mudah – masa sibuk itu digunakan untuk membuat perkara yang mereka suka. Maksud saya – tanpa mereka sedari – pilihan kesukaan itu adalah untuk untuk sibuk berniaga.
Saya fikir apa sahaja yang kita ceburi termasuk dunia perniagaan – sepatutnya – memberi kebebasan untuk kita mempunyai lebih pilihan bagi melakukan perkara yang menguntungkan kita di akhirat. Kita sepatutnya mempunyai kebebasan masa untuk berjemaah di masjid, berdakwah, bersama keluarga dan masa untuk diri sendiri.
Inilah dugaan sebenar seorang manusia. Saya terjemahkan melalui pengalaman sebagai seorang usahawan. Sangat jelas, apabila kita dapat menentukan kebebasan kita maka kita perlu pula membuat pilihan. Misalnya, memilih untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal sahaja. Kita mampu memilih menentukan berapa jumlah sedekah yang mahu kita hulurkan. Malah – sebagai kesimpulan – kita boleh memilih untuk memberi manfaat atau menekan serta memilih untuk memberatkan urusan dunia atau akhirat.
Namun saya selalu terkenang dengan pesanan Prof MKI berkaitan dengan satu hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Semoga Allah mempermudahkan urusan kita. Tanamkan azam dan paksa diri kita untuk berubah. FAKE IT UNTIL YOU MAKE IT. Semoga keadaan paksarela ke arah kebaikan itu berubah menjadi tabiat yang baik.

Dikenali sebagai Amal. Beliau jutawan muda lulusan MBA (UKM) dalam bidang Computer Science and Robotic dan telah membina syarikat dalam bidang telekomunikasi (content provider) daripada 0 kepada 23 juta pendapatan.
Kini beliau merupakan pengurus novelis remaja No 1 Malaysia, Ain Maisarah. Mereka adalah tuan punya kepada beberapa buah syarikat berkaitan dengan produk Ain Maisarah.
Beliau juga Presiden SYUKUR, NGO badan kebajikan Islam yang mempunyai 4000 ahli.
Emel: syaizul2011@gmail.com
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki