Memoir Ramadhan – Bubur lambuk

Ramadhan mempunyai pelbagai pengertian bagi setiap individu samada yang menjalani ibadah puasa atau sebaliknya. Barangkali ada memoir indah yang boleh dikenang sejak ianya diperkenalkan.

Saya terkenang seorang rakan, setiap kali di bulan Ramadhan beliau pasti menyediakan bubur lambuk yang enak. Bubur itu diagih-agihkan kepada rakan-rakan, jiran-jiran dan masjid atau surau yang berhampiran. Hampir setiap tahun begitu. Katanya;

Seingat saya, arwah bapa akan mengayuh basikal di awal pagi hampir setiap hari ke pasar di pekan kecil daerah kami. Jauhnya hampir 6 km pergi dan balik. Tujuannya hanya untuk mendapatkan tulang bersalut daging segar.

Di rumah, arwah ibu pula sibuk menyediakan bahan ramuan untuk dijadikan bubur lambuk. Ibu akan merebus tulang serta daging sehingga empuk.

Aroma rempah dari sup daging meruap-ruap memenuhi setiap ruang rumah papan kami. Saya hampir-hampir mahu meminta izin dari ibu untuk berbuka puasa.

Rakan itu bercerita sambil merenung jauh, seolah-olah membayangkan beliau sedang berada di era itu. Ingatan beliau berjaya membawa memoir zaman kanak-kanaknya untuk kami turut merasai dan berada di situ.

Ibu akan memujuk kami yang masih kecil supaya tidur jika di hari minggu. Bagaimana mungkin? Haruman bubur lambuk menusuk-nusuk ke hidung kami. Kami langsung tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun.

Rakan itu tertawa mengingatkan gelagatnya bersama adik-beradik melawan naluri yang kelaparan lantaran berpuasa. Penawar paling mustajab adalah tidur di siang hari.

Katanya, beberapa jam sebelum berbuka, ibubapa mereka sibuk membungkus bubur ke dalam bekas pelastik untuk diagih-agihkan di sekitar masjid dan surau. Bubur akan dimasukkan ke dalam mangkuk-mangkuk kecil pula untuk jiran berhampiran.

Bapa selalu berpesan,”Ingat! Allah sentiasa melihat perbuatan kita walau di mana sahaja.

Rakan itu bercerita lagi;

Allahu Akbar! Ada kisah nakal. Pernah suatu ketika, saya bersama abang membawa mangkuk terakhir – yang diperuntukkan kepada jiran- di belakang rumah yang tiada berpenghuni. Di situ kami berjamu selera.

Malangnya, perbuatan kami dapat dikesan. Bagaimana? Seorang jiran bertanya kepada bapa mereka, kenapa tidak memasak bubur pada hari itu? Benar, mangkuk terakhir itu sepatutnya untuk jiran itu.

Akal singkat kami berfikir, tentulah mereka tidak perasaan. Lagipun kami tidak menghantarnya untuk sehari sahaja. Hanya pada hari itu sahaja.

Kami melihat beliau tertawa besar. Diam-diam beliau berpaling ke belakang, perlahan-lahan mengangkat hujung lengan tangan baju sambil mengesat airmata. Masya Allah tabarakallah! Begitulah uniknya perasaan halus ciptaan Tuhan.

Barangkali semangkuk bubur lambuk – hanya makanan biasa-biasa. Namun, ia datang bersama rindu yang tersemat di hati. Rindu mendalam terhadap ibubapa yang telah lama menemui pencipta yang maha berkuasa. Rindu itu datang menjelma malah membuak-buak setiap kali menjelang Ramadhan. Lantaran rasa kasih, rindu itu membuatkan rakan itu meneruskan tradisi ibubapanya. Ilmu yang sedikit itu terlamu amat besar lagi bererti apabila sempat diturunkan kepadanya.

Itulah ilmu yang dipinjamkan oleh Allah kepada ibubapa. Kini disampaikan pula kepada saya. Ia tidak boleh di bawa mati. Begitulah, setiap kali Ramadhan saya wakafkan ilmu dan tenaga bagi menyediakan bubur lambuk ini di masjid kariah kawasan perumahan. Jika ada sedikit kebaikan, mudah-mudahan Allah limpahkan palaha itu untuk mereka. Moga Allah lapangkan kubur mereka, mengampunkan segala dosa, memasukkan mereka terus ke dalam syurga bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kami mahu bertemu di sana.

Sungguh benar. Ia bukan sekadar bubur lambuk. Namun, didalamnya ada resipi penuh kerinduaan, ada ilmu bermanafaat dan amalan jariah yang diteruskan.

Allahu Akbar! Bukankah itu tanda-tanda kebesaran Allah? Tidakkah kita mahu memikirkan kekuasaanNya? Sungguh, ia BUKAN SEKADAR RESIPI.

Posted in Kerenah anak-anak, Masakan, Muhassabah | Leave a comment

Memoir Ramadhan – Nasi Goreng

Seingat saya, kami adik-beradik mula belajar berpuasa seawal usia 6 tahun. Abah dan emak mengajar kami agar berpuasa separuh hari. Apabila hari mula menjelang petang – ketika tekak sudah tidak dapat menahan kehausan – kami akan menuntut untuk berbuka.

Biasanya emak akan memujuk, agar kami dapat menahan sekadar satu jam lagi. Emak juga menyarankan agar kami tidur. Namun, kanak-kanak tetap dengan sikapnya suka bermain-main. Ketika bermain, kami sering terlupa bahawa sedang menjalani ibadah berpuasa.

.

Berpuasa di zaman kanak-kanak, kadar ketahanannya tidak lama. Usai bermain, kami akan menuntut untuk berbuka puasa – berkali-kali dan berulang-ulang. Sehingga emak simpati lalu memberikan kelulusan.

Biasanya kiraan puasa pada zaman kanak-kanak adalah cantuman beberapa hari. Hari pertama separuh hari, di campur dengan hari ke dua, juga separuh hari. Jadi apabila orang bertanya,” Awak sudah berpuasa berapa hari? Kami akan menjawab satu hari.

Tidak hairanlah, jika dalam sebulan ramadhan, kanak-kanak akan berkata bahawa mereka sudah berpuasa beberapa hari tertentu. Sebenarnya – kebanyakannya adalah cantuman puasa separuh-separuh hari sahaja!

Ketika zaman kanak-kanak, kami hanya akan berpuasa sekiranya dikejutkan oleh abah dan emak untuk bangun bersahur. Abah akan mengajar kami niat berpuasa, setiap kali sebelum menjamah hidangan sahur. Selain itu, pada malam sebelumnya, kami juga telah diajar niat untuk sebulan berpuasa.

Ingat ya. Niat berpuasa esok hari kerana Allah taala.

Itulah pesanan-pesanan yang dibuat sebelum tidur. Namun, sekiranya kami tidak terjaga untuk bagun bersahur atau terjaga ketika azan subuh sudah berkumandang, maknanya kami tidak perlu berpuasa. Biasanya, jika ada orang yang bertanya kenapa kami tidak berpuasa? Jawapan mudah sudah tersedia;

Malam tadi kami terlupa niat. Lagipun tidak terbangun untuk bersahur.

