Kami tergamam..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan,
Salam sejahtera dan semuga di dalam peliharaan serta redha Allah sentiasa,

Ratna,
Semalam kak Ngah mengambil  keputusan duduk di saf hadapan yang  sering diduduki oleh wanita-wanita arab Madinah. Tempat biasa kami berbuka puasa. Usai solat sunat, kak Ngah dapati sudah ada mak Arab duduk disebelah. Beliau dilayani oleh pembantunya, warga Indonesia.

Kami berbalas senyum serta memberi salam. “Assalamulaikum, hayakallah..?” Lalu dijawab,”Alhamdulillah.” Dan kami masing-masing meneruskan membaca al-quran atau berzikir sehingga  azan maghrib berkumandang.

Begitulah sapaan yang selalunya berlaku antara penduduk tempatan. Mereka menyapa  ahli saf yang duduk sebelah menyebelah sekadarnya. Selebihnya antara diri masing-masing dengan Allah.

Bukankah senyuman itu juga suatu sedekah?

Sebaik azan, kami masing-masing bertukar-tukar tamar bagi berbuka puasa. Mak arab itu menghulurkan sepotong roti [خبز  ] kepada Sofea bagi dicecah dengan yogurt [  لبن]. Terdengar Sofea berkata,”Syukran..”

Kami berbuka sekadarnya dan bersembahyang. Usai sembahyang maghrib, pembantu mak arab membuka bekalan. Dicurahnya kopi panas  dari tarmus ke dalam cawan kecil. Aroma kopi arab meruap-ruap, aroma buah pelaga. Tiba-tiba mak arab menyapa,” Mahu kopi? [في قهوة؟]. Sambil membalas senyum, kak Ngah katakan ” Maa za..la.”

Lalu, dihulurnya kopi buah pelaga arab itu walaupun kak Ngah sebenarnya menolak. Subhanallah! Itu bukannya kali pertama kak Ngah rasa terseksa untuk menyudahkan kopi  dari cawan sekecil itu.  Rupa-rupanya soalan mak arab itu,”Awak ada/mahu kopi?”. Jawapan kak Ngah membawa maksud, samada,” Tiada atau tidak..”

Kebiasaannya mak-mak arab menjamah juadah berbuka puasa, sambil berzikir atau membaca quran. Sesekali, sambil tersenyum, tangannya menjamah dagu atau pipi Sofea. Dihulurnya coklat atau gula-gula pula. Sofea gembira. “Mama, ramai mak arab suka Sofea. Sebab pipi Sofea comelkan?”.

Sofea selalunya tersipu-sipu apabila kak Ngah mencebik secara bergurau kepadanya.

Ratna, begitulah kebiasaannya kemesraan bersama penduduk tempatan terlansung sehingga masuk waktu Isyak. Tidak perlu bersembang. Kumat-kamit di bibir [berzikir atau menghafal ayat-ayat quran] diteruskan namun, senyuman mereka tidak lengkang. Sesekali mereka bangun mengerjakan solat sunat. Jika ada yang dalam diam mengesat air mata, ada yang mengagihkan tisu pula.

Sebenarnya, kak Ngah memang sudah bernekad, tidak mengharapkan lagi balasan sapaan. Namun, kak Ngah tidak dapat mengawal senyuman lantas mengucapkan salam apabila terpandang sesiapa jua jika bertembung mata.

Ratna,
Keajaiban Allah berlaku selepas Isyak semalam. Ketika itu kami baru usai mengerjakan solat jenazah dan solat sunat selepas Isyak. Apabila jemaah mulai bersurai, tiba-tiba seorang wanita melayu datang meluru ke arah kak Ngah dari hadapan. “ Puan Roza..?” Kak Ngah mengangguk sambil mengucapkan,”Ya saya. Allah hu akhbar”, lalu memeluknya.

“Maaf puan, siapa nama ni?” Wajahnya kelihatan tergamam. Beliau menekupkan tangan kanan ke mulutnya lantas tergesa-gesa pergi. Beliau hilang di celah-celah jemaah yang ramai.

Subhanallah! Kali ini, kak Ngah dan Sofea pula tergamam.

Alhamdulillah! Syukur..bukankah itu tanda-tanda kemurahan dan kasih sayang Allah? Ternyata benar Allah maha mendengar. Dia maha mengetahui apa yang tersembunyi di hati, yang tersimpan di dalam dada.

Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu di dustakan?

Insyallah! Sehingga kita berjumpa lagi di lain waktu selagi diizin oleh Allah yang maha kuasa..

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Kerenah anak-anak, Muhassabah, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>