Madrasah

Menemui adikku Ratna,
Salam sejahtera dan semuga didalam rahmat Allah sentiasa,

Sofea sudah tidak sabar mahu ke sekolah. Ratna masih ingat bukan apabila kak Ngah mengatakan bahawa kami di sini perlu ada iqomah untuk segala urusan – misalnya pendaftaran persekolahan, buka akaun bank, mendapat lesen dan membeli kereta. Sementara mendaftar ke sekolah, Sofea dan Amirul hanya mengaji di rumah sahaja.

Alhamdulillah! Kami sekeluarga telah mendapat iqomah seminggu yang lalu. Ia serupa kad pengenalan diri seperti yang ada di Malaysia. Minggu ini adalah minggu sibuk bagi kami sekeluarga – mencari dan mendaftar persekolahan bagi Sofea.

Madrasah pertama, guru besarnya tiada semasa kedatangan kami. Barangkali ada kerja di luar. Tidak perlu menunggu kerana sudah pasti akhirnya jawapan diberikan adalah “Bukhro” [esok].

Madrasah ke dua, sebuah sekolah yang agak popular.. Jawapan diberikan,”maaf..sudah penuh.”

Madrasah ke tiga, ia sebuah sekolah tahfiz persendirian. Seorang kenalan yang berhati mulia memperkenalkannya kerana anak-anak beliau belajar di situ. Beliau berumahtangga dengan penduduk tempatan.”Nanti kak Nor suruh pemandu menjemput Roza dan Sofea di rumah. Kitapergi ke sana bersama-sama.”

Tepat pada masanya, seorang wanita tinggi lampai keluar dari kereta besar jenama GMC, menyambut dengan pelukan. Lantas mempersilakan kami masuk ke dalam kereta. Subhanallah! Itu pertemuan kami buat kali pertama.

Beliau berkata sesuatu kepada pemandunya dengan berbahasa arab yang fasih sekali. Kami sampai ke Madrasah tahfiz dan beliau terus membawa berjumpa dengan mudir.

Masyallah! Dalam minda kak Ngah [madrasah tahfiz] mestilah ustazahnya berkelubung hitam. Laa..rupa-rupa tidak begitu, sama kesnya dengan Taiybah universiti.

Selesai pendaftaran, Sofea di bawa terus ke kelasnya. Jika boleh digambarkan..ia seperti suasana sekolah tadika swasta di Malaysia. Di dindingnya berwarna ceria, penuh dengan katun-katun, bunga-bunga dan huruf-huruf al-quraan. Suasana di dalamnya tidak sama dengan warna bangunan luarnya yang mendebarkan!

Sebelum pulang, kami di bawa singgah ke rumah kak Nor. Subhanallah! Barangkali beliau isteri saudagar arab yang kaya raya! Malunya jika dibandingkan dengan rumah kecil kami di Jabal Ohud. “Buat apa malu eh! Ni kak Nor buat pau inti nioq. Cek makan noo..” Ya Allah ya Rabbi, sekali keluar cakap melayu.. pekat betul loghat utara tu. Bagaimanapun anak-anak kak Nor lebih selesa berbahasa ayahanda.

Begitulah..pertemuan kami dengan isteri arab berbangsa melayu yang ditimbuni dengan segala kemewahan. Ia tersembunyi di balik kelubung hitam. Ke sana sini di hantar dengan kereta besar serta pemandu peribadi.. tempat membeli belah mereka barangan berjenama. Mereka tidak perlu ke pejabat di awal pagi. Kerja rumah mereka di bantu oleh orang gaji. Jadi siapa kata wanita arab di kongkong? Sedangkan sebenarnya merekalah wanita yang paling dimanjakan oleh suami.

“Kak Nor tak sibuk nak minta drive kereta sendiri?” Kak Ngah saja tanya soalan perangkap.”Alhamdulillah! Kami tidak perlu memandu. Buat apa depa dok sibuk sangat tu..kami kat sini tak kalut eh!” Kak Nor teruskan lagi…”Kami dok sini nak pi mana driver pi hantaq..depa buat cerita kami nak pandu kereta..tok sah penin kepala eh! he..he”

Semalam kak Ngah dan Sofea belajar sesuatu..melalui madrasah kehidupan. Kak Ngah tanyakan kepada Sofea,”Awak mahu sekolah di situ?” Sofea tersenyum lebar sambil mengelengkan kepala.”Emm, ustazah yang ajar mengaji quraan dalam kelas tu pakai baju seksi. Sofea mahu belajar di Haram. Sofea lebih suka di Haram”

Akhirnya, kami mendaftarkan Sofea mengaji quraan di Haram. Namun, pendaftaranya hanya dibuka selepas musim haji. Sekolah formalnya milik persendirian dan rata-rata pelajarnya adalah anak-anak orang Mesir dan penduduk luar Saudi..Sofea satu-satunya budak melayu di situ. Biarlah, mudahm-mudahan Sofea lebih cepat “terpaksa” bercakap arab.

Sofea suka mengaji di Haram.

Ratna,
Amirul akan didaftarkan di madrasah masjidil nabawi yang juga akan di buka selepas musim haji. Katanya ia ibarat sekolah pondok di dalam Haram. Ada kelompok-kelompok kecil berkumpul mengelilingi sheikh di tiang-tiang.

Emm..lambat lagilah kak Ngah dapat cuti tak perlu masak nasi tengahari..

Subhanallah! Dalam kehidupan, kita rupa-rupanya menghadiri madrasah Allah setiap hari.

Sehingga berjumpa lagi di lain lembaran. Salam sayang buat semua.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>