Subhanallah! Ia suatu tiket besar yang menghalalkan kami makan di hadapan khalayak. Tanpa rasa bersalah. Tanpa silu.

Begitulah. Apabila usia meningkat, masa menahan lapar juga turut dipertingkatkan. Jika sebelum menduduki alam persekolahan, kami dibenarkan berbuka seawal azan zohor. Ketika awal persekolahan, kami dijanjikan boleh berbuka puasa ketika azan waktu asar.

Namun, ia masih lagi bergantung kepada makan sahur. Jika tidak bersahur, maka keesokannya kami tidak akan berpuasa walaupun di waktu persekolahan. Ia tiket besar untuk kami membeli sepiring nasi goreng atau mee hoon di kantin sekolah.

Sahur sangat besar ertinya bagi kanak-kanak seusia kami ketika itu. Namun, seingatnya kami tidak pernah memilih apa sahaja hidangan sahur yang emak sediakan. Ia sangat berbeza dengan zaman anak-anak sendiri.

Anak ketiga kami, Amirul sangat pemakan budaknya. Sehingga berumur 14 tahun, beliau akan bertanya juadah sahur yang bakal saya sediakan. Ia selalunya ditanya, seusai kami berbuka puasa. Ketika makanan masih terhidang di hadapan mata.

Mama, makan apa sahur nanti?

Mama buat roti bakar, boleh?

Nasi…Amirul mahu nasi goreng.

Allahu Akbar! Ketika berjauhan, ungkapan itu bagai terdengar-dengar. Barangkali perbualan itu telah lama berlalu. Ketika anak-anak masih lagi meminta-minta mahu makan itu dan ini. Malahan ibu-ibu pula, sengaja bertanya bagi pemangkin untuk mereka bangun bersahur.

Masa berlalu, anak-anak membesar dan zaman beredar. Namun,perbualan ringkas seperti itu pasti di rindu. Ia ikatan kasih antara ibu dan anak.

Bukankah itu tanda-tanda kebesaran Allah Subhanawatalla? Sungguh, ia BUKAN SEKADAR RESIPI.

Posted in Kerenah anak-anak, Masakan | 5 Comments

Komen Pembaca : Bukan Sekadar Resipi

Saya menerima e-mail dari pihak penerbit Galeri Ilmu baru-baru ini. Bersamanya dilampirkan komen salah seorang pembaca buku Bukan Sekadar Resipi. Allahu Akbar! Terima kasih Allah. Moga ada ilmu yang bermanafaat.

Bukan sekadar buku…

Itulah yang saya boleh rumuskan setelah membaca buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan. Kenapa tidak! Hendak dikatakan buku resipi, bukan sekadar resipi yang terkandung di dalamnya. Hendak dikatakan buku cerita, bukan cerita rekaan yang dituliskan. Hendak dikatakan biografi, bukan kisah seorang individu yang diceritakan. Hendak dikatakan travelog pula, bukan sekadar kisah perjalanan yang dikongsi.

Membaca hasil tangan Puan Roza Roslan ini tidak pernah membosankan. Setelah membuka buku ini, terlalu sukar untuk menutupnya. Hati terasa tidak sabar hendak membelek hingga ke muka surat yang terakhir. Namun, tidak pula sanggup hendak melompat bab. Bahkan, saya terpaksa membulatkan tekat untuk menangguhkan pembacaan setelah membaca hampir satu per tiga daripada buku tersebut. Itu pun kerana malam yang telah semakin lewat dan keesokan harinya pula, saya perlu bekerja. Malu pula rasanya kerana lebih membesarkan buku ini dari solat malam yang selalu dipesan oleh Puan Roza Roslan sendiri.

Gambar-gambar masakan yang terdapat di dalam buku Bukan Sekadar Resipi juga amatlah menggiurkan. Dalam kes saya, gambar Seri Kaya Labu sememangnya menambat hati. Terasa seperti ibu mengandung sedang mengidam pula. Terbayang-bayang semasa mata hampir terpejam. Mujurlah tidak sampai mengalirkan air mata. Gambar-gambar resipi yang lain juga tidak kurang menambat hati dan perasaan. Nafsu meminta-minta untuk menjamahnya. Begitulah, syaitan sememangnya pandai mempengaruhi nafsu walaupun semasa membaca buku yang banyak membawa rasa keinsafan.

Kisah-kisah di sebalik resipi yang diceritakan juga amat menarik. Ceritanya biasa-biasa sahaja kerana ia adalah kisah benar. Tiada unsur-unsur fantasi dan ajaib yang dikisahkan. Namun, kebenaran itu sebenarnya lebih ajaib dan menakjubkan jika dilihat dari sudut yang sepatutnya. Kadang kala, saya berasa malu sendiri kerana tidak pernah terfikir untuk berfikir dari sudut yang diceritakan. Pengalaman sendiri yang dianggap biasa-biasa, rupanya tersimpan beribu rahsia andai dilihat dari sudut yang sama.

Sebagai kesimpulan, Bukan Sekadar Resipi mengajar bayak perkara tentang kehidupan. Jika ahli Kimia mengatakan Ilmu Kimia berasal dari dapur, maka saya mengatakan kehidupan yang bahagia berasal dari dapur yang diuruskan oleh isteri, ibu dan wanita yang berhati mulia. Dan sememangnya wanita itu mulia, oleh itu kemuliaannya perlu dipelihara….

AYRIE

Posted in Masakan, Uncategorized | 9 Comments

Guru saya menulis untuk Aroma antara Benua

Dr SAADIAH MOHAMAD
Profesor Ekonomi
Universiti Teknologi MARA

Bismillahirahmanirrahim

Tentu sekali ia bukan suatu kebetulan untuk menerima panggilan sejauh Madinah – bagi membaca manuskrip Bukan Sekadar Resepi – ketika saya pula berada di bandaraya Ho Chi Min. Agak saya ia bersesuaian dengan tema buku ini, Aroma Antara Benua. Saya terkejut dengan panggilan sejauh 7000 KM namun segera bersetuju dengan pemintaan ini. Roza Roslan mempunyai tempat di hati saya.

Beliau merupakan bekas pelajar – MBA UiTM – saya pada 2007 mengikuti kuliah Managerial Economics. Ia ingatan jelas kerana bersebab. Pertama, Roza adalah kumpulan pelajar matang belajar sambil bekerja. Kelas hanya bermula jam 6.30 petang. Tentu sekali saya mengingati Roza dan rakan-rakan kerana kuliah berlangsung pada bulan Ramadhan. Kami berbuka puasa bersama di dalam kelas. Masing–masing membawa bekal dan sama-sama berkongsi makanan.

Kedua, Roza pelajar cemerlang. Tidak mudah untuk mendapat A bagi mata pelajaran ini. Beliau termasuk dalam golongan segelintir. Ia berkait rapat dengan sifat beliau sebagai pelajar yang sangat tekun, rajin, berminat dan fokus dengan apa yang dilakukan. Sifat-sifat ini tidak terlalu sukar untuk dikutip melalui Aroma antara Benua, InsyaAllah.

