Anak-anak

Menemui adikku Ratna yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga di dalam rahmat Allah sentiasa,

Alhamdulillah! Pagi semalam kak Ngah sekeluarga selamat  sampai ke rumah dari Yanbu. Di Yanbu kami menumpang bermalam di rumah kenalan yang sangat baik hati. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik mereka.

Semasa abang Ngah dan Amirul pergi ke Haram untuk sembahyang Jumaat, kak Ngah menyediakan masakan tengahari kegemaran Amirul. Menunya adalah sambal tumis udang, kobis masak lemak, ikan masin dan ayam goreng celup tepung.

Usai waktu sembahyang Jumaat, abang Ngah menelefon,” Yang, saya mengajak sepasang jemaah haji untuk makan di rumah tengahari ini. Amirul mahu duduk di Haram sehingga Isyak.” Subhanallah! Rupa-rupanya keputusan Amirul untuk tidak pulang, adalah rezeki kepada sepasang jemaah itu. Tidak perlu kak Ngah   tergesa-gesa menyediakan masakan tambahan disebabkan notis abang Ngah yang sangat singkat.  

Ratna,
Setiap kali memasak kak Ngah teringat masakan kegemaran anak-anak. Sara sangat suka masakan ringkas ala barat. Azrai tidak begitu berkira. Yang penting katanya,” mama masaklah apa sahaja. Ikan goreng pun tidak mengapa, Azrai sudah bosan makan masakan kedai.” Amirul dan Sofea, sangat suka masak apa sahaja..asalkan ayam.

Begitulah anak-anak. Barangkali masakan ibu tidaklah seenak masakan di kedai. Tetapi kerana ia dimasak dengan sepenuh hati serta limpahan rasa kasih sayang. Apabila berjauhan, masakan yang menjadi kegemaran anak-anak juga mengamit rindu si ibu. Dalam  diam, sambil memasak sambil mengesat air mata.

Ratna,
Teringat teguran mak wa semasa kak Ngah masak sambil menyanyi sewaktu remaja dahulu, katanya,” Sebelum memasak mulakan dengan mengingati Allah. Bacalah bismillah. Kemudian berselawat ke atas nabi sambil membasuh beras, sayur, ayam atau mencuci ikan.”

Mak wa teruskan lagi,” Sambil menumis kita berdoa, mohon Allah memberikan berkat kepada masakan yang di masak. Biar ia memberikan kesihatan yang baik agar dapat beribadat dan menyembah Allah. Agar kita menjadi hambaNya yang bersyukur. Agar suami, anak-anak  atau sesiapa sahaja jatuh kasih dan menyukai air tangan masakan kita.”

Alhamdulillah! Sehingga kini itulah yang kak Ngah amalkan setiap kali memasak. Barangkali resepi yang digunakan sama sahaja tetapi hasilnya berbeza. Ia bukan sekadar resepi.

Ratna,
Baru-baru ini kami telah dihubungi oleh team majalah ANIS. Mereka meminta kami meneruskan  menjadi kolumnis dalam majalah itu. Sehingga setakad ini InsyaAllah kami bersetuju, namun dengan tema yang baru. Kolum kak Ngah sebelum ini [Sekali Air Bah] akan digantikan dengan kolum “Bukan Sekadar Resepi”. Ia akan bermula Disember 2011 nanti.

Oleh itu, jangan lupa dapatkannya! Tolong simpan senaskah untuk kami menatapnya apabila pulang bercuti nanti.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allah hu Akhbar! Sesungguhnya hanya 3 perkara sahaja yang ditinggalkan apabila kita meninggal dunia iaitu ilmu yang bermanafaat, amal jariah dan anak yang soleh serta solehah. Kami berharap ada iktibar dan manafaatnya artikel dalam majalah ANIS itu nanti, InsyaAllah.

Ratna, sehingga setakad ini sahaja dahulu. Sampaikan salam buat emak. Ucapkan setinggi terima kasih dari kami kepada adik beradik yang menjenguk-jenguk Sara dan memberi makan serta tempat bermalam bagi Azrai.

Semuga kita diizinkan Allah berutus lagi di lain lembaran. InsyaAllah!

-Rumah kecil di Jabal Ohud-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Masakan, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>