Namun ada sesuatu yang luar biasa tentang hubungan kami berdua. Ia berlaku di luar sedar. Roza adalah anak murid saya, manakala suami – Haji Zainul – merupakan anak murid Prof MKI, suami Roza. Suami saya sangat meminati blog Prof MKI dan sentiasa berkongsi ilmu yang diperolehi melalui tulisan beliau. Kami pernah membaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman karya Prof MKI dan Travelog Cinta Abadi: Masa yang Berlalu karya pertama Roza. Bagaimanapun, saya belum berkesempatan membaca buku Bukan Sekadar Resepi yang terdahulu.

Buku ini, Aroma antara Benua adalah yang pertama seumpamanya pernah saya baca. Ia amat menarik kerana terdapat beberapa gaya dan elemen penulisan yang berbeza. Misalnya, unsur-unsur travelog melatari resepi masakan. Roza berjaya mengetuk pintu hati khalayak supaya merenung dan bermuhasabah diri berdasarkan perjalanan dan perlakuan kehidupan pada masa lampau melalui makanan. Ia dilalui oleh semua orang kerana makanan adalah keperluan asas manusia.

Roza membuka keajaiban melalui buku ini dengan menggabungkan nilai ketuhanan di dalam resepi masakan. Ia tidak terlalu janggal buat saya yang berpeluang mengenali pasangan ini – Roza dan Prof MKI – yang bukan sahaja berkasih sayang tetapi berani melakukan pelbagai kelainan.

Kehidupan mereka memang begitu!

Ia berbeza. Misalnya, saya menemui serimuka pistachio dan sambal belacan buah plum. Roza dengan berani mencadangkan plum boleh diganti dengan blueberries atau gooseberries. Ketika di UK, saya langsung tidak terlintas mahu melakukannya. Namun saya sempat merebus brussel sprout untuk dicicah dengan sambal belacan. Tersirat ia bukan soal makanan. Roza mengajar kita agar tidak perlu mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain atau mengikut kebiasaan. Terbaik, gunakan pertimbangan sendiri dan ia perlu mendapat redha dariNya. Ilham adalah milik Allah. Lalu kita perlu bersyukur untuk itu.

Itulah yang dapat saya kutip apabila usai membaca buku yang sangat bermakna ini. Ia kisah hubungan manusia dengan PenciptaNya. Saya menyaksikan kebergantungan tinggi Roza terhadap Allah SWT melalui kekerapan berdoa dan keyakinan perasaannya. Ia bukan hanya di tikar sejadah tetapi ketika mengadap kuali dan belanga. Konsep ingat Allah sepanjang masa memberi kekuatan ketika mana diuji dengan kesusahan mahupun kesenangan.

Membaca kisah Roza membuatkan saya merenung jauh ke dalam diri. Ia kisah kami sekeluarga. Ketika berada di UK dan US, kami juga membina pertalian dengan meraikan sahabat handai dari serata benua menjamu selera di rumah. Ia tabiat berterusan sehinggalah kami mempunyai kenalan dari Turki, Iran, Sudan, Perancis, Somalia, Arab Saudi dan pelbagai negara lain.

Ia menjadi salah satu sekolah terbaik membantu perkembangan personaliti anak-anak membesar dengan memahami dan menghormati tradisi dan budaya orang lain. Malah ia membentuk minda terbuka dan global. Sekali lagi ia berkait rapat dengan jemputan makan-minum yang menjadi teras penceritaan buku ini.

Roza membawa saya dan khalayak menjelajah dari tiga Jaya – Kelana, Subang dan Petra – sehinggalah merentasi kepulauan UK – London Dundee, Bangor, Liverpool dan Manchester – serta melintasi – Paris, Marakesh, Dakha, Kashmir dan Beijing – sehinggalah mereka mendarat di Madinah. Ia perjalanan panjang dicatatkan secalit darinya melalui Aroma antara Benua.

Buku ini membuka hati saya untuk kembali ke dapur setelah sekian lama disibukkan dengan segala macam kerja yang tidak pernah berhabisan. Kecur air liur apabila membaca resepi makanan kegemaran umpamanya, Scottish Shortbread, Tabbouleh, Sayadieh Maqloobeh dan Hummus. Resepi yang di ketengahkan kelihatan doable dan tidak terlalu sukar.

Percaya atau tidak, saya teringat buku resepi lama yang ditulis pada zaman pengajian di Sekolah Tun Fatimah. Saya bergegas ke dapur dan mula mencari-cari. Allahu Akbar, di celah-celah begitu banyak buku resepi yang saya dan anak – Qurratul Ain – kutip selama ini terselit buku resepi lama yang telah usang, kuning dan sudah mula rabak.

Aduhai, ia kenangan bagaimana seorang budak kampung dari Terengganu belajar memasak di sebuah sekolah yang cukup lengkap kemudahannya. Buku ini membawa saya kepada laluan lampau. Lalu saya merenung diri, melihat pelbagai nikmat lain yang telah Allah anugerahkan sehingga kini.

Saya terpandang ramai individu yang saya kenali apabila menatap helaian demi helaian buku ini. Saya terasa arwah ayah dan ibu di sisi. Malah kelihatan rakan-rakan yang banyak membantu dan berjasa. Roza menceritakan erti kasih sayang dan hidup berkeluarga. Ia kasih sayang di antara anak dan ayah, suami dan isteri, ibu dan anak, serta erti persahabatan yang dibina ikhlas semata-mata kerana Allah.

Mata saya terpaku, hati terasa sayu dan jiwa terkesan ketika membaca bab terakhir buku ini. Ia mengingatkan saya tentang titik akhir satu perjalanan. Segalanya, termasuklah resepi yang pernah kita cuba dan bergelak ketawa bersama masakan terhidang di meja, pastinya akan berakhir. Bacaan saya terhenti sejenak, berdoa agar semoga apa jua yang kita lakukan atas niat mendapat redhaNya. Akhirnya – mudah-mudahan – ia mendekatkan kita ke syurga dan menjauhkan kita dari neraka.

Saya mahu menulis panjang. Namun saya telah diberi had ruang yang perlu dipatuhi. Kesimpulan ringkas – memadailah jika saya ungkapkan – buku ini mempunyai nilai intelektual apabila Roza mengangkat sebuah buku yang mengandungi resepi menjadi bahan bacaan melangkaui deria rasa dan selera. Beliau secarai santai dan berhemah menghidangkan ibrah atau learning points dalam setiap pengalaman yang telah dilaluinya. Buku ini bukan hanya untuk wanita. Bacalah wahai kaum lelaki untuk menyelami rasa halus hati seorang wanita. Mungkin beliau orang yang paling hampir dalam hidup kita!

Saya akhiri pandangan ringkas ini dengan memetik kata-kata Sinan ibn Abdulmenan arkitek tersohor zaman Turki Othmaniah tentang ilmu pengetahuan. Beliau pernah berkata,

I saw the monuments — the great ancient remains. From every ruin I learned, from every building I absorbed something.

Tahniah Roza, anda sememangnya seorang yang gigih dan penulis yang berbakat. Moga terus berkarya kerana karya anda membawa impak dan menyentuh banyak jiwa dan hati.

Sedikit permintaan, “sesekali berdoalah untuk saya yang pernah menjadi gurumu agar kita dapat bertemu di Firdaus”.

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Posted in Uncategorized | 15 Comments

TAHNIAH Datuk Khalil

KATA PENGANTAR AROMA ANTARA BENUA

ABDUL KHALIL BIN H. P. SHAWKATALY
Profesor Pusat Pengajian Teknologi Industri
Universiti Sains Malaysia

Saya Khalil mamak sejati dari Melaka!

Tentu sekali saya tersenyum membaca Resipi 23 Mee Mamak St Mary. Ia kisah 15 tahun lampau bagaimana orang mengandung mengidamkan mee mamak. Bila terdengar khabar tersebut – maka saya fikir – sebagai satu-satunya mamak yang berada di kawasan tersebut, maka sayalah yang wajib menyediakan mee mamak yang menjadi idaman. Hanya mamak yang mahir mee mamak sebenar!

Ia tindakan yang sangat kecil. 15 tahun kemudian, barulah saya sedar betapa ia merupakan satu tindakan yang cukup signifikan. Ia mengubah pandangan hati seorang manusia kepada manusia yang lain. Kesannya, hubungan mamak tersebut dengan insan yang mengandung itu terus kekal sehingga ke hari ini. Mudah-mudahan ia kekal hingga ke Jannah.

Mamak itu adalah saya. Roza pula isteri Prof MKI yang sedang mengandungkan anak ketiga mereka. Pada ketika itu kami berada di Bangor, Wales, sedang berjuang bagi mendapatkan ijazah PhD. Kisah ini kembali muncul setelah 15 tahun berlalu melalui buku Bukan Sekadar Resepi: Aroma antara Benua tulisan Roza. Benar, ia mengembalikan ingatan pada banyak perkara terutamanya kisah-kisah kehidupan, kemanusiaan dan perjuangan.

Roza manusia luar biasa. Saya sentiasa mengingati beliau sebagai seorang isteri, ibu atau rakan yang sentiasa berhemah apabila berhadapan dengan pelbagai isu. Misalnya, beliau boleh menyampaikan protes atau meluahkan isi hati melalui resepi. Saya terpegun melihat 14 jenis kek di atas meja pada sambutan hari raya 1998. Ia luar biasa. Ia hanya kek semata. Tiada nasi briyani, sate, spageti bolognise atau lagsana yang menjadi lambang kemahiran beliau.

Roza, mana makanan lain?

Tahun ini kita hanya makan kek.

Kenapa?

Nanti bila makan kek, boleh ingat Ina di sana.

Ia disambut dengan gelak besar Prof MKI. Rupanya Roza menyampaikan isi hatinya yang bergelodak apabila terbaca sekeping poskad kiriman seorang wanita yang mencatatkan, “jika makan kek, jangan lupa Ina di sini”.

Protes melalui makanan tidak menyakitkan hubungan. Ia tidak menaikkan darah. Ia boleh membuat manusia lebih bersifat rasional. Bila emosi diketepikan, maka segala salah faham boleh berakhir dengan cara yang mendamaikan.

Buku ini bercerita tentang hati. Menyediakan makanan untuk keluarga, tetamu atau sahabat handai bermula dari hati yang bersih. Ia bukan dengan kata semata-mata. Hati yang bersih menjadikan dapur atau kuali sebagai perkakas yang tidak bermasalah.

Siapa sahaja tetamu yang hadir ke rumah sepatutnya dijamu atau diraikan dengan bersungguh. Menghidangkan makananlah yang paling mudah dan bermakna. Sifat itu ada pada Roza. Pengalaman – saya dan keluarga – bersama Roza membenarkan kenyataan ini.

Malah kesungguhan Roza mempelajari pelbagai resepi – luar Malaysia – yang dipersembahkan melalui buku ini memberi tanda betapa ilmu itu perlu dicari serta diamalkan. Berapa ramai mereka yang berada di Luar Negara tetapi tiada tambahan ilmu memasak yang boleh dimanfaat.

Malah Roza kelihatan kreatif mencari alternatif apabila ketiadaan bahan asal. Itulah gambaran kekuasaan Allah SWT yang telah memberi manusia ilham. Itulah jua yang diulang-ulang melalui buku ini.

Terima kasih Roza. Kami – saya dan Era serta anak-anak – mendoakan agar buku ini menjadi buku yang menyukakan ramai khalayak pembaca. Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Semoga juga kita dapat berkumpul di syurga menikmati Mee Mamak Firdaus pula. Tentunya ia lebih lazat dan mempesonakan.

Posted in Uncategorized | 17 Comments

Semeter kain lace

Travelog Impian Abadi : Itu yang tertulis...

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
Khabarnya di Malaysia sekarang musim cuti sekolah. Jauh-jauh begini, kami masih menerima jemputan kahwin yang dihantar via e-mail. Atau paling tidak, mereka download foto-foto via FB. Masya Allah Tabarakallah! Melihat singgahsana majlis perkahwinan anak-anak mereka, ia bagaikan di dalam istana. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Ramai rupa-rupanya rakan-rakan seusia kami sudah mula bermenantu!

Lalu, kak Ngah teringat kenangan – impian yang diangan-angankan zaman remaja. Ia dicatat di dalam buku ke 2 Travelog Impian Abadi: Itu yang tertulis. Antaranya dicatatkan dalam bab SEMETER KAIN LACE.

Berkahwin awal adalah pilihan saya!

Dan saya mempunyai impian bagaimana majlis perkahwinan tersebut patut berlaku. Impian pengantin remaja.

Setiap kali melintas kedai majalah dan surat khabar, saya pasti membelek-belek majalah yang ada terutamanya yang memuatkan gambar pakaian pengantin, hantaran, tempat persandingan dan bilik pengantin. Saya pasti akan tersenyum dan berangan-angan membayangkan saya berada di set majlis perkahwinan yang begitu anggun sekali.

Impian pertama, saya ingin sekali mengadakan majlis perkahwinan di dalam taman. Di pintu gerbang dihiasi dengan bunga-bunga mawar putih dan kuning yang segar dengan haruman menawan. Kek perkahwinan saya bertingkat-tingkat dan diijabkabulkan di bawah teduhan gazebo.

Impian kedua, saya ingin sekali memakai gaun sutera dan kain lace bersulam mewah dan tebal. Gaun kembang, panjang berjela seperti seorang puteri raja di dalam buku cerita dongeng dahulu kala. Gaun saya nanti akan dipegang oleh dua orang pengiring dan diapit oleh pari-pari kecil yang comel.

Impian ketiga, saya ingin sekali jamuan makan untuk para tetamu diadakan di hotel besar. Seluruh kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan akan dijemput untuk sama-sama menghadirinya.

“Adik manis, majalah pengantin itu tidak boleh baca. Kena beli. Harganya cuma RM9 sahaja”

Pop! Majlis perkahwinan impian di dalam angan-angan saya terbantut serta-merta. Terbang hilang melayang dikejutkan oleh penjaga kedai berketurunan India. Beliau tersenyum melihat saya.

“Ops.. sorry ya. Saya tenguk-tenguk sahaja”

Setiap awal bulan, saya akan berkira-kira dan mengagih-agihkan pendapatan. Bayaran untuk Chek, tambang, hantaran, hadiah untuk mak dan sebahagian kecil untuk saya membeli kelengkapan diri.

Cukup-cukup sahaja.

Allah maha berkuasa di atas segalanya. Takdir Allah, suatu hari Chek mempelawa saya untuk “bermain kutu” dengan sanak-saudaranya. Setiap bulan saya perlu mencarum sebanyak RM50 untuk sepuluh bulan. Pencarum akan mencabut undi dan menerima duit kutu apabila sampai waktunya.

Saya khabarkan perkara tersebut kepada abang Kamil. Beliau berjanji akan menambahkan sebanyak RM50 lagi supaya caruman saya nanti menjadi RM100 sebulan. Apabila sampai giliran, saya akan menerima RM1,000.

Alhamdulillah! Saya bermain kutu. Dan saya membuat satu permintaan supaya giliran saya jatuh dua bulan sebelum tarikh majlis pernikahan.

Kutu?

Suatu masa dahulu “kutu” telah mengeratkan kasih sayang saya terhadap mak. Kerana kutulah mak membelai rambut saya. Meraut setiap helai rambut yang dipenuhi telur-telur kutu. Menyikat dan menyampunya. Kutu itu datang kerana kasih sayang Allah. Kini, kutu itu datang lagi. Memulihkan semangat yang hampir hilang kerana kekurangan kewangan.

Setiap bulan kami ke Kuala Lumpur untuk membeli barangan hantaran yang harganya sangat berpatutan. Saya hanya mampu menyediakan peruntukan sebanyak RM100 sahaja. Tidak lebih dari itu. Jika lebih daripada jumlah yang diperuntuk, abang Kamil akan menampungnya.

“Abang Kamil hendak apa?”

“Briefcase”

Jadi, kami akan membeli barangan hantaran yang bakal digunakan untuk ke pejabat nanti. Beg tangan, kasut, seluar panjang, kemeja dan kain ela. Setiap bulan satu barang.

Saya juga cuba mengintai-intai harga sepasang pakaian lace. Ya Allah! Semeter sahaja harganya hampir mencecah ratusan ringgit. Malah ada yang harganya beribu-ribu.

Saya tidak mampu.

Memang tidak mampu. Namun dengan duit kutu yang baru diterima, saya kuatkan hati untuk membelinya. Walaupun yang paling murah sekali. Biar impian menjadi nyata.

“Berapa meter you mahu?”

“Semeter sahaja boleh?”

Kain lace itu saya gandingkan dengan sepasang kain satin berwarna putih susu. Dengan nasihat dari tukang jahit, kain lace itu dijahit pada bahagian hadapan, sedikit di lengan tangan dan rendanya dada.

Beberapa bulan sebelum majlis, mak bertanyakan tentang baju pengantin, tempat persandingan dan bilik pengantin saya. Mak tanyakan berapakah peruntukan yang saya ada. Mak tanyakan apakah lagi yang diinginkan oleh saya.

“Mak, pilihlah apa sahaja. Saya tiada apa-apa yang diinginkan. Tidak ada langsung di dalam kepala”

Tiada majlis perkahwinan di dalam taman. Tiada kek yang bertingkat-tingkat. Tiada gaun pengantin puteri zaman dongeng. Tiada pari-pari yang comel datang mengiring. Saya tidak mampu dan saya kuburkan segala keinginan tersebut.

Semeter kain lace. Itulah yang saya mampu!

Posted in Keluarga, Muhassabah | 14 Comments

Tiada masa

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga amalan dan ibadah kita hari ini lebih baik dari semalam, Insya Allah.

Ratna,
Minggu lepas hampir separuh pelajar tidak hadir ke kelas. Apabila di tanya, alasannya mudah – ada ujian, ada quiz dan ada pelbagai lagi alasan. Tetapi, samada mereka hadir atau tidak – kuliah perlu diteruskan.

Lalu, kak ngah katakan kepada pelajar-pelajar tersebut;

“Tahukah kamu..dari pengamatan saya, kebanyakan pelajar yang hadir walaupun mereka juga mempunyai ujian atau quiz – tidak menjejaskan keputusan ujian mereka. Malahan barangkali keputusan mereka lebih baik.”

“Tahukah kamu..setiap seorang Allah kurniakan 24 jam sehari semalam. Cuba kamu renungkan..dalam seharian apa yang telah kamu lakukan. Cuba kamu renungkan..dalam seminggu, sebulan dan setahun. Akhirnya, orang yang cemerlang dan berjaya di sisi Allah adalah orang yang menjaga masa mereka.”

“Sungguh, Allah telah bersumpah demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Kenapa? Kerana orang yang beriman, takut kepada Tuhannya. Takut masa yang diperuntukkan kepada mereka terbuang dengan sia-sia. Takut di padang mahsyar nanti akan ditanyakan tentang hal apakah yang kamu sibukkan?”

Tiba-tiba, seorang pelajar menyampuk,” Betul..ia banyak disebut di dalam quran.”

“Sungguh benar. Banyak sekali Allah berpesan di dalam quran. Jadi, kita tidak usah sibuk-sibuk dengan orang yang sering menyatakan mereka sibuk. Nanti..akhirnya kita tahu apakah hasilnya dari kesibukan itu.”

“Tidakkah kamu melihat, bagaimana orang yang mempunyai 24 jam waktu yang diberikan Allah kepadanya..tiba-tiba kita dapati dia telah khatam quran atau menghafaz beberapa surah. Tiba-tiba kita dapati ia telah menghasilkan sebuah buku, tiba-tiba dia telah melakukan itu dan ini. Sedangkan kita sibuk mencipta alasan yang mengesahkan diri kita tiada masa- tiada masa dan tiada masa. Renunglah diri sendiri..apa yang kita miliki?”

“Sedarkah kamu..masa itu keberkatannya datang dari Allah. Oleh itu, berdoalah untuk kecukupan masa. Bangunlah solat tahajjud – ia saranan Allah yang jelas di dalam quran.”

Ratna,
Allahu Akbar! Kadangkala Allah mengurniakan ilham kepada kita apabila merujuk kepada al-quran sebagai bahan rujukan serta misal bandingan. Peruntukkanlah, bacalah dan hafal walaupun lima baris ayat quran sehari serta faham maknanya. Insya Allah, walau kita kesuntukan masa, akhirnya ada sesuatu yang bermakna dalam tempoh peruntukan masa yang telah ditetapkan Allah kepada kita.

Wallahu’alam.

Semuga berjumpa lagi di lain lembaran. Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod-

Posted in Muhassabah, Taibah Universiti, Uncategorized | 36 Comments

Tahniah anakku!

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dibawah lindungan serta kasih sayang Allah sentiasa di dunia dan di akhirat.

Ratna,
Dua tahun dahulu, kak Ngah pernah berpesan kepada pelajar-pelajar tahun akhir di akhir semester. Kak ngah katakan kepada mereka;

“Duhai pelajar-pelajarku, kamu umpama anak-anak saya kerana anak-anak saya seusia kamu. Jadi, dengar pesanan ini baik-baik. Barangkali ini wasiat terakhir dari saya buat kamu.”

Mereka memasang telinga, merenung tajam dan mana-mana yang mengantuk membulatkan mata. Lalu, kak ngah membacakan Surah Luqman, ayat 13-19 kepada mereka;

“Duhai pelajar-pelajarku, saya ingin menyampaikan pesanan sebagaimana nasihat yang disampaikan oleh Luqman kepada anak-anaknya. Luqman berkata kepada anaknya:

Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Ratna,
Mereka tunduk diam sambil mengangguk-anggukan kepala. Lalu, kak Ngah teruskan lagi ;

“Duhai pelajar-pelajarku, Barangkali selepas ini kamu bakal menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Kemudian, Insya Allah..barangkali kamu menjawat jawatan besar.

Setinggi mana pun jawatan, jangan lupa kepada guru yang telah mengajar kamu dari tidak tahu membaca sehingga kamu telah celik ilmu. Jangan lupa mengenang jasabaik ibubapa yang sentiasa mendoakan kejayaan kamu sejak bayi. Walaupun kamu telah berumahtangga nanti, ibubapa masih mengenang ketika kamu berbelit-belit di kaki. Kasih sayang mereka tidak berubah walaupun perasaan, fikiran dan fizikal kamu telah berubah.

Jangan sombong kepada mereka. Walaupun pelajaran mereka barangkali tidak tinggi tetapi dengan doa dan izin Allah, mereka berjaya menyekolahkan kamu sehingga ke peringkat universiti.

Ingatlah..sujud syukur kepada Allah. Ketika kamu bergembira menyambut skrol di hari konvokesyen, orang pertama yang perlu bagi kamu untuk berterima kasih adalah ibu dan bapa. Kemudian guru-guru yang pernah mengajar kamu. Sekurang-kurangnya hantarkan pesanan ringkas berbunyi :

“Terima kasih emak dan abah. Juga terima kasih cikgu.”

Atau apakah keadaan menjadi sebaliknya? Ibubapa dan guru-guru dari jauh perlahan-lahan berbisik-bisik di dalam hati,”Tahniah anakku di atas kejayaan mu!” Sedangkan anak-anak atau pelajar-pelajar itu sudah tidak lagi peduli. Malah guru-guru yang semakin tua sudah semakin tidak dikenali.

Ingatlah.. jangan jadi seperti anak Nabi Nuh, sebagaimana yang diceritakan dalam surah Hud. Antaranya Allah berfirman:

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. (42)

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. (43)

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim. (44)

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. (45)

Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil. (46)

Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi. (47)

Ratna,
Allahu Akbar! Tiba-tiba kak ngah sebak mengenangkan Sara dan Azrai yang jauh di mata. Bimbang.. apakah sudah jelas pesanan kami sebagaimana pesanan Luqman kepada anak-anaknya? Bimbang..apakah usaha kami gagal sebagaimana Nabi Nuh gagal membawa anak dan isterinya ke syurga? Na’uzubillah..

Allahu Akbar! Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Mudah-mudahan kita semua tergolong dari orang-orang mukmin yang berjaya di sisi Allah dan bertemu semula di syurgaNya.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, Muhassabah | 13 Comments

Teh Tarik Kashmir

Teh Tarik KashmirMenemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga amal ibadah hari ini lebih baik dari semalam, InsyaAllah.

Ratna,
Musim sejuk bakal menjelma. Barangkali hujan semakin kerap dan lebat di Malaysia. Di Scotland, khabarnya musim luruh tengah kemuncak. Apabila sejuk memuncak..turunlah salji ke bumi bagaikan kapas-kapas ringan berterbangan.

Allahu Akbar! Lalu, kami terkenang teh tarik kashmir nukilan dari seorang sahabat ketika sama-sama di luar negara. Ia sudah tersiar di dalam buku BUKAN SEKADAR RESIPI. Sungguh, ia bukan sekadar resipi.

Resepi 44 Teh Tarik Kashmir

Berada di negara asing sentiasa membawa cabaran yang berbeza-beza. Berada di UK tentu sekali berbeza dengan kehidupan kami di Madinah al-Munawwarrah. Di Madinah, cabaran utama kami untuk berkomunikasi kerana dhaif berbahasa Arab. Penduduk tempatan atau pendatang yang lain pula tidak fasih atau tidak tahu langsung berbahasa Inggeris.

Sedaya upaya kami cuba berkomunikasi dalam bahasa Arab. Ia sangat sukar namun – menarik – tiada sesiapa yang mentertawakannya.
“Masyallah! Insyallah…kalamullah. Ana maklum,” mereka memberi motivasi.

Alhamdulillah!

Kawasan rumah kecil kami berhampiran Jabal Ohud dihuni oleh penduduk tempatan yang sangat tinggi budi bahasanya. Mereka sering menumpangkan kami jika terserempak dengan kami sekeluarga menunggu teksi ke Masjid Nabawi.

Komunikasi dua halanya mudah sahaja. Pemandu memberhentikan keretanya dan bertanya, “Ila aina? (mahu kemana?).”Jawapan kami, “Ila Haram.. (panggilan untuk masjid Nabawi).

Jiran sebelah rumah kami juga begitu. Sudah beberapa kali kami menerima pelbagai masakan Arab dari isterinya. Setiap kali bertukar masakan, balik-balik kami menggunakan perbualan yang sama. “Kayfa haluki ya Nadia?”. Jawapannya,”Ana bi khayr, wa al-hamdulillah. Wa kayfa anti?”. Jawapan saya,” Syukrillah. Alhamdulillah hirobbil alamin”.

Akhirnya kami sudahi dengan, “Shukran. Barakahllah hufiq.. illa liqo’..” Minggu hadapan perbualan seumpama itu berulang lagi membuatkan saya bertekad untuk lebih banyak lagi mempelajari vokab bahasa lughatul quran ini.

Namun ada sesuatu yang menarik tentang budaya sesuatu bangsa tidak kira sama ada mereka berada di UK, Madinah atau Malaysia. Ia berkaitan dengan minuman. Setiap bangsa atau keturunan mempunyai minuman kegemaran yang sama tetapi berbeza penyediaannya.

Misalnya, teh pudina di Madinah. Teh tarik di Malaysia. Manakala di UK terkenal dengan istilah English Tea. Masing-masing berbangga dengan corak penyediaan dan cara ia diminum. Malah ia turut diserikan dengan hidangan sampingan bersama minuman tersebut.

Allahu Akbar, ia ilham dan anugerah Allah yang berbeza-beza dikurniakan kepada hambanya supaya kita dapat menambah ilmu pengetahuan dan saling kenal-menganali di antara satu sama lain. Bukankah itu bukti tanda-tanda kebesaran Allah?

Saya teringat mengeteh yang sangat terkenal di kalangan warga dewasa di Malaysia. Mereka “mengeteh” di kedai kopi atau kini di Kopitiam. Saya sering terfikir dan bertanya-tanya beberapa persoalan, misalnya,

Benarkah “mengeteh” di kedai kopi rasanya lebih sedap?

Benarkah teh tarik di kedai kopi lebih enak rasanya berbanding di rumah?

Apakah di rumah sudah tidak enak lagi aroma tehnya?

Jika kesemuanya benar, kenapa?

Agak saya, barangkali kerana buihnya, rasa lemak manis dan aromanya. Benar, puas saya mencuba tarik teh susu buatan sendiri tetapi ia tidak pernah menjadi seumpama rasa dikedai kopi.

Pada suatu musim sejuk – semasa di UK – saya pulang dari kerja agak awal berbanding hari-hari biasa. Biasanya saya menunggu sehingga 3.15 petang dari tempat kerja dan terus menjemput Sara dan Azrai. Waktu pulang sekolah adalah pukul 3.30 dan Maghrib di sekitar 3.45 petang.

Hari itu saya harus menunggu mereka hampir 1.30 jam. Saya berjalan perlahan-lahan di deretan kedai sesekali masuk ke dalamnya untuk mendapatkan haba panas. Musim sejuk yang melampau. Masa dirasakan berjalan sangat perlahan. Tiba-tiba saya ditegur oleh seseorang,

“Sister, tunggu siapa?”

“Saya menunggu anak pulang dari sekolah”

“Tunggu anak? Eh, sekarang baru pukul 2.30 petang. Marilah ke rumah kami dahulu”

Beliau seorang kenalan dari Pakistan. Anak perempuannya sekelas dengan Sara. Suaminya juga sedang menjalani pengajian di peringkat PhD seuniversiti dengan suami.

Cuaca musim sejuk disertai angin bukanlah masanya untuk saya menolak perlawaan seseorang yang mulia sepertinya. Sejuknya menusuk ke tulang hitam. Benar, rumah kenalan itu letaknya beberapa blok dari kawasan sekolah.

Tiba di rumah, saya dipelawa masuk dan serta merta dikuatkannya ganggang pemanas di ruang tamu. Tanda hatinya penuh dengan keikhlasan. Sebelum beredar ke dapur, beliau berkata,

“Duduk sebentar.. saya buatkan awak teh Kashmir”

Saya teruja. Sebentar kemudian terhidu aroma teh memenuhi rongga hidung yang tadinya hampir tersumbat kerana kesejukan. Aroma manis lemak yang memikat. Di luar sedar, kaki saya melangkah ke dapur.

Maaf, saya ke dapur. Jangan susah-susah.. apa yang awak masak?

Oh, teh Kashmir. Kami orang-orang Pakistan merebus daun teh sehingga kembang di dalam periuk. Kemudian kami masukkan sedikit gula dan susu ke dalamnya. Matikan api agar susu tidak pecah lemak.

Beliau terus menunjukkan air rebusan teh yang sedang mengeleggak. Kemudian, beliau mengajar saya bagaimana memasukkan gula dan susu ke dalam air rebusan itu. Serta merta rebusan teh menjadi seperti teh susu. Lalu dicurahkan air itu sedikit ke dalam koleh besar. Diambilnya satu koleh lagi dan di tarik-tarik. Subhanallah, teh tarik!

“Kita minum di dapur sahaja” saya mencadangkan.

Rumah mereka sunyi sahaja kerana ke tiga-tiga anak mereka berada di sekolah. Di meja dapur terdapat adunan doh roti yang sudah dikepal-kepal. Di atas tungku dapur ada kari dhal bercampur lobak merah yang sedang terjerang. Di dalam dulang ada ketulan kecil kentang lecek seperti pegedel.

Saya menjadi sikaki sibuk bertanya pelbagai soalan. Bagaimana membuat itu dan ini. Tidak sedar jam hampir menunjukan pukul 3.30 petang. Tiba-tiba suami beliau muncul memberi salam. Disambutnya suami dengan teh tarik yang panas meruap. Si suami bersuara,

Sister, awak tunggu di sini. Saya pergi ke sekolah mengambil anak-anak. Jangan bimbang, saya akan membawa suami dan anak-anak awak datang ke sini. Awak semua mesti makan malam di sini.

Saya terkedu. Tidak sempat menolak kerana beliau yang membuat keputusan. Sementara beliau meninggalkan kami, isterinya pantas menggelek dan membakar roti nan di dalam ketuhar. Ketulan kentang dicelup telur dan digoreng seperti pegedel!

Serentak, dipanaskannya kuali kecil dan dimasukkan sedikit minyak. Ditumisnya bawang besar yang dibelah empat dan lada kering. Bahan goreng tadi dicurahkan bersama minyak ke dalam kuah dhal. Aroma kuah dhal meruap-ruap.

Dalam masa lima belas minit, suami dan anak-anak kami muncul bersama anak-anak mereka. Selepas anak-anak diminta mencuci tangan dan muka, kami dipersilakan makan. Ia benar-benar menyelerakan. Sambil menghadap hidangan kami bertukar-tukar cerita tentang budaya. Kenalan tersebut menyatakan mereka ada membawa video tentang budaya mereka dan mempelawa kami menontonnya.

“It’s okey brother..”suami menggelengkan kepala tanda menolak.

Usai solat maghrib berjemaah, kami dijamu pula dengan ladhu iaitu sejenis pemanis mulut. Allahu Akbar, kami kekenyangan. Ia suatu nikmat yang tidak terduga. Lantas kami memohon izin untuk pulang. Namun diarahkan kami naik ke bahagian atas rumah mereka.

“Brother, it’s OK. This way. Come, we’ll show you”

Rupa-rupanya mereka mahu menunjukkan video adat istiadat perkahwinan orang Pakistan. Setiap kali kami menggelengkan kepala dan menyatakan, “It’s okey brother,” ditukarnya video lain pula. Akhirnya kami terpaksa menolak keras. Menganggukkan kepala dan berkata;

“No. Thank you brother. We have to go.”

Barulah kami dilepaskan pergi. Subhanallah! Masyallah! Tabarakallah! Begitulah jadinya jika tidak faham budaya dan bahasa.

Posted in Masakan, Muhassabah | 10 Comments

Petikan Resipi 31- Popia Bangor

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan,
Semuga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
Barangkali popia bukan resipi yang dianggap istemewa untuk dimuatkan ke dalam buku. Apatah lagi kalau di Malaysia, ia mudah didapati dan boleh dinikmati pada bila-bila masa. Namun, ketika menulis bab ini..Allah mengembalikan ingatan kepada Stuart, penyelia Phd abang Ngah ketika di Universiti Bangor.

Entah mengapa..perkenalan bersama Stuart memecah sempadan bangsa, budaya dan agama. Berikut adalah sebahagian dari petikan bab 31 – Popia bangor.

————————————————————————————————————————————–
Musim luruh di Utara Wales.

Ia panorama menawan. Daun-daun berwarna kuning kemerahan. Ada yang sudah luruh ke bumi meninggalkan ranting di pokok. Cuaca basah lembab. Sejuknya mula terasa. Ia suasana di penghujung pengajian PhD suami. Hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk kami meninggalkan UK dan kembali bertugas di Malaysia.

Boleh saya jemput Stuart dan isteri ke rumah? Bila-bila pada hujung minggu.

Boleh. Kenapa awak bertanya?

Mana tahu takut giliran awak bekerja pada hujung minggu.

InsyaAllah, minggu hadapan saya OK.

Kita jemput mereka minum teh. Minum petang.

Begitulah suami yang telah dijodohkan Allah kepada saya. Beliau suka rumah kami dikunjungi tetamu. Suami sebenarnya sudah menamatkan pengajiannya. Kami hanya menunggu majlis konvokesyen. Namun ia tiga bulan tinggal bersantai di kawasan sejuk nyaman.

Suami mahu meraikan Stuart – penyelia Phd – dan isteri sebagai tanda terima kasih. Namun beliau juga tidak mahu menyusahkan isteri. Saya tersenyum di dalam hati. Saya tahu beliau bersunguh-sungguh walau tidak diterjemahkan secara terang-terangan. Memang suami sangat berhemah dalam soal ini.

Stuart dan Heather sangat istimewa dalam hidup suami. Saya mahu melayani mereka dengan cara terbaik. Lalu saya bingung seketika memikirkan menu apakah yang perlu saya ketengahkan. Paling sukar menelah resepi yang mahu membuat tetamu menjamah dan menyudahkannya sehingga ke suapan terakhir. Agak saya itulah dilema Chef semulajadi yang dilahirkan apabila bergelar sebagai seorang isteri.

Allah… Allah ya Allah. Saya memohon ilham dari Allah yang menjadikan alam, langit dan bumi. Memohon bersungguh-sungguh agar Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan. Agar terjalin hubungan baik antara kami. Barangkali apalah sangat permintaan sekadar memohon secebis ilham dariNya. Namun itulah kemahuan saya mahu mempersembahkan yang terbaik. Ia tanggungjawab saya menjaga hubungan baik suami dengan penyelianya.

Akhirnya saya memilih empat peringkat hidangan. Saya mahu mulakan dengan ubah-suai popia basah sebagai pembuka selera. Kemudian akan saya hidangkan sup ketam bersama jagung manis bagi menghangatkan badan ketika musim yang kian menyejuk. Menu utamanya adalah nasi goreng Cina yang diiringi dengan sayur campur, daging masak halia bergajus berserta daun bawang dan ayam goreng rangup bersoskan lemon. Akhir sekali, saya menyediakan lempeng berinti kacang merah lecek sebagai pencuci mulut. Ia masakan kebiasaan orang-orang China.

Mereka sampai tepat pada waktunya. Stuart bertubuh besar. Apabila berdiri berhampiran dengan pintu rumah, kepalanya hampir mencecah tiang gelegar di atasnya. Jika beliau berdiri betul-betul di tengah pintu, ia pasti memenuhi dua pertiga daripada pintu itu. Heather pula bertubuh sederhana. Rambut ikalnya keperangan disisir rapi. Beliau menyarung jumper yang disesuaikan dengan mafla berwarna musim luruh. Ternyata sekali beliau memiliki wajah wanita Inggeris yang berusia di sekitar awal lima puluhan.

Kedua-duanya melemparkan senyuman yang menampakkan sebaris gigi putih bersih. Wajah mereka terpancar kemesraan. Serta merta perasaan saya lega dan selesa menerima kehadiran mereka.

Selamat datang ke apartment kecil kami. Biar saya bantu sangkutkan jaket.

Mereka menghulurkannya. Sebaik sahaja mahu melangkah ke ruang tamu, serta-merta terkeluar daripada bibir dengan kata-kata spontan,

Saya mohon maaf. Kami tidak memakai kasut di dalam rumah. Tuan boleh menanggalkan kasut di sini.

Mereka akur. Suami menjeling tajam ke arah saya. Dengan tidak memandang wajah suami, saya mempersilakan mereka duduk di sofa. Kemudian saya segera menuang jus oren dan menghulurkan kepada mereka.

Sejukkah di luar sana?

Ya… ya… daun-daun sudah gugur. Pokok sudah tinggal ranting. Ia suasana menarik

Itulah ayat pembuka kata paling selamat bila mahu memula komunikasi dengan penduduk United Kingdom. Bertanyalah tentang cuaca. Ia pasti menjadi topik mudah walaupun jawapannya sudah dimaklumi. Saya berbual-bual sebentar sebelum memohon diri untuk menyediakan hidangan.

Alhamdulillah, saya rasa sangat teruja untuk menjamu mereka makan. Hidangan diangkat satu persatu dan lancar sekali saya menerangkan resepi dan bagaimana ia perlu dinikmati. Pertama, hidangan pembuka mulut yang telah diubah suai mengikut rasa setempat. Saya namakan popia Bangor.

Baik, mari saya tunjukkan cara bagaimana mahu menikmati hidangan ini

Mereka beralih tempat dari sofa ke meja makan. Saya hulurkan piring seorang satu. Kemudian saya mengambil lempeng atau kulit luar popiah buatan sendiri dan letakkan ke atas piring mereka.

Di dalam dulang ini ada racikan timun, lobak merah, taugeh, sengkuang, daun selasih dan salad. Ini pula adalah carikan isi dada ayam. Ada dua jenis sos di sini, sos cili Thai dan sos Hoisen. Ini pula kacang gajus goreng yang di tumbuk.

Lalu, saya membuat tunjuk cara dengan memasukkan sedikit setiap bahan ke dalam kulit lempeng tersebut. Tambahkan sedikit sos hoisen serta sos cili dan taburkan kacang gajus. Kemudian saya mengulungnya seperti mengulung popiah basah di Malaysia. Saya mengambil alih teraju dan mula mengawal keadaan. Suami hanya membiarkan sahaja gelagat saya. Mereka teruja dan mencubanya. Serta merta suasana menjadi santai dan mesra. Mereka melakukannya sambil ketawa.

No… No… tuan isi penuh sangat.

Oh ya ke, saya terlebih memasukkan isinya.

Stuart tersengih. Kelihatan beliau kesukaran menggulung popia tersebut. Ia nampak mudah tetapi memerlukan sedikit kreativiti dan kesenian bagi menjadikan ia cantik, comel dan menawan.

Serentak kami tertawa. Lalu suasana petang itu menjadi sangat santai. Makanan menjadikan ia lebih mudah walaupun kami berbeza budaya. Ia ibarat satu keluarga atau rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Akhirnya, mereka mencuba kesemua hindangan satu persatu tanpa segan silu.

Ratna,
Apa sudahnya kisah itu? Tunggu kemunculan buku terbaru Bukan Sekadar Resipi : Aroma Antara Benua di pasaran nanti. Sekian dahulu, salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Keluarga, Masakan, Muhassabah | Leave a